Sunday, December 16, 2012

berniaga dari awal

Dari blog ke butik


TAMPIL dengan busana muslimah rekaannya sendiri, butik RSC mendapat sambutan sangat menggalakkan terutamanya daripada peminat blognya.


RINGKAS sahaja orangnya. Berblaus labuh rona kuning mustard, berskirt hitam dan berselendang gelap, Norazrina Mohd. Salleh, 27, banyak tersenyum ketika diajak berbicara.
Orangnya masih muda namun namanya cukup dikenali terutamanya oleh peminat pembeli-belah dalam talian. Tulang belakang di sebalik jenama Rina Salleh Clothing atau RSC ini popular sebagai butik maya yang menyediakan pelbagai rekaan busana muslimah.
Walaupun sebelum ini hanya beroperasi secara dalam talian, ia tidak menjadi halangan untuk koleksi rekaan anak kelahiran Subang Jaya, Selangor ini mendapat sambutan hangat.
Lebih membanggakan, RSC juga mempunyai kelompok peminat di luar negara seperti Singapura dan Ireland.
Kalau disusur semula cerita pembabitannya dalam perniagaan busana dalam talian, wanita yang mesra dengan pangilan Rina ini memberitahu, dia mula menjual tudung ketika menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor, beberapa tahun lalu.
"Mulanya rakan-rakan meminta saya membelikan tudung di Kuala Lumpur setiap kali pulang bercuti. Semakin lama semakin ramai pula yang menempah hinggakan ada masanya saya pulang bersama berpuluh-puluh helai tudung ke kampus.
"Dari situ, timbul keinginan untuk berniaga secara lebih serius. Selain menjual tudung, saya juga membantu rakan menjual kain di kampus. Alhamdulillah, sambutannya cukup mengalakkan.
"Saya juga semakin aktif membuka gerai dan berniaga di bazar-bazar untuk mencari duit poket," ujarnya yang suka mengisi masa lapang dengan membaca dan melayari internet.
Selepas tamat pengajiannya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Juruukur Bahan ini mula memasarkan tudung dan busana rekaannya melalui blog.
"Ketika saya bekerja sebagai juruukur bahan di sebuah firma swasta, saya suarakan hasrat kepada ayah untuk berhenti kerja dan fokus pada perniagaan internet memandangkan sambutan baik daripada pelanggan.
"Namun, ayah tidak mahu saya buat keputusan terburu-buru. Sebaliknya, dia mahu saya terus bekerja dalam masa lebih kurang setahun sebelum memutuskan perjalanan karier saya.
Risau tak laku
"Selepas satu tahun setengah menjadi juruukur bahan, saya mula tuntut pada ayah untuk berhenti kerja dan fokus pada perniagaan blog. Masa itu, hati saya memang sudah melekat pada perniagaan blog.
"Namun, tumpuan terhadap perniagaan RSC sedikit terganggu kerana pada masa itu saya terpilih sebagai finalis pencarian Gadis Melayu musim ketiga anjuran TV9 dan perlu menjalani kuarantin selama 10 minggu.
"Hati saya pada masa itu berbelah bagi. Kalau ikutkan hati, saya ingin tarik diri daripada pertandingan tersebut dan fokus pada perniagaan blog. Malah pada beberapa minggu pertama juga saya sering ditegur kerana kurang fokus kepada aktiviti yang dijalankan.
"Namun, selepas mengenangkan sokongan yang diberikan oleh keluarga, terutamanya ibu yang tidak mahu melihat saya buat kerja separuh jalan, saya tinggalkan sekejap soal perniagaan dan fokus kepada pertandingan Gadis Melayu," kata isteri kepada Afiq Iskandar, 26.

BIARPUN optimis dengan perniagaan butiknya, Rina masih lagi menawarkan jualan busana melalui internet bagi menyeimbangkan momentum perniagaannya.


Percaturan itu akhirnya berpihak kepada Rina. Selepas melalui pelbagai proses pembelajaran dan cabaran fizikal serta kerohanian dalam membentuk nilai-nilai kemelayuan, Rina dinobatkan sebagai juara Gadis Melayu pada Oktober 2010.
Kemenangan itu membolehkannya membawa pulang ganjaran berjumlah RM160,000 iaitu wang tunai RM30,000, set mutiara bernilai RM120,000, barangan elektrik bernilai RM10,000 serta trofi.
"Saya tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi untuk menang, lagipun saya tidak pernah menang dalam setiap cabaran yang diberikan. Mungkin kepetahan saya menjawab soalan berjaya menambat hati para juri," kata Rina.
Mengakui dirinya kini lebih berkeyakinan, pertandingan pencarian Gadis Melayu menjadikan Rina lebih menyedari potensi dirinya.
Selain kembali fokus kepada perniagaan, Rina juga sering mendapat jemputan daripada universiti-universiti tempatan untuk sesi perkongsian pengalaman dan tip berhias diri.
Sambutan
"Itu aktiviti sampingan sahaja. Fokus saya sekarang hanyalah pada RSC lebih-lebih lagi selepas saya membuka butik awal bulan lalu.
"Mulanya risau juga bila memikirkan sambutan yang bakal diterima memandangkan banyak butik muslimah telah dibuka di sini. Macam mana kalau baju saya tak laku sedangkan modal yang dilaburkan bukan sedikit?
"Syukur kerana butik ini mendapat sambutan. Malah ramai pelanggan blog sanggup datang dari jauh untuk membeli-belah di RSC.
"Malah, dengan adanya butik ini, pelanggan berpeluang mencuba busana yang ditawarkan selain kami dapat mengenali lebih rapat antara satu sama lain. Maklumlah, sebelum ini kami berhubung dalam blog sahaja," ujarnya ketika ditemui di butiknya di Seksyen 7, Shah Alam.
Mengimpikan untuk mengeluarkan sendiri busana muslimah yang ditempah khas untuk setiap pelanggannya, RSC menyediakan koleksi busana muslimah hasil rekaannya sendiri daripada tudung, blaus, jubah moden hingga ke aksesori wanita. Harga yang ditawarkan cukup berpatutan iaitu dari RM20 hingga RM200.
Dalam merealisasikan impiannya untuk memiliki butik perniagannya sendiri, Rina sering mengingatkan dirinya supaya tidak lupa kepada golongan yang memerlukan.
Lantaran itu, dia yang kini hamil empat bulan sering membawa koleksi busananya ke pertunjukan fesyen yang biasanya dianjurkan oleh komuniti usahawan blog di negara ini.
"Ini sumbangan kecil saya kepada golongan yang memerlukan. Hari ini hari mereka, harapnya andai tiba hari saya nanti, Allah akan permudahkan segalanya untuk saya," ujarnya yang menyerahkan seratus peratus kutipan yang diraih kepada badan amal antaranya Red Bubble iaitu pertubuhan kanak-kanak kanser dan sebuah rumah perlindungan anak-anak yatim di Gombak.

Sunday, December 9, 2012

daun kesum

Bekas pemandu bas sekolah jana RM3,000 sebulan hasil tanaman kesum

9 Disember 2012
KUALA TERENGGANU - Ramai orang tidak sedar bahawa pokok kesum yang tumbuh meliar di kawasan lembab dapat memberi pulangan lumayan jika diusahakan secara komersial.
Perkara ini dibuktikan oleh seorang bekas pemandu bas sekolah, Mohamad Ngah, 57, dari Kampung Tok Harun, Manir yang mengusahakan tanaman itu sehingga mampu menjana pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
Kesum banyak digunakan dalam masakan seperti laksa dan asam pedas.
Mohamad, berkata beliau mengusahakan tanaman itu sejak empat tahun lalu di kawasan seluas tiga suku hektar.
"Tahun pertama saya tanam, hasilnya saya boleh tunai haji, tahun kedua saya boleh beli kereta Proton Waja dan tahun ketiga boleh baiki rumah.
"Sementara tahun ini, saya jangka saya boleh RM40,000 sebab bulan Disember belum selesai lagi," katanya kepada Bernama.
Katanya beliau membina 30 batas tanaman itu dengan setiap satunya sepanjang 30 meter supaya dapat menuainya mengikut giliran batas setiap hari bagi memastikan bekalannya tidak putus.
Atas usahanya itu, beliau mampu memperoleh hasil antara RM80 hingga RM100 sehari.
"Alhamdulillah, rezeki lumayan tetapi kita kena kerja kuatlah sikit, tetapi tidak mengapa kerana hasilnya berbaloi," katanya.
Katanya, selepas solat Isyak, beliau dan isterinya Fatimah Ngah, 55, akan memulakan kerja menyusun daun kesum yang akan dijual dengan RM1 seikat di Pasar Borong Wakaf Mempelam, keesokannya.
Mohamad menanam kesum berdaun panjang kerana permintaannya amat tinggi berbanding kesum berdaun kecil.
Beliau yang juga ketua unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Padang tengir, Manir berkata kejayaannya itu bertitik tolak daripada menanam  sebatang pokok hingga ia berkembang seperti yang ada hari ini. - Bernama