Saturday, December 31, 2011

osbon juara

Osbon juara MLM


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
pix_middle
SHAH ALAM: Tuah 2012 nampaknya menyebelahi Osbon yang membawa pulang RM350,000 dan trofi selepas mengetepikan tiga kumpulan lain pada final Maharaja Lawak Mega terbitan Astro, di sini, tengah malam tadi.
Osbon yang dianggotai Mr Os dan Sharizah Ahmad (Abon) mengetepikan cabaran Boboi yang meraih RM250,000 dan Saehu dari indonesia (ketiga-RM50,000) manakala Syok menduduki tangga keempat.








Monday, December 26, 2011

gotong royong buat asyura

Penduduk gotong-royong masak bubur asyura


Sebahagian daripada peneroka yang menyertai program masak bubur asyura sempena sambutan Maal Hijrah di Felda Kemahang Dua, Tanah Merah, semalam.


TANAH MERAH 25 Dis. - Memasak sebanyak 37 kawah bubur asyura dengan peruntukan hampir RM15,000 hasil kerjasama penduduk kampung merupakan contoh terbaik dalam menerapkan semangat gotong-royong dan perpaduan di kalangan masyarakat Felda di negara ini.
Merealisasikan hasrat tersebut di samping mendekatkan hubungan antara jiran, penduduk di Felda Kemahang 2 di sini mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah dengan memasak bubur berkenaan baru-baru ini, menggunakan peruntukan peserta di kawasan tersebut .
Timbalan Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad berkata, penglibatan lebih 400 ahli keluarga daripada 16 blok Felda terbabit antara contoh terbaik dalam membantu menerapkan nilai-nilai murni iaitu mewujudkan persefahaman dan sekali gus meraikan 37 tahun Felda Kemahang 2 mula diteroka.
‘‘Apa yang menarik, kerja-kerja penyediaan bahan mentah dam basah, memasak dan mengacau bubur disertai bukan sahaja oleh golongan lelaki tetapi semua peringkat usia termasuk kanak-kanak dan wanita dewasa. Ini adalah lambang semangat gotong-royong yang menjadi amalan dalam masyarakat Melayu sejak lama dahulu.
‘‘Aktiviti seumpama ini mampu mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin di kalangan masyarakat di sini kerana generasi muda dapat berkenalan dan berkongsi pengalaman dengan golongan lebih berusia iaitu di kalangan peneroka terawal di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Hadir sama Pengurus Besar Wilayah Gua Musang, Nor Zuki Mustafa, Pengurus Felda Kemahang 2, Zainal Ismail dan Setiausaha UMNO Bahagian Tanah Merah, Ahmad Ismail.
Faizoull menambah, usaha yang dilakukan oleh masyarakat Felda di kawasan terbabit wajar dicontohi kerana akhir-akhir ini semangat bergotong-royong semakin terhakis di kalangan jiran tetangga.
‘‘Memasak bubur asyura secara kerjasama dan bergilir-gilir mampu menerapkan kembali semangat saling memerlukan antara satu sama lain dan diharap budaya ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

jom jual roti dhool

Roti dhool jadi hidangan sarapan popular

ALOR SETAR 25 Dis. - Bagi mereka yang baru pertama kali berkunjung ke Restoran Sham di Gunung Keriang di sini, pasti tertanya-tanya bagaimana bentuk roti dhool yang menjadi hidangan sarapan popular di situ.

Sarapan istimewa berupa roti canai yang diletakkan telur separuh masak di atasnya serta disaluti kuah dhal bercampur sambal ikan bilis itu cukup mengenyangkan dan dijual pada harga RM2.

Roti dhool tersebut dibuat sendiri oleh pemilik restoran itu, Shamsudin Bukhary, 39, yang mendapat idea membuat roti itu setelah mendapat tempahan pelanggan yang inginkan roti canai diletakkan telur separuh masak di atasnya.

"Ramai orang menjual roti canai, namun saya mahukan kelainan dalam roti canai yang saya buat.

"Nama roti dhool diberi oleh pelanggan dan lama-kelamaan nama roti ini terus digunakan pelanggan apabila mereka mahukan roti canai yang diletakkan telur separuh masak," ujarnya ketika ditemui di Restoran Sham di sini hari ini.

Menurutnya, setiap hari hanya 400 keping roti boleh dimasak kerana dia mahu memastikan kualiti dan rasa roti dhool yang dihidangkan.

"Saya yang masak sendiri roti ini kerana pelanggan tidak mahu orang lain yang buat kerana rasa dan kualiti roti tidak sama jika dimasak oleh orang lain,'' jelasnya.

Sunday, December 25, 2011

cemerlang

Nur Aliya, Nur Ilya kembar cemerlang


NUR Aliya Zaida Mohd. Hassany (kanan) dan Nur Ilya Zaida menunjukkan keputusan cemerlang dalam PMR di Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 24 Dis. - Persaingan sihat dalam pelajaran menjadi resipi kejayaan pasangan kembar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra dekat sini apabila mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan kelmarin.
Pasangan kembar berkenaan Nur Aliya Zaida Mohd. Hassany, 15, dan adiknya, Nur Ilya Zaida, 15, masing-masing memperoleh 9A dan 8A dalam peperiksaan tersebut.
Nur Aliya berkata, persaingan sengit antara mereka berdua menjadi pendorong kepadanya dan adiknya untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek terutama akademik.
"Ketika kami mengulang kaji pelajaran di rumah, sebagai contoh saya yang mahir dalam Bahasa Inggeris manakala adik mahir Matematik. Jadi kami berdua akan sama-sama memberikan tunjuk ajar.
"Selain itu, saya dan adik selalu berbincang dan bertukar pendapat untuk memastikan kami memperoleh keputusan cemerlang dalam PMR. Alhamdulillah berkat kerja keras akhirnya kami berjaya jua akhirnya," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini semalam.
Tambah Nur Aliya, keputusan itu bukan kejayaan peribadinya sahaja kerana ia turut dikongsi dengan adik beradik lain sebagai motivasi untuk mereka berjaya.
Mengulas rancangan masa depan mereka, pasangan kembar itu berhasrat melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau sekolah berasrama penuh.
Sementara itu, ibu kepada pasangan kembar ini, Norzaida Abdul Rahim, 43, berkata, dia sama sekali tidak menjangka kedua-dua anaknya itu akan berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam PMR.
"Sebelum ini, dalam peperiksaan percubaan mereka mendapat 4A dan 3A sahaja. Sasaran mereka untuk peperiksaan sebenar hanya 7A dan 6A. Namun selepas peperiksaan percubaan, saya lihat mereka berdua menunjukkan komitmen yang tinggi dalam pelajaran dan akhirnya mendapat keputusan cemerlang.
"Bagi saya kejayaan mereka adalah satu anugerah yang tidak ternilai. Saya harap mereka berdua dapat meneruskan kejayaan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti," ujarnya.

melayu jangan takut

Janganlah takut...

Bisik-Bisik Mingguan

Shahabudeen Jalil, yang masih muda berazam tidak mahu makan gaji. Malah dia mahu melakukan sesuatu yang berbeza. Menyedari ramai peniaga kecil Melayu terlalu bergantung kepada pemborong yang ghairah mengaut keuntungan besar, Shahabudeen membuka jalan membantu mereka membeli terus barangan dari tanah besar China.

Ratusan peniaga kecil lega dan berterima kasih kepada beliau. Sesungguhnya ada peluang untuk mengubah keadaan. Awang angkat topi kepada orang muda seperti Shahabudeen. Seorang lagi, Mohd. Zainuri Mohd. Idrus tidak pernah makan gaji. Ketika belajar, dia sudah berniaga kecilan-kecilan untuk menampung kos pengajian agar tidak membebankan ibu bapa. Hari ini, Zainuri adalah usahawan berjaya yang menceburi pelbagai bidang termasuk industri pertanian dan pertahanan.

Pemilik Restoran Sekincan Ikan Bakar, Jamal Yusof tidak belajar tinggi. Dia bermula dengan menjual burger tetapi sekarang membina nama. Jamal juga mampu melawan putaran ganas orang tengah yang menyebabkan pengguna menanggung harga yang tinggi. Bukan mereka bertiga sahaja, ramai lagi yang berjaya kerana berani mengambil risiko untuk berniaga biarpun secara kecil-kecilan. Awang sentuh hal ini kerana resah dengan pembawaan ramai orang Melayu yang masih mengikat diri kepada makan gaji. Apatah lagi terlalu mengharapkan pekerjaan di sektor awam.

Kita kini berdepan dengan realiti dan cabaran baru. Janganlah biarkan hanya kaum tertentu sahaja menguasai bidang perniagaan dan keusahawanan. Ingatlah, margin perolehan yang tinggi bukan dengan makan gaji.

Maka jangan takut untuk menceburi bidang perniagaan asalkan berdisiplin dan sentiasa belajar meningkatkan pencapaian. Bina nilai diri dengan berdikari. Awang pun sudah penat makan gaji.

Sunday, December 18, 2011

tanam anggur

Taman anggur jana pendapatan RM38,000
Oleh : SH UTARA
Tarikh : December 16, 2011
KANGAR – Taman Anggur Perlis berjaya menjana pendapatan RM38,545.50 sehingga 1 Disember lalu.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Sabry Ahmad (BN-Santan) berkata, ia membabitkan jualan buah anggur, jualan tiket masuk dan anak benih anggur.

Beliau berkata Taman Anggur Perlis dibangunkan dalam dua fasa iaitu fasa pertama seluas lima hektar sudah pun selesai manakala fasa kedua akan bermula tahun depan seluas 4.49 hektar yang dibangunkan secara berperingkat.

“Apabila kedua-dua fasa ini siap kelak, keluasan tanaman anggur adalah 9.49 hektar.

"Ia dibangunkan dari sumber Pembangunan Industri Buah-Buahan Jabatan Pertanian di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia serta Kementerian Pelancongan Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan lisan Rus’sele Eizan (Pas-Simpang Empat) pada sidang Dun semalam.

Menurutnya, di bawah RMK-10 peruntukan RM3.75 juta tdisediakan Kerajaan Negeri untuk pembangunan dan pengurusan ladang itu termasuk RM750,000 pada tahun ini.

Sementara itu, Sabry berkata  projek pengurusan estet padi secara berpusat di kawasan Mada di bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) mensasarkan penubuhan estet padi seluas 15,000 hektar tahun ini dan 50,000 hektar menjelang 2020.

beliau berkata, bagi  kawasan Mada, Wilayah 1, Perlis mensasarkan 1,250 hektar tahun ini dan 12,500 hektar menjelang tahun 2020.

“Fokus utama pelaksanaan  estet ini ialah penambahbaikan infrastruktur pengairan dan saliran, sistem pengurusan ladang secara berpusat dan penggunaan teknologi peningkatan hasil padi.

“Bagi tahun 2011 status pelaksanaan estet padi NKEA di Mada Wilayah 1, Perlis melibatkan 724 peserta dengan keluasan 1101.442 hektar,”katanya.

Saturday, December 17, 2011

kuih tradisi

Hamisah usahakan kuih tradisional
Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 17, 2011
Hamisah usahakan kuih tradisional
GENERASI muda kini lebih ramai mengambil jalan mudah dengan membeli pelbagai jenis makanan siap di pasaran, daripada mencuba sendiri resipi masakan turun-temurun termasuk mempelajari cara penyediaan kuih muih tradisional.

Pelbagai alasan biasa akan diberikan seperti kekangan masa, tidak pandai memasak atau malas mencuba di samping pelbagai pilihan juadah sudah ada dijual di depan mata, maka mereka memikirkan membeli lebih mudah daripada menyediakan.

Sekiranya perkara ini dibiarkan, tidak mustahil generasi akan datang mungkin lupa atau tidak tahu langsung cara penyediaan makanan tradisional golongan terdahulu atau juadah popular zaman nenek moyang kita.

Namun, hasrat tinggi seorang suri rumah di sini untuk mewarisi pembuatan tradisional agar tidak luput ditelan zaman tetap terlaksana, walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman atau mempunyai keturunan yang mahir dalam pembuatannya.

Pengusaha pembuatan Kuih Bunga Ros, Hamisah Darus, 43, bukan sahaja menyambung kepakaran generasi terdahulu, malah usaha yang dilakukan untuk menambah pendapatan keluarga itu ternyata memberi pulangan.

Hanya dengan minat mendalam dalam bidang masakan selain berpandukan buku resipi dibeli, dia yang mengusahakan pembuatan Kuih Bunga Ros secara kecil-kecilan berjaya menarik minat masyarakat untuk terus menikmati kuih tradisional itu.

Hamisah yang sudah enam tahun berkecimpung dalam pembuatan kuih berkenaan tidak menafikan menghadapi saat sukar ketika mula-mula ingin mencuba.

“Percubaan kali pertama sememangnya tidak menjadi, malah saya terpaksa mengulangi berkali-kali bagi mendapatkan hasil terbaik.

“Saya juga cuba mencipta kelainan apabila cuba menyediakan Kuih Bunga Ros lebih comel daripada biasa selain mempunyai dua jenis rasa iaitu manis dan pedas,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, di sini.

Mahu Kuih Bunga Ros terus dikenali

Hamisah berkata, tujuannya memilih dan mengetengahkan Kuih Bunga Ros adalah untuk dikongsi bersama generasi muda agar ia terus dikenali dan tidak hanya bergantung kepada kepakaran orang lama sahaja.

“Setakat ini kuih ini mendapat sambutan cukup baik walaupun pelanggan saya hanya terdiri daripada jiran tetangga, saudara mara dan orang terdekat. Paling laris apabila tiba hari perayaan atau musim kenduri.

“Namun permintaan terhadap kuih ini tidak pernah putus termasuk pada hari biasa. Hal ini disebabkan ada juga rakan-rakan yang membuat tempahan untuk ia dijadikan snek atau buah tangan,” katanya.

Menurutnya, dia pernah menerima tempahan sehingga 100 kilogram dalam masa dua minggu pada Hari Raya Puasa.

Kuih tradisional tidak boleh disimpan lama

Menurut Hamisah, Kuih Bunga Ros atau juga dikenali Kuih Loyang, Kuih Goyang atau Kuih Sarang Tebuan tidak boleh disimpan lama.

Katanya, oleh demikian, dia hanya akan menyediakan kuih berkenaan setiap kali menerima tempahan bagi mengekalkan keenakan dan keaslian rasanya.

Hamisah juga tidak keberatan menjual kuih berkenaan dari rumah ke rumah menggunakan motosikal bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Sokongan keluarga tidak berbelah bahagi

Hamisah berkata, suaminya, Sudin Jaafar, 41, serta duanya anak Mohd Firdaus, 14, dan Nur Anis Syafikah, 9, juga tidak jemu memberi sokongan selain membantu sepanjang penyediaan kuih tersebut.

Menurutnya, sekiranya diberi peluang, dia mahu menjadikan perusahaan Kuih Bunga Ros sebagai salah satu sumber pendapatan tetap dan boleh mengembangkan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakannya.

Selain Kuih Bunga Ros, Hamisah turut menyediakan kerepek pisang, muruku dan kuih peneram sebagai menyambung warisan terdahulu.

Dia turut berharap agar seni kepakaran dan kemahiran yang patut dipelajari, harus diberi penekanan agar ia tidak luput ditelan zaman.

Thursday, December 15, 2011

warga emas

Warga emas cekal usaha tanah
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 13, 2011
usaha tanaman
JAMBU BONGKOK – Warga emas cekal. Demikianlah gambaran yang dapat diberikan kepada Ahmad@Sidek Jusoh, 73, atas usaha gigihnya bekerja keras pada usia lanjut walaupun hanya memperoleh pendapatan tahunan sebanyak RM1,500.

Ahmad pernah menjadi nelayan suatu ketika dahulu. Namun, selepas mengalami kecederaan pada tulang belakang ketika bekerja dia dinasihatkan agar tidak melakukan pekerjaan berat pada usia emas ini sebaliknya perlu lebih banyak berehat di rumah.

Namun, atas desakan hidup bapa tiga anak ini tetap bekerja dengan mengusahakan tanah pertanian seluas 2.5 hektar di halaman rumahnya walaupun sedar pendapatan sebanyak RM1,500 setahun itu tidak sepadan dengan usaha yang dilakukan.

Ahmad berkata, dia adalah penerima bantuan sebanyak RM250 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), namun, kehidu-pannya dan isteri, Maznah Mamat, 45, tetap sukar berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, bantuan bulanan diterima itu juga masih tidak mencukupi beriku-tan harga barang semakin meningkat, justeru, dia menanam sayur-sayuran bagi mencari pendapatan sampingan walaupun hanya memperoleh imbuhan kecil.

“Saya terpaksa me-ngusahakan tanaman sayur-sayuran seperti bendi, cili dan sedikit tanaman tebu walaupun keadaan kesihatan tidak menentu kerana faktor usia, ini bagi mengelak saya terus berhutang bagi mendapatkan barang keperluan harian di kedai runcit.

“Saya tiada cara lain kerana itulah pilihan yang ada. Apa pun yang berlaku saya perlu meneruskan hidup, sekurang-kurangnya hasil tanaman yang tidak seberapa itu dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya sambil mengesat air mata.

Menurut Ahmad, mujurlah dia memiliki tanah pertanian walaupun sekangkang kera dan rumah kayunya yang menjadi tempat mereka berlindung di Kampung Telaga Air, Marang jika tidak nasibnya mungkin lebih malang lagi.

pergi london naik modenas je..

Jelajah dunia dengan kapcai usang


Kapcai milik Edwin March mampu mengharungi pengembaraan dalam keadaan suhu sejuk serendah 22 darjah selsius di bawah paras beku.


JIKA anda memiliki motosikal berkuasa tinggi dari jenama seperti Harley Davidson ataupun Ducati Diavel, sejauh manakah anda sanggup menunggangnya?
Paling jauh pun, mungkin kebanyakan pemilik motosikal mewah tersebut hanya berkonvoi ke Phuket, Thailand, memandangkan kos mengembara bersama jentera tersebut agak tinggi.
Sebab itu agak jarang kita dengar mereka menggunakan jentera kesayangan itu untuk menjelajah dunia.
Selain itu, misi menjelajah dunia lebih bergantung kepada kemahuan dan semangat diri bukan semata-mata jenis jentera yang digunakan.
Sebab itu pepatah mengatakan di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Justeru, ada yang sanggup menjelajah dunia dengan hanya berjalan kaki atau berbasikal saja.
Bagi para pemilik motosikal berkuasa tinggi yang lebih kerap menjadi perhiasan di garaj rumah pasti terkedu ataupun 'panas' bila mengetahui ada yang berjaya merentasi puluhan negara hanya menggunakan motosikal berkuasa rendah atau jenis cub saja.
Ini yang dibuktikan oleh dua sahabat Syed Ahmad Abdul Hadi Syed Hussien, 40, dan Edwin March, 24.
Keakraban persahabatan dua lelaki itu ibarat ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bertemu jua.
Hobi menunggang motosikal dikongsi mereka sekali gus merapatkan persahabatan yang unik.
Perkenalan mereka bermula Facebook. Dari situ mereka berkongsi idea gila untuk merealisasikan impian mengelilingi dunia merentasi timur hingga ke barat.
Istimewanya mereka mengembara dengan hanya menunggang motosikal kapcai.
Sekali pandang motosikal yang mereka gunakan itu sama seperti yang digunakan oleh orang kampung untuk membawa getah sekerap atau padi.
Penuhi impian keliling dunia
Syed Ahmad Abdul Hadi atau mesra dengan panggilan Hadi telah membuktikan keupayaan kapcai Modenas GT 128cc apabila berjaya merentasi perjalanan 24,000 kilometer dan menakluki 24 buah negara, dari Kuala Lumpur ke kota London.
Kejayaan tersebut kini bakal dicabar Edwin yang lebih mesra dipanggil Ed dengan hanya menggunakan Honda Cub C90.
Melihat keadaan fizikal motosikal yang dibelinya empat tahun lalu dengan harga RM250 pasti tiada siapapun akan percaya ia akan digunakan dari Kuala Lumpur ke London.
Motosikal itu kelihatan cukup usang. Tempat duduknya sudah bertampal. Beberapa bahagian lain pula sudah kelihatan dimakan karat.
Tetapi ia tidak menghalang untuk Ed mencabar perjalanan Hadi bagi mengharungi perjalanan lebih jauh sehingga 30,000 kilometer dalam masa tujuh bulan.
Jika ada yang cuba merendah-rendahkan kemampuan motosikal 'cabuk' tersebut yang berenjin empat lejang, tafsiran silap.
Honda Cub C90 itu pernah merentasi perjalanan selama 29 jam tanpa henti dari Perancis ke Jerman.
Malah kapcai itu juga mampu mengharungi situasi paling ekstrem ketika mengembara dalam keadaan suhu sejuk serendah 22 darjah selsius di bawah paras beku.

Sunday, December 11, 2011

dapat ijazah

Warga emas dapat diploma


Zainal Ahmad (tiga kanan) bersama isterinya Hamidah Mohd. Salleh meraikan kejayaan mereka sambil diperhatikan rakan-rakan lain selepas menerima sijil masing-masing di Palm Garden Hotel, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 10 Dis. - Biarpun bergerak dengan menggunakan bantuan kerusi roda ketika usia sudah pun menjangkau 70 tahun, semangat menuntut ilmu tidak pernah luntur dalam jiwa seorang warga emas, Hamidah Mohd. Salleh.
Hamidah merupakan salah seorang peserta program Persatuan Pembelajaran Sepanjang Hayat untuk Warga Emas (U3A) Kuala Lumpur dan Selangor, mengikuti kursus bahasa dan muzik dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau berkata, program yang diikuti bersama-sama suaminya, Zainal Ahmad, 75, itu memberinya peluang mendapatkan ilmu pengetahuan dan mengisi masa lapang.
"Saya gemar belajar dan tidak boleh duduk diam sahaja di rumah biarpun lumpuh separuh badan sejak 1993. Setiap ilmu yang diperoleh tidak boleh dilepaskan kerana ia memberi banyak faedah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sijil dan Hari Terbuka Program U3A di Palm Garden Hotel di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Harjeet Sigh dan Pengarah Institut Gerontologi UPM, Profesor Dr. Tengku Aizan Hamid.
Seramai 196 peserta menerima sijil masing-masing pada majlis dianjurkan oleh Institut Gerontologi, UPM itu.
Sementara itu, Zainal berkata, penyertaan dalam program tersebut memberinya peluang menambah ilmu pengetahuan dalam bidang agama Islam, bahasa Arab dan seni muzik.
"Berkongsi minat yang sama dengan isteri, menyebabkan kami tidak jemu untuk datang mempelajari kursus yang ditawarkan U3A.
"Masa yang ada tidak boleh dibiarkan begitu sahaja di rumah," kata bekas kakitangan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) itu yang sering menemani isterinya.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Institut Gerontologi UPM, Profesor Dr. Tengku Aizan Hamid berkata, pihak pengurusan tertinggi universiti akan sentiasa memberi sokongan kepada program tersebut.

isteri tokoh

Antara rupa dan suara

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
Foto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

SAYA bukan 'low profile' tapi 'no profile','' jawab Toh Puan Mahani Idris Daim ditanya dia jarang muncul di dada akhbar biar pun ketika bergelar isteri Menteri Kewangan.

Sepanjang pertemuan santai yang berlangsung di Yayasan Seni Berdaftar di Persiaran Ritchie, Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu, Mahani membuktikan bahawa dia sememangnya merendah diri.

Pertemuan yang turut disertai pelukis terkenal Raja Azhar Idris sarat dengan imbasan masa silam serta kerjasama yang terjalin antara dua sahabat itu sejak 20 tahun lalu.

Kedua-duanya turut menyentuh tentang masa depan pelukis dan bidang seni di negara ini terutama bakat-bakat muda yang satu ketika dulu sukar mencari tapak untuk mengasah bakat.

Bagi Mahani, kecintaan serta kegilaan terhadap seni terutama lukisan bermula dengan minat yang kemudiannya bercambah kepada niat mahu membantu pelukis muda mengembangkan bakat mereka.

Berulang kali memberitahu, dia mahu menjadi dirinya yang sebenar, tidak terikut dengan rentak orang lain malah adakalanya tidak peduli. Tuturnya yang lembut dan perlahan, hakikatnya berbeza dengan ketegasannya setiap kali memperkatakan tentang usaha mengangkat martabat pelukis tempatan.

Hidupnya tertumpu kepada apa yang ingin dilakukan. Salah satu daripadanya tentulah mengumpul lukisan dan melukis. Namun, bagi Mahani, lukisannya bukan untuk ditunjukkan kepada orang, mungkin tidak selagi dia masih bernyawa.

Berkongsi minat yang sama dengan suaminya, Tun Daim Zainuddin, pasangan itu mula mengumpul lukisan sejak zaman lukisan menggunakan warna air lagi. Ternyata bukan sekadar minat, justeru adakalanya membeli lukisan terutama dari pelukis tidak ternama lebih kepada memberi galakan dan dorongan kepada mereka untuk terus berkarya.

''Kami berusaha membantu pelukis tempatan tanpa sebarang kepentingan politik. Sebab itu tumpuan saya adalah membantu artis yang belum mendapat tempat dan baru melakar nama dalam bidang seni.

''Kebiasaannya tidak ramai yang mahu membantu kumpulan ini, kerana mereka tidak mendapat apa-apa daripada usaha tersebut berbanding berbuat sesuatu untuk artis atau pelukis yang sudah ternama,'' katanya.

Mahani memberitahu, kediamannya yang pertama bersama Daim diubah menjadi galeri yang kemudian dinamakan Yayasan Seni Berdaftar. Penubuhan yayasan itu hanya dengan satu matlamat iaitu mahu membantu menonjolkan bakat-bakat muda yang tidak mendapat tempat di galeri ternama gara-gara bayaran terlalu mahal yang dikenakan kepada mereka.

''Ada juga yang tidak dibayar selepas menyertai pameran, sedangkan pelukis-pelukis muda ini memerlukan duit untuk meneruskan minat mereka,'' katanya.

Sejak ditubuhkan, Yayasan Seni Berdaftar umpama tempat insan seni tidak ternama mengadu. Mahani menjadi tempat mereka mencari kekuatan dan berkongsi masalah.

''Apabila mereka mengadu tidak dibayar, saya akan 'kejar' penganjur, saya umpama gangster, kalau tak buat macam itu mereka akan buat tak tahu,'' katanya.

Mahu bebas daripada pengaruh atau kepentingan politik, Yayasan Seni Berdaftar yang ditubuhkan pada tahun 1983 umpama darah daging Mahani. Di situ dia memupuk bakat-bakat baru dan menyusun pelbagai program bagi memenuhi kalendar tahunan. Galeri di yayasan itu terbuka kepada orang ramai, manakala aktiviti yang dianjurkan pula tidak terhad kepada lukisan semata-mata.

Namakan apa saja berkaitan seni, Yayasan Seni Berdaftar mahu meneroka - bermula dengan persembahan seni, pertunjukan, galeri, kegiatan seni tradisional seperti mengukir tembikar, melukis batik malah persembahan muzik.

Ditanya akar minatnya itu, Mahani memberitahu, ia mungkin disebabkan darah Bali yang mengalir kuat dalam dirinya warisan daripada ibu yang pernah menjadi penari kebudayaan Bali.

Dia berkongsi keluhan tentang masyarakat tempatan yang tidak begitu mencintai seni malah kebiasaannya juga gagal menghargai bakat yang dikurniakan Tuhan.

''Dahulu jika seorang anak ditanya nak jadi apa bila besar kelak dan menjawab pelukis, pasti akan disergah, nak makan pasir?,'' katanya mengaitkan pandangan masyarakat betapa seni itu amat kurang harga serta nilainya.

Namun, katanya, dia bersyukur kerana pandangan seumpama itu semakin menipis, malah perkembangan bidang seni terutama lukisan semakin mendapat tempat. Yayasan Seni Berdaftar sendiri telah berjaya membantu ratusan bakat baru melakar nama, malah ada yang mula dikenali peringkat antarabangsa dengan lukisan dijual dengan harga puluhan ribu ringgit.

Biar pun begitu masih ada cabaran yang perlu ditempuh. Penganjuran acara-acara seni seperti drama atau konsert masih sukar menarik minat orang tempatan jauh sekali memujuk mereka membeli karya anak seni tempatan.

''Orang sanggup berbelanja RM40,000 untuk membeli beg tangan atau barang kemas tetapi tidak lukisan atau hasil seni,'' katanya.

Mahani mengimbau pengalaman mengunjungi galeri seni di negeri-negeri ketika mengikuti suaminya bertugas. Setiap kali Daim bermesyuarat, dia mengambil kesempatan meninjau karya seni penduduk tempatan. Dia pernah menyaksikan sendiri bagaimana lukisan yang berpotensi hanya disimpan di dalam stor.

''Saya mendapati banyak karya seni yang dibazirkan begitu saja sedangkan negara kita amat kaya dengan seni budaya tempatan yang sepatutnya menjadi kebanggaan,'' katanya.

Raja Azhar yang tekun mendengar celoteh Mahani mengakui keghairahan wanita itu dalam bidang seni tidak mampu ditafsirkan dengan kata-kata.

Mempunyai bakat melukis yang tidak dikomersialkan, bagi Raja Azhar, Mahani sarat dengan idea selain daya kreativiti yang jika diasah mampu menjadikan wanita itu pelukis hebat.

Menurut Mahani, dia mempunyai studio sendiri di rumah dan sehingga kini telah menghasilkan lebih 50 lukisan yang menampilkan 'stroke'nya tersendiri. Dia juga gemar membeli apa saja lukisan yang menarik minatnya biar pun ada kalanya dikatakan mengumpul 'sampah'.

''Saya tidak peduli dikatakan mengumpul sampah, bagi saya itu adalah sampah saya,'' katanya yang masih mengekalkan kejelitaan biar pun menjangkau usia 69 tahun.

pelukis

Saling mengagumi antara satu sama lain, Mahani mengkategorikan Raja Azhar sebagai pelukis hebat selain kepakarannya dalam kerja-kerja kaca yang akhirnya menghasilkan arca memukau. Malah, kesabaran Raja Azhar membimbing pelukis orang kurang upaya cukup untuk menzahirkan betapa pelukis itu tidak menjadikan seni hanya untuk mendapatkan pulangan berbentuk wang semata-mata.

Gandingan Mahani dan Raja Azhar bakal melahirkan pameran bertajuk Rupa dan Suara di mana para pengunjung bukan sahaja dihidangkan dengan lukisan malah ada penyajak bakal mendeklamasi karya-karya puitis.

''Kita menawarkan kelainan. Ada lukisan, begitu juga arca, selain itu para penyajak ternama seperti Lim Swee Tin, Suton Omar, Abdul Ghafar Ibrahim dan Datin Sabira akan berkongsi luahan rasa mereka,'' kata Raja Azhar.

Rupa dan Suara yang bermula pada 4 Disember lalu turut menampilkan pelukis hebat seperti Raja Shariman, Ramli Rahmat dan Ng Foo Cheong. Pameran berlangsung selama dua minggu di Yayasan Seni Berdafar, Persiaran Ritchie, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Friday, December 9, 2011

teksi wanita

Pemandu teksi wanita berkebolehan


PEMANDU Teksi Wanita pertama, Zaharah Abdul Rahman pada perasmian Teksi Wanita sempena Hari antarabangsa Menangani Keganasan terhadap Wanita di Terminal Bersepadu Selatan, bandar Tasik Selatan, baru-baru ini.


WANITA berusia 38 tahun ini telah melakukan pelbagai kerja demi untuk memperbaik taraf hidupnya di kota besar seperti Kuala Lumpur.
Walaupun tidak pernah merancang untuk menceburkan diri dalam kerjaya itu, namun sejak 10 tahun lalu itulah pekerjaan yang melekat di hatinya.
Tidak sukar untuk Faridah Idris anak kelahiran Melaka itu melayakkan dirinya sebagai pemandu teksi memandangkan dia memang berkebolehan memandu kereta.
Lebih menyeronokkan apabila niatnya untuk menjadi pemandu teksi di kota Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk tidak pernah dilarang oleh ahli keluarga. Sebaliknya mereka memberikan galakan.
''Keluarga saya semuanya menjalankan perniagaan sendiri. Saya juga ibaratkan memandu teksi sebagai satu bidang perniagaan,'' katanya.
Semenjak itu, Faridah nekad untuk memilih bekerja sebagai pemandu teksi di Destination Transport (M) Sdn. Bhd.
Dirinya lebih berbangga kerana menjadi antara 50 pemandu teksi yang terlibat dalam projek rintis Teksi Wanita yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 26 November lalu.
''Saya tidak pernah merancang kerjaya ini. Saya akui dengan bidang yang jarang diceburi oleh wanita ini memberikan pendapatan yang baik untuk diri saya,'' katanya.
Selain bekerja keras selepas waktu Subuh sehingga menjelangnya tengah malam, akuinya dia lebih suka bekerja daripada bercuti.
Malah wanita itu juga tidak pernah rasa tertekan jika saban hari terpaksa berhadapan dengan laluan baru kerana menganggap ia sebagai cabaran.
''Pengalaman melalui laluan baru saya suka kerana secara tidak langsung ini akan menambahkan pengalaman saya untuk mahir dengan jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur,'' katanya.
Cerita Faridah, sepanjang 10 tahun menjadi pemandu teksi dia tidak pernah berdepan dengan cabaran yang menakutkan.
Bagaimanapun jelas wanita itu, dia mempunyai ilmu mempertahankan diri kerana baginya itu penting kerana malang itu tidak berbau.
''Apa yang penting adalah niat kita untuk mencari rezeki. Alhamdulillah setakat ini saya bukan sahaja tidak bertemu dengan penumpang yang berniat jahat, malah tidak pernah kemalangan,'' katanya.
Jelas Faridah, sebagai pemandu teksi diaperlu mengetahui selok-belok dalam menjaga kenderaan.
Katanya, pengalaman menukar sendiri tayar merupakan cabaran yang pernah ditempuh ketika di awal pembabitan sebagai pemandu teksi.
Faridah memberitahu, seorang pemandu teksi bukan sahaja perlu pandai berkomunikasi, malah perlu rajin menimba pengetahuan untuk dikongsi dengan penumpang.
Bagi Faridah, dia bukan sahaja seorang pemandu teksi malah juga perlu bertanggungjawab untuk mempromosi tempat-tempat menarik di negara ini.
Sehubungan itu, katanya, dia bukan sahaja fasih berbahasa Inggeris malah turut menguasai beberapa perkataan mudah dalam bahasa Jepun, Arab dan Mandarin.
Bagi seorang lagi pemandu teksi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Yati, 53, menjadi pemandu teksi menyeronokkan berbanding kerjayanya sebagai pembantu di sebuah tadika sebelum itu.
Dia telah menjadi pemandu teksi dengan Destination Transport (M) Sdn. Bhd. sejak dua tahun lalu.
''Saya juga antara pemandu wanita yang terlibat dalam projek rintis kerajaan iaitu Teksi Wanita,'' katanya.
Bagi Yati, sepatutnya kaum wanita yang selama ini risau untuk menyewa teksi yang dipandu lelaki di waktu malam dan sebagainya boleh menggunakan perkhidmatan ini.
Katanya, Teksi Wanita menjadikan penumpang wanita lebih selesa untuk ke destinasi dituju.
Beliau berharap, projek yang dilaksanakan baru-baru ini itu akan mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan kaum wanita.

beli karipap dalam internet

Karipap masuk Internet


Aziana Muhammad berbangga apabila karipapnya kini dipasarkan melalui Internet.


Program Get Malaysian Business Online (GMBO) yang diperkenalkan oleh Google Malaysia nyata telah membawa lembaran baru kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti Aziana Muhammad, 41.
Sebagai salah seorang daripada kajian kes projek GMBO, wanita ini mengakui nasibnya amat baik apabila dilamar oleh pihak berkenaan yang ketika itu mencari usahawan PKS sepertinya.
''Inilah yang diinginkan saya selepas menceburi bidang membuat karipap dingin beku secara serius sejak lima bulan lalu. Sebelum ini sata menghadapi masalah membuat laman web sendiri kerana tidak faham dengan teknik dan caranya,'' katanya.
Kini Aziana boleh berbangga kerana telah mempunyai laman web sendiri iaitu byhandbyheart.com.my atas jenama Puteri Puff & Pastry.
Jelas Aziana, beliau berpuas hati kerana dengan adanya laman web sendiri produknya kini mendapat promosi lebih meluas melalui Internet.
Bukan sahaja karipapnya kini semakin dikenali di seluruh dunia malah berpeluang berkongsi pelbagai maklumat dengan mereka yang mengirim emel kepadanya.
Bagaimanapun katanya, setakat ini dia hanya menerima tempahan dari pelanggannya di sekitar kawasan Lembah Klang sahaja.
''Saya memang penggemar karipap semenjak kecil dan segala ramuan untuk membuat inti dan kulit karipap diwarisi dari ibu,'' katanya ketika ditemui di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, disebabkan matlamat untuk menghasilkan karipap yang berkualiti selain halal dan bersih maka sehingga kini dalam tempoh lima bulan dia telah empat kali melakukan percubaan membuat kulit yang diyakini paling terbaik.
''Selain kulitnya yang tidak berminyak, karipap yang dihasilkan juga bebas daripada bahan perasa seperti monosodium glutamate (MSG) dan bahan pengawet,'' kata Aziana.
Menurut beliau, setakat ini dia mampu menghasilkan karipap lebih kurang 400 biji sahaja sehari kerana masih terhad dari segi pembantu dan peralatan.
Jelas ibu kepada dua anak itu, selain karipap dia juga turut membuat vadei, donut, samosa, kek coklat lembab dan yang akan datang ialah lassagna.

Monday, December 5, 2011

rita kahwin

Erni sah isteri Kamarulazlan


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GEMBIRA...Erni bersama  Kamarulazlan.
GEMBIRA...Erni bersama Kamarulazlan.
KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, atau Rita sah bergelar isteri kepada Kamarulazlan Mohamad Hanafiah, 35, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim selepas pasangan berkenaan dinikahkan dalam satu majlis di Taman Harmonis, Gombak di sini, semalam.
Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Masjid As Syaarif, Mohamed Embong jam 6.40 petang dan Rita diwalikan bapanya, Buhari Mohamed, 62. Majlis persandingan Rita dan Kamarulazlan berlangsung pada jam 8 malam dengan lebih 500 tetamu hadir memeriahkan hari berbahagia mereka.

Rombongan pernikahan yang diketuai Mashitah dan suaminya itu menyaksikan Rita menerima hantaran RM30,000 berserta sembilan dulang hantaran berbalas 11.
Majlis pernikahan bertemakan Moroccan Islamic Garden berjalan lancar dan turut memperingati Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya dengan bacaan al-Fatihah.

Dalam majlis pernikahan terbabit, Kamarulazlan turut ditemani ibu bapanya iaitu Latifah Taib dan Mohd Hanafiah Nani serta lebih 30 sanak-saudara.

Bahari yang ditemui selepas majlis akad nikah, berkata dia gembira menerima kehadiran menantu sulungnya itu dan dimaklumkan mengenai pernikahan itu sejak enam bulan lalu.

Katanya, Rita dan Kamarulazlan menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lalu dan menantunya ada datang berjumpa untuk minum selain mengenali hati budi ‘orang baru’ itu.