Friday, March 11, 2011

Berkat

Melayu lupa keberkatan?

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
NAMPAKNYA orang Melayu Islam telah lupa mengenai pentingnya keberkatan dalam hidup. Bagi Muslim yang mukmin, mereka percaya keberkatan memainkan peranan penting dalam hidup. Oleh itu, mereka akan memastikan segala makanan dan minuman yang masuk ke dalam mulut adalah halal berikutan ia akan menjadi darah daging mereka.

Muslim sedemikian, akan memastikan mereka tidak melakukan penipuan dan menerima rasuah bagi mengkhianati kaum sendiri kerana mereka tahu wang yang diperoleh secara tidak halal akan menyebabkan wujudnya titik-titik hitam di dalam hati.

Apabila hati telah mati dan menjadi keras, orang Melayu akan menjadi semakin liberal dan bersikap tidak apa apabila hak kaum mereka untuk bekerja atau berniaga diketepikan.

Itulah rintihan yang diluahkan oleh seorang aktivis masyarakat kepada wartawan Utusan Malaysia dalam satu pertemuan lebih dua jam pada cuti hujung minggu baru-baru ini.

Apa yang disebut oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan itu adalah masalah besar yang kini menghimpit orang Melayu khususnya para peniaga kerana mereka tidak lagi dibantu oleh kaum sendiri.

Menurut beliau, ahli-ahli politik Melayu kini hanya sibuk bergaduh sesama sendiri bagi merebut kuasa dan agama Islam yang masing-masing anuti gagal untuk menyatukan mereka.

Dalam masa sama, agensi dan jabatan kerajaan yang sepatutnya menolong orang Melayu lebih mementingkan keuntungan dan melupakan agenda sebenar untuk mengembalikan hak dan maruah kaum itu.

Beliau memberi contoh restoran di sebuah kompleks beli-belah ternama di Kuala Lumpur yang menjadi tempat temu bual kami yang sehingga kini gagal untuk mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan.

Jelas beliau, pengusaha terbabit wajar dibantu kerana dia telah menjalankan tanggungjawab murni untuk mempamerkan pelbagai produk yang dihasilkan oleh usahawan kecil Melayu di premisnya.

''Restoran ini adalah segelintir premis yang diusaha peniaga Melayu di sini dan saudara dapat lihat ia dihimpit oleh banyak gerai lain yang dipunyai bukan kaum kita.

''Ada agensi kerajaan yang pernah menjanjikan bantuan RM5,000 tetapi setelah tiga tahun, pengusaha restoran ini masih menunggu janji ini ditunaikan," ujarnya.

Menurut Nadzim, beliau turut menerima aduan daripada seorang usahawan penternakan yang mendakwa beliau ditekan sebuah agensi kerajaan supaya berpindah dari ladangnya.

''Ternakan beliau telah diracun pihak tertentu sehingga rugi berjuta-juta ringgit. Taktik ini digunakan supaya beliau keluar dari situ kerana kawasan berkenaan akan dimajukan sebagai padang golf oleh usahawan dari negara jiran.

''Masalah ini berlaku kerana ada sesetengah agensi kerajaan kita diketuai oleh Napoleon Kecil yang hanya mementingkan keuntungan termasuk komisen yang diterima, bukannya agenda utama untuk membantu orang Melayu," katanya.

Beliau menyifatkan Napoleon Kecil itu sebagai sangat berkuasa dan cukup angkuh kerana mereka tidak menghiraukan surat sokongan daripada Perdana Menteri yang dibawa oleh usahawan itu yang mengarahkan isu berkenaan diselesaikan segera secara baik.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa sikap mengabaikan keberkatan dalam hidup turut menular di kalangan syarikat yang dimiliki parti politik Melayu.

''Jangan terkejut jika saya beritahu saudara bahawa syarikat terbabit telah memesan berpuluh ribu kuih yang dihasilkan usahawan Cina. Mungkin alasan yang diberikan adalah kerana harga yang murah dan servis lebih baik.

''Saya tidak menyalahkan usahawan Cina terbabit kerana dia pandai, tetapi saya menyalahkan orang Melayu seperti ini yang tidak sedar diri," katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, komen itu bukan bererti beliau mempertikaikan ajaran Islam sebagai agama yang cintakan keamanan dan kedamaian di antara kaum.

''Islam tidak pernah menegah umatnya berniaga atau berurusan dengan kaum atau bangsa lain. Namun, sebagai Muslim, sepatutnya kita sentiasa membantu saudara seagama dalam segenap bidang.

''Inilah pentingnya soal hati tadi. Jika hati kita tidak mati, sudah tentu kita akan memberi keutamaan membeli barangan atau perkhidmatan di kedai Muslim.

''Jika sudah tidak ada orang Islam yang mampu mengeluarkan sesuatu produk, barulah kita berniaga dengan bukan Islam. Ini tidak, ramai orang kita yang lebih suka berniaga dengan bukan Islam sedangkan produk yang sama boleh didapati di kedai Muslim," ujarnya kesal.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kehairanan dengan sikap menteri-menteri Melayu yang amat payah untuk membantu kaum sendiri.

''Ada menteri kita kata, saya tidak boleh nak tolong, kerana saya ikut buku. Kalau ikut buku, kita tidak perlu menteri lagilah kerana kita boleh berurusan terus dengan pegawai-pegawai.

''Kita berjumpa menteri kerana mengharapkan mereka dapat menggunakan kuasa budi-bicara termasuk yang menyentuh hak keistimewaan orang Melayu. Menteri kita nampaknya macam tidak jelas agenda masing-masing, hendak tolong pun susah.

''Menteri ini tidak sedar bahawa kaum lain sangat mementingkan aspek bantu membantu dan mereka kena belajar dengan menteri Cina, bagaimana mereka menolong orang Cina," katanya.

Tambah beliau, di seluruh dunia budaya bending backwards (melentikkan badan ke belakang) untuk menolong adalah perkara biasa bagi bangsa maju seperti China, Jepun dan Yahudi.

''Kita patut belajar daripada Datuk Seri S. Samy Vellu (bekas Presiden MIC) kerana beliau pernah menelefon Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memaklumkan permohonan sebuah syarikat kaum India untuk mendapatkan sijil halal. Kita mana ada menteri nak buat kerja macam ini,'' ujar beliau.

Tegas beliau, lebih banyak bantuan harus diberikan kepada orang Melayu berikutan kedudukan kaum itu yang masih tidak sama rata dengan kaum lain.

''Kalau kita yang tidak tahu ikat tali sarung tangan tinju pun disuruh berlawan dengan bekas juara dunia, Mike Tyson, ini tentu tidak boleh. Jika ini dibiarkan, kita akan terikat dengan undang-undang dunia iaitu yang kuat akan menjadi raja dan yang lemah menjadi hamba.

''Saya harap saudara tulis perkara ini, bagi menyedarkan semua pihak bahawa kedudukan orang Melayu kini cukup hina kerana kita lemah dalam segenap segi termasuk sosial, ekonomi dan pendidikan,'' katanya.

Walaupun situasi sekarang tidak memihak kepada orang Melayu, ujarnya, beliau yakin mereka boleh menjadi kaum yang kuat, jika sedar diri dan sanggup berubah dari sekarang untuk menolong kaum sendiri.

Korporat Waqaf

Jihad Bisnes Waqaf Korporat

Oleh Muhammad Ali
JOHOR Corporation (JCorp) menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) pada 4 Disember 2009. Perjanjian ini mempunyai implikasi besar kepada masa depan JCorp sebagai badan korporat serta perjuangan menjayakan Jihad Bisnes untuk kepentingan bangsa, negara dan umat Islam. Selain memungkinkan JCorp terusmenerus mewakafkan saham syarikat miliknya mengikut kaedah yang diiktiraf sebagai Waqaf Korporat, ia memberi pengiktirafan undang-undang (legitimacy) kepada institusi Waqaf Korporat menerusi penubuhan Waqaf An Nur Corporation Berhad (WANCorp).

Pengiktirafan itu memberi laluan kepada WANCorp untuk berkembang menjadi sebuah badan korporat bertaraf wakaf pertama di Malaysia. Dengan taraf ini, iaitu dengan kombinasi kedua-dua kelebihan institusi wakaf dan institusi korporat, WANCorp diyakini boleh menjadi institusi teras kepada usaha memperkasa ekonomi Melayu dan umat Islam Malaysia.

Justeru, WANCorp berpotensi memainkan peranan strategik dalam konteks menjayakan agenda transformasi Melayu Islam dalam konteks Model Baru Ekonomi (MBE).

Ciri utama yang membezakan Waqaf Korporat dengan wakaf harta, wang dan saham terletak pada kaedah pengurusan harta, iaitu yang dimulakan dengan saham syarikat JCorp yang telah diwakafkan. Insya-Allah, langkah ini kemudiannya boleh disusuli pewakafan saham syarikat milik semua pihak (termasuk milik swasta dan GLC lain) yang ingin bersama menjayakan konsep Waqaf Korporat untuk kepentingan jangka panjang bangsa Melayu dan umat Islam amnya.

Ada beberapa matlamat strategik penubuhan WANCorp demi menjadikannya badan korporat pengurus saham serta hal ehwal kepentingan bisnes dalam syarikat yang sahamnya diwakafkan. Antara pertimbangan utama rangka struktur WANCorp disusun seperti itu adalah untuk mengimbangi dua tuntutan asas.

Pertama, konsep struktur pemegang amanah mengurus wakaf wajib memenuhi sepenuhnya syarat asas pewakafan menurut hukum syarak dan syariat. Kedua, ia distruktur sebegitu rupa supaya dapat memenuhi keperluan keberkesanan bisnes dan korporat.

Apapun, Waqaf Korporat perlu distrukturkan supaya dapat menentukan urusan bisnes berjalan licin dalam memenuhi keperluan korporat, umpamanya untuk memangkinkan pertumbuhan menerusi pengambilalihan dan usaha sama (joint venture, merger and acquisition) dapat dipermudah. Semua ini membolehkan syarikat terbabit menambah nilai aset, di samping menjamin kelangsungan bisnes menjana harta kekayaan berpanjangan dan berkekalan.

Kaedah susunan struktur dan sistem pengurusan WANCorp telah diasaskan mengikut amalan korporat swasta (khasnya mengikut acuan Syarikat Awam Tersenarai – PLC). WANCorp juga telah menerima pakai amalan pengurusan terbaik JCorp, terutama aspek urus tadbir korporat terbaik, ketelusan dan kebertanggungjawapan.

Di peringkat awal, semua tanggungjawab mengurus dan mengendalikan hal ehwal bisnes WANCorp telah mendapat kerjasama dan sokongan penuh Kumpulan JCorp yang mana telah terbukti kecemerlangannya. Dalam kata lain, di peringkat permulaan, semua tanggungjawab pengurusan bisnes WANCorp telah diamanahkan kembali kepada pengurusan JCorp. Namun, WANCorp kini dalam proses membentuk barisan pengurusan korporatnya sendiri untuk menentukan ia berdikari dan berautonomi, menepati tuntutan menyempurnakan sepenuhnya amanah mutawwali sebagai sebuah badan pengurusan wakaf.

Tanggungjawab mengurus sendiri aset yang diwakafkan memberi WANCorp kedudukan istimewa, kerana tidak seperti harta wakaf lain, pengurusannya telah diserah amanah kepada WANCorp oleh pihak berkuasa agama negeri. Prinsip menentukan supaya tanggungjawab pengurusan bisnes diserahkan kepada orang yang ahli dalam bisnes sangat penting untuk menempa kejayaan.

Lagipun, ia selaras dengan anjuran Islam yang mengingatkan bahawa sekiranya sesuatu amanah tidak diserahkan kepada yang ahli, pasti mengundang kehancuran dan kemusnahan usaha yang diamanahkan itu. Kita lihat sebelum ini banyak kegagalan umat Islam mengurus aset dan harta, mengakibatkan kebocoran dan kehilangan hak milik, termasuk yang diswastakan kepada mereka. Kemungkinan besar ini berlaku berpunca daripada pengabaian prinsip penyerahan amanah yang tidak menepati anjuran Islam.

Saya yakin inilah antara pertimbangan utama pihak berkuasa agama Johor ketika menerima pembaharuan yang diperkenal menerusi konsep Waqaf Korporat, lalu menyerahkan amanah pengurusan kepada WANCorp sepenuhnya, tertakluk kepada kuasa yang ada pada Lembaga Pengarah serta peraturan dan undang-undang yang membabitkan perjalanan sebuah syarikat awam berdaftar.

Proses penubuhan dan langkah menggerakkan WANCorp telah dijayakan menerusi beberapa peringkat. Langkah pertama JCorp mewakafkan saham kepada WANCorp di bawah konsep ini berlaku pada 8 Julai 2005 apabila 75 peratus saham syarikat Tiram Travels Sdn. Bhd. milik JCorp bernilai RM260,568 (nilai aset bersih) diwakafkan. Tiram Travels terlibat dalam bisnes pengendalian pakej haji dan umrah.

Kemudian, pada 3 Ogos 2006, langkah lebih besar dan berani diambil ketika Datuk Nooh Gadut memegang jawatan Mufti Johor. Sesungguhnya, WANCorp terhutang budi kepada Nooh yang melihat konsep Waqaf Korporat sesuatu yang perlu segera dijayakan demi kepentingan jangka panjang umat.

Langkah kedua ini membabitkan pewakafan saham RM200 juta (nilai aset bersih) dalam tiga syarikat JCorp yang tersenarai di Bursa Malaysia iaitu RM142 juta dalam Kulim Malaysia Bhd. (syarikat memiliki Sindora Bhd. dan rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut serta bisnes minyak sawit, termasuk sebuah anak syarikatnya tersenarai di London Stock Exchange); RM45 juta dalam KPJ Healthcare Bhd. dan RM13 juta dalam Johor Land Bhd. Justeru, secara tidak langsung, WANCorp kini mempunyai kepentingan dalam bisnes antarabangsa dengan nilai berbilion ringgit, terutama menerusi rangkaian restoran KFC yang semua makanan dam minumannya dipastikan halal.

Sekalipun jumlah saham yang diwakafkan sejauh ini masih kecil, potensi untuk terus menambahnya sangat baik, terutama jika WANCorp mendapat sokongan penuh menerusi pewakafan saham (atau wang untuk membeli saham) dari kalangan umat Islam, bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Paling penting, terdapat prospek untuk mengekalkan hak milik saham-saham yang diwakafkan kepada WANCorp, insya-Allah, berkekalan dan berkesinambungan untuk manfaat generasi masa depan, sekali gus memperkasa ekonomi bangsa dan umat.

Pewakafan saham KPJ Healthcare (KPJ) pula menepati cita-cita WANCorp menjayakan Jihad Bisnes yang diperjuangkan di JCorp sejak 1982-2010, dan akan diteruskan untuk kepentingan negara, bangsa dan agama. Ketua Eksekutif KPJ serta barisan pengurusan dan para doktor pakar KPJ daripada kalangan semua bangsa, agama dan keturunan dapat memanfaatkan semangat perkasa Jihad Bisnes ini, sehingga berjaya membina dan mengembangkan bisnes KPJ menjadi pemimpin pasaran. Justeru, konsep Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat tidak eksklusif Muslim, malah sangat inklusif, dan juga tidak menghalang pencapaian tinggi bisnes.

Sesungguhnya, Waqaf Korporat menjanjikan pembaharuan peranan organisasi korporat untuk kepentingan besar masyarakat dan negara. Ini perlu mendapat perhatian, khasnya dalam keadaan krisis ekonomi dunia hari ini akibat kerakusan sistem bisnes dan korporat anjuran kapitalisme Barat.

Jelas sekali Waqaf Korporat diyakini dapat menyumbang terhadap usaha mengimbangi ketidakadilan ekonomi dan sosial dengan menggunakan kaedah institusi Islam.

Tan Sri Muhammad Ali Hashim

Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan

Islam Malaysia (DPIM) dan Pengerusi Pengasas,

Waqaf An Nur Corporation Bhd. (WANCorp)

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tuesday, March 8, 2011

Koperasi Hijjaz

Hijjaz tubuh koperasi


KUMPULAN Nasyid Hijjaz mengorak langkah ke hadapan dengan menubuhkan koperasi yang sudah diluluskan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Koperasi yang ditubuhkan di Terengganu itu diberi nama Koperasi Muamalat Bersatu Terengganu Bhd (KMBTB).

Buat masa ini, ia beroperasi di Tingkat 3, Bangunan Paya Keladi, Kuala Terengganu dan keahliannya terbuka terutamanya kepada semua rakyat negeri Terengganu. Ketua kumpulan Hijjaz, Isman Nadim Isam berkata, penubuhan koperasi itu bertujuan mengajak ahlinya berniaga di samping memberi kesedaran kepada mereka mengenai muamalat secara Islam dan halal.


“Antara aktiviti perniagaan yang dirancang termasuk menceburi perniagaan pengeluaran dan pemasaran produk kesihatan berasaskan herba yang akan menggunakan Hijjaz sebagai strategi penjenamaan.

“Sudah tiba masanya untuk Hijjaz menyumbang kepada masyarakat yang banyak menyokong Hijjaz dalam bidang nasyid. Kami selalu memikirkan apakah cara terbaik untuk membantu masyarakat semula,” katanya. Menjelaskan kenapa Hijjaz menubuhkan koperasi di Terengganu, Isman berkata, faktor peminat yang aktif di sana antara salah satu sebabnya. “Bagaimanapun, sebab utama kerana Hijjaz sendiri yang banyak mengadakan persembahan di Terengganu dan melihat potensi perniagaan yang amat baik di sana. Terengganu adalah permata di Pantai Timur dan sangat bagus untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan di sana,” katanya.


Dalam perancangan jangka panjang pula, KMBTB akan menukar operasinya ke seluruh negara selepas ditukarkan kepada Koperasi Muamalat Bersatu Malaysia Berhad. Keahlian kini dibuka dengan hanya membayar RM20 yuran keahlian sekali seumur hidup dan modal saham sebanyak RM500. Mereka yang berminat boleh menghubungi Pegawai Koperasi, Syed Amir Farhan di 012-344 2434 (Wilayah Tengah), Nurul Izza (019-9971592 / Wilayah Timur), Junaidi (012-7811149/ lain-lain kawasan).

Bisnes sendiri


Azlin tinggalkan zon selesa

Oleh SHOLINA OSMAN

Azlin Ahmad Shaharbi

Sampai bila perlu makan gaji? Ayat ini mungkin tidak pernah dipedulikan oleh mereka yang sudah berada di 'zon selesa' walaupun kadangkala pernah dicuit oleh persoalan itu.

Begitu pun, mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan duduk di rumah untuk menjadi suri rumah sepenuh masa bagi wanita profesional seperti doktor, peguam, arkitek dan jurutera, mungkin sesuatu yang agak merugikan.

Apatah lagi dengan jumlah tenaga wanita di bidang profesional di negara yang masih jauh berkurangan.

Bagaimanapun negara tidak akan rugi jika wanita profesional ini berhenti kerja disebabkan enggan makan gaji tetapi memilih untuk menyambung profesyen dengan membuka syarikat sendiri.

Langkah wanita profesional seperti ini wajar dijadikan contoh kepada wanita lain di luar sana supaya tidak mensia-siakan kebolehan yang dimiliki.

Datuk Azlin Ahmad Shaharbi, 47, pemilik Azlin Shaharbi & Associates juga antara wanita profesional yang bertahan 'setahun' sahaja untuk makan gaji.

Lulusan Sarjana Muda UndangUndang dari Universiti Kent, England ini mengakui kerja makan gaji sebenarnya banyak menyekat kebolehan yang dimiliki oleh seseorang.

"Nama pun bekerja dengan orang, tidak semua idea saya boleh diterima bos tambahan pula ketika itu saya masih muda baharu sahaja tamat chambering,'' katanya ketika ditemui di firmanya yang terletak di 29, Jalan Kent 3 Off Jalan Maktab, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana dalam tempoh setahun itu banyak yang dipelajari walaupun tenaganya diperah habis-habisan.

"Adatlah kerja makan gaji tetapi saya gunakan peluang itu untuk mempelajari selok-belok yang berguna jika ingin membuka firma guaman sendiri,'' katanya.

Walaupun masih baru dalam dunia guaman, Azlin diberikan kepercayaan oleh ketuanya untuk mengendalikan cawangan syarikat di Kajang.

Katanya, daripada situ beliau mula belajar pengurusan firma guaman yang sememangnya memberikan pengalaman begitu berharga.

Akhirnya Azlin nekad berhenti kerja dan bersama dengan seorang rakan kongsi mula membuka firma guaman sendiri di Petaling Jaya mulai 1 Januari 1990.

"Di sini bergunanya pengalaman menguruskan firma guaman dengan semangat untuk memulakan perniagaan sendiri,'' katanya.

Beliau sedar, firma guaman dibuka bukan hanya untuk mencari pelanggan khusus untuk mengendalikan kes-kes di mahkamah sahaja.

Sebaliknya, matlamat Azlin mahu menjadikan firma guamannya turut mengendalikan urusan guaman perbankan dan hartanah.

Cerita Azlin, beliau dan rakan kongsinya terpaksa tebalkan muka serta 'naik-turun' bank untuk memperkenalkan firma mereka dan menyakin pihak bank bahawa mereka juga mampu mengendalikan urusan guaman bagi pembelian hartanah oleh pelanggan.

"Akhirnya kami telah diberi kepercayaan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) sekali gus membolehkan firma kami berjaya mendapat keuntungan dalam tempoh enam bulan,'' katanya.

Pencapaian itu dianggap suatu yang membanggakan memandangkan jangkaan awal beliau dan rakan hanya akan mendapat untung dalam tempoh dua tahun beroperasi.

Kini usia firma guaman miliknya telah mencecah 23 tahun.

Dalam keserasiannya dengan dunia perniagaan, Azlin yang mempunyai bakat dalam penulisan sehingga mendorongnya menubuhkan HPC Global sejak 10 tahun yang lalu.

"Perniagaan ini juga berasaskan minat terpendam saya dalam bidang penulisan,'' ujar anak kelahiran Ipoh, Perak ini.

Perkhidmatan HPC Global meliputi bidang penerbitan ( buletin, majalah, buku, laporan tahunan), pemasaran korporat (logo, profil syarikat, brosur, bunting, sepanduk, kalendar meja dan juga papan iklan gergasi), pengurusan majlis dan pameran, seminar dan juga laman web.

"Saya sendiri yang akan memberi idea bukan sahaja untuk membuat lay-out malah juga penulisan untuk majalah dan sebagainya,'' kata Azlin lagi.

Sesuai dengan pengalamannya sebagai peguam dan usahawan, pada tahun 2006 Azlin menulis buku bertajuk Undang-Undang Untuk Usahawan.

Buku yang diedarkan oleh Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati) itu, akan diulang cetak dan bakal dilancar sekali lagi pertengahan tahun ini.

"Saya mendapati usahawan di negara ini masih cetek pengetahuan dalam undang-undang berkaitan dengan perniagaan sehingga mudah ditipu.

"Untuk itu saya juga mengendalikan kelas-kelas untuk para usahawan di seluruh negara supaya faham dengan selok-belok undang-undang yang berkaitan perniagaan," katanya.

Sekalipun sibuk menjalankan perniagaan, Azlin tetap mempunyai masa lapang untuk bermain alat-alat muzik seperti piano, gitar, saksofon dan drum.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan wanita yang bercadang untuk menjadi usahawan supaya membuat perancangan yang teliti dan memilih jenis perniagaan yang bersesuai mengikut kemampuan.

"Jangan buka sesuatu perniagaan itu hanya kerana nak ikut orang, sebaliknya berpandukan minat serta kebolehan supaya perniagaan yang dijalankan tidak sekerat jalan,'' katanya.

Ini kerana katanya, walaupun menjalankan perniagaan sendiri nampak mudah, tetapi ia agak mencabar bagi yang berkeluarga khususnya dalam aspek mengendalikan masa.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Saturday, March 5, 2011

Makanan Barat


Norlia popularkan makanan barat

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR

Norlia Yusof berbangga dengan produk Protess yang mendapat tempat di kalangan syarikat penerbangan.

PENGALAMAN demi pengalaman yang ditimba semasa berada di Australia lebih 20 tahun tidak dibiarkan tenggelam begitu saja. Dengan kerjasama beberapa rakan, mereka bergabung untuk menjadi pembekal daging halal untuk dihantar ke tanah air.

Ini menyebabkan Norlia Yusof perlu mempelajari kaedah memotong daging selain pemasaran memandangkan kemahiran tersebut merupakan kriteria yang diperlukan di sana.

"Setelah lama berulang-alik dari Australia ke Malaysia, akhirnya saya memutuskan untuk kembali ke tanah air," katanya semasa ditemui di premisnya Hajjah Aminah Food Industries Sdn. Bhd. di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Sekembali ke tanah air Norlia membuka kilang di Shah Alam, Selangor bagi membekalkan daging lembu halal.

Ketika itu, pelanggan utamanya terdiri daripada beberapa syarikat penerbangan dan restoran makanan Barat yang terkenal di negara ini.

Jumlah jualan bulanan kilang berkenaan pernah mencapai sehingga RM1 juta sebulan menjadikannya syarikatnya pembekal utama daging segar ke negara ini.

Bagaimana selepas rakan kongsi berpecah, Norlia kembali ke Australia tetapi tidak lama kemudian kembali semula ke tanah air.

Pelbagai cabaran yang dihadapi, perniagaannya bagaikan fenomena air laut yang mempunyai pasang surut sehingga entah mana silapnya sehingga kilangnya di Shah Alam beralih tangan.

Bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat Norlia untuk bangkit semula.

Berbekal pengalaman memasak, Norlia membuka restoran makanan Barat di Puchong Perdana sebagai mengubat hati.

Bagaimanapun sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan-pelanggan sebelumnya mendorongnya berusaha mendapat pesanan daripada chef-chef hotel terkemuka.

Memikirkan permintaan daripada bekas pelanggan, Norlia sedaya-upaya memenuhi segala tempahan sebaik-baiknya.

Bagaimanapun keceriaannya yang ada tidak kekal lama apabila tuan punya kedai mahukan semula kedai tersebut.

Tidak pernah kenal erti putus asa, terkini Norlia membeli dua unit kedai di Pusat Perniagaan Oakland, Seremban bagi membangunkan perniagaan berasaskan masakan Barat.

Nasib menyebelahinya apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melawat ke premisnya.

Ketika itu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menggalakkan Norlia meningkatkan lagi pengeluaran.

Mendapat permintaan daripada pelbagai restoran Barat terkemuka dan chef luar negara, Norlia tidak dapat memenuhi semua permintaan.

Atas bantuan dan khidmat nasihat bagi mendapatkan spesifikasi kilang yang mempunyai Amalan Pengilangan Baik, Halal serta Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

"Di (premis) sini, saya mengeluarkan produk makanan baru Protess yang menggunakan campuran ubi kentang lecek dan pelbagai jenis inti," katanya.

Buat masa ini Norlia memberikan penekanan kepada lima jenis produk sementara Protess pula terdapat 19 jenis inti.

Bagaimanapun kaedah pembuatan yang remeh menyebabkan Norlia tidak dapat memenuhi semua permintaan pelanggan.

Bersama-sama 20 orang pekerja, Hajjah Aminah Food Industries telah menjadi anak angkat MARDI bagi tujuan membangunkan produk.

Sehingga kini dia masih belum mempunyai mesin yang sesuai bagi menghasilkan protess hanya mampu menghasilkan sehingga 1,000 keping Protess sehari.

Protess yang mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan pelanggan tetap.

"Saya amat berharap produk makanan Barat terutamanya protess bakal mendapat sambutan bukan hanya di negara ini tetapi juga di peringkat global," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, March 4, 2011

Tempe


Tempe Tani diterima ramai

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Yusob Hanapiah bersama isteri, Norhasmah Hussin menyusun tempe di pusat memproses Tempe Tani di Kampung Lubok Ipoh, Malau, Jitra.

KUBANG PASU 3 Mac – Ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Begitu juga juadah tempe yang begitu sinonim dengan masyarakat Jawa.

Tempe yang kaya dengan pelbagai khasiat seperti bahan anti oksida, asid amino, serabut, phytokimia, vitamin B1, B2, B6 dan E kini sudah popular di seluruh negara dan semakin mula diterima pelbagai lapisan masyarakat.

Tempe yang diperbuat daripada kacang soya mentah yang direbus kemudian dihancurkan sebelum digaul serta diperam bersama ragi.

Selepas itu, tempe akan dibentuk dalam kepingan nipis dan dibiarkan menapai pada suhu sekitar 30 darjah celsius selama kira-kira 48 jam.

Kira-kira 20 tahun lalu, mungkin sukar bagi penggemar tempe di negeri-negeri Utara semenanjung untuk mencari tempe dan mungkin juga ada di antara masyarakat di sini tidak tahu apa itu tempe.

Kesukaran untuk memperkenalkan tempe kepada masyarakat di negeri Kedah diceritakan oleh seorang pengusaha tempe, Yusob Hanapiah, 57, yang menghadapi pelbagai cabaran semasa mula-mula menjadi pembuat dan penjual tempe di negeri ini kira-kira 27 tahun yang lalu.

Yusob yang merupakan anak jati Kampung Lubok Ipoh, Malau di sini memberitahu, sewaktu berumur awal 20-an dia merantau meninggalkan kampung halaman untuk mencari pengalaman hidup sehingga sampai ke kawasan Kota Tinggi, Johor.

“Sewaktu sampai di sana saya cuba rasa satu benda baru yang agak pelik rasanya bagi saya kerana makanan itu tidak pernah saya makan sewaktu di Kedah.

“Setelah saya makan barulah rakan saya beritahu makanan pelik yang saya makan ini adalah tempe yang dibuat masak lemak cili api,” ujarnya ketika ditemui di bengkel membuat tempe di Kampung Lubok Ipoh di sini baru-baru ini.

Yusob yang tertarik dengan keunikan tempe kemudiannya mengambil keputusan untuk mempelajari cara-cara untuk membuat makanan berasaskan kacang soya itu.

Jelasnya, pada mulanya dia memang tidak gemar dengan rasa tempe namun lama kelamaan dia mula jatuh cinta dengan tempe yang mempunyai rasa dan tekstur yang unik.

“Saya belajar cara-cara membuat tempe daripada rakan saya di Kota Tinggi dan kemudiannya saya balik ke Kedah untuk memperkenalkan tempe kepada masyarakat negeri ini.

“Bukan mudah berniaga tempe di sini dan pelbagai pengalaman yang lucu dan menarik dapat saya tempuhi sepanjang menjual tempe bermula pada 1984,” katanya.

Yusob berkata, dia mula berniaga tempe di pasar tani seluruh negeri Kedah dan untuk memperkenalkan tempe buatannya itu dia memasak dan menunjukkan kepada pelanggan cara-cara untuk memakan tempe.

“Pada masa itu memang orang Kedah tidak tahu apa itu tempe dan saya perlu menerangkan kepada mereka apa itu tempe.

“Sewaktu saya mula-mula berniaga tempe, saya balut tempe ini dengan daun pokok leret dan ada seorang warga emas dari Kuala Nerang yang menyangkakan tempe ini kuih lepat pisang lalu dia terus membeli lima bungkus tempe untuk sarapan.

“Kemudian, saya nampak dia pergi ke kedai kopi dan membuka pembalut tempe untuk memakannya mentah-mentah. Apabila saya teringatkan peristiwa ini memang saya akan ketawa,” ujarnya.

Jelasnya, lama kelamaan setelah Universiti Utara Malaysia (UUM) dibuka di kawasan Kubang Pasu barulah tempe buatannya dikenali ramai ekoran daerah ini mula didatangi dan diduduki oleh masyarakat dari seluruh negara terutama dari tempat yang tempe sudah popular seperti dari selatan Semenanjung.

Kini, dengan menggunakan jenama Tempe Tani, Yusob boleh tersenyum kerana usahanya untuk memperkenalkan tempe kepada masyarakat di negeri ini sudah berjaya.

“Saya tidak lagi berniaga di pasar tani dan tempe-tempe yang dibuat oleh saya kini diambil oleh pemborong-pemborong untuk dipasarkan di sekitar Kubang Pasu.

“Saya bersyukur kerana tempe buatan saya semakin dikenali dan dengannya saya mampu membesarkan tiga orang anak,” katanya.

Tokeh serunding


Tinggal kerjaya pilih jual serunding

Oleh NORZAINURA ABDUL MAJID
editjohor@utusangroup.com.my

Azliya Jamil dan Shahizam Abu Bakar sanggup meninggalkan gaji lumayan untuk mengusahakan House Of Serunding.

BATU PAHAT 3 Mac – Semangat untuk menjadi seorang usahawan berjaya sentiasa ada dalam jiwanya meskipun mempunyai pekerjaan tetap dengan gaji lumayan serta memegang segulung ijazah.

Berbekalkan semangat serta minat yang jitu, Azliya Jamil, 44, dan suaminya, Shahizam Abu Bakar, 41, mengorbankan kerjaya masing-masing dan menerokai bidang perniagaan berasaskan makanan sejak lima tahun lalu.

Kedua-duanya adalah pemegang Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Elektrikal dari Universiti Manchester, United Kingdom, sedikit pun tidak berasa rugi meninggalkan kerjaya masing-masing iaitu Azliya sebagai pensyarah di salah sebuah universiti tempatan manakala Shahizam bekas jurutera.

Mereka bermula dengan modal RM300 untuk membeli sebuah kuali dan bahan mentah bagi memulakan perniagaan serunding daging yang sememangnya mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran.

Berdasarkan kepada minat mendalam dalam perniagaan, mereka mengusahakan serunding dengan membuka syarikat Pristine Quality Enterprise pada 2006 dan dua tahun kemudian bertukar kepada syarikat sendirian berhad.

Mereka menjalankan perniagaan dengan menjadikan sebahagian rumah sebagai bengkel mini di Parit Besar Bagan dekat sini sebagai tempat operasi.

Menurut Azliya, serunding daging dan ayam keluaran mereka menggunakan jenama House Of Serunding dan telah mendapat sijil halal untuk pasaran tempatan dan luar.

Pada masa ini, serunding keluaran syarikatnya dipasarkan ke sekitar negeri ini dan turut mendapat permintaan dari Brunei, namun, setakat ini, belum dapat memenuhi permintaan itu kerana tidak mampu menghasilkan dalam kuantiti banyak ekoran belum mempunyai mesin yang mencukupi.

Menurutnya, kini mereka hanya mampu menghasilkan satu tan serunding sebulan yang dijual dengan harga RM5 bagi 50 gram dan RM8 untuk 80 gram.

Serunding keluaran syarikat mereka boleh didapati di beberapa pasar mini terpilih selain mendapat tempahan tetap daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), jabatan kerajaan dan masyarakat setempat.

“Kejayaan ini kerana kami berkongsi minat yang sama untuk berniaga dan mempunyai pendapatan hasil usaha sendiri berbanding makan gaji. Kami berasa puas apabila produk yang dihasilkan mendapat sambutan baik daripada pelanggan,” kata Azliya.

Untuk meluaskan lagi pasaran produk berkenaan, mereka memerlukan sebuah bangunan baru, bilik sejuk dan pelbagai kelengkapan lain yang dianggarkan mencecah RM80,000.

“Untuk itu kami memerlukan bantuan kerana setakat ini belum mampu membina bangunan sendiri dengan prasarana tersebut,” katanya.

Beliau memberitahu, mereka turut mendapat bantuan geran membeli peralatan dan mesin daripada Jabatan Veterinar bernilai RM30,000 pada 2008 dan RM40,000 pada tahun berikutnya.

Ibu kepada dua anak, Muhd. Shahid, 14, dan Muhd. Shafiq, 16, itu berharap perniagaan serunding resipi tradisional yang diusahakan bersama suami akan menjadi perniagaan keluarga dan dipasarkan ke pasaran global suatu hari nanti.

Bagi orang ramai dan pemborong yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi Azliya dan suaminya di talian 07-4131801 , 013-7703413 dan 017-7216821 .