NURUL HALIFAH HAMIRUDDIN mencungkil kisah pahit manis mereka yang menjalankan perniagaan Internet ini.
Perniagaan Internet antara yang banyak dilakukan golongan muda. Namun
bukan semua menjadikan ia sebagai satu kerjaya sebaliknya lebih kepada
‘suka-suka’ sambil memenuhi masa lapang. Tidak terkecuali yang terus
jatuh cinta dan menukar hobi itu kepada kerjaya.
Apa yang dikatakan sebagai hobi? Hobi sekadar memenuhi minat serta
mendapatkan keseronokan dan bukan menjurus mencari pulangan lumayan.
Terdapat pelbagai jenis hobi namun hobi yang satu ini agak unik. Penulis
berpeluang mendengar cerita mereka itu, daripada hanya minat, perlahan
lahan membuka ‘kedai atas talian’. Hobi begini tidak semua mampu lakukan
terutama yang mudah berputus asa dan tidak tahan berdepan risiko.
Bagaimanapun
mereka yang berjiwa besar menjadikan ia sebagai satu kerjaya untuk
jangka masa panjang dan berhasrat untuk memperkembangkan perniagaan
mereka seluas mungkin.
Ramai golongan muda yang mula memasang impian untuk menjadi
jutawan muda, hanya langkah dan strategi yang betul mampu membawa impian
itu menjadi kenyataan.
Seperti yang kita sedia maklum, perniagaan atas talian bukan
baru. Sama seperti perniagaan lain yang memerlukan modal malah
kecekapan, amanah dan jujur harus ditanam pada setiap golongan muda yang
ingin menjadi jutawan muda IT.
Kini, kita boleh lihat bahawa
ramai golongan muda yang mencari duit poket dengan membuka perniagaan
ini, semuanya mudah dan modal juga tidak terlalu besar. Menerusi
perniagaan ini sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan yuran
kolej, perbelanjaan seharian dan mengisi masa lapang.
Dengan
keadaan negara yang menuju Wawasan 2020, penggunaan jalur lebar banyak
digunakan termasuk di luar bandar, setiap golongan tidak kira tua, muda,
remaja dan kanak-kanak boleh melayari Internet.
Lebih-lebih
lagi apabila penggunaan telefon pintar yang semakin digilai ramai dan
memudahkan orang ramai untuk melayari internet tidak kira masa dan
lokasi.
Kelebihan teknologi ini dimanfaatkan ramai generasi muda
untuk menceburi bidang ini. Selain itu, kelebihan membeli belah secara
atas talian juga memudahkan pengguna sambil berjimat membayar tempat
letak kereta, minyak dan makan minum kerana duduk bersimpuh di rumah pun
boleh ‘shopping’.
Hal sedemikian juga memudahkan usahawan
Internet menghantar barangan yang dipesan. Mudah bukan? Hanya perlu
pilih dan hantar permintaan, semuanya di hujung jari tanpa
bersesak-sesak dan berebut dengan orang lain.
Itu hanya beberapa
faktor yang membuatkan orang muda meminati dunia perniagaan Internet
ini. Mungkin ada sebab lain lagi sehingga sanggup menjadikannya sebagai
kerjaya tetap. Apa kata mereka kepada GEN.Y.
Hobi jadi duit“Saya
menjalankan perniagaan dalam Internet ini sejak dua tahun lalu dengan
menjual produk kecantikan dan kesihatan serta produk sampingan seperti
Korean Lens dan pakaian wanita.
“Mulanya saya jadikan perniagaan
ini sebagai hobi untuk menambahkan pendapatan kerana saya masih belajar
dan tidak mahu menyusahkan ibu bapa untuk memberikan saya wang
perbelanjaan.
“Selain itu, saya sendiri pengguna dan pelanggan
setia Korean Lens, kemudian saya terfikir untuk memulakan perniagaan
sendiri. Selepas itu saya mula mencari pembekal barangan berkenaan dan
menambah jualan produk yang lain untuk variasikan lagi perniagaan.
“Minat yang mendalam membuatkan saya tertarik untuk menjalankan perniagaan ini dan ingin mengumpul duit sendiri.
“Pernah
saya dituduh menjual produk tiruan hanya kerana meletakkan harga yang
rendah, sedangkan bagi saya tidak perlu untung yang banyak asalkan
pelanggan ramai. Walaupun persaingan tinggi namun saya percaya rezeki
yang Allah berikan,” katanya.
Nama: NurSyafiqah Mustafa Ma’arof
Umur: 21 tahun
Lokasi: Kuantan, Pahang
Facebook: lens.shopperholic
Cuba dulu baru jual“Mulanya
saya jadikan perniagaan atas talian ini sebagai satu hobi namun kini ia
satu kerjaya. Saya menjual produk kesihatan dan kecantikan, tiga produk
utama yang saya jual adalah Virgin Coconut Oil, Vitamin C dan Fellina
Inchloss Lotion.
“Saya memegang prinsip ‘cuba dulu, berkesan baru
jual kepada orang lain’ dan Alhamdulillah setelah mengamalkan kesemua
produk itu, saya berpuas hati dengan hasilnya.
“Masalah kesihatan
seperti alahan, jerawat dan sembelit semakin lama semakin hilang dan
saya juga tambah gembira apabila kebanyakan pelanggan turut berpuas hati
dengan produk yang saya jual.
“Saya menjalankan perniagaan ini
sejak tahun lepas secara kecilan melalui Facebook, sambutan yang sangat
menggalakkan membuatkan saya ingin menjalankan perniagaan ini secara
serius lalu saya membuka akaun Facebook baru khas untuk perniagaan ini
iaitu Laylie Beauty Care.
“Buat masa ini, saya menjadikan
perniagaan sebagai salah satu sumber pendapatan memandangkan saya masih
belajar dan hasil keuntungan dapat menampung perbelanjaan di universiti.
Maklumlah pelajar Sarjana, kosnya agak tinggi.
“Walaupun pada
mulanya hanya sebagai hobi tetapi saya menjalankan perniagaan ini secara
serius dan saya juga berniat untuk meneruskan perniagaan Internet ini
selepas tamat pengajian nanti,” katanya.
Nama: Suhaili Mohd Noor
Umur: 25 tahun
Lokasi: Taiping, perak
Facebook: Laylie Beauty Care
Inovatif bersaing“Tahun
ini sudah masuk ke tahun keempat. Saya menjual cermin mata jenama
Ibnusina Eyewear iaitu terapi rawatan mata yang mengambil hasil kajian
ilmuan Islam zaman dulu dan hasil kajian moden oleh pakar optometris, Dr
William Bates dan Dr Roberto Kaplan.
“Cermin mata ini juga
membantu mengurangkan kesan rabun jauh, rabun dekat, astigmatism dan
myopia dengan hanya perlu memakainya selama 15-30 minit sehari.
“Saya menjadikan perniagaan internet ini sebagai kerjaya kerana pendapatannya memang lumayan.
“Dengan
adanya perniagaan ini, memudahkan pelanggan untuk membeli barang tanpa
perlu ke pasar raya dan tidak perlu membazir minyak kereta, tenaga dan
menjimatkan lebih banyak masa.
“Saya melakukan perniagaan
Internet ini kerana tidak memerlukan kos yang tinggi untuk menyewa kedai
dan sesiapa saja boleh lakukan walaupun tiada pengetahuan yang luas
untuk berniaga.
“Perniagaan ini sama saja dengan perniagaan yang
biasa dilakukan di luar sana yang semestinya ada pesaing. Persaingan
bukan menjadi masalah malah membuatkan saya lebih berfikir secara
inovatif dan idea baru bagi melariskan jualan serta memberikan keyakinan
kepada pembeli untuk membeli produk saya.
“Saya juga sentiasa
memberikan servis terbaik buat pelanggan seperti menghantar barang
mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan.
“Untuk misi yang akan
datang, saya ingin memasarkan produk ini ke luar negara selain dapat
menjalinkan hubungan erat dengan pelanggan antarabangsa menerusi
Internet,” katanya.
Nama: Amirul Aizad Rusli
Lokasi: Taiping, Perak
Umur: 23 tahun
Laman Web: www.eshopbiz4u.com