Sunday, July 31, 2011

d wangi


Minyak wangi jana pendapatan

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto SAHARUDDIN ABDULLAH / SAFIANA SALIM (Pelatih UNISEL)


Pengasas Dd’s Perfume, Farahsuzie Suleiman (tengah) disamping model yang menunjulkkan produk perfume terbaru Dd's Perfume yang dilancarkan baru-baru ini di sebuah hotel Shah Alam, Selangor.

MELANGKAH ke musim perayaan, memberi inspirasi kepada pengeluar dan pengimport pati minyak wangi tanpa alkohol, Dd’s Perfume keluaran Genuine Strategies Sdn Bhd lahir dengan idea baru.

Pembaharuan dilakukan demi meningkatkan lagi penerimaan produk ini di kalangan pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat.

Ini termasuk meraikan pengedar-pengedar yang selama ini berusaha gigih meningkatkan jualan Dd's Perfume dalam satu majlis jamuan Aidilfitri bersama selebriti tempatan.

Menurut seorang pengedar, Norazira Mohd Noor, walaupun masih awal, permintaan terhadap produk tersebut semakin meningkat seperti larisnya buah kurma dan biskut raya.

Bagi Norazira , sambutan minyak wangi tanpa alkohol seperti Dd’s Perfume dijangka mendapat sambutan tinggi di bulan Ramadan.

“Sebagai pengedar baru saya berasa selesa kerana Genuine Strategies sentiasa memberi bimbingan kepada pengedar-pengedarnya tentang strategik perniagaan. Bahkan mereka tidak lupa meraikan pengedar menerusi jamuan berbuka puasa dan hari raya seperti yang mereka pada tahun lepas ,” ujarnya yang berjaya menjual hampir 100 kotak dalam masa seminggu.

Norazira berkata, langkah syarikat ini mengadakan aktiviti menyambut Aidilfitri bersama pengedar-pengedar merupakan satu inisiatif bagi menarik pelanggan baru serta membantu menjana pendapatan para pengedarnya.

Pratikal

Dalam pada itu, Ethi Nasyiyah Syahril yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan itu menambah, dia memilih produk Dd’s Perfume kerana ia praktikal, mempunyai pembungkusan yang menarik manakala aromanya tahan lama.

Malah, harga wangian itu yang berpatutan membolehkan wanita sepertinya memiliki haruman yang bertaraf antarabangsa di samping mampu menambah pendapatan keluarga dan meringankan beban suami. Jelasnya, ketibaan bulan Ramadan ini dilihat mampu memberi pulangan yang berlipat kali ganda kerana ia dilihat sebagai pelengkap kepada musim perayaan. Bagi penggemar minyak wangi yang ingin mendapatkan pati minyak wangi tanpa alkohol, Dd’s Perfume atau ingin mendapatkan maklumat lanjut untuk menjadi pengedarnya, hubungi Farah (012-3422271), Mimie (012-2332804) atau Ila Qirana (012-2420764).
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

ratu kosmetik


Sheena pewaris empayar kosmetik

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my



BUKAN mudah merealisasi sesi fotografi bersama si cantik manis ini. Hanya selepas beberapa kali dipujuk pembantu peribadi, Eddie Yahya, akhirnya Wanita Ikon 2007, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed mengizinkan puteri sulungnya muncul secara eksklusif buat kali pertama di dalam media.

Pastinya, bagi pihak Mingguan Malaysia, kami berterima kasih dengan kesudian beliau. Malahan turut rasa bangga kerana berjaya meyakinkan pemilik empayar kecantikan K-Life dan Kayla Beverly Hills itu bahawa buah hati yang diberi nama An-Nuurazafira Rasherinna ini perlu diberi pendedahan sedemikian rupa.

Mahu atau tidak, gadis pemalu berusia 23 tahun itu bakal menggalas tanggung-jawab besar untuk mewarisi perniagaannya suatu hari nanti. Dan kini, sebagai Akauntan Eksekutif di syarikat ibunya, dia harus didedahkan dengan selok-belok dunia perniagaan sebenar yang penuh cabaran.

Gementar dan malu, itu jawapan pertama yang terbit dari bibir mungil gadis yang mesra disapa sebagai Sheena saat ditanya perasaannya.

“Maaf kak, saya tak pandai beraksi. Nanti tolong ajarkan caranya,” katanya merendah diri ketika wajahnya dioles jurusolek.

Banyak perkara yang kami bualkan. Dari cerita mengenai perniagaan hingga kepada hobi dan cara dia menghabiskan masa mudanya.

Bersosial

Kata Sheena, dia tidak pandai bersosial. Teman baiknya adalah adik-beradik dan selepas pulang dari pejabat, dia hanya menghabiskan masa di ‘singgahsana’ milik keluarga.

Tambahnya, dari kecil dia tidak dimanjakan dengan kemewahan. Kesusahan yang ditempuhi ketika dulu menjadikan mereka tidak mahu mendabik dada dengan kesenangan yang dimiliki kini.

“Mommy sentiasa ajar kami berusaha untuk mendapat apa yang diingini,” kata lulusan University of Adelaide, Australia ini.

Bagi Sheena, ketika remaja lain tergila-gila barangan berjenama, dia pula tidak memilih.

Apa yang dirasakan cantik dan sesuai dengan diri, dia akan mendapatkannya. Dia juga tidak kisah untuk menikmati hidangan di gerai-gerai tepi jalan asalkan ia enak.

Rancak bercerita mengenai karier, Sheena berkata, masih terlalu banyak yang dia perlu pelajari mengenai selok-belok perniagaan.

Bukan setakat bagaimana menguruskannya, malahan dia juga mendalami ilmu kecantikan termasuk menelaah produk dibawah jenama keluaran syarikat mereka.

“Sheena jadikan mommy sebagai idola. Dia mahir dalam banyak perkara, bagi Sheena, dia seorang ibu yang sempurna,” katanya.

Friday, July 8, 2011

Marina


Tuah Marina dalam pertanian

Oleh LAUPA JUNUS
laupajunus@hotmail.com
Gambar Djohan Shahrin Shah


Marina Nasir dan Mohamed Firdaus Mokhtar kini boleh berbangga dengan pencapaian projek pertanian sayur-sayuran yang mereka usahakan di sijangkang.

Mungkin ramai pengusaha pertanian atau usahawan yang pernah melalui saat getir. Jatuh dan bangkit semula sama ada dalam bidang perniagaan yang sama atau berjaya selepas beralih ke bidang lain.

Itu pun selepas lama menceburkan diri, gagal dan selepas mencapai usia tertentu. Kadangkala datang perasaan putus asa lantas mengambil keputusan untuk berundur.

Namun, tuah mungkin menyebelahi Dewi Marina Nasir, 27, yang mencuba banyak cabang perniagaan tetapi tidak begitu berjaya pada awalnya. Tetapi berkat ketabahan dan kegigihan, beliau akhirnya boleh menarik nafas lega.

Beliau yang mesra dipanggil Marina menceburkan diri dalam perniagaan kecantikan pada awalnya meskipun memiliki kelayakan akademik dalam pengurusan pelancongan.

Mengimbau kembali saat menceburkan diri dalam perniagaan, Marina, anak kelahiran Johor itu memberitahu beliau pernah bekerja sebagai penyelaras pelancongan bermula tahun 2003.

Minatnya dalam perniagaan muncul selepas bekerja dalam industri tersebut dan mula mencongak bidang yang dapat menambat jiwanya.

Semangat yang sudah berputik itu tidak dipersiakan. Lantas dalam usia yang begitu muda dia membuka salun kecantikan pada 2005.

Beroperasi selama tiga tahun iaitu sehingga 2008, meskipun salun berkenaan menunjukkan tanda-tanda untuk berkembang, Marina bagaimanapun melihat peluang lain yang dirasakan mendatangkan pulangan lebih baik .

"Cabarannya besar tetapi saya rasakan sesuatu yang lebih baik. Selepas terbaca iklan dalam sebuah akhbar berkaitan kursus penanaman cili saya menyertainya," ungkap Marina.

Berkongsi lebih lanjut pada pertemuan itu yang turut ditemani suaminya, Mohamed Firdaus Mokhtar, 27, Marina berkata, dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan asas dan pengalaman dalam bidang pertanian.

"Saya redah sahaja, tapi saya yakin. Pertanian moden bukan lagi menggunakan cangkul," katanya ketika ditemui di ladangnya di Sijangkang Selangor.

Kerana berasakan diri daif dalam pertanian, dia mendapatkan bantuan lanjut daripada Insitut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenai penanaman cili khususnya teknologi fertigasi.

Teknologi penanaman fertigasi merujuk kepada kaedah yang menggunakan sistem pengairan dan pembajaan serentak yang disalurkan terus kepada pokok menggunakan paip khas.

Baja dicampur dengan air dalam satu tangki khas pada kadar yang telah ditetapkan dan disalurkan mengikut keperluan pokok.

Selepas memperoleh maklumat tambahan dan memahami serba sedikit teknologi penanaman cili, Marina tidak menoleh ke belakang lagi.

Selepas menjual salunnya, dia sudah mula mengumpul modal hasil jualan tersebut dan mendapatkan sumber lain hasil simpanan peribadi dan meminjam daripada keluarga serta saudara mara.

Hasilnya, sebanyak RM70,000 berjaya dikumpulkan. Bagi memulakan usaha beliau menubuhkan syarikat Green Agro World yang beribu pejabat di Klang Selangor.

Selain menjadi penggerak kepada projek penanaman cili, syarikat terbabit juga membekal dan menjual hasil pertanian dan penternakan, menjual peralatan pertanian serta menjual, memborong dan mengedar produk industri kecil dan sederhana (IKS).

Selaku Pengarah Projek, Marina berperanan penting bagi memastikan cita-citanya untuk maju dalam bidang perniagaan tercapai, apatah lagi pertanian merupakan bidang baru baginya,

Suaminya pula memberi tumpuan menyediakan kelengkapan infrastruktur dan logistik selain membantu Marina mencari pasaran.

"Saya bermula di Jalan Tanjung (Sijangkang) dengan menyewa tanah pada peringkat awal dengan dibantu tiga orang pekerja berkeluasan satu hektar atau dengan kapasiti 4,000 pokok cili.

"Tidak lama selepas itu, tiga hektar lagi dibuka dengan kapasiti 12,000 pokok di Jalan Mawar," ujarnnya.

Sehingga kini dia mempunyai 24 hektar kawasan penanaman cili fertigasi baka kulai di sekitar Sijangkang dengan 10 hektar mengandungi 4,000 pokok cili manakala 14 hektar lagi ditanam 5,000 pokok cili sehektar.

Marina bertuah kerana dia mendapat bimbingan pakar penanaman cili secara fertigasi dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mahamud Shahid.

Kata Marina, meskipun dia mendapat bimbingan dalam penanaman cili menggunakan struktur pelindung hujan (SPH), dia tidak mengaplikasikan sistem SPH bagi mengurangkan kos pembangunan.

Marina juga mendapatkan bimbingan daripada Agrobank dalam aspek pengurusan selain mendapatkan pinjaman RM50,000 daripada bank terbabit menerusi skim mikrokredit pada 2009.

Kini dia mampu mengeluarkan antara 700 kilogram cili sehari dan bercadang meningkatkan pengeluaran kepada 26 tan sebulan pada hujung tahun ini.

Setiap pokok cili yang ditanam pula mampu mengeluarkan 120 buah cili atau empat kilogram semusim.

Beliau banyak memasarkan cili ke pasar borong dan bagi mengekalkan pengeluran agar lebih stabil penanaman dilakukan secara berjadual supaya pengeluaran sentiasa ada.

Dalam pada itu, bagi meminimumkan kos operasi, Marina mengggunakan pendekatan kitar semula cocoa peat sebagai medium penanaman.

Sabut kelapa yang telah digunakan, dikitar semula sebagai medium penanaman untuk musim seterusnya selepas proses rawatan yang teliti.

Untuk tujuan itu, syarikatnya telah membeli tiga mesin yang boleh mengitar semula sehingga 100 polibeg sehari.