Bagi sesetengah wanita, mungkin hanya memikirkan untuk bersara atau berehat di rumah bersama anak-anak dan cucu.
Berbeza pula bagi Timah kerana ada sesuatu yang bersarang di fikirannya lama sebelum hari-hari terakhir dia menamatkan perkhidmatannya.
Apa yang pasti, walaupun memilih untuk bersara awal dia tidak mahu duduk diam di rumah, sebaliknya ingin melakukan sesuatu yang amat diminati sejak muda.
Dia hanya akan berpuas hati jika impiannya itu terlaksana.
Sememangnya minat Timah terhadap bidang bakeri cukup mendalam, malah ketika masih bekerja lagi, dia sudah berniaga secara sambilan dengan menjual kek dan kuih-muih sejuk beku.
Memang hatinya begitu teringin hendak membuka kedai yang menjual kek dan bermacam-macam jenis kuih, tetapi keadaan tidak mengizinkan kerana kekangan kewangan dan anak-anak masih kecil.
Justeru, pada usia 44 tahun, dia menguatkan tekad berhenti kerja dan memberanikan diri memulakan perniagaan bakeri yang dinamakan Hidayah Bakery & Frozen Food dengan menyewa satu lot kedai di Taman Samudera, Batu Caves, Gombak, Selangor.
Perniagaan bakeri yang bermula pada tahun 1998 itu berjalan dengan lancar dan sambutan amat menggalakkan, membuatkan Timah menambah dua lagi lot kedai.
Kini setelah 17 tahun, nama Hidayah Bakery & Frozen Food semakin kukuh dan amat dikenali khususnya dalam kalangan masyarakat setempat.
Memandangkan sambutan dan permintaan yang tidak pernah putus daripada pelanggan, Timah berpindah ke bangunan sendiri yang terletak di tingkat bawah pangsapuri Sri Harmonis, Gombak.
Bertemu Timah di kedai empat lotnya itu, dia tampak ceria dan bertenaga. Pelbagai jenis kek seperti kek untuk minum petang, kek hari jadi, kek kahwin, roti dan ban, biskut dan kuih-muih sejuk beku dapat dilihat di situ.
Di bahagian belakang, pekerja-pekerjanya sedang sibuk membuat kek dan kuih-muih bagi memenuhi kembali rak yang semakin kosong setelah dibeli oleh pelanggan.
Menurut Timah, kek-kek yang dijual cukup laris seperti kek keju, kek pisang, kek walnut, kek badam, kek gula hangus, kek mentega, kek lapis pandan, mufin dan banyak lagi, yang memang dibuat setiap hari dan tidak disimpan.
Setiap hari adalah kek baru. Kek yang diletakkan di atas rak biasanya habis dibeli oleh pelanggan dan jika ada yang berlebih, tidak akan dijual semula.
“Kalau pelanggan mahukan kek yang masih panas dan baru dimasak, boleh datang ke sini. Daripada mula dibuka pukul 8.30 pagi hingga tutup 8.30 malam, akan ada sahaja pelanggan yang datang membeli.
“Selain untuk dimakan sendiri, ada juga yang membeli sebagai buah tangan, cenderahati atau dijamu untuk majlis kenduri dan sebagainya.
“Di sini terdapat dua produk utama kami, iaitu kek dan kuih-muih sejuk beku, iaitu karipap, samosa, pau, cucur badak, pulut panggang, kasturi, apam, gulungan sardin, donut dan banyak lagi.
“Kesemuanya ada 15 jenis. Selain menjual secara runcit, saya turut membekalkan kuih-muih ini untuk minum petang untuk empat buah sekolah berasrama penuh.
“Pelanggan yang hendak mengadakan sebarang majlis boleh juga membeli kuih baulu, kek lapis atau coklat sebagai cenderahati. Biskut pula dibuat sepanjang masa bukan hanya pada musim perayaan sahaja. Terdapat sebanyak 30 jenis biskut yang terdapat di sini,” kata ibu kepada tiga orang anak ini, iaitu Eddy, Doreen dan Ireen.
Tambah beliau yang turut dibantu oleh Ireen sebagai chef, kesemua resipi kek dan kuih-muih yang terdapat di bakerinya adalah resipi sendiri yang telah diolah semula mengikut cita rasa pelanggan yang menghendaki kek atau kuih yang kurang manis dan kurang pedas.
Ujar nenek kepada tiga orang cucu ini, Hidayah Azian, 9, Mikael Azian, 6, dan Lana Lutesa Eddy, empat bulan, tugasnya sebenarnya bermula malam sebelum kedai dibuka keesokan harinya.
Dia akan menyenaraikan kek atau kuih yang paling laris bagi diserahkan kepada pekerja-pekerjanya untuk disiapkan keesokan harinya.
Biasanya yang paling disukai pelanggan ialah kek hari jadi, kek pisang, kek gula hangus dan kek buah kukus.
Gembira dan berbangga dengan pencapaiannya hingga ke hari ini yang dianggap sebagai pencapaian terbesar kerana dapat membeli kedai sendiri, dia juga merancang untuk membuka pasar raya yang menjual kesemua produknya.
Pada masa depan Timah juga merancang untuk membina kompleks Hidayah di atas tanah sendiri di Gombak.
Ini ujarnya, bagi memudahkan pelanggan yang ingin mengikuti kelas dan bengkel masakan yang dibuat di kedai.
Pada masa ini, kelas masakan memang diadakan di kedai pada setiap minggu dan sering menerima kunjungan dan lawatan daripada persatuan-persatuan wanita dari seluruh Malaysia.
“Sudah lama saya menyimpan impian untuk memiliki kompleks di atas tanah sendiri tanpa menumpang di atas tanah orang lain. Lagi pun saya ingin menjadi contoh kepada usahawan Melayu yang lain, bahawa kita boleh berjaya jika rajin dan sanggup berusaha keras.
“Walaupun pada umur sekarang yang kebanyakan wanita lebih suka berehat namun bagi saya, banyak lagi yang perlu saya lakukan bagi membangunkan perniagaan ini,” kata wanita yang berasal dari Jerantut, Pahang ini.