Sunday, October 10, 2010

Roti Canai


ARKIB : 09/10/2010

Pemandu lori jual roti canai

Oleh NORZAINURA ABDUL MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

Mohd. Dawam Shahri (dua dari kiri) menunjukkan roti canai dan murtabak segera keluaran syarikatnya di kilang beliau di Tongkang Pecah Batu Pahat, Johor. - utusan/Norzainura Abdul Majid

BATU PAHAT 8 Okt. - Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Itulah prinsip Mohd. Dawam Shahri ketika dia memutuskan untuk berhenti kerja sebagai pemandu lori balak dan mula menjual roti canai 20 tahun lalu.

Bermula dengan modal RM200, Mohd. Dawam, 60, membeli bahan-bahan untuk membuat roti canai dan berniaga di pasar lambak, pasar malam dan pasar tani setiap hari.

"Saya memilih untuk berniaga roti canai kerana setiap hari saya lihat orang bersarapan roti canai dan kenapa tidak manfaatkan apa yang saya tahu," katanya yang dibantu oleh isteri, Sutinah Suparman, 54.

Jika dahulu mereka hanya menjual roti canai, tetapi kini mereka menambah produk seperti murtabak ayam dan daging, samosa ayam dan daging, pecal, bertih jagung dan karipap.

Perniagaan keluarga yang dibina sejak 20 tahun lalu semakin berkembang dan menjadi punca rezeki mereka sekeluarga hingga kini serta mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

Pada masa ini mereka menjual produk tersebut secara terus kepada pelanggan kerana belum mampu untuk memasarkannya lebih jauh dari daerah ini meskipun mendapat permintaan tinggi.

Lebih menggembirakan pasangan ini, susah payah membina perniagaan itu dengan titik peluh sendiri kini berbaloi apabila ia mendapat sijil Halal dan Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta sijil ISO 22000-2005 yang membolehkan produk mereka dipasarkan ke pasaran tempatan dan global.

Bernaung di bawah syarikat MI & DA Frozen Food, kini perniagaan yang mengeluarkan 16 produk makanan sejuk beku segera ini dipimpin oleh anak mereka, Mohd. Irwan Mohd. Dawam, 21, yang bertindak sebagai penyelia.

Bagi melancarkan perjalanan syarikat, Mohd. Dawam yang bertindak sebagai Pengurus dibantu isterinya bagi menjaga Bahagian Kawalan Mutu manakala dua lagi anaknya, Mohd. Zakry, 38, dan Harniza, 24, masing-masing menjadi Penolong Pengurus dan menjaga Bahagian Operasi.

Mohd. Dawam berkata, produk mereka kini dijual terus kepada pelanggan di pasar lambak dan pasar tani sekitar daerah ini dan Muar.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha untuk memasarkan produk tersebut di pasar raya serta gedung beli-belah di seluruh negara.

Justeru, mereka telah mendaftar dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menyertai 1 Malaysia Best dengan harapan produk sejuk beku keluaran syarikat itu mampu menembusi pasaran tempatan dan global.

Bagaimanapun, mereka menghadapi masalah untuk memasarkan produk tersebut lebih jauh kerana tidak mempunyai lori khas (cool truck) bagi tujuan penghantaran menyebabkan banyak permintaan dari luar daerah ini ditolak.

"Lori itu penting kerana tanpanya, dibimbangi produk kami tidak mampu bertahan lama menyebabkan banyak permintaan dari luar daerah ini dan Muar terpaksa kami abaikan," katanya.

Menurutnya, lebih 500 keping roti canai dan 200 keping murtabak dijual setiap hari pada harga antara RM3.50 hingga RM4 sebungkus yang memuatkan lima keping roti canai dan murtabak.

Katanya, sekiranya mereka dapat membeli sebuah lori lebih besar, beliau yakin produknya mampu menembusi pasaran lebih luas pada masa akan datang.

Wednesday, October 6, 2010

Kaya Kaya Kaya

Warga Sendayan jutawan lagi

Oleh NORAZLIZA ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my
SEREMBAN 5 Okt. - Kawasan Sendayan dekat sini akan terus dibangunkan sebagai nadi ekonomi baru bagi negeri ini sekali gus merangsangkan pembangunan hartanah yang dilihat mampu meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, nilai hartanah di kawasan Sendayan akan menjadi rebutan dalam tempoh berkenaan apabila pembangunan sekitar, khususnya di Bandar Enstek, Nilai dan sekitar Bandar Seri Sendayan, dekat sini memasuki zon matang.

"Saya sudah nampak dalam tempoh lima tahun akan datang, warga Sendayan yang pernah digelar jutawan sebelum ini, akan kembali bergelar jutawan bagi pusingan kedua sebaik sahaja pembangunan kawasan sekitar mencapai tempoh matang.

"Ketika itu, nilai hartanah di sini meningkat naik apabila wujudnya permintaan di kalangan pembeli selepas melihat potensinya yang dekat dengan Kuala Lumpur, selain mempunyai jajaran jalan yang baik," katanya ketika berucap merasmikan Surau Bandar Seri Sendayan di Sendayan, dekat sini semalam.

Mohamad menegaskan, apabila tanah di kawasan Sendayan dan sekitarnya yang akan dibuka sebanyak 3,642.1 hektar lagi untuk pembangunan, maka nilai rumah dan tanah di kawasan Sendayan juga bakal melambung naik.

Sebelum ini, peneroka Felda Sendayan telah pun menerima pampasan antara RM450,000 dan RM685,780 seorang, tanah pertanian seluas 0.4 hektar yang bernilai RM348,480 dan sebuah unit banglo setingkat empat bilik dengan keluasan bangunan 167.2 meter persegi di atas tanah seluas 929 meter persegi bernilai RM240,000.

"Sudah banyak kali saya ingatkan supaya jangan dijual rumah yang diberikan ini, jangan jual tanah dahulu. Tunggulah sampai tempoh matangnya kerana saya tahu ia akan meningkat.

"Tetapi ada juga rumah yang sudah dijual pada harga RM180,000. Ini yang membuatkan saya sedih. Tetapi minggu lepas, kita luluskan penjualan rumah pada harga RM450,000. Bagi saya, nilai RM500,000 untuk rumah itu adalah baik.

"Inilah nilai sebenarnya rumah yang tuan-tuan diami untuk tempoh dua tahun akan datang," katanya.

Oleh itu Mohamad memberitahu, apabila Bandar Wawasan di Nilai dan Labu siap kelak, begitu juga sekitar Enstek dan Sendayan ini membangun dengan tersusun, maka ramai pembeli dan pelabur 'memburu' kawasan kediaman, terutama sekali di Bandar Seri Sendayan ini.

"Dalam perancangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), saya memohon dan jika diluluskan kita berhasrat membina sebuah masjid besar di Bandar Seri Sendayan ini.

"Kita juga merancang untuk membangunkan Pusat Konvensyen yang boleh memuatkan 3,000 orang pada satu masa dan ia juga akan dibangunkan di kawasan Sendayan ini. Jadi pembangunan di sini begitu terancang," jelasnya.

Pada majlis itu Mohamad yang merasmikan Surau An-Nur Bandar Seri Sendayan berkata, beliau mahu masjid dan surau terus dijadikan pusat komuniti dan aktiviti setempat.

"Janganlah masjid yang dibina sampai RM8 juta, RM10 juta mahupun RM12 juta hanya digunakan sebagai tempat bersolat semata-mata," katanya.

Sunday, October 3, 2010

Jom Nge Sop








Berpeluh hirup sup
Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Rebusan selama empat jam rahsia keenakan Sup Urat Keting UK.




SUP memberi Shahdan 'kuasa' tambahan.


SABUL menunjukkan urat keting mentah.


SATE restoran Sabul tidak kurang sedapnya.

SEBELUM ini, Sabul Ismail, 38, merupakan seorang penjual jam tangan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Namun kini dia merupakan seorang usahawan berjaya dengan memiliki Restoran Sup Ketin UK bertempat di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Restoran anak kelahiran Terengganu itu menyediakan pelbagai jenis masakan kampung, moden dan juga Barat. Satenya juga tidak kurang sedapnya.

Tidak hairanlah jika ia menerima lebih 500 orang pelanggan setiap hari.

Dijana oleh 20 orang pekerja serta 30 buah meja makan, restoran itu dibuka dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi setiap hari. Suasana di restoran itu sahaja sudah cukup membuatkan pelanggan teruja.

Seakan-akan sebuah kopitiam yang diselangi potret gambar menarik di dinding, hidangan masakannya dibuat secara terbuka.

Mengapa namanya Restoran Sup Urat Ketin?

“Sebenarnya buntu saya memikirkan nama restoran ini. Tiga hari saya tidur lewat kerana ingin mencipta kelainan untuk menarik pelanggan.

“Setelah puas berfikir akhirnya datang ilham. Saya rasa sup keting (‘ketin’ dalam dialek Kelantan) merupakan nama terbaik. Anda pelik mendengar namanya, bukan? Sebenarnya yang pelik itulah yang menjadikan orang tertarik,” katanya ketawa.

Sup keting merupakan salah satu menu makanan popular yang terdapat di restoran milik Sabul.

Keting ialah urat kaki lembu berwarna putih dan disaluti lemak. Ia perlu direbus untuk mengasingkan lemaknya. Menu ini amat popular di negeri Kelantan terutama pada Hari Raya Haji.

Malah keting juga boleh dimasak gulai lemak, kerabu dan goreng.

“Saiz keting yang sesuai untuk dibuat sup ialah tiga sentimeter panjang dan satu sentimeter tebal.

“Stok diambil daripada pembekal yang mengimportnya dari New Zealand dan Australia. Sebanyak 30 kilogram urat keting boleh dimasak di dalam sebuah periuk besar,” katanya.

Menurut Sabul, dalam sehari beliau dapat menjual lebih 100 mangkuk sup keting yang berharga RM6 setiap satu.

Antara pelanggan yang selalu datang untuk menikmati sup keting Sabul ialah pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Kid (Hamzah Mohd. Taib), bekas anggota kumpulan Search.

“Mereka datang sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tetapi saya tidak pula bertanya pada Dr. Fadzilah mengenai rahsia makan sup khususnya bagi orang lelaki,” katanya sambil ketawa.


KONSEP hidangan terbuka merupakan satu lagi tarikan restoran milik Sabul.

Sabul juga berkongsi rahsia menyediakan sup keting yang lazat.

“Ramuan untuk membuat sup keting sama seperti membuat sup tulang, sup ekor dan sup gearbox.

“Rempah ratusnya termasuk jintan, kayu manis, bunga lawang, bawang putih, bawang besar, halia dan kayu manis. Semuanya perlu diadun dan direbus bersama selama empat jam.

“Jangan pelik kerana untuk membuatnya perlu ada dua rebusan berbeza, satu rebusan tulang lembu dan satu lagi urat keting bagi membuang lemaknya.

“Apabila telah cukup tempoh rebusan, kedua-dua air rebusan tadi digabungkan sebelum ditambah gula dan garam. Sup ini juga digemari ramai orang Cina,” katanya.

Shahdan Yusof, 29, seorang kontraktor, berpendapat sup keting dapat memberikan beliau tenaga tambahan.

“Saya kerap berpanas di tapak projek, jadi sup keting dapat memberikan saya ‘kuasa’ tambahan. Kebiasaannya saya makan sup ini tiga kali seminggu di sini,” ujarnya.


KIRA-KIRA 500 orang mengunjungi restoran ini setiap hari.

Dengan peluh mengalir di dahi ketika dia menghirup sup dan mengunyah urat keting. Syahil Siadan, 28, ada pendapat sendiri mengenai sup itu.

“Saya berasal dari Kota Bahru, Kelantan. Kebiasaannya sup keting hanya menjadi menu utama ketika Hari Raya Haji. Kini ia dapat dinikmati setiap hari.

“Saya tidak perlu lagi pulang ke Kelantan kerana di Selangor pun ada sup keting,” katanya berjenaka.

Mekanik Wanita




Mas Diana tauke bengkel kereta
Oleh SHAH NIZAM OMAR
shahnizam.omar@kosmo.com.my

MESKIPUN ramai yang kurang yakin dengan kemampuan Wan Mas Diana, namun dia membuktikan kebolehannya setanding lelaki.

JANGAN pandang wanita sebelah mata. Mungkin itu ungkapan yang sesuai untuk sesetengah individu yang memandang remeh kebolehan wanita yang menggalas tugas yang dimonopoli oleh golongan lelaki.

Bukan tidak percaya, tetapi mereka kurang yakin dengan kebolehan wanita yang lazimnya sesuai dengan kerja-kerja yang melibatkan penelitian.

Namun, kepada pemilik bengkel mengecat kereta, Wan Mas Diana Mezlan, 28, beliau melihat tohmahan dan sikap memandang rendah terhadap kebolehan wanita itu sebagai satu cabaran.

Walaupun tidak ramai golongan wanita yang berani bergelumang dengan kerja-kerja di bengkel kereta, kepada Wan Mas kerjaya itu sudah sebati dengan dirinya.

“Saya sudah biasa dengan pandangan orang tentang kebolehan saya menjalankan perniagaan ini tapi semangat saya kuat untuk meneruskannya.

Kuat semangat

“Buat apa mendengar pandangan orang lain kerana hanya kita yang tahu kebolehan diri dan orang di luar hanya pandai bercakap sedangkan mereka tidak tahu apa-apa,” tegasnya.


WAN MAS DIANA menganggap tohmahan terhadap kerjaya pilihannya sebagai satu cabaran.

Wan Mas Diana menambah, sokongan ahli keluarga juga penting dalam menentukan hala tuju kerjaya anak-anak.

“Ibu bapa saya sendiri pada mulanya sukar nak terima kerjaya pilihan saya ini, namun melihatkan kesungguhan saya lama-kelamaan mereka rasa seronok dan sangat responsif,” katanya yang pernah bercita-cita membuka bengkel membaiki kereta kerana minat yang mendalam pada enjin.

Namun atas beberapa faktor, beliau menjurus kepada bidang mengecat dan mengetuk kereta.

“Mula-mula saya ambil kursus berkaitan automotif di Giat Mara, Jitra, Kedah, namun disebabkan kursus mengenai enjin agak sukar jadi saya beralih kepada bidang mengecat kereta,” katanya.

Beliau juga pernah melanjutkan pelajaran di peringkat sijil setelah tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2000.

Wan Mas Diana yang baru sahaja menamatkan pelajaran dalam bidang Mekanikal Plastik di Politeknik Sultan Abdul Halim, Jitra mengakui mengalami kesukaran mendapat kerja menyebabkannya beliau meneruskan pelajaran di Giat Mara tersebut.

“Setelah tamat pengajian pada tahun 2002, saya sukar mendapat pekerjaan di kilang-kilang kerana kebanyakan majikan tidak menerima juruteknik wanita.

“Saya mengambil keputusan untuk memasuki Giat Mara dan mendalami bidang automotif sebelum terjun ke bidang mengecat,” katanya.


WAN MAS DIANA melakukan kerja-kerja baik pulih dan mengecat kenderaan di bengkelnya di Kubang Pasu, Jitra, Kedah.

Tambah beliau, sejak mengusahakan bengkel mengecat kenderaan yang disewakan oleh pihak Giat Mara awal tahun lalu, beliau bersama dua orang rakan mendapati permintaan untuk mengecat dan mengimpal kenderaan mendapat sambutan menggalakkan.

Pelanggan puas hati

“Mula-mula ramai pelanggan tidak percaya dengan kemampuan dan kebolehan saya kerana saya seorang perempuan, tapi setelah melihat hasil kerja, mereka berpuas hati malah permintaan mengecat dan mengimpal juga semakin tinggi,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Katanya, ketika menyatakan hasrat untuk menceburi bidang tersebut, beliau mendapat tentangan hebat daripada keluarga, namun mereka akur setelah melihat kemampuannya mengusahakan bengkel sendiri.

“Pada mulanya mereka juga tidak setuju dan sukar untuk terima kerja yang saya buat tapi lama-kelamaan ia jadi perkara biasa,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mendapat khidmat mengecat dan mengimpal boleh menghubungi Wan Mas Diana di talian 016-4924 842 atau datang terus ke bengkelnya yang terletak di Giat Mara Prima, Kubang Pasu, Jitra, Kedah.

Friday, October 1, 2010

Sarang Burung

Ghairah kejar sarang burung
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
2010/09/30

MANA satu lebih utama, antara industri sarang burung walit atau kesejahteraan hidup masyarakat setempat? Itulah dilema yang dihadapi sekumpulan penduduk di Taman Regent Gemencheh, Negeri Sembilan yang terpaksa berdepan dengan bau busuk, kotor serta bunyi bising burung berkenaan.

Penduduk terbabit mengadu kepada Talian Hayat ntv7 mengenai masalah dihadapi meskipun sarang burung walit itu menjana ekonomi tetapi ia mengundang rasa yang kurang senang kepada mereka kerana perniagaan itu diusahakan di kawasan perumahan.

Menurut catatan pengacara program itu, Wan Kamarudin Wan Ibrahim atau Wan K, burung berkenaan menghasilkan sarang berkhasiat tinggi dengan kalsium, potasium serta bahan mineral baik untuk kesihatan selain kolagen untuk awet muda.

“Sarang burung walit bernilai tinggi - RM4,000 bagi yang belum dibersihkan, RM8,000 bagi yang sudah diproses dan boleh mencapai RM40,000 di China.

“Tidak hairanlah keghairahan masyarakat terhadap industri sarang burung itu kian memuncak ekoran permintaan tinggi dan pulangan lumayan dengan tatacara agak mudah.

“Dengan hanya menyediakan rumah burung di belakang rumah saja, burung boleh dipikat dengan memasang rakaman suara burung dan pemantauan paling minimum,” katanya.

Imbas kembali, sejarah penuaian sarang burung pertama dibuat di Gua Niah sejak 1878 lagi. Industri ini mula berkembang secara komersial di Malaysia lewat 10 tahun lalu sekalipun agak terkebelakang berbanding Indonesia.

Industri sarang burung walit amat berpotensi sehingga pihak kerajaan memberi keutamaan dalam Aktiviti Ekonomi Utama Nasional(NKEA).

Hasilnya Garis Panduan Pembangunan Industri Burung Walit Negara yang dikenali sebagai 1GP diluluskan untuk menyelaraskan pembangunan sarang burung walit kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan di kawasan-kawasan Rancangan Pertanian seluruh negara.

“Apapun pihak PBT masih berkuasa penuh menentukan pelan pembangunan setempat dan nisbah pembangunan di kawasan komersial. Bagaimanapun, ramai yang menjadikan kawasan perumahan awam tempat burung walit membuat sarang sehingga mengganggu jiran tetangga,” katanya.

Untuk mengetahui apakah kesudahan masalah penduduk di Taman Regent Gemencheh itu, saksikan episod Talian Hayat di ntv7, jam 7.30 malam ini.

Kepada pembaca akhbar ini yang ingin berkongsi masalah, teruslah hubungi hotline Talian Hayat di 017-818 8121.

Karipap


Minat buahkan kejayaan

Oleh HANIZA HASSAN
editjohor@utusangroup.com.my

Haniza Abdul Jamil menunjukkan makanan beku yang dihasilkannya di Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 30 Sept. - Ada segelintir masyarakat mengenali makanan tradisional ini dengan nama epok-epok, teh-teh dan nama Inggerisnya, 'curry puff'.

Namun, biar pun berbeza namanya, sebut sahaja karipap pasti para penggemar kecur air liur sekali gus membayangkan keenakan kuih itu apabila dimakan ketika panas apatah lagi disajikan bersama air teh atau kopi.

Karipap merupakan sejenis makanan yang popular di Malaysia, Thailand dan Singapura.

Ia terdapat dalam pelbagai perasa, bergantung kepada inti di dalamnya. Bahan utama inti karipap ialah daging dan kentang. Ubi kentang sering digunakan sebagai inti karipap dan adakalanya inti ubi keledek juga digunakan.

Makan memang mudah, namun untuk membuatnya mungkin boleh menimbulkan sedikit kesulitan apabila tiba bahagian membuat lipatan untuk menutup inti berkenaan yang dipanggil kelim.

Malah penulis gagal menghasilkan kelim yang bagus biarpun sering kali diajar oleh saudara mara semasa kenduri kesyukuran di rumah.

Namun, ia bukan masalah besar kerana kuih tradisional tersebut boleh didapati dalam keadaan sejuk beku. Pengguna hanya perlu menggoreng kuih itu.

Bagi pengusaha makanan sejuk beku, Haniza Abdul Jamil, 43, kepuasan pelanggan menjadi keutamaan biarpun makanan yang disediakan adalah dalam bentuk sejuk beku.

Menurut suri rumah itu, usaha membuat karipap tercetus ekoran minat yang mendalam terhadap kuih tradisional itu.

"Mula-mula saya hanya makan yang kakak buat. Pertama kali rasa karipap terus 'jatuh cinta' dan saya berazam untuk membuatnya sendiri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Harmoni, Skudai di sini.

Menurut bekas pelukis pelan ini, seawal pembabitan dia sering mengalami dugaan yang kadang kala menggugat kesabarannya.

Namun, kerana minat dia nekad dan berusaha sehingga berjaya menghasilkan empat jenis karipap dan dua jenis donat.

Bernaung di bawah label Honey Honeyz's, Haniza mengorak langkah setapak demi setapak bagi memastikan pelanggan mendapat yang terbaik.

"Alhamdulillah, saya sudah setahun berkecimpung dalam bidang pembuatan kuih ini. Namun, saya masih mentah untuk bersaing dengan yang lain," katanya merendah diri.

Hingga kini dia menghasilkan empat jenis karipap iaitu berintikan kentang, sardin, keledek dan daging yang dijual dengan harga RM3.50 sebungkus.

Sementara itu, donat mini pula dijual dengan harga RM3.50 manakala pau sambal pula boleh didapati pada harga RM4 sebungkus.

Produk yang dihasilkan oleh ibu kepada tiga cahaya mata itu boleh didapati dengan melayari laman web http://hanizaabdjamil. blogspot.com/.

"Harapan saya cuma satu iaitu pelanggan suka dengan karipap yang dihasilkan. Semoga keseronokan saya membuat kuih ini dapat dirasai pelanggan melalui rasanya yang sedap," katanya.

Wednesday, September 29, 2010

Patin Weh




Ikan sungai ke pasaran dunia
Oleh RADZUAN HASSAN dan SHAHRULANOOR ISHAK
rencana@kosmo.com.my


DAERAH Temerloh, di Pahang cukup sinonim dengan ikan patin. Populariti ikan eksotik itu menyebabkan ia menjadi hidangan wajib di kebanyakan restoran-restoran di daerah tersebut termasuklah di gerai-gerai kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di Lebuh Raya Pantai Timur.

Dengan erti kata lain, hidangan ikan patin boleh ditemui hampir di kebanyakan tempat makan di daerah itu. Ini termasuklah di gerai, warung, hinggalah hotel. Patin juga merupakan salah satu hidangan kegemaran penduduk tempatan.

Resipinya juga pelbagai. Patin boleh digoreng, masak gulai tempoyak, singgang, dibakar bersama tempoyak dan dipanggil pais patin. Fenomena ikan patin bukan saja menjadikan bandar kelahiran nasionalis negara, Ishak Haji Muhamad atau lebih dikenali sebgaai Pak Sako dan Sudirman itu terkenal, bahkan ia mengubah landskap Sungai Semantan.

Industri ikan patin sangkar di Temerloh boleh dilihat di sepanjang sungai tersebut. Dianggarkan terdapat lebih 100 sangkar ikan patin yang memberi peluang kepada penduduk menceburi bidang akuakultur.

Ikan patin Temerloh sama seperti ikan-ikan spesies itu di Asia Tenggara. Ia merupakan sejenis ikan air tawar tanpa sisik hampir menyerupai ikan keli. Patin termasuk dalam kategori spesies Pangasius Lanaurdi Bocourt.

Kulit ikan itu pula kebiasaannya berwarna perak, putih kebiru-biruan. Di Thailand, patin dikenali sebagai basa. Patin lazimnya hidup di lubuk air deras dan kawasan yang terdapat banyak rumpai air atau lumut sebagai sumber makanan.

Menternak ikan patin sangkar adalah bisnes yang menguntungkan di Temerloh. Bekalan ikan patin sentiasa dicari sama ada di pasar atau Pekan Sehari iaitu pasar pagi terpanjang di Semenanjung Malaysia, pasar raya atau di gerai-gerai ikan air tawar di sepanjang Sungai Pahang.

“Permintaan terhadap ikan patin adalah luar biasa jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain di Pahang,” kata salah seorang penternak, Abdul Halim Ismail, 45.

Menurut Abdul Halim, sambutan luar biasa tersebut menyebabkan para penternak patin kadangkala tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan.

“Saya sendiri ternak 1,200 ekor patin pada satu-satu masa dalam tempoh lapan bulan dan membekalkan sekitar 600 kilogram (kg) ikan patin setiap bulan untuk memenuhi permintaan suri rumah dan pengusaha restoran,” katanya ketika ditemui di sangkar patin ternakannya di Kampung Pangsenam, Temerloh baru-baru ini.

Ketika industri ikan patin sangkar tidak serancak hari ini, ramai yang tertanya-tanya mengapa sesetengah pengusaha restoran mengenakan caj yang mahal sekitar berpuluh ringgit untuk sepotong ikan patin.

Ikan patin liar mempunyai harga yang agak mahal kerana ia mempunya pasarannya yang tersendiri.

Namun, ini tidak bermakna ikan patin sangkar tidak istimewa. Ikan patin sangkar mempunyai sifat dan rasa yang berbeza daripada ikan patin yang diternak di dalam kolam. Lazimnya, ikan patin yang diternak dalam kolam mempunyai rasa lumpur dan hanyir.


PATIN Temerloh yang diternak di dalam sangkar ini mempunyai rasa yang enak kerana arus sungai yang deras.

Sebaliknya, ikan yang dipelihara di dalam sangkar membesar dalam Sungai Pahang. Rasanya jauh lebih enak berbanding spesies ikan yang sama di sungai-sungai lain di negara ini walaupun diberi makan pellet.

Terdapat empat jenis ikan patin liar di Sungai Pahang yang popular iaitu patin muncung yang berharga RM200 sekilogram (kg), patin buah RM100 satu kg dan patin lawang RM80 satu kg.

Resipi warisan keluarga

Sementara itu, pengusaha Gerai Pak Usop yang menyediakan menu ikan patin terkenal di Temerloh, Muhamad Alimi Adnan, 40, berkata, gulai tempoyak merupakan menu paling popular di kalangan penduduk tempatan.

“Setiap hari saya memasak 80 kg ikan patin dalam dua periuk besar untuk gulai tempoyak. Biasanya periuk pertama akan habis dalam masa satu jam, manakala periuk kedua pula akan habis dalam masa satu setengah jam,” ujarnya.

Muhamad Alimi menambah, ikan patin perlu dicuci bersih sebelum dimasak bagi menghilangkan bau hanyir.

“Resipi patin gulai tempoyak diwarisi oleh keluarga saya sejak turun temurun dan cara penyediaannya juga masih mengikut cara lama,” kata Muhamad Alimi yang mewarisi resipi tersebut selepas bapanya, Adnan Mamat atau lebih dikenali sebagai Pak Usop meninggal dunia sejak dua tahun lalu.

Gulai tempoyak ikan patin Gerai Pak Usop di Arked Majlis Perbandaran Temerloh dekat Lurah Semantan cukup terkenal di kalangan penduduk tempatan. Bahkan, ia juga menjadi sebutan di kalangan pengunjung dari luar.

Kepada seorang penggemar ikan patin yang juga eksekutif akaun, Haslindaroha Hawari, 29, rasa ikan patin lebih manis apabila dicampurkan dengan sedikit tempoyak.

“Sama ada masakan itu berkuah atau dipanggang, patin lebih sedap jika ditambah sedikit tempoyak dalam masakan walaupun dipanggang,” katanya yang menggemari gulai tempoyak, panggang sambal, asam pedas tumis, masak lemak cili api dan sebagainya.

Menurutnya, rasa ikan patin memang berbeza dengan ikan air tawar yang lain. Kebanyakan penggemar pula sangat suka makan bahagian perut ikan patin yang hanya mengandungi lemak tanpa isi.

“Menurut kata orang lama, lemak di bahagian perut ikan itu membantu melempabkan kulit wajah dan melambatkan kedutan serta mengatasi masalah jerawat,” katanya yang tidak pasti sejauh manakah kebenaran fakta tersebut secara saintifik.


ABDUL HALIM menunjukkan seekor ikan patin yang diternak di Kampung Pangsenam, Temerloh, Pahang.

Memandangkan potensi dan reputasi Temerloh yang menerima jolokan nama Bandar Ikan Patin, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan daerah itu sebagai pengeluar utama ikan patin untuk pasaran di seluruh negara mahupun eksport.

Tembusi pasaran antarabangsa

Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah ketika dihubungi berkata, sebuah pusat pengumpulan dan pemprosesan ikan patin bakal dibina di daerah berkenaan di kawasan seluas satu hektar bernilai RM500,000 bagi menggalakkan industri itu.

Tambah Saifuddin, pusat tersebut juga akan dilengkapi sebuah kilang pemprosesan dan pembungkusan ikan patin.

“Industri ikan patin bukan hanya mengenai makanan tradisional seperti masak tempoyak semata-mata, ia perlu dipelbagaikan dengan menghasilkan makanan ringan, filet, bebola ikan, serunding dan sebagainya,” katanya.

Menurut Saifuddin, populariti Temerloh yang selalu dikaitkan dengan masakan ikan patin juga berpotensi menjadikan ia sebagai daerah pelancongan domestik mahupun antarabangsa. Pada masa sama, ia mampu menjana perkembangan ekonomi sekitar.

Ikan patin Temerloh kini berjaya menembusi pasaran Dubai, Arab Saudi dan United Kingdom walaupun bekalan semasa sebanyak 50 tan metrik setiap bulan masih tidak mampu memenuhi permintaan dalam negara.

““Ikan patin dari Temerloh mempunyai kualiti dan rasa tersendiri sehingga berjaya menarik ramai penggemar dari luar termasuk Kuala Lumpur dan lain-lain negeri untuk menikmati keenakan masakan.

“Jika usaha ini digerakkan bersama antara semua penduduk dengan menjadi penternak, Temerloh berupaya untuk dikenali sebagai pengeluar ikan patin terbaik di mata dunia,” katanya.