Sunday, May 29, 2011

Anak Yatim Hulu Langat

Iktibar tragedi anak yatim Hulu Langat

KEJADIAN tanah runtuh yang mengorbankan 16 orang di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Hulu Langat bukan sekadar menyayatkan, tetapi menuntut kita untuk melihat lebih jauh daripada setakat menyiasat punca tragedi.

Ia seolah-olah menggamit kita, termasuk pihak kerajaan untuk meneliti setiap perkara yang berbangkit dan dibangkitkan. Jika tidak dibangkitkan, bolehlah juga difikirkan apa jua yang relevan dengan kebajikan anak-anak yatim secara menyeluruh.

Satu tulisan di Utusan Malaysia pada 25 Mei lalu mengocak fikiran pembaca. Diulang siar sebahagiannya:

"Pesanan SMS yang diterima pagi semalam daripada seorang kenalan terus mengejut benak fikiran saya ketika menelek akhbar tentang nasib anak-anak di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, Selangor.

"Katanya, semasa anak-anak yatim itu hidup, mereka tidak dijaga sendiri oleh ibu bapa. Mereka dihantar ke rumah kebajikan itu. Di sana mereka diserah kepada ustaz untuk diberi makan minum dan dididik dengan ilmu agama. Senang cerita tahulah pihak asrama dan madrasah itu hendak mencari dana untuk memelihara anak-anak mereka.

"Jadi soal makan minum, pakaian dan kesihatan sudah ada orang yang ambil peduli. Tidak perlu risau apa-apa lagi. Semua ditanggung beres.

"Maka dengan kemudahan sedia ada, ibu atau bapa serta saudara mara tidak datang menjenguk pun tak apa. Bukan sebulan sekali menjenguk anak-anak yatim, malah ada yang sudah terlalu lama hingga berbelas tahun tak datang bertanya khabar anak-anak sendiri.

"Paling malang, apabila anak-anak yatim itu meninggal dunia kerana tertimbus tanah bukit yang runtuh menimpa mereka, ada waris-waris tanpa segan silu terima wang simpati. Kata kenalan saya itu lagi, wang itu setelah diterima patut disumbang semula ke rumah anak yatim."

Pada hari yang sama turut disiarkan berita: '' Lebih RM 1 juta dijangka dikumpulkan sempena sambutan Hari Belia Negara bagi membantu keluarga mangsa kejadian tanah runtuh Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Hulu Langat, Selangor Sabtu lalu yang mengakibatkan 16 orang terkorban,".

Mencongak

Dua laporan ini boleh mendorong pembaca untuk mencongak berapa banyak sumbangan yang diberikan kepada waris-waris dan rumah anak yatim di Hulu Langat itu. Jika kutipan sudah terlalu banyak, tidakkah juga layak disalurkan kepada anak-anak yatim di tempat lain?

Maka hamba ingin mengajak semua pihak, termasuk kerajaan dan Majlis Hal Ehwal Agama Islam negeri, melihat kepada nasib dan kebajikan anak-anak yatim secara lebih menyeluruh, bukan sekadar di Hulu Langat sahaja. Cuba kita jawab soalan-soalan berikut:

Berapa ramaikah anak yatim yang perlu dibantu di seluruh negara? Ada berapa buah rumah anak yatim? Adakah rumah-rumah anak dibantu secara bersistem, dengan adil dan saksama? Adakah mana-mana pihak yang mengambil tahu secara terurus dan berpusat mengenai hal ehwal anak yatim ini? Tidak mungkin tiada anak yatim yang tercicir daripada menerima bantuan.

Sekurang-kurangnya di peringkat negeri patut ada pihak berkuasa yang mengambil tahu semua hal anak yatim. Adakah ia menjadi tanggungjawab Jabatan Agama Islam atau Jabatan Kebajikan Masyarakat?

Tahukah kita bahawa terdapat rumah-rumah anak yatim yang kaya kerana berlokasi di bandar raya serta mendapat tajaan syarikat-syarikat besar dan para jutawan. Jika ingin menghulurkan bantuan kepada mereka, jangan tawarkan beras atau pakaian. Semuanya ditolak, kecuali wang ringgit sahaja.

Dalam masa yang sama, masih banyak rumah anak yatim yang daif dan dahagakan apa jua bantuan sama ada makanan atau pakaian yang sudah dipakai. Ada juga rumah anak yatim meminta bantuan kewangan daripada baitulmal, tetapi lambat menerima bantuan atau jumlah yang diberikan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Ada juga rumah anak yatim sangat agresif mengutip derma. Hampir di setiap stesen minyak ditempatkan remaja yang akan menghampiri setiap pemandu untuk merayu belas ehsan. Mereka ini dikerahkan dari Kedah ke bandar-bandar utama di seluruh Semenanjung pada setiap hujung minggu bermula hari Khamis. Menimbulkan pertanyaan, tidak pernah cukupkah sumbangan yang diterima?

Selain mereka, ada pula pengutip-pengutip derma profesional untuk rumah anak yatim yang menunggu di pintu-pintu bank setiap hari.

Dalam masa yang sama, di kebanyakan masjid terdapat tabung derma untuk anak-anak yatim. Biasanya tabung ini menerima lebih banyak sumbangan terutama pada bulan Ramadan. Ke mana wang ini disalurkan? Adakah ia hanya diagihkan setahun sekali kepada anak-anak yatim kariah masjid itu menjelang Aidilfitri? Kutipan antara masjid tentulah berbeza kerana ada yang ramai ahli kariah orang kaya.

Alangkah baiknya jika sumbangan orang ramai ini diuruskan secara berpusat, dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam atau Majlis Hal Ehwal Agama Islam negeri. Diagihkan bersama wang zakat dengan adil kepada anak yatim dan miskin, sama ada yang tinggal dengan keluarga atau menghuni rumah anak yatim.

Sesungguhnya Islam meletakkan kebajikan anak-anak yatim di makam amal soleh yang tinggi.

Mereka bertanya tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: "Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan." Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya. - 2 (Al Baqarah): 215

Kita umat Islam di Malaysia mempunyai keprihatinan yang amat tinggi terhadap nasib anak-anak yatim. Percayalah bahawa tiada siapa yang mampu, tidak pernah menghulurkan bantuan kepada mereka. Cuma yang diperlukan sebagai penambahbaikan ialah satu sistem pengurusan berpusat yang efisien untuk memastikan pengagihan yang lebih adil dan menyeluruh, tanpa pembaziran, ketirisan dan penyelewengan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Mat Jamil


Keajaiban bakat Mat Jamil

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto SHAHRIL AZMAN ZAIN


Mat Jamil Ramli

CAMPURAN warna terang dicalitnya secara spontan dan yakin di atas kertas. Tidak sedikit pun berasa terganggu dengan kehadiran pengunjung di sisinya, Mat Jamil Ramli, 26 sebaliknya memberi fokus penuh kepada lukisan di depan mata ketika ditemui di pejabat Artis Pelukis Mulut dan Kaki (MFPA), Ampang Park, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini .

Satu demi satu garisan yang dicalit itu membentuk imej ayam. Usaha anak kelahiran Terengganu sebenarnya layak dipuji.

Lahir dengan tanpa kedua-dua belah tangan, Mat Jamil bukan sahaja tidak mensia-siakan bakat semula jadinya itu, malah dia dilatih untuk menggunakan seni sebagai mengasah daya kreativitinya.

Sejak umur tujuh tahun, dia telah belajar cara bersendirian menggunakan kakinya untuk melukis dan mewarna.

Bekas ahli sukan Paralimpik mewakili negeri Terengganu, dia tidak pernah patah semangat dan percaya kepada kebolehan diri sendiri.

Tiga tahun lalu, dia memenangi Anugerah Khas Panel Penilai Anugerah Belia Felda Malaysia (ABFM) 2008.

Ketika itu, Jamil terharu dan terkejut dengan pengiktirafan kali pertama itu walaupun tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan atas sumbangan ikhlas dalam aktiviti belia.

Mat Jamil yang menyertai MFPA sejak 2003 membuktikan golongan orang kelainan upaya

( OKU ) setanding dengan insan normal lain jika ada kesungguhan dan keyakinan.

“Golongan OKU tidak harus berasa rendah diri. Kita perlu tunjukkan pada masyarakat bahawa kita mampu buat apa yang orang normal buat.

“Apa yang penting ialah kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dan mempunyai minat yang tinggi untuk mencapai sesuatu kejayaan," ujar ahli Persatuan Belia Felda Bukit Bading, Terengganu itu.

Sepanjang menghasilkan karya lukisan, Mat Jamil banyak merujuk kepada internet untuk mencari idea-idea baru.

Ditanya bagaimana dia boleh mahir melukis dan melakukan aktiviti harian menggunakan kaki, Mat Jamil berkata, dia sudah biasa melakukannya sejak kecil lagi.

Minat dan bakat yang lahir semula jadi daripada dirinya tidak pernah disia-siakan, Mat Jamil mula terfikir untuk mencari sumber pendapat sendiri.

Atas dorongan keluarga dan rakan-rakan, Mat Jamil yang menyertai latihan kemahiran di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Orang Kelainan Upaya di Bangi, Selangor.

Sejak itu, Mat Jamil menghasilkan pelbagai lukisan untuk dijual menerusi MFPA.

Bagi mendapatkan sokongan pelanggan, Mat Jamil akan menulis surat menggunakan kaki sendiri untuk memohon bantuan.

“Sokongan orang ramai dapat membantu diri sendiri dan menggalakkan kami untuk menghasilkan lukisan-lukisan untuk kad ucapan, kalendar dan produk lain. Selain menambah pendapat, hasil belian lukisan dapat membantu saya dan rakan-rakan pelukis mulut dan kaki yang lain meneruskan usaha,” katanya yang meminati lukisan alam sekitar yang menggambarkan kehijauan.

Baginya, melukis dapat memberi kepuasan lebih-lebih lagi apabila berjaya menghasilkan karya seperti yang dia bayangkan.

Berdikari

Anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik ini juga tidak takut hidup berdikari di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur. Walaupun pada awalnya timbul rasa malu dan tersisih, Mat Jamil tidak pernah putus asa.

Kini dia menyewa sebuah rumah dan tinggal dengan kawan-kawan yang normal.

“Alhamdulillah, mereka menerima saya. Sekarang saya tidak ada lagi rasa malu tetapi yakin untuk meneruskan kehidupan.

Kalau saya makan di restoran pun, saya boleh menggunakan tangan seperti orang lain. bahkan menjawab dan menaip pesanan ringkas telefon bimbit pun saya tiada masalah,” katanya.

Nasihatnya kepada OKU yang lain, golongan ini perlu membuang rasa malu kerana peluang untuk berjaya ada di mana-mana sahaja.

Minat lumba kereta

Dalam diam-diam, Mat Jamil sebenarnya peminat setia perlumbaan kereta. Hasil usahanya melukis, dia berjaya mengumpul duit dan membeli sebuah kereta Honda Civic.

Mungkin rama yang tertanya-tanya, bagaimana seorang pemandu kereta tanpa tangan memandu kereta? Bagi anak muda ini, tiada yang mustahil jika ada usaha dan kesungguhan.

Selain menyertai Kelab Honda Civic Malaysia, Mat Jamil telah melakukan ubah suai keretanya supaya dia dapat memandunya.

Mungkin tidak seperti keadaan kereta lumba lain, Mat Jamil berhasrat impiannya itu akan tercapai suatu hari nanti.

“Saya memang meminati dunia permotoran atau kereta ini sejak kecil lagi. Alhamdulillah, saya berjaya mengumpul duit dan membeli sebuah kereta. Selain memenuhi impian, saya juga dapat pergi ke mana sahaja termasuk balik ke kampung, Terengganu dengan memandu diri sendiri,” katanya sambil tersenyum.

Friday, May 27, 2011

Minyak Wangi

Usahawan minyak wangi

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my

USAHAWAN Melayu kini semakin berani dan kreatif dalam memilih perniagaan yang diceburi.

Kalau sedekad dulu boleh dikatakan tidak ada orang Melayu dalam pengeluaran minyak wangi tetapi kini mereka bukan sekadar pengedar bahkan mampu menjadi pengeluar dengan membina jenama sendiri.

Walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman apatah lagi pengetahuan di dalam bidang tersebut, ternyata ia bukan satu masalah besar kerana masih boleh dipelajari sama ada melalui pengamatan, pengalaman atau Internet.

Ini juga yang dibuktikan oleh Norsyafafwati Ahmad, 26, apabila perniagaan pengeluaran minyak wangi yang diusahakan bersama adiknya, Norasraf Ahmad, 22, sejak tahun 2009 membuahkan hasil. Malah ia telah berkembang ke negara jiran, Indonesia.

Begitupun, perniagaan yang bermodalkan RM65,000 ini bukan satu yang mudah tambahan pula ia berkonsep borong membabitkan kuantiti pengeluaran yang besar.

Menurut Norsyafafwati, mereka mendapatkan pati minyak wangi dari Mesir sebelum dibotolkan semula oleh syarikat mereka, Raffahmed Enterprise.

"Pati minyak wangi yang diperoleh merupakan pati gred A dan ia 100 peratus minyak wangi tanpa alkohol.

"Selain itu wanginya turut dijamin tahan sehingga 24 jam dan kami menjualnya secara borong,'' ujar Norsyafafwati ketika ditemui baru-baru ini.

Apa yang menarik untuk dikongsi bersama ialah latar belakang masing-masing di mana Norsyafafwati mempunyai kelulusan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas), Jitra, Kedah manakala adiknya, Norasraf berkelulusan Mekanikal dari Politeknik Seberang Perai Utara.

Keyakinan diri dan ketabahan kedua-dua beradik ini harus diberi pujian kerana mereka sanggup mengharungi segala kepayahan dan tanggung segala risiko apabila melibatkan diri dalam dunia perniagaan tanpa sebarang pengalaman.

Kesungguhan mereka seharusnya dijadikan contoh di kalangan anak-anak muda hari ini untuk tidak hanya bergantung kepada kelulusan semata-mata bagi mengharungi kehidupan pada masa hadapan.

Apabila ditanya mengapa memilih untuk melibatkan diri di dalam dunia perniagaan, jelas Norsyafafwati, selain tidak suka makan gaji, perniagaan merupakan satu bidang yang dianggap mencabar dirinya kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi untuk memperoleh sesuatu kejayaan.

Di samping itu juga, ibu kepada seorang cahaya mata itu turut mencabar diri sendiri bagi memastikan apa yang diusahakan tidak hanya separuh jalan.

"Saya memilih untuk memasarkan produk berasaskan wangian kerana mempunyai prospek yang bagus dan boleh berjaya pada masa hadapan.

"Dalam masa yang sama, saya amat meminati wangian. Sudah pasti apa yang diminati akan menjadikan kita lebih mengambil tahu dan ingin mempelajarinya.

"Dan hari ini, Alhamdulillah walaupun perniagaan ini baru bertapak setahun lebih, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

"Sehingga kini kami sudah mempunyai 50 pengedar dari seluruh negara,'' katanya lagi.

Memasarkan produk dengan menggunakan jenama Raff Frangrances, ia hanya boleh dibeli melalui Internet.

Dijual pada harga RM35 untuk satu kotak yang mengandungi empat botol dengan setiap satunya seberat lima mililiter, bagi mereka yang berminat boleh mendapatkannya dengan membeli 15 kotak (minimum).

Mereka yang berminat bolehlah layari blog di http://raffragrances.blog.spot.com atau Zaidie ditalian 012-4680670.

Kek Pop


Kek pop Amezah

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar HAFIZH KHOSMAT


Amezah Kassim menunjukkan pelbagai bentuk dan rekaan kek pop hasil kreativitinya.

BERBANDING dengan kek cawan, populariti 'kek pop' dianggap masih baru di kalangan penggemar kek di negara ini. Ia juga dikenali sebagai 'Kek Pop Pahar' kerana dicucuk dengan batang lolipop supaya lebih mudah dipegang ketika makan.

Kek ini bukan sahaja comel malah boleh didapati dalam pelbagai bentuk, warna dan hiasan. Malah ia boleh disesuaikan dengan apa juga tema majlis.

Amezah Kassim, 29, merupakan salah seorang pembuat Kek Pop Pahar di Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun cuma sejak setahun yang lalu sahaja dia mempromosi kek ciptaannya menerusi Internet cakepopkl.blogspot.com.

Jelas Amezah, dia mula jatuh cinta dengan kek pop ketika melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat.

Ketika di sana beliau mengambil peluang membeli beberapa buah buku cara membuat kek pop yang sememangnya sudah popular di sana.

Sekembalinya ke tanah air, Amezah mencuba menghasilkan kek pop sendiri sehingga berjaya.

''Selama dua bulan juga saya mempelajarinya. Daripada membuat kek sehingga kerja-kerja membalutnya dengan coklat dan kemudiannya menghiasnya,'' katanya ketika ditemui di Andalucia Pantai Hill Park, Jalan Pantai Permai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Amezah pada peringkat awal, dia cuma membuat kek pop untuk tempahan di kalangan saudara-mara dan rakan-rakan.

Katanya, ketika itu masih di peringkat percubaan di mana dia masih memerlukan masa untuk betul-betul mahir dalam menghasilkannya.

Disebabkan kek itu kecil maka cara membuatnya memang rumit dan memerlukan kesabaran dan ketelitian.

Katanya, kek pop pahar itu sesuai untuk semua majlis termasuk pertunangan, perkahwinan, hari lahir, baby shower, bachelor party dan sebagainya.

Berikutan itu, katanya, kek itu antaranya boleh didapati dalam bentuk buah strawberi, kartun, ladybird, ikan, bola ragbi, bibir dan haiwan.

''Biasanya kek pop pahar ini akan dihasilkan mengikut tema majlis yang mahu diadakan oleh pelanggan.

"Saya akan memberikan cadangan hiasan kek yang sesuai,'' katanya.

Kata Amezah, ramai yang tertarik untuk menempah kek pop kerana ia bukan sahaja cantik tetapi mudah disediakan kepada tetamu.

Bagaimanapun kata Amezah setakat ini beliau hanya menerima tempahan di sekitar Lembah Klang kerana penghantaran jauh akan menyebabkan kek itu rosak.

"Biasanya kek pop yang ditempah ini akan lengkap dengan bekas yang disesuaikan dengan tema majlis yang bakal diadakan,'' ujar Amezah.

Katanya, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menempah kek dalam tiga perisa iaitu vanilla, coklat dan merah baldu .

Harga kek pop pahar serendah RM2.50 dan setiap tempahan juga harus diberitahu dua minggu lebih awal.

''Saya juga memberikan pilihan kepada pelanggan yang tidak suka manis untuk menempah kek tanpa gula,'' katanya.

Katanya, kek ciptaannya dapat bertahan selama seminggu jika diletakkan di luar peti sejuk.

Jelas Amezah, sesiapa yang berminat untuk menempah boleh menghubunginya di talian 019 2131105 atau menghantar emel cakepopkl@yahoo.com.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Pencabut Bulu

Tanggal bulu berlebihan

Oleh ZUHAYATI YAZID

BULU roma yang lebat dan panjang mungkin dipandang 'macho' di kalangan kaum lelaki. Mereka dikatakan, 'kurang' lelaki jika tiada bulu pada badan.

Pendek kata, lelaki bermisai, berjanggut dan berjambang suatu yang lumrah dan boleh diterima ramai.

Sebaliknya, bagi wanita pula ia sesuatu yang malang dan tidak diingini. Memiliki bulu roma yang lebat dan panjang di betis, sungguh tidak menyenangkan. Usah disebut kalau kelihatan seperti misai atau side-burn, sungguh mengaib dan menyeksakan!

Apa tidaknya, acapkali bulu-bulu yang tidak diingini ini mulai tumbuh, anda perlu mencukur . Jika tidak, tentu mencacatkan wajah, merencatkan penampilan tatkala memakai skirt.

Kini permasalahan itu tidak perlu dirisau lagi kerana body natur sensititive hair removal Wax Strips mampu mengatasi masalah bulu-bulu yang berlebihan dengan cara yang mudah.

Hanya tampal di tempat yang mempunyai banyak bulu dan tarik dengan lembut.

Formula baru ini turut dipertingkatkan bertindak untuk melembutkan folokel bulu roma supaya mudah ditanggal dengan bantuan spatula, agar kulit tidak tercalar dan luka.

Kepingan peluruh bulu roma juga membantu menjadikan kulit licin, lembap dan terasa lembut apabila disentuh.

Ia juga dirumus dengan tekstur selembut sutera yang senang dicabut pada kulit supaya pengguna boleh merasai kecantikan dalam masa beberapa minit sahaja.

Sebagai jenama peluruh bulu roma wanita, Body Natur Sensitif sentiasa menyediakan cara yang berkesan dan menyenangkan untuk wanita di seluruh memastikan kulit mereka sentiasa licin dan tersa cantik menawan.

Didatangkan dengan empat varian lain untuk membelai kulit yang berlainan.

Kini boleh didapati di semua kedai farmasi dan gedung runcit utama pada harga RM15.90.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Penoreh Jadi Tokeh


Penoreh getah jadi usahawan

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my


Salina Zainal Abidin memotong tauhu yang siap di bengkelnya di Kampung Rambai Tujuh, Kuala Kangsar, Perak, kelmarin. - utusan/Hashim P.Mamat

KUALA KANGSAR 26 Mei - Penyertaan bumiputera dalam pembuatan makanan tauge dan tauhu amat kecil berbanding kaum lain.

Ketiadaan pengalaman, pengetahun serta modal merupakan antara faktor menyebabkan golongan bumiputera masih kurang menyertai bidang perniagaan yang sebenarnya mudah diusahakan dan menguntungkan itu.

Menyedari peluang serta prospek besar bidang itu dalam meningkatkan taraf ekonomi masyarakat bumiputera, beberapa agensi kerajaan telah mengorak langkah menyediakan latihan dan bimbingan bagi membolehkan golongan tersebut menceburi bidang berkenaan.

Salah satu agensi yang giat melatih dan melahirkan usahawan bumiputera dalam bidang pembuatan taugeh dan tauhu itu adalah Jabatan Pertanian Malaysia.

Usaha tanpa kenal erti penat lelah telah menghasilkan beberapa usahawan Melayu berjaya termasuk Abdul Aziz Abdullah, 52, dari Kampung Rambai Tujuh dekat sini.

Ayah kepada lima anak yang dahulunya merupakan seorang penoreh getah kini boleh berbangga menjadi usahawan taugeh dan tauhu hasil latihan, bantuan kepakaran serta modal daripada Jabatan Petanian Malaysia.

Menurut Abdul Aziz, kejayaan hari ini tidak sesekali pernah diimpikannya, apatah lagi jika memikirkan latar belakang diri yang tidak mempunyai pengalaman dalam dunia perniagaan.

Katanya, harga getah yang rendah 10 tahun lalu serta tidak menentu membuatkannya sentiasa memikirkan cara terbaik meningkatkan pendapatan keluarga.

"Apabila saya berpindah ke sini, saya bertekad melakukan sesuatu dalam perniagaan dan bidang pembuatan taugeh dan tauhu menjadi sasaran utama.

"Selain merupakan antara makanan utama masyarakat setempat termasuk digunakan oleh penjaja, kesukaran mendapatkan produk yang terjamin kebersihan dan status halalnya menguatkan lagi semangat mengusahakan perniagaan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Bercerita mengenai penglibatan awalnya, Abdul Aziz memberitahu, semuanya bermula secara kecil-kecilan selepas berpindah ke kampung isterinya, Salina Zainal Abidin, 44, di Kampung Rambai Tujuh itu.

Selepas memperlihatkan kemajuan, katanya, sedikit demi sedikit dia mendapatkan bantuan pihak berkaitan khususnya Jabatan Pertanian yang membantu membina tempat serta menyediakan peralatan memproses taugeh dan tauhu berjumlah RM20,000.

Katanya, sebagai pengusaha tunggal bumiputera, dia bukan sahaja perlu memenuhi permintaan masyarakat setempat dan peniaga di pasar besar di sini tetapi turut di kawasan Rehat dan Rawat Dataran Sungai Perak di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat sini.

"Sambutan memang menggalakkan tetapi ia sepatutnya boleh diperluaskan jika mendapat sokongan sepenuhnya peniaga dan penjaja Melayu," katanya.

Abdul Aziz berkata, untuk menghasilkan taugeh memerlukan masa selama enam hari, manakala tauhu hanya dihasilkan dalam tempoh empat jam.

Menurutnya, langkah pertama menghasilkan taugeh adalah dengan merendamkan biji kacang hijau, sebelum dibuang air dan kemudian direnjis sekali lagi dengan air bagi menghasilkan taugeh tersebut.

"Proses menghasilkan tauhu bermula dengan merendam kacang soya hingga lembut sebelum diproses dan dibentukkan menjadi tauhu.

"Setiap hari, l2 kilogram (kg) kacang hijau berharga RM1.25 sen sekilogram dan tiga kilogram kacang soya berharga RM72 diperlukan bagi menghasilkan l00 kg taugeh dan 800 hingga l,000 keping tauhu," katanya.

Katanya, setiap taugeh tersebut dijual pada harga RM1.50 sekilogram dan tauhu 30 sen sekeping sama ada secara runcit atau borong.

Bagi memastikan setiap pelanggannya mendapat bekalan tepat pada masanya, beliau perlu keluar seawal pagi memasarkan tauhu dan taugeh di bawah jenama Rambai Tujuh yang diambil sempena nama kampung berkenaan.

Abdul Aziz yang dibantu oleh tiga pekerja termasuk isterinya, berkata, usaha gigihnya pernah mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai salah seorang pemenang Peladang Jaya daerah Kuala Kangsar dan Anugerah Usahawan Jaya Parlimen Kuala Kangsar tahun lalu.

Mengenai cabaran, beliau berkata, antara cabaran utama adalah untuk meyakinkan peniaga termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tentang kualiti taugeh dan tauhu yang dihasilkan oleh pengusaha bumiputera.

Katanya, masih terdapat keraguan dalam kalangan peniaga termasuk peniaga Melayu kerana mereka didedahkan terlebih dahulu dengan produk keluaran bangsa asing.

"Cabaran lain adalah kedudukan pusat pemprosesan taugeh dan tauhu yang terletak jauh dari pasar besar iaitu sejauh 20 kilometer menyebabkan banyak tauhu dan taugeh rosak ketika dalam perjalananan.

"Bagi mengatasi masalah ini, saya cuba mencari premis sesuai berdekatan bandar untuk dijadikan rumah dan tempat memproses taugeh dan tauhu," katanya.

Abdul Aziz berkata, segala cabaran itu tidak pernah melemahkan semangat, sebaliknya memberi satu kekuatan untuk membawa perniagaan membuat taugeh dan tauhu ke pasaran lebih jauh.

Tuesday, May 24, 2011

Snek Mutan


Snek biji rambutan

Oleh Puteri Murni Salleh Hudin dan Muhammad Hairi Hussain


Mohamad Azli Razali menunjukkan snek biji rambutan serta pingat yang dimenanginya.

Bermula daripada tergigit biji rambutan secara tidak sengaja, seorang penyelidik Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya menghasilkan snek berkhasiat daripada biji rambutan.

Snek yang dipanggil Rambuseed Florentine menggunakan 40 peratus biji rambutan yang telah dikeringkan sebagai bahan utama.

Penyelidik terbabit, Mohamad Azli Razali yang merupakan pensyarah di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan menyatakan bahawa Florentine adalah sejenis manisan yang berasal dari Itali.

Manisan tersebut terdiri daripada pelbagai jenis kacang seperti badam, walnut dan hazel dan disaluti dengan gula karamel.

Beliau yang juga merupakan juara pertandingan realiti memasak "Maggi Mencari Bintang" telah mengadaptasi makanan Itali tersebut mengikut selera tempatan.

Keunikan produk ini adalah ia menggunakan bahan terbuang. Ini kerana kebiasaannya biji rambutan tidak dimakan dan akan dibuang begitu sahaja.

Justeru, penggunaan biji rambutan untuk snek ini dilihat sebagai salah satu cara untuk mengoptimumkan penggunaan biji rambutan.

Selain daripada itu, penggunaan biji rambutan yang telah dikeringkan dapat mengurangkan kos pembuatan snek tersebut.

Ini kerana kacang seperti badam, walnut dan hazel adalah mahal memandangkan kacang tersebut diimport dari luar negara.

Lebih istimewa, meskipun rambutan merupakan buah-buahan yang bermusim, biji rambutan boleh dikeringkan dan disimpan bagi memenuhi permintaan di luar musim buah rambutan.

Snek ini juga terbukti mampu dijadikan sebagai makanan kesihatan.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Solis-Fuentes et al., 2010 daripada Journal Bioresource Technology menyatakan bahawa biji rambutan mengandungi nutrisi seperti protein (7.80%) karbohidrat (46%), serat (11.6%) selain mengandungi asid lemak seperti oleic (40.3%), arachidic (6.1%), palmitic (7.1%) dan stearic (6.3%).

Asid oleic dan Asid Stearic mampu mencegah penyakit berkaitan jantung.

Produk unik ini telah memenangi pingat gangsa di pertandingan rekacipta Inventions, Innovations and Design (IID) peringkat UiTM.

Produk ini telah mendapat maklum balas yang baik daripada pengunjung yang menghadiri pertandingan itu.

Rasanya yang rangup, lemak manis dan sedap menjadi tarikan kepada orang ramai.

Azli yakin produk ini akan mendapat sambutan sekiranya dipasarkan kerana pelbagai snek kacang yang telah berada dipasaran tetapi belum ada pihak yang menghasilkan snek daripada biji rambutan ini.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk ini bolehlah mengunjungi blognya di www.azlirazali.blogspot.com atau email azlirazali77@yahoo.com.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Mesin Pengupas Kelapa


Mesin mengasing sabut kelapa

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar ZULKARNAIN SAIDIN


Mudah mengasingkan sabut kelapa menggunakkan mesin ciptan Dr. Md. Akhir Hamid.

Pokok kelapa dikatakan sebagai pokok seribu guna kerana setiap bahagiannya ada kegunaan tertentu. Batang misalnya boleh dibuat titi, daun untuk ketupat dan lidi penyapu, isi kelapa dan umbut untuk bahan dalam makanan dan terkini santan kelapa boleh menghasilkan minyak kelapa dara.

Biasanya sabut kelapa yang diproses digunakan dalam sektor pertanian terutama kerana ciri-cirinya yang menyerap air selain fiber digunakan dalam industri perabot.

Terdapat dua produk utama yang didapati daripada sabut kelapa adalah cocopeat (habuk sabut) dan coir (fiber panjang).

Biasanya cocopeat digunakan sebagai media tanaman terutama pada sistem fertigasi manakala coir merupakan bahan yang biasa terdapat di dalam tilam, di bawah lapisan karpet, hamparan dan papan penebat.

Kaedah pengeluaran cocopeat dan coir secara tradisional amat merumitkan dan memakan masa yang lama.

Biasanya sabut kelapa akan direndam di dalam kolam selama sebulan kemudian sabut yang diawet tadi diangkat dan ditoskan sebelum dipukul bagi memecahkan dan melembutkannya.

Cocopeat dan coir kemudian diasingkan menggunakan penapis.

Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membangunkan mesin mengasing sabut kelapa bagi memudahkan usahawan kecil dan sederhana memproses sendiri sabut kelapa mereka.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi MARDI, Dr. Md. Akhir Hamid berkata, mesin mengasing sabut kelapa yang bangunkan amat mudah digunakan dan mesra alam sekitar.

Mesin berkenaan boleh memproses dan mengasingkan cocopeat dan coir amat diperlukan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengusaha ladang kelapa.

"Mesin mengasing sabut kelapa berupaya memecahkan dan melembutkan sabut dan pada masa yang sana memisahkan fiber coir daripada cocopeat dalam satu operasi," katanya semasa ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Semasa proses berkenaan, jelas Dr. Md. Akhir mesin berkenaan berupaya mengasingkan cocopeat dan coir iaitu dua produk daripada sabut kelapa.

Mesin berkenaan telah direka dengan kapasiti memproses 500 kilogram sabut dalam masa sejam.

"Hanya seorang pekerja diperlukan untuk menjalankan operasi berkenaan termasuk membungkus cocopeat dan coir," katanya.

Bagi memudahkan operasi, mesin berkenaan dilengkapi dengan drum berpusing dengan diameter 100 sentimeter (sm), pisau untuk memukul serta roda dan beroperasi menggunakan enjin diesel 10 kuasa kuda.

Mesin berkenaan boleh dibawa ke ladang dengan sebuah traktor mini disambungkan kepada mesin pemisah bagi membolehkannya dibawa ke mana-mana saja di dalam ladang.

Mesin mengasing sabut kelapa boleh beroperasi terus di mana saja kerana tidak menggunakan tenaga elektrik.

Fiber coir dan cocopeat boleh diasingkan secara terus semasa proses pengasingan dan kedua-duanya dikumpulkan dalam kotak yang disediakan supaya dapat mengurangkan masa bekerja.

Mesin berkenaan telah direka sedemikian rupa bagi membezakannya dengan mesin yang biasa digunakan di dalam kilang.

Dr. Md. Akhir berkata, mesin mengasing sabut kelapa amat berguna bagi pengusaha tanaman kelapa dan usahawan media pertanian dan bagi individu yang menghasilkan cocopeat bagi kegunaan nurseri sendiri atau menjualnya kepada pihak lain.

"Mesin berkenaan boleh beroperasi terus dari ladang dan memberikan persekitaran yang lebih sihat," katanya.

Mesin mengasing sabut dijangka dapat membantu petani kelapa meningkatkan pendapatan menerusi

nJualan fiber dan cocopeat terus kepada pelanggan seperti kepada pengeluar kerusi kereta dan nurseri.

nProses pemisahan sabut boleh dilakukan tanpa kilang dan mengelakkan pengumpulan sisa di sesuatu tempat dan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar

nTidak terdapat kos tambahan bagi pengangkutan tambahan

Pengguna yang berpotensi menggunakan teknologi berkenaan seperti petani atau penanam kelapa dalam skala kecil, pengeluar fiber coir dan cocopeat komersial dan usahawan dan kecil dan sederhana.

Ikan Kelah


Bermula dengan keli, kini ternak kelah

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar ISMAIL KAMADIN


Anak ikan kelah yang terdapat di portkelah.com

Pertama kali mengenali Shahrul Redzuan Abd Majid pada April 2008, semasa menemubual beliau yang menjalankan usaha menternak dan pembenihan keli di belakang rumah seorang rakan kongsinya di Teluk Gong, Kelang, Selangor.

Ketika itu hanya dengan beberapa kolam simen, beliau memulakan usaha dalam keadaan yang penuh dengan kekurangan.

Permulaan dengan modal yang terhad sehingga ada kalanya Shahrul dan rakannya Mohd Alif Parjan terpaksa mengikat perut hanya untuk membeli kelengkapan pembenihan ikan keli.

Pernah mereka berdua hanya mempunyai beberapa Ringgit Malaysia di dalam poket selepas membeli peralatan ikan.

"Bagaimanapun nasib kami berubah apabila kisah kami tersiar di dalam Utusan Malaysia.

"Ketika itu terlalu banyak panggilan telefon bertanya mengenai benih keli dan saya terpaksa menukar nombor telefon," katanya mengimbau kembali kenangan masa lalu semasa mula-mula menceburkan diri dalam industri ikan air tawar.

Selama tiga tahun bergelumang dengan ternakan ikan keli, Shahrul beralih kepada ikan tilapia selama setahun setengah.

Dalam tempoh berkenaan, banyak cabaran dan ranjau beliau hadapi tetapi berbekalkan semangat yang cekal tanpa kenal erti putus asa, gandingan dua sahabat dengan latar belakang pendidikan yang berbeza ini semakin mantap.

Shahrul, tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sementara Mohd Alif graduan kejuruteraan elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) kini berjaya membangunkan syarikatnya sendiri Malingga Jati Sdn Bhd.

Ditanya mengapa berubah daripada ternakan ikan keli kepada kelah, Shahrul berkata, waktu berubah dan beliau perlu mencari sesuatu yang lebih segar, baru serta yang lebih menguntungkan.

Mengapa memilih kelah dan bukan ikan lain seperti ikan kelisa atau arowana.

"Terlalu ramai yang menternak arowana terutama di Bukit Merah, Taiping, Perak dan kerana itu saya memilih ikan kelah.

"Sebenarnya ikan kelah mempunyai peminat dan pasarannya sendiri," katanya semasa ditemui di galeri ikan kelahnya portkelah.com di Batu Caves, Selangor.

Tambah Shahrul, ikan kelah bukan saja boleh dijadikan ikan hiasan akuarium tetapi juga mendapat permintaan hangat di restoran masakan laut yang menyajikan ikan-ikan eksotik.

Bagi ikan hiasan akuarium, harga seekor ikan kelah boleh mencapai beribu Ringgit Malaysia seekor manakala ikan kelah bagi sajian pula biasanya boleh dijual sehingga RM300 sekilogram seekor.

"Kami mula mendapatkan induk ikan kelah daripada penternak ikan sangkar di sekitar Temerloh, Pahang.

"Kemudian kami mencari kaedah untuk melakukan pembiakbakaan ikan kelah," katanya yang berkerjasama dengan Perintis Al-Faeez Group bagi membangunkan galeri portkelah.com.

Shahrul berkata, di portkelah.com mereka menekankan pemuliharaan, rundingan dan perdagangan ikan kelah.

Berkat pengalaman dan kesungguhan yang ada, Shahrul berjaya melakukan proses pembenihan ikan kelah sehingga lebih 50 peratus manakala 90 peratus benih ikan kelah berjaya dibiakkan sehingga dewasa.

Kini proses pembiakbaka ikan kelah dilakukan di sebuah kawasan yang disewa dari Jabatan Perikanan.

"Di sana, kami menyimpan bukan saja ikan kelah tetapi ikan-ikan eksotik lain yang sedia untuk dijual sama ada di peringkat benih atau dewasa," katanya.

Selain membekalkan ikan air tawar, Shahrul juga membekalkan benih ikan air masin, benih udang, makanan ikan serta pembinaan akuakultur.

Bagaimanapun jelas Shahrul, pihak mengalu-alukan pengunjung boleh ke galeri kelah untuk melihat ikan kelah atau membuat pesanan.

Di sana beliau juga akan memberikan khidmat nasihat kepada mereka yang berminat memelihara ikan kelah sama ada di dalam akuarium atau ternakan.

Di portkelah.com, beliau menjalankan banyak aktiviti berkaitan ikan kelah serta beberapa ikan eksotik lain sama ada sebagai ikan hiasan atau makanan.

Di galeri portkelah.com terdapat 15 ekor kelah daripada tiga jenis spesies iaitu merah, bara, humpback dan biru, 1,000 ekor anak kelah, seekor ikan kerai dan 50 ekor anak kerai.

Shahrul juga mengalu-alukan mereka yang berminat mempamerkan ikan-ikan eksotik atau ikan yang sukar ditemui di negara ini di galeri portkelah.com.

Pembaca yang berminat boleh berkunjung ke galeri portkelah.com di Medan Selayang, Batu Caves atau layari laman sesawang portkelah.com
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, May 20, 2011

Rempah Rendang


Rempah rendang N9

Oleh ZUHAYATI YAZID


Rohati Abu Kasim bersama rempah rendang N9 yang dihasilkannya.

HIDANGAN rendang begitu sinonim dengan selera kebanyakan orang Melayu di negara ini dan menjadi juadah istimewa menjelang musim perayaan atau kenduri.

Rendang yang bahan utamanya diperbuat daripada daging atau ayam sememangnya enak dimakan terutama bersama ketupat, lemang, pulut atau nasi putih.

Namun, penyediaan rendang yang mengambil masa yang terlalu lama untuk dimasak seringkali menjadikan seseorang lebih senang membeli di luar yang mana kebiasaannya kurang enak dan mahal.

Kini penggemar rendang tidak perlu lagi menyingsing tangan dan bersusah payah untuk menyediakan hidangan tersebut apabila R&S Multi Resources menghasilkan rempah rendang N9 yang boleh menjimatkan masa untuk menyediakannya.

Pemiliknya, Rohati Abu Kasim,60, memberitahu, dengan menggunakan rempah rendang N9, ia menyenangkan tugas wanita hari ini terutama yang berkerjaya untuk menyediakan hidangan tradisi tersebut kepada keluarga.

Dia yang merupakan anak jati Rembau, Negeri Sembilan memberitahu ilham untuk menyediakan rempah segera itu timbul selepas melihat kesibukan wanita yang bekerjaya menguruskan rumahtangga terutama dalam aspek menyediakan hidangan untuk keluarga.

"Melihat anak-anak perempuan sibuk dengan kerjaya dan tidak sempat menyediakan hidangan yang sihat kepada keluarga memberikan idea kepada saya untuk menyediakan rempah yang sudah siap sedia ini,'' ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bermula dari situ, dia mula membuatkan rempah tersebut untuk kegunaan anak-beranak.

Namun, kerana keenakan yang tersendiri ramai yang meminta dia memasarkannya.

Ceritanya Rohati lagi, rempah segera itu bukan sahaja sesuai untuk membuat rendang tetapi juga sesuai untuk sup, soto dan juga bahan untuk menggoreng seperti daging dan soto goreng.

Jelasnya, ia hanya memerlukan pengguna memasak bahan mentah bersama rempah tanpa perlu melalui proses biasa seperti menyediakan bumbu masakan terlebih dahulu. Ini dapat menjimatkan masa selain memudahkan pengguna.

Rohati memberitahu, dia mendapatkan resepi daripada moyangnya yang merupakan tukang masak tersohor di Rembau.

"Masa kecil-kecil dahulu, saya selalu melihat moyang memasak rendang ketika ada kenduri-kendara di kampung. Jadi mungkin sering melihat membuatkan saya boleh memasaknya sendiri,''katanya.

Mengenai ramuan pula Rohati berkata, dia menggunakan bahan yang segar dan berkualiti bagi pastikan mutu keluarannya terjamin.

Rohati memberitahu, biasanya pembeli akan datang sendiri ke rumah untuk mendapatkan bekalan. Bagaimanapun dia juga menggunakan khidmat pos untuk penghantaran jauh.

Bagi yang berminat mendapatkan rempah tersebut boleh mengunjungi www.rempahkakt.blogspot.com atau menghubungi terus 012-2345057.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Coklat Anisah


Coklat Aslinah ke luar negara

Oleh ZUHAYATI YAZID
Gambar AMIN FARIJ


ASLINAH Aslam yakin coklat keluaran syarikatnya mampu menembusi pasaran antarabangsa.

SEBUT sahaja coklat, pasti ramai di kalangan kita akan terbayang kelazatan dan keenakannya. Apa lagi kini, coklat bukan sahaja boleh diperolehi dalam bentuk bar tetapi pelbagai rekaan yang cantik lagi menarik pasti membuatkan sesiapa sahaja terliur melihatnya.

Keadaan itu mendorong Aslinah Aslam, 27, menjadikan pembuatan coklat sebagai mata pencarian utama.

Akuinya, biarpun pernah mengecapi kehidupan selesa dengan bekerja di syarikat perbankan di ibu kota namun 'cinta' yang mendalam terhadap dunia coklat mendorongnya menceburi bidang itu secara serius.

Malah, graduan dalam bidang kejuruteraan itu sanggup bermula dari bawah untuk membuktikan bahawa bidang coklat menembusi pasaran antarabangsa sekiranya dibuat secara komersial.

Melalui perniagaan Azaib Holdings yang mulanya diusahakan di rumah selama beberapa tahun kini mula melangkah dengan lebih serius.

''Alhamdulillah, berkat kesabaran dan semangat untuk menceburi bidang ini akhirnya saya berjaya mengharunginya.

''Permintaan terhadap coklat begitu tinggi tambahan pula coklat yang dibuat beraneka bentuk .

''Secara umumnya, coklat sesuai untuk semua majlis dan ia juga sesuai untuk dijadikan cendera mata kepada tetamu,'' ujarnya ketika ditemui di kilangnya yang terletak di Selayang, Selangor baru-baru ini.

Kata Aslinah, pembuatan coklat mudah. Yang penting perlu kreatif dan rajin berusaha. Dia turut menyediakan kelas membuat coklat.

Dia yang merupakan anak sulung kepada pasangan Aslam Hussin dan Azaib Bibi Sher Mohd. itu memberitahu, semasa bekerja dia sentiasa mendapat tempahan membuat coklat.

Malah tegasnya, mutu coklat juga diutamakan bagi memastikan coklat yang dihasilkan betul-betul berkualiti.

Ceritanya lagi, biarpun sudah selesa dengan pencapaian yang dimiliki, namun wanita cekal ini tidak pernah berbangga dengannya.

Baginya, kejayaan hari ini adalah semangat dan dorongan yang diberikan oleh kedua ibu bapa.

Malah keempat-empat adiknya juga turut menjadi tulang belakang kepada perniagaannya itu hingga mencapai ke peringkat sekarang.

"Sehingga kini, saya masih lakukan semua kerja. Malah saya juga tidak pernah malu untuk menjadi jurujual di kiosk kami,'' ujarnya yang mempunyai dua kiosk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan juga Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Ditanya mengenai cabaran dalam bidang perniagaan, wanita cekal itu memberitahu selain memerlukan komitmen yang tinggi ia juga merupakan satu cabang pekerjaan yang memerlukan seseorang itu tabah dan sanggup menghadapi risiko.

Tambahan pula, perniagaan yang dipilih mempunyai banyak persaingan terutama daripada syarikat multinasional.

"Sebab itu, setiap coklat yang dihasilkan harus betul-betul berkualiti,'' ujarnya yang mendapat bekalan coklat dari Belgium.

Katanya lagi, sehingga kini, syarikatnya hanya mengeluarkan empat jenis coklat untuk dipasarkan.

"Walaupun jenisnya amat sedikit tetapi keadaan ini adalah untuk memastikan kualiti coklat yang di jual betulbetul mempunyai jaminan,'' ujarnya.

Ditanya mengenai harapan dirinya, dengan pantas usahawan wanita itu memberitahu, dia ingin menjadikan coklat hasil air tangannya terkenal di seluruh dunia.

Malah akui Aslinah lagi, syarikatnya kini sedang proses terakhir untuk menghasilkan coklat yang disalut dengan buah-buahan tempatan.

Sementara itu untuk mempelajari cara-cara pembuatan coklat, bolehlah hubungi Aslinah di talian 019-3587786 atau layari azaibholding@ gmail.com.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Pasar Karat JB


'barang sentimental' di Pasar Karat

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
pengarang@utusan.com.my


SEMAKIN larut malam, Pasar Karat, Johor Bahru semakin meriah dengan kedatangan pengunjung termasuk pelancong.

TENGAH malam mungkin sunyi di tempat lain. Namun Bazar Johor Bahru (Bazar JB) atau sinonim dengan nama Pasar Karat, ia sentiasa meriah dengan kehadiran warga bandar raya itu dan juga pelancong.

Jam menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam tetapi lokasi Bazar JB ini terus menerima kehadiran pengunjung sehingga dinihari.

Pembukaannya di Legaran Segget sejak awal tahun 2009 menghidupkan aktiviti di Johor Bahru. Ia dibuka pada pukul 6 petang sehingga 2 pagi pada hari biasa dan 7 pagi hingga 2 pagi pada Sabtu dan hujung minggu.

Konsepnya sangat santai. Penjual hanya perlu membentangkan kain atau kanvas di kaki lima. Jual beli dengan tawar-menawar antara peniaga dan pembeli.

Dari jauh, limpahan lampu kalimantang sangat menarik perhatian bukan saja warga kota malah pelancong baik dari dalam atau luar negara yang berhasrat melihat warna malam di ibu negeri Darul Takzim ini.

Formatnya mungkin sama seperti beberapa uptown atau downtown di Lembah Klang.

Tetapi Bazar JB atau Pasar Karat mempunyai keunikan tersendiri. Ia boleh diibaratkan seperti jualan terbuka muzium.

Daripada barangan antik dan vintaj seperti kipas, piring hitam, beg dan perkakas dapur sehinggalah kamera serta gambar.

Pre-loved item atau barang yang pernah disayangi merupakan istilah digunakan untuk barangan terpakai yang dijual di sini. Nilai sentimental menjadi tarikan setiap barangan.

Sesetengah tapak niaga pula menjual produk tani dan hutan. Ini sekali gus memudahkan pelanggan termasuk jika berhajat untuk membeli binatang peliharaan seperti arnab.

Barangan keperluan juga turut dijual oleh peniaga di sini, seperti dekorasi rumah, minyak wangi, pakaian dan sebagainya.

Seorang pengunjung, Zairul Afendi Zulkifli, 21, kakitangan awam yang menetap di Taman Universiti, Johor Bahru ini selalunya datang ke Bazar JB bersama rakan-rakan.

"Nak buat cincin pun di sini, beli baju murah pun di sini. Pendek kata macam-macam yang dijual daripada barangan dapur sehingga ke ruang tamu, selain kasut dan topi," ujarnya.

Kenny Venison, 24, yang berasal dari Sarawak pula berkata, setiap kali berkunjung ke Bazar JB seolah-olah sedang melalui sebuah muzium terbuka.

Bagi peniaga barangan kosmetik, Izzlahaizan Mohd. Hussein, 26, yang sudah setahun berniaga berkata, prospek berniaga di sini besar kerana pengunjung sentiasa ramai.

"Sejak berniaga di sini, bukan saja dapat ramai pelanggan malah dapat juga 'jiran' baru di kiri dan kanan," katanya.

Seorang lagi peniaga, Marhayu Ismail, 29, yang mengusahakan jualan baju-baju corak tentera luar negara dan pakaian tidur berkata, tawar-menawar juga adalah antara daya penarik ke bazar itu.

"Hujung minggu memang ramai orang sehingga kadang-kadang sampai ke pukul 3 pagi baru habis mengemas," katanya.

Seorang pengunjung, Nor Mimi Abdul Aris, 25, pula datang ke Bazar JB kerana tertarik dengan produk minyak wangi yang banyak dijual di sini.

Thursday, May 12, 2011

Skim Keli

Skim Raja Keli peluang jana pendapatan sampingan

PASIR MAS 11 Mei - Sebuah syarikat pengeluar produk berasaskan ikan keli yang terbesar di negeri ini, AZZ Marketing Bhd. memperkenalkan Skim Raja Keli kepada masyarakat untuk menjana pendapatan sampingan.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohd. Johari Mohd. Razali berkata, skim itu berkonsepkan kongsi tani sebagaimana termaktub di bawah Divisyen 5 Bahagian IV Akta Syarikat 1965.

Katanya, tiga kelebihan ditawarkan kepada pelanggan yang menyertai skim itu antaranya modal permulaan yang rendah.

“Skim Raja Keli ini dilulus dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) manakala MyPremier Trustee (Malaysia) Bhd. dilantik sebagai pemegang amanah atau pemantau kepada skim ini.

“Selain itu modalnya yang rendah iaitu RM1,600 bagi setiap pakej ditawarkan untuk pelaburan di dalam penternakan ikan keli,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Johari berkata, bagi setiap pakej ikan keli pelabur mempunyai kepentingan kepada 800 ikan keli separa matang termasuk fasiliti penternakan ikan selama dua tahun bersamaan lapan pusingan dengan tempoh setiap pusingan adalah tiga bulan.

Tambahnya, di bawah skim itu pihaknya telah mewujudkan sebanyak 10,000 unit pakej ikan keli berdasarkan jumlah seluruh keluasan tapak penternakan seluas kira-kira empat hektar.

“Setiap satu ekar (0.4 hektar) tanah boleh menampung 100 sangkar ikan keli bersaiz enam meter persegi dan boleh diisi dengan 800,000 ekor ikan keli separa matang,” jelasnya.

Beliau berkata, daripada 10,000 unit tersebut, 7,000 unit Pakej Raja Keli ditawarkan kepada orang awam manakala selebihnya akan dipegang oleh syarikat pengurusan yang disifatkan sebagai pakej simpanan bagi tujuan risiko kematian ikan dan lain-lain perkara yang berkaitan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Buku

Coretan X nuripilot: Buku wajib baca rakyat Malaysia

Oleh Zaini Hassan

MINGGU lalu saya menerima bungkusan kiriman ke alamat rumah saya di Shah Alam. Ia datang dari Jitra, Kedah. Itu adalah daerah kelahiran saya. Sebelum membukanya saya menjangka mungkin ia surat penting atau amanat yang mahu saya uruskan oleh sanak saudara di sana.

Dengan cermat saya membukanya. Melihat isinya, saya tiba-tiba tersenyum. Sebuah buku daripada seorang teman yang belum pernah saya ketemu, tapi sering bercakap melalui telefon dan melayan surat-suratnya yang sering saya siarkan dalam ruangan Forum pembaca Utusan Malaysia. Saya juga mengenali beliau sebagai aktivis veteran tentera yang sering merayu golongan perajurit diberi perhatian, pengiktirafan oleh kerajaan serta dibalas budi mereka yang pernah menentang kekejaman komunis demi keamanan hari ini.

Saya tahu beliau dalam proses menulis sebuah buku. Sering menelefon saya untuk mendapatkan gambar-gambar daripada arkib Utusan Melayu serta bantuan nasihat yang lain.

Beliau ialah Mejar Nor Ibrahim Sulaiman. Bekas juruterbang helikopter Nuri berusia 62 tahun. Bukunya bertajuk Coretan X Nuripilot.

Tiga hari penuh saya membaca buku setebal 264 muka surat itu. Terus terang saya katakan, jarang saya membaca sebuah buku dengan begitu khusyuk.

Saya cukup teruja membacanya. Begitu ‘grafik’ dan detail penceritaannya. Dihiasi dengan gambar-gambar menarik. Nor Ibrahim membawa saya ke era insurgensi keganasan komunis sekitar 1970-an dan awal 1980-an. Kisah mengenai pengorbanan pasukan tentera mempertahankan negara ini daripada kedurjanaan pengganas komunis Bintang Tiga. Kisah yang diceritakan secara naratif amat mengesankan.

Pengorbanan yang merampas banyak nyawa anak watan negara – tanpa mengira kaum bagi mempertahankan tanah pertiwi ini.

Hari terakhir sebelum mengakhiri bab penghabisan buku itu, sambil memandu kereta ke Kuala Lumpur saya menelefon Mejar Nor Ibrahim. Tanpa sempat beliau menyapa lanjut, saya berkata: ‘‘Saya cukup kagum dan teruja dengan buku itu. Saya kagum dengan perajurit kita.

‘‘Saya kagum dengan pengorbanan pasukan tentera udara, komando, tentera darat, pasukan pembersih jerangkap samar (booby trap clearance team), gunship helicopter Alouette yang dilengkapi dengan mesingan MG151 20mm yang mengeskot helikopter Nuri di kawasan operasi.”

Dan yang paling mengesankan perasaan, kata saya kepada Mejar Nur Ibrahim: ‘‘Anggota-anggota yang terlibat dalam pasukan tentera untuk membanteras pengganas komunis ketika itu adalah 1Malaysia.”

Ramai juruterbang, krew dan anggota tentera berbangsa Melayu, Cina, India, Punjabi dan Pribumi terkorban. Kejadian 26 April 1976 penerbangan terakhir Nuri FM1703 diceritakan. Ia mempunyai mesej 1Malaysia. Kapten (U) Choo menasihatkan Leftenan (U) Sharif yang sepatutnya menerbangkan pesawat itu supaya pulang ke kampung kerana isteri menunggu masa untuk bersalin.

Malangnya Nuri FM1703 yang membawa bekalan makanan dan pegawai tentera ditembak komunis. Kapten Choo, Leftenan (U) Chung Ming Teck, Leftenan (U) Wan Munsiff, Sarjan Leong, Kapten (U) Mustafa Kamal dan enam lagi terkorban.

Banyak nama perwira 1Malaysia yang terkorban disiarkan dalam buku itu.

Rata-rata 90 peratus rakyat Malaysia sekarang tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh pasukan angkatan tentera kita; dan tidak tahu apa yang dilakukan oleh pengganas komunis terhadap pasukan kita di perbatasan Malaysia-Thailand ketika itu, dalam Operasi (Ops) Sedar Gubir, Ops Gubir II, Ops Selamat Sawasdee.

Bagi saya sendiri, ketika itu generasi kami amat mentah untuk mengetahui pengorbanan pasukan kita yang terkorban, terputus kaki, tangan angkara jahanam pengganas itu. Namun, semangat juang yang diceritakan itu amat tinggi sekali.

‘‘Betul, kami semua ketika itu adalah 1Malaysia. Mempertahankan tanah air tanpa gentar, malah amat bersemangat sekali,” kata Mejar Nor Ibrahim dengan agak sebak apabila saya menyatakan amat teruja dengan Coretan X Nuripilot itu. Buku itu diterbitkan oleh beliau tanpa bantuan sesiapa. Dengan kos daripada duit pencennya yang tidak seberapa. Serta, terpaksa meredah pejabat Menteri Pertahanan untuk mendapatkan Sekapur Sirehnya.

‘‘Ketika itu, nyawa tiada bernilai berbanding dengan tanah air yang tercinta. Kami semua satu keluarga,” tambahnya.

Membaca Bab 2 Salasilah Keluarga, baharu saya tahu bahawa Nor Ibrahim yang kini menetap di Jitra, Kedah adalah generasi ke-5 Dato Maharaja Lela yang berkomplot membunuh Residen British, JWW Birch di Pasir Salak.

Mungkin atas darah patriotisme yang mengalirkan itulah, penulis yang juga blogger http://xnuripilot.blogspot.com: Jottings of an xnuripilot, berjaya menghasilkan buku sehebat itu.

Dalam buku itu beliau menulis: ‘‘Ramai anggota pasukan keselamatan terkorban dan cacat anggota sama ada semasa bertembung dengan pengganas komunis, diserang hendap atau terkena jerangkap samar. Pengganas komunis turut menjadikan helikopter Nuri sebagai sasaran. Bermula di Gubir dan seterusnya di kawasan Kroh (nama lama Pengkalan Hulu), Nuri ditembak sudah menjadi kebiasaan. Tidak salah saya merumuskan bahawa objektif utama pengganas komunis ialah untuk menjatuhkan helikopter Nuri kerana ia merupakan faktor utama pasukan keselamatan berjaya dalam operasi menentang pengganas komunis.

‘‘Banyak insiden Nuri dijadikan sasaran utama pengganas komunis. Nuri dijadikan sasaran semasa membuat approach, sedang hover (terapung di udara) dan mendarat di tapak Landing Point (LP).

‘‘Walaupun keadaan begitu getir, namun semangat juang anak kapal helikopter Nuri tidak pernah luntur, malah lebih berkobar-kobar. Bagi mengurangkan pendedahan kepada tembakan musuh, Nuri dieskot oleh Alouette ‘gunship’ semasa membuat penerbangan operasi di Gubir dan Kroh. Gunship akan straff (menembak bertubi-tubi kawasan yang dikenal pasti kehadiran pengganas komunis). Malah, di beberapa kawasan pesawat pejuang ketika itu, F5E dan Tebuan turut membantu. Pesawat-pesawat itu mengebom kawasan sebelum Nuri membuat pendaratan.”

Namun, di sebalik kisah-kisah ‘live’ yang cukup dramatik, sedih serta lucu dalam buku autobiografi Mejar Nor Ibrahim ini, beliau memulakan pendahuluannya dengan cukup bermakna.

‘‘Saya bukannya seorang penulis atau penglipur lara... Tetapi kerana terlalu kecewa dengan pihak tertentu yang cuba melobi agar Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Ong Boon Hua atau lebih dikenali sebagai Chin Peng, dibenarkan kembali menetap di Malaysia, memaksa saya untuk meluahkan perasaan yang terpendam. Saya tidak nampak walau sekelumit sekali pun bagaimana golongan tersebut mahukan beliau berinteraksi semula dengan rakyat Malaysia tercinta ini tanpa mengambil kira perasaan kami yang berkorban demi untuk mempertahankan kedaulatan negara.”

Tidak perlu kita mengulas panjang mengenai buku ini. Bagi saya buku ini wajib dibaca oleh murid-murid sekolah kita dalam generasi baru sekarang. Mereka harus tahu apa yang berlaku semasa keganasan komunis dulu dan bandingkan dengan suasana aman sekarang.

Buku ini wajib dibaca oleh semua anggota tentera kita yang kini tidak (atau belum) lagi berperang atau berhadapan dengan musuh dan jerangkap samar.

Buku ini juga wajib dibaca oleh Wakil Rakyat kita – dari BN, DAP, PKR, Pas dan lain-lain supaya mereka dapat membuat pertimbangan arif lagi rasional terhadap tindak-tanduk yang bakal diambil kelak. Dan, buku ini wajib dibaca oleh seluruh rakyat 1Malaysia yang cintakan negara ini.

Memetik kata-kata Mejar Nor Ibrahim: Rakyat Malaysia, terutama pasca Merdeka...sedarilah bahawa kesejahteraan kehidupan yang anda kecapi dewasa ini adalah hasil daripada pengorbanan mereka yang terdahulu. Cintailah negara kita yang satu ini.

NOTA: Buku Coretan X nuripilot boleh

diperoleh dengan e-mel kepada penulis: nibsny@yahoo.com atau tel. 019-4744849
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tuesday, May 10, 2011

Kedai Dobi



Keunikan Kedai Dobi e-Wash

Oleh AIN SAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my


Kedai Dobi e-Wash mula mendapat tempat daripada pelanggan bukan beragama Islam.

TELUK INTAN 9 Mei – Impiannya untuk membuka kedai dobi tidak pernah luntur meskipun mengetahui ramai telah tewas dan gagal meneruskan perjuangan dalam perniagaan mencabar itu.

Malah, ketika menceburi dunia perniagaan itu tiga tahun lalu, dia hampir menjadi sebahagian statistik usahawan bumiputera yang tersungkur kerana gagal mengharungi cabaran perniagaan sukar, tetapi mempunyai potensi besar berkembang dan menguntungkan.

Namun, kini Azhani Jalaluddin, 29, boleh menarik nafas lega kerana pengorbanan yang didasari usaha gigih dan doa membuahkan hasil apabila perkhidmatan Kedai Dobi e-Wash sudah mendapat hati di kalangan masyarakat setempat.

Hasil promosi secara berterusan, perniagaan ibu kepada seorang anak itu mula meyakinkan syarikat-syarikat seperti katering, hotel dan restoran untuk mendapatkan perkhidmatan Kedai Dobi w-Wash yang beroperasi No 23, Lorong 1, Jalan Merbok, Taman Impiana di sini.

Pemegang diploma perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam dunia perniagaan dobi ketika menceburi bidang tersebut tiga tahun lalu.

“Saya hanya mempunyai pengalaman bekerja di dua buah bank selama beberapa tahun sebelum berhenti kerja untuk memulakan perniagaan.

“Perkhidmatan dobi dipilih kerana minat dan yakin akan potensi bidang ini, selain ingin membuktikan keupayaan usahawan Melayu untuk berjaya dalam bidang yang masih kurang disertai orang Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang mendapat sokongan dan bantuan pengurusan perniagaan daripada suami, Mohammed Irfan, 35, menambah, cabaran awal yang dihadapi adalah untuk mengumpul modal RM200,000.

Katanya, usaha beliau mahu menceburi perniagaan itu hampir gagal di peringkat awal lagi apabila permohonan mendapatkan pinjaman daripada agensi kerajaan ditolak.

Tidak mahu mengalah dengan halangan itu, beliau mendapat idea daripada kenalan suami seorang pengurus bank yang menasihatkannya membuat pembiayaan semula kedai milik suami bagi mendapatkan wang untuk dijadikan modal perniagaan dobi.

Ditambah dengan wang simpanan, dia akhirnya berjaya membuka kedai dobi dengan menggunakan teknologi terkini syarikat elektronik Electrolux yang masih belum digunakan secara meluas di daerah ini dan sekitarnya.

“Cabaran awal adalah mencari pelanggan kerana kawasan premis perniagaan tidak terletak di jalan utama, sebaliknya jalan mati. Persaingan harga dengan kedai lain yang lebih dulu menceburi bidang ini menjadikan tugas menjadi lebih sukar.

“Kesukaran untuk mendapatkan pekerja yang berkualiti dan setia juga merupakan antara cabaran besar,” katanya.

Justeru bagi mengatasi masalah itu, tanpa mengira penat dan lelah apatah lagi rasa malu beliau melakukan semua kerja termasuk mencuci, mengering dan menggosok bagi memastikan perniagaannya terus beroperasi.

Beliau juga memperuntukkan masa setiap hari melakukan promosi dengan mengedar risalah, bertemu orang ramai dan kenalan bagi meyakinkan orang ramai tentang kebaikan dan keunikan perkhidmatan Kedai Dobi e-Wash.

“Walau sibuk sekali mana pun, saya tetap tidak akan mengabaikan tugas menjaga anak yang ketika itu berusia setahun. Suami hanya dapat membantu selepas dia selesai bekerja,” ujarnya lagi.

Azhani berkata, kelainan yang ditawarkan oleh kedai dobinya adalah teknologi terkini hasil inovatif Electrolux yang membolehkan pakaian bukan sahaja bersih tetapi selamat diguna dan tidak menjejaskan kualiti sedia ada.

Bagi membolehkan mengoperasikan teknologi tersebut, dia telah menyertai program Advance Lagoon selama empat hari anjuran Electrolux di Pattaya,Thailand yang turut disertai peserta dari Indonesia, Filipina dan Thailand.

Selain itu, katanya, Kedai Dobi e-Wash mengutamakan konsep Islam bagi memastikan semua pakaian dibasuh dan dibersihkan menepati hukum syarak.

“Ini merupakan salah satu faktor mengapa kita hanya mengambil pekerja Islam,” katanya sambil menambah konsep tersebut telah diterima oleh pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Sebab itu juga, pelanggan saya tidak rasa was-was menghantar telekung untuk dicuci di kedai ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, harga yang ditetapkan berbeza mengikut kaedah cucian.

“Jika mengggunakan Wet Clean harga ditetapkan berdasarkan bilangan setiap pakaian tetapi jika cucian biasa ditetapkan pada harga antara RM3 hingga RM5 sekilogram,” katanya.

Azhani berkata, sehingga kini Kedai Dobi e-Wash bukan sahaja mendapat perhatian daripada pelanggan beragama Islam tetapi sudah sebati dengan kaum lain termasuk India dan Cina.

Malah katanya, keunikan kaedah cucian serta konsep Islam yang diterapkan menyebabkan pelanggannya bukan sahaja datang dari daerah ini, sebaliknya menjangkau sehingga Sitiawan.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, Azhani berkata, dia bercadang membuka cawangan baru sama ada di Ipoh atau Sitiawan.

“Selain itu saya berhasrat memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menambahkan lagi keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan Kedai Dobi e-Wash,” katanya.


Pelanggan pelbagai kaum puas hati

Azhani Jalaluddin sentiasa mendapat sokongan dan bantuan suaminya, Mohammed Irfan memajukan kedai dobi mereka di Taman Impiana, Teluk Intan, Perak, semalam.

TELUK INTAN 9 Mei - Layanan baik, harga berpatutan dan kualiti cucian bermutu berpandukan kepada amalan Islam merupakan antara faktor utama mendorong pelanggan setia bersama Kedai Dobi e-Wash milik Azhani Jalaluddin, 29.

Seorang pelanggan Mohd. Said Mansor, 46, berkata, sejak mengetahui dobi tersebut mengutamakan amalan Islam, dia tidak pernah bertukar ke kedai lain.

"Saya amat berpuas hati dan sebab itu tidak kisah untuk datang ke sini walaupun tinggal di Sitiawan," katanya.

Seorang lagi pelanggan, Fadilah Mohd. Awali, 56, berkata, dahulu dia keberatan untuk menghantar telekung dicuci di kedai dobi kerana tidak yakin dengan kebersihan cuciannya.

"Selepas mengetahui kaedah yang digunakan Kedai Dobi e-Wash saya tidak menghadapi masalah untuk mencuci telekung dengan lebih kerap lagi," ujarnya.

Kee Mini Tan, 52, berkata, terdapat kelainan jika soal kualiti kebersihan setiap cucian diambil kira.

"Saya difahamkan teknologi yang digunakan lebih mesra alam iaitu tidak menggunakan bahan bertoksik," katanya.

K. Sentiveloo Mohandass, 48, memberitahu dia telah menggunakan perkhidmatan di kedai dobi tersebut sejak 2009.

"Setakat ini saya tidak mempunyai rungutan, semuanya baik dan puas hati," katanya.

Chuan Chan, 34, yang tinggal berhampiran kedai tersebut berkata, selain bersih dan harga berpatutan, kedai tersebut menawarkan perkhidmatan yang cepat.

"Sudah dua tahun saya menjadi pelanggan tetap kedai dobi ini," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, May 6, 2011

Robiah


Robiah berniaga berbekalkan ilmu

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar MOHD. ARIF RAMLI (PELATIH UNISEL)


Antara produk yang diperkembangkan oleh Robiah dalam perniagaan.

ADA orang pernah kata, jika nak menjadi seorang peniaga, tidak perlulah belajar tinggi-tinggi. Cukup sahajalah berbekalkan pengalaman dan ada modal.

Mungkin pepatah ini tidak lagi sesuai di zaman ini memandangkan tanpa ilmu agak sukar untuk kita bergerak dengan lebih jauh kerana persaingan di dalam dunia perniagaan sememangnya sengit.

Begitu juga dengan Pengarah Haida Health & Beauty Centre, Robiah Huri, 38, sanggup mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Spa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini selama dua tahun secara sambilan demi mengejar ilmu.

Robiah atau lebih dikenali sebagai Ruby ini berkata, walaupun ketika itu beliau sibuk kerana baru membuka Haida Health & Beauty Centre pada tahun 2006 tetapi itu semua bukan alasan.

''Sepanjang pengajian ini saya bukan saja belajar cara menguruskan perniagaan spa malah turut menimba ilmu dalam perkhidmatan yang biasa ditawarkan oleh spa seperti fisiologi, anatomi, refleksologi, rawatan selepas bersalin dan juga terapi urutan," katanya ketika ditemui di LG 25 Maju Junction Mall, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ruby berkata beliau bersemangat untuk belajar kerana mempunyai cita-cita membuka spa bagi mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.

Ini kerana pada masa itu Ruby hanya membuka perniagaan menjual barangan produk kesihatan dan kecantikan berasaskan gamat dengan menyewa sebuah lot kedai.

''Sebelum itu saya menjual produk ini hanya menyewa gerai kecil berdekatan kawasan pasar raya," katanya.

Bagaimanapun beliau mula merasakan perlu membuka kedai memandangkan jumlah pelanggan semakin meningkat. Jelas Ruby sebelum itu beliau memang mempunyai pengalaman menarik berkaitan dengan penggunaan produk ini.

''Produk ini diperkenalkan oleh salah seorang ahli keluarga selepas saya keguguran dan ia memang berkesan kerana selepas saya semakin pulih dan sihat semula," katanya.

Semenjak itu, Ruby berjinak-jinak menjual produk gamat ini walaupun pada mulanya hasratnya untuk berhenti kerja bank bagi menumpukan masa kepada anak-anak.

Minat itu yang mendorong Ruby belajar di UTM di atas tajaan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) yang memberi peluang peniaga sepertinya untuk menimba ilmu dalam bidang yang ingin diterokai.

Selepas tamat pengajian Ruby mula mengubah suai sebahagian ruang lot kedai sedia ada untuk menyediakan perkhidmatan spa.

Pada ketika itu Ruby hanya mempunyai dua buah katil dengan dibantu oleh dua pekerja sahaja.

''Kini spa ini semakin berkembang di mana saya telah menyediakan lima katil untuk memberikan rawatan lima pelanggan sekali gus oleh lima pekerja iaitu tiga mahir dalam urutan dan dua lagi untuk merawat kecantikan," kata ibu kepada lima anak ini.

Sebagai orang yang memahami rentak perniagaan dengan berbekalkan dengan ilmu yang ada, Ruby memberitahu spanya bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kecantikan tetapi lebih 'spa untuk rawatan kesihatan' yang bermula dari dalaman.

Sehubungan itu, katanya, teknik urutan yang ditawarkan oleh spa miliknya juga berusaha untuk menyembuhkan penyakit seseorang.

''Badan seseorang perlu diurut bagi membolehkan darah berjalan dengan lancar dan akan membuatkan seseorang itu lebih sihat dan segar," katanya.

Selain itu, katanya perkhidmatan lain yang disediakan termasuk rawatan menguruskan badan dengan teknik urutan dengan penggunaan produk La Ara Beauty Solution keluaran tempatan yang dihasilkan dari bunga rosell, asam keping dan juga kollagen daripada ikan.

Katanya, gabungan tiga bahan ini bukan sahaja dapat menguruskan badan sambil menjadikan kulit tegang.

Jelas Ruby untuk mendapatkan keterangan lanjut berhubung dengan rawatan yang disediakan boleh menghubunginya di talian 03-26931279 atau 017-6756679 atau melayari www.haidahealinghouse.blogspot.com.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Pereka Kasut


Nur Ayuni reka kasut melalui Internet

Oleh Mariatul Qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


Segala rekaan yang dihasilkan Nur Ayuni Azri akan terus dilakarkan di dalam komputer ribanya.

NAMANYA mungkin tidak setanding Jimmy Choo mahupun Zhang Toi, namun Nur Ayuni Azri, 21, berkongsi minat yang sama dengan dua pereka tersohor ini - iaitu mencipta kasut-kasut yang cantik.

Bidang rekaan kasut di negara ini sememangnya semakin diminati malah kian ramai anak muda yang mencuba nasib lebih-lebih lagi dengan adanya kursus-kursus rekaan kasut untuk mendalami lagi ilmu tersebut.

Bagi Nur Ayuni dorongan minat membuatkan dia berjinak-jinak dengan dunia rekaan kasut biarpun secara sambilan.

Ini kerana, anak kelahiran Kuala Lumpur ini masih menuntut di salah sebuah kolej swasta di ibu negara dalam jurusan kejuruteraan perisian.

Walaupun bidang yang dipelajari amat berbeza dengan kerjaya sambilannya hari ini, ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada Nur Ayuni malah beliau aktif menghasilkan rekaan kasut yang unik dan cantik sejak beberapa tahun lalu.

Ketika ditemui di rumahnya di Taman SPPK, Kuala Lumpur, Nur Ayuni bercerita bahawa dia menceburi bidang rekaan kasut tanpa sebarang pengetahuan khusus dalam bidang tersebut.

Bagaimanapun oleh kerana minat yang terlalu tinggi dan mendalam, ilmu mereka cipta kasut sanggup dipelajarinya melalui Internet.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang rekaan kasut, Nur Ayuni memberitahu bahawa dia merupakan seorang yang suka membeli belah melalui Internet.

Sebelum itu pun, Ayuni pernah menjual kasut dari China tetapi tidak lama kerana ada masalah dari segi saiz dan kadang kala ada kasut yang diperbuat daripada kulit babi.

Selepas berhenti sebentar dan akhirnya dia mula terfikir untuk berniaga semula tetapi kali ini lebih serius.

''Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman apatah lagi pengetahuan dalam bidang perniagaan, tetapi kerana minat yang mendalam, saya pelajari juga melalui Internet.

''Bagaimanapun, sebelum melibatkan diri secara serius dalam bidang rekaan kasut, saya terlebih dahulu membuat kajian dan penyelidikan apakah rekaan dan fabrik yang digemari pengguna.

''Alhamdulillah, segala penat lelah selama ini berbaloi dan apabila rekaan saya berada di pasaran (online), sambutannya amat menggalakkan dan ia di luar dugaan,'' ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Berbicara lebih lanjut mengenai pemilihan fabrik, Nur Ayuni gemar membeli fabrik dari Indonesia kerana, selain murah, coraknya pelbagai dan cantik serta lain daripada yang lain.

Sementara itu, setiap kasut yang dihasilkan rekaannya adalah ilham daripada hasil bacaan majalah dalam negara ataupun luar negara dan tidak ketinggalan Internet.

Menamakan rekaannya YMS Koleksi, setiap satu rekaan yang dihasilkan adalah eksklusif dan hanya terdapat 50 pasang untuk setiap rekaan.

Boleh didapati pada harga terendah RM140 dan termahal RM200, YMS koleksi hanya boleh dibeli secara online dan bagi mereka yang ingin melihat koleksi-koleksi Ayuni bolehlah layari www.youmeandshoes. blogspot.com atau melalui laman sosial Facebook you, me and shoes.

Dijahit oleh tukang jahit tempatan, Nur Ayuni turut menerima tempahan mengikut rekaan dan cita rasa pelanggan.

''Untuk setiap rekaan, saya memerlukan sebulan bagi menyiapkannya dan saya turut menerima tempahan mengikut rekaan dan cita rasa pelanggan.

"Bagaimanapun, pelanggan juga boleh memilih rekaan yang telah sedia ada,'' katanya mengakhiri perbualan.

Monday, May 2, 2011

Wakil Murtabak


Peluang jadi pengedar Murtabak Raja

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my



BUKIT MERTAJAM 1 Mei - Biarpun baru empat bulan menjadi stokis Murtabak Raja keluaran Muslim Best Food Industries Sdn. Bhd., syarikat Wan Enterprise mampu mengedarkan hampir 3,000 pek hidangan yang pernah menjadi sajian istana itu.

Menurut Pengurus Wan Enterprise, Wan Nur Hazeera Wan Rohaizai, kejayaan itu dicapai bersandarkan minat untuk mencari pendapatan tambahan biarpun tanpa pengalaman dalam bidang perniagaan.

Katanya, berdasarkan maklum balas pembeli, ternyata Murtabak Raja memiliki keistimewaan tersendiri dengan pelbagai pilihan iaitu perasa daging tempatan berperisa lada hitam, sardin bersos salsa nanas dan kari ayam rempah ratus tradisional.

"Pada masa ini, saya membuat promosi di Pasar Tani Mega Tasek Gelugor dan sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan malah rata-rata memuji keenakan murtabak ini.

"Biarpun harganya sedikit mahal iaitu RM16, namun dengan berat mencecah satu kilogram, ia cukup untuk dimakan oleh empat orang dewasa dan boleh disimpan di dalam tempat beku peti sejuk selama setahun," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Tambah Wan Nur Hazeera, jika disimpan di ruang biasa di dalam peti sejuk pun, ia mampu bertahan selama tiga bulan dan itulah keistimewaan Murtabak Raja.

Jelasnya, melalui kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), produk berkenaan mampu dihasilkan dengan saiz lebih besar, tebal dan padat, berintikan 100 peratus daging lembu dan ayam tempatan serta sardin berkualiti bersalut telur gred tinggi dan bawang segar.

"Selain murtabak, kami turut mengedarkan beberapa produk lain antaranya karipap, popia cendawan berkeju dan samosa coklat pisang yang juga keluaran syarikat Muslim Best.

Menurut Wan Nur Hazeera, pihaknya berhasrat untuk memperluaskan edaran makanan sejuk beku ini.

Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 013-4618876 atau di laman facebook dengan menaip murtabak raja (stokis Pulau Pinang).