Tuesday, March 29, 2011

Bundle Wanita


Istimewa bundle wanita

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar AMIN FARIJ HASAN


Norazlina Abdul Aziz (tengah) melayan pelanggan yang datang ke gerai bundlenya.

ASALNYA dia menjual koleksi baju kurungnya sendiri. Bekerja sebagai pegawai di syarikat pakaian terkenal memang menuntut Norazlina Abdul Aziz, 38, untuk mempunyai banyak baju kurung. Ia ibarat pakaian rasminya.

Satu hari ketika mengemas pakaian Norazlina merasakan almari pakaiannya sudah tidak boleh menampung lagi koleksi baju kurung yang dikumpul sejak enam tahun lalu.

Jadi menjelang Aidilfitri tahun lalu, ditambah minat berniaga dan ingin menambah pendapatan keluarga membuatkan Norazlina terfikir untuk menjualnya.

"Ketika itu bulan Ramadan. Saya menyewa satu khemah di pasar di Taman Seri Nanding, Hulu Langat dan memang tak sangka apabila semua baju kurung saya habis dijual tidak sampai sejam," ujar Norazlina ceria mengimbas kenangan permulaan perniagaan bundlenya.

Ibu kepada lima anak ini sebenarnya memang sudah lama menanam impian untuk memulakan perniagaan sendiri.

Norazlina yang selesa disapa Kak Ina mengakui darah berniaga diwarisi daripada ibunya yang berniaga pelbagai jenis barang.

"Dari kecil saya ikut emak berniaga. Bila dah mula berniaga, kalau diberi peluang makan gaji besar pun saya tak mahu sebab kepuasan berniaga memang lain," jelas anak kedua daripada lapan beradik itu.

Kepayahan mencari pengasuh untuk anak bongsunya yang berusia tiga tahun, juga membuatkan Norazlina nekad berhenti kerja makan gaji dan memulakan perniagaan pakaian terpakai atau bundle khusus untuk wanita.

"Bermula daripada menjual baju sendiri, saya akhirnya mencari maklumat perniagaan baju bundle wanita berskala besar.

"Ibaratnya belajar sambil berniaga. Saya belajar selok belok menguruskan perniagaan bundle dari kedai-kedai besar dan akhirnya berjumpa dengan pengimport baju bundle untuk memulakan perniagaan," jelasnya.

Kini, Norazlina sudah mempunyai kawasan perniagaannya sendiri di tapak pasar pagi Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Selangor.

Dia menyifatkan perniagaan tersebut ringkas dan untungnya pula berlipat ganda.

"Paling utama sejak saya berniaga sendiri perwatakan saya berubah daripada seorang yang panas baran dan sering tertekan menjadi seorang yang ceria dan ramai sahabat, saya pun tak pernah ada tekanan lagi," ujarnya sambil tersenyum.

Jenama terkenal

Menariknya, kalau dulu pakaian bundle lebih digemari lelaki tetapi kini semakin diterima golongan wanita apatah lagi apabila kebanyakan pakaian berjenama terkenal dan masih berkualiti

Norazlina sendiri hanya memilih pakaian bundle dari tiga negara iaitu Jepun, Korea dan Amerika Syarikat.

"Setakat ini pelanggan saya daripada semua golongan tidak kira kaya atau miskin. Penuntut universiti juga sudah pandai membeli bundle.

"Golongan artis juga ada yang datang ke sini dan krew penggambaran lagi banyak beli sebab mereka mahukan pelbagai baju untuk disesuaikan dengan watak.

"Ada seorang pelanggan yang juga pensyarah universiti, terkejut kerana baju-baju yang pernah dilihatnya ketika belajar di Amerika turut dijual di gerai saya.

"Pensyarah wanita itu terus borong tiga dres yang diimport dari Amerika kerana alasannya memiliki nostalgia tersendiri," katanya yang juga mempunyai pelanggan daripada golongan profesional.

Dalam pada manisnya berniaga, Norazlina tidak menafikan ada juga pihak yang tidak senang dengan apa yang dilakukan.

"Seorang pakcik pernah mendekati gerai saya dan bertanya 'tak ada kudis atau kurap ke yang melekat pada baju ni?'.

"Walaupun agak terkedu dengan soalan tersebut tapi saya menerimanya dengan baik dan menganggap ia cabaran untuk saya meningkatkan lagi nama perniagaan bundle," ujarnya.

Mungkin orang yang tidak biasa atau geli dengan istilah bundle ini tidak tahu yang baju tersebut sebenarnya masih berkualiti.

"Sebaiknya selepas dibeli pakaian tersebut dibasuh dulu dengan air panas dan sabun, kemudian baru boleh dipakai tanpa was-was," pesannya.
TAJUK-TAJUK

No comments:

Post a Comment