Sunday, March 25, 2012

guna matematik

Guna ilmu matematik selesai masalah

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BERCUTI...ketika melancong ke luar negara.
BERCUTI...ketika melancong ke luar negara.
HIDUP dalam keluarga besar dengan sembilan adik beradik, beliau tidak terlepas melalui zaman susah sekitar 1960-an. Makanan terpaksa dicatu, manakala pakaian lusuh dan koyak yang berjahit membaluti tubuh.
Bapanya anggota polis berpendapatan RM90 sebulan dan wang berkenaan perlu digunakan sebaik-baiknya untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga.
   
  • Foto AMBIL BERAT...Mohamed Fadzil bermesra dengan kakitangan di ISM.
  • Foto CARI PENYELESAIAN...berbincang dengan kakitangan.
  • Foto SAMA TAK SERUPA...dalam satu majlis bersama bekas pengacara TV3, Nizal Muhammad.
  • Foto ALBUM...bersama keluarga.
Waktu itu, barangan runcit murah dan sebagai langkah berjimat cermat, orang tuanya membeli seguni tepung gandum dan satu tin biskut untuk stok makanan sebulan.

Disebabkan tugas bapanya sebagai anggota polis, Prof Madya Mohamed Fadzil Che Din dan keluarga sering berpindah randah.


Dr Mohamed Fadzil yang juga anak kelima dilahirkan di Perak dan pernah menetap di Kemaman dan Dungun, Terengganu sebelum pulang ke kampung halaman bapanya di Pulau Pinang kerana meneruskan persekolahan di Jelutong Primary School dan Penang Free School.

Pengarah Institut Sosial Malaysia itu pernah menimba pengalaman sebagai guru dan kaunselor di Sekolah Menengah Sungai Acheh, Seberang Prai Selatan selama setahun sebelum menjadi tutor di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Disebabkan kecemerlangannya dalam pelajaran, beliau ditawar melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang kaunseling pekerja di University Hull, England.

“Saya terima cabaran melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah kedoktoran. Sebagai pelajar, pemimpin pelajar dan pemimpin komuniti, saya belajar menguruskan kehidupan di rantau orang.

“Banyak perkara yang saya pelajari sepanjang di negara orang, termasuk erti keyakinan hidup dan menjadikan konsep kendiri lebih mantap,” katanya yang turut terbabit sebagai pemimpin Kesatuan Melayu United Kingdom dan Persatuan Pelajar Malaysia di universiti terbabit.

Dr Mohamed Fadzil yang diiringi keluarga ketika melanjutkan pengajian di England menghayati budaya berbeza masyarakat di sana.

Beliau berusaha membuka dan memecah minda masyarakat Melayu di negara itu supaya tidak berkelompok antara mereka, selain menggalakkan pergaulan lebih luas dan meneroka kehidupan di sana.

Ini bagi membolehkan mereka mencedok dan mencontohi nilai baik yang diamalkan masyarakat England untuk dimanfaatkan apabila pulang ke tanah air.

“Cabaran ketika melanjutkan pengajian peringkat PhD ialah apabila pensyarah yang menyelia saya mengalami serangan jantung, menyebabkan pengajian saya tergendala hampir dua tahun.

“Waktu itu saya teraba-raba dan sering memikirkan bagaimana masa depan kalau saya gagal menyiapkan PhD. Sudah tentu saya pulang ke Malaysia dengan tangan kosong,” katanya.

Selepas menunggu dengan penuh kesabaran, kesihatan penyelianya pulih dan Dr Mohamed Fadzil berjaya menyempurnakan pengajian.

Pulang ke Malaysia pada 1995, beliau dilantik sebagai pensyarah di UPM. Pengalaman sebagai pensyarah dan pengurus pelajar menjadikan dirinya lebih cekap.

Beliau turut berpeluang menjadi pengetua kolej dan penggerak persatuan pelajar, di samping mempunyai satu rangkaian kerja yang sangat besar dengan 3,000 penuntut di seluruh negara, terutama dalam bidang bimbingan dan kaunseling.

Jika sewaktu menuntut di UPM, beliau pernah meraih pingat emas canselor dan ijazah sarjana muda kelas pertama, Dr Mohamed Fadzil turut boleh berbangga kerana selepas menjadi pensyarah, beliau pula berjaya melahirkan pemimpin pelajar serta pelajar ijazah kelas pertama.

Beliau banyak membabitkan diri dalam lingkungan kaunseling profesional untuk membantu pelajar dan masyarakat, termasuk membantu remaja yang hamil luar nikah.

Menurutnya, minat menjadi kaunselor bercambah ketika bertugas sebagai guru dan kaunselor yang menyebabkannya rapat dengan pelajar serta mendalami masalah mereka.

“Saya pernah menjadi guru Matematik dan dengan ilmu itu, saya membantu pelajar bermasalah dengan logik tertentu serta berfikir di luar kotak.

“Jika orang lain melihat daripada sudut kemanusiaan, keagamaan, bahasa dan sastera, saya pula memahami manusia secara lebih saintifik dengan ilmu matematik,” katanya.

Disebabkan kepakarannya dalam bidang kaunseling, beliau ditawarkan kerusi pengarah di ISM pada 2006. Menerima tawaran itu, Dr Mohamed Fadzil berkata, prinsipnya bukan mencari jawatan tetapi disebabkan tugas atau kerja.

“Apa yang saya teroka dan peroleh ketika menjadi ahli akademik, saya cuba terjemahkan menerusi aktiviti dan program untuk membantu masyarakat,” katanya.

Antara program diperkenalkan ialah satu keluarga satu kaunselor (SKSK) dan menggerakkan aktiviti sukarelawan dengan melatih penuntut institusi pengajian tinggi, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta melatih pekerja sosial secara profesional.

Antara pengalaman dilalui ketika menjadi kaunselor ialah menangani kes gadis terlanjur. Rumahnya menjadi tempat perlindungan sementara sehingga kes berkenaan diselesaikan.

Daripada kebanyakan kes, beliau mendapati gadis terlanjur lebih dipengaruhi rakan, konsep kendiri rendah dan membiarkan diri dikuasai lelaki.

Bagi Dr Mohamed Fadzil, kerja melebihi segala-galanya. Pernah bertugas sebagai guru, kaunselor, pensyarah dan pengarah, fokus dan masa banyak ditumpukan pada kerja.

Beliau bekerja 12 jam sehari dari jam 6 pagi hingga 6 petang, enam jam diperuntukkan untuk keluarga dan enam jam lagi untuk berehat.

Biarpun masa terhad dengan keluarga, seboleh-bolehnya beliau cuba menjadi bapa yang baik.

Antara perkara diamalkan ialah sesibuk manapun, beliau memastikan dapat menunaikan solat maghrib berjemaah bersama keluarga serta makan malam bersama.

“Jika perlu bekerja di luar daerah, saya mengambil penerbangan pagi dan pulang lebih awal bagi memastikan dapat menunaikan solat berjemaah dengan keluarga. Misalnya, untuk tugasan di Sabah, saya menaiki penerbangan pagi dan selesai memberi ceramah pada jam 1 tengah hari, pulang dengan penerbangan petang dan tiba di rumah sebelum maghrib.

“Saya terapkan konsep proaktif ialah berfikiran seperti juruterbang iaitu perlu ­­berjaga-jaga sebelum melanggar awan. Fikir apa yang kita akan hadapi dan perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Antara impiannya ialah meneroka dunia dan ilmu baru yang lebih mencabar, misalnya mengapa manusia bermasalah dan cara orang di negara lain menyelesaikan masalah.

“Saya ingin melihat profil permasalahan manusia, misalnya cara orang di China atau Kemboja menangani masalah mereka.

“Saya mahu mewujudkan rangkaian khidmat bagi membantu masyarakat berteraskan psikososial atau kaunseling,” katanya.



Benci sikap tak tepati masa

1. Sikap anda?

Tidak suka bertangguh dan jika berjanji menyelesaikan sesuatu, saya akan sedaya upaya menyelesaikannya. Saya lebih banyak menggembirakan orang.


2. Tabiat anda yang sering ditegur tetapi sukar diubah?

Banyak pergerakan ketika bercakap. Ada yang memberi komen saya seperti menebar roti canai. Kalau makan, saya makan penuh semangat. Jika makan suplemen, saya sukar mematuhi jadual.


3. Apa yang mudah membuatkan anda ketawa?

Gelagat anak bongsu yang kelakar.


4. Hobi anda?

Mengembara.


5. Apa yang anda tidak suka dalam kehidupan seharian?

Mood terjejas jika ada individu tidak menepati masa ketika menghadiri mesyuarat dan tidak menjelaskan sebab hadir lewat.


6. Jika berdepan perkara tidak disukai, apa yang anda lakukan?

Saya akan tarik diri terlebih dulu, memikirkan cara menangani dan tampil semula untuk bertindak.

wanita mampu bayar

Wanita lebih mampu bayar balik pinjaman

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) ditubuhkan pada 17 September 1987 secara bersama oleh Universiti Sains Malaysia (USM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), kerajaan Selangor serta disokong kuat Pusat Pembangunan Asia Pasifik.

Agensi ditubuhkan melalui Suratcara Perjanjian Amanah Ikhtiar Malaysia serta didaftarkan mengikut Akta Amanah 1952 (pindaan 1981) (Akta 258) itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan, yang secara langsung membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia dengan cara pengeluaran Pembiayaan Ikhtiar.

Pembiayaan khusus untuk golongan miskin di kawasan luar bandar itu membantu mereka melakukan sebarang kegiatan perniagaan bagi menambah pendapatan sampingan.

Penubuhan ini juga bertitik tolak daripada idea Pensyarah Ekonomi Universiti Chittagong di Bangladesh, Prof Muhamad Yunus yang memperkenalkan kredit mikro dalam membasmi kemiskinan di negara itu pada 1976 yang kemudian berkembang ke seluruh dunia.


Muhamad Yunus dalam kajiannya mendapati, pembabitan golongan miskin dengan dunia perbankan sangat kurang. Ini berikutan mereka kekurangan modal dan sukar meningkatkan taraf hidup jika hanya bergantung kepada pendapatan harian.


Beliau kemudian mengetengahkan idea untuk memberi sumbangan berbentuk modal kepada golongan itu bagi memberi mereka peluang menambah pendapatan.

Idea ini diambil Pusat Penyelidikan Dasar (PPD) USM ketika itu untuk mendapatkan maklumat berkaitan serta menguji Pendekatan Bank Grameen (PBG) dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar yang ketika itu begitu tinggi dengan cara memberi hak kredit mikro kepada golongan miskin.

Projek perintis AIM yang dikenali sebagai Projek Ikhtiar ialah di kawasan barat laut Selangor merangkumi Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sabak Bernam dan Sungai Besar pada 1987.

Keputusannya dua tahun kemudian mendapati kadar bayaran balik di kalangan peminjam atau Sahabat AIM wanita lebih tinggi berbanding lelaki. Sebanyak 92 peratus Sahabat AIM wanita berjaya membayar balik pinjaman itu berbanding 78 peratus lelaki.

Faktor ini membuatkan AIM membuat keputusan memberi fokus kepada wanita sebagai syarat menjadi Sahabat AIM dan menyertai Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) atau pinjaman modal untuk perniagaan.

kena bijak membayar pinjaman

Perlu bijak guna wang pinjaman

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

“PINJAMAN Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) ini mudah. Orang susah memang tidak terasa beban bayar pinjaman kerana bayarannya sikit saja dan dibayar setiap minggu.”

Demikian kata Hanim Mamit, 42, peserta atau Sahabat AIM yang mendapat manfaat menerusi bantuan pinjaman AIM sejak 18 tahun lalu.

Hanim daripada Kampung Talang, Kuala Kangsar, Perak yang bermula dengan menjual kuih secara kecil-kecilan kini boleh berbangga dengan Restoran Talang miliknya di tengah-tengah Bandar Diraja Perak itu.

“Mula-mula saya kerja kilang di Ipoh. Lepas berkahwin dan mendapat anak pada 1991, saya berhenti kerja dan pulang ke kampung.


“Suami pula kerja atendan pam di stesen minyak. Berapa sangatlah gajinya dan saya cuba membantu dengan menjual kuih. Namun pendapatan tidak seberapa, nak dapatkan RM200 sebulan pun susah,” kata ibu kepada empat anak ini.


Wanita gigih ini kemudian diperkenalkan dengan AIM oleh rakannya sebelum dia membuat pinjaman awal sebanyak RM500 menerusi Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) pada 1995 untuk membuka kedai makan.

Berbekalkan kepakarannya dalam bidang masakan, Hanim menjadikan masakan kampung seperti gulai tempoyak, sambal petai ikan bilis dan banyak lagi sebagai tarikan di kedainya.

Selepas ia makin mendapat sambutan, Hanim menambah pinjaman setiap tahun dan tahun lalu dia membuat pinjaman AIM berjumlah RM28,000 bagi meluaskan perniagaan.

Bermula dengan seorang pekerja, kini Restoran Talang mempunyai enam pekerja dan sebahagian besar penduduk Kuala Kangsar mengenali restoran ini yang popular dengan masakan kampung.

“AIM memberi banyak peluang kepada orang susah untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. Yang penting, kita kena ikhlas dan buat betul-betul.

“Jika kita berdisiplin, insya-Allah tidak akan ada masalah dan mudah untuk mendapatkan pinjaman lagi. Selain itu, kena bijak menggunakan wang pinjaman itu.

“AIM adalah yang terbaik. Saya sudah 18 tahun bersamanya dan memang sudah sebati,” katanya.

Yang pasti, berkat kerja keras dan keikhlasannya menjalankan perniagaan dengan bantuan AIM, Hanim berjaya meneruskan kelangsungan hidup dan keluar daripada kemiskinan.

Hasilnya, bukan saja berbangga dengan restoran sendiri tetapi wanita ini mampu memiliki dua rumah, kebun getah seluas 1.2 hektar, dua kereta dan dua motosikal.

senang juga akhirnya

Terbukti berkesan basmi kemiskinan

Oleh RIADZ RADZI
riadz@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GIGIH...Saadiah bersama produk Gano Excel dalam bidang jualan langsung diceburinya.
GIGIH...Saadiah bersama produk Gano Excel dalam bidang jualan langsung diceburinya.
SEBELUM menerima bantuan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), kehidupan Saadiah Daud, 49, sekeluarga memang susah. Mereka pernah makan nasi dengan garam saja kerana tidak mampu beli lauk. Rumah pula kosong, peti ais, televisyen, mesin basuh, semuanya tiada.
Itu antara kisah silam seorang peserta atau Sahabat AIM yang mendapat manfaat menerusi bantuan pinjaman AIM hingga berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan sejak sekian lama.
Berasal daripada Kampung Sematang Gunung, Alor Setar, Kedah, Saadiah kini aktif dalam bidang jualan langsung produk Gano Excel sejak 1999 dengan pendapatan bersih lebih RM6,000 sebulan.

“Buat pinjaman dengan AIM mudah sebab tak perlu cagaran. Cara bayaran juga mudah dan tidak membebankan. Jika kita berdisiplin, insya-Allah tak akan ada masalah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.


Ibu kepada lima anak ini bermula dengan menjual kuih, kerepek pisang dan sos cili buatan sendiri dari rumah ke rumah pada 1984.

“Saya kayuh basikal dari rumah ke rumah. Kadangkala hingga ke Kubang Jawi, dekat Kuala Kedah, lebih 10 kilometer dari rumah. Selain itu, terpaksa bawa sekali dua anak lelaki dan perempuan yang ketika itu baru berusia enam dan tiga tahun,” katanya.

Saadiah berkata, kerja meletihkan itu hanya memberikan pendapatan tidak sampai RM300 sebulan manakala suami, Zainol Mohamadan Ahmad, 52, bekerja sebagai pesawah waktu itu.

Melalui rakan, Saadiah mengetahui AIM dan mula meminjam sebanyak RM500 pada 1997 menerusi Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) AIM bagi mempelbagaikan jualan kuihnya, selain turut melakukan kerja menjahit baju. Setahun kemudian, wanita ini menambah pinjaman sebanyak RM1,000.

Pada 1999, kehidupannya diduga lagi apabila disahkan menghidap kanser payudara. Namun itu bukan titik noktah dalam kehidupan Saadiah, sebaliknya menjadi titik permulaan kejayaannya apabila dia membuat keputusan menjadi stokis produk Gano Excel.

“Saya semakin sihat selepas mengambil produk makanan kesihatan itu dan ia mendorong saya untuk terus mengambilnya, selain aktif dalam bidang jualan langsung produk berkenaan,” katanya.

Yang pasti, dengan menggunakan sumber pinjaman AIM, Saadiah gigih dalam bidang jualan langsung hingga berjaya mencapai kedudukan tertinggi iaitu ‘Crown Diamond Director’.

Penat lelahnya berbayar dan membolehkan Saadiah bersama keluarga meneruskan hidup, sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan.

Hasilnya, dia kini mampu mengumpul harta dengan tiga rumah serta empat kereta untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Episod kehidupan Saadiah antara cebisan kisah sebanyak 287,975 Sahabat AIM di seluruh negara. Yang pasti, kewujudan AIM sejak 25 tahun lalu begitu relevan dalam memberi pembiayaan kredit mikro kepada isi rumah miskin di seluruh negara, sama ada di luar bandar atau bandar, untuk menjalankan kegiatan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan.

Justeru itu, tidak hairan peruntukan RM2.1 bilion oleh kerajaan kepada AIM dalam Bajet 2012 lalu sangat dialu-alukan.

Pengarah Pinjaman dan Operasi AIM, Nor Fazidah Kadri berkata, menerusi peruntukan kerajaan itulah AIM salurkan kepada peminjam yang layak.

“Apabila peminjam bayar balik, wang itu kemudian kita pusing balik untuk dijadikan pinjaman seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, sejak penubuhan AIM pada 1987 hingga Januari lalu, agensi itu mengeluarkan pinjaman sebanyak RM6.4 bilion iaitu enam kali pusingan kepada 287,975 Sahabat AIM untuk mereka menjalankan perniagaan.

Menurutnya, peruntukan diberi dalam bentuk pinjaman modal secara kecil-kecilan kepada golongan termiskin dan berpendapatan rendah untuk membiayai aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan mereka.

Isi rumah yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan atau pendapatan per kapita RM400 layak menerima pembiayaan AIM.

Berdasarkan kajian AIM, Sahabat AIM perlu membuat tiga kali pinjaman dengan pinjaman maksimum kali pertama sebanyak RM3,000.

Jika mereka menunjukkan disiplin baik dalam membuat pembayaran balik serta mempunyai kemampuan, pinjaman boleh ditambah daripada RM5,000 kepada RM6,000.
Ketika mula diperkenalkan, Sahabat AIM boleh membuat pinjaman sebanyak RM500 untuk pinjaman pertama. Ia kemudian dinaikkan kepada RM1,000 pada 1997.

Pada 2003, pinjaman minimum dinaikkan kepada RM2,000 dengan pinjaman maksimum RM20,000. Seterusnya pada 2008, pembiayaan kali pertama dinaikkan kepada RM3,000 dan maksimum sebanyak RM50,000 dan ia kekal hingga kini.

“Dengan kadar baru ini, kita tetapkan tempoh bayaran balik di antara satu hingga lima tahun menerusi kaedah bayaran balik secara mingguan.

“Setakat ini kita tidak menetapkan bidang perniagaan apa yang Sahabat AIM perlu ceburi, sebaliknya terpulang kepada mereka mengikut minat dan kebolehan,” katanya.

Nor Fazidah berkata, AIM bagaimanapun menyarankan mereka memilih bidang yang boleh memberi pendapatan cepat, antaranya perniagaan kecil-kecilan dari rumah ke rumah seperti menjual kuih dan menjahit.

“Perniagaan sedemikian memberikan pulangan tunai cepat dan mudah dipusing semula. Jika perniagaan itu berkembang, mereka boleh membuat pinjaman lagi dan beralih kepada perniagaan lebih besar untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya.



SYARAT KELAYAKAN


  • Wanita Malaysia berusia 18 tahun ke atas

  • Pendapatan isi rumah bawah RM2,000 sebulan

  • Memiliki aset tidak melebihi RM50,000

  • Tinggal di kawasan lokasi projek tidak kurang dua tahun

  • Lelaki bapa tunggal boleh menyertainya tetapi perlu memohon menerusi anak perempuan berusia

  • 18 tahun ke atas


    SYARAT PINJAMAN

  • Pinjaman tanpa cagaran dan penjamin

  • Bersetuju membentuk kumpulan lima ahli dan menjalani latihan asas pembiayaan selama lima hari (satu hari satu setengah jam)

  • Bersetuju menubuhkan Pusat

  • Menghadiri mesyuarat pusat setiap minggu

  • Bersetuju menyumbang satu peratus daripada pinjaman

  • mikro bandar ke dalam Tabung Kebajikan dan

  • Kesejahteraan Sahabat (TKKS)

  • Bersetuju menabung dalam Tabung Kumpulan sebanyak RM5 seminggu

  • Bayaran balik secara mingguan

  • Mencarum dalam Tabung Khairat Hutang (TKH)

  • Caj pinjaman satu peratus sebulan


    TIGA NEGERI PALING RAMAI SAHABAT AIM
    (sehingga 31 Januari 2012)


  • Sabah 52,834

  • Kelantan 45,529

  • Kedah 32,455


    TIGA NEGERI JUMLAH PINJAMAN PALING TINGGI
    (sehingga 31 Januari 2012)


  • Kelantan RM1.6 bilion

  • Kedah RM1.05 bilion

  • Terengganu RM926 juta

  • Saturday, March 24, 2012

    pakej kahwin 9.90

    Kahwin RM9.90
    NURULFATIHA MUAH
    23 Mac 2012
    Pelamin
    SHAH ALAM - Dengan harga serendah RM9.90 untuk seorang, ‘semua orang boleh kahwin’.

    Itu slogan yang menjadi trademark pakej baru ditawarkan perunding perkahwinan, Kamalinda Catering, Event and Wedding Planner (Kamalinda).

    Pemiliknya, Ashraf Mohammed berkata, melalui pakej dengan minimum 1,000 tetamu itu, pelanggan memperoleh set makanan pilihan, lima kanopi termasuk khemah pengantin dan pelamin 10 kaki lebar.

    “Kita sedia maklum orang yang hendak kahwin ini memerlukan kos tinggi, jadi kami cuba ambil pendekatan dengan kurangkan perbelanjaan mereka.

    “Buat masa ini, sambutan pakej ini sangat menggalakkan. Sejak dilancarkan Februari lalu, kita sudah dapat 30 tempahan,” katanya pada Majlis Perasmian Galeri Perkahwinan Kamalinda, di sini, semalam .

    Ashraf berkata, pihaknya turut menawarkan pakej ulang tahun perkahwinan dengan harga serendah RM59.90.

    Kamalinda katanya, turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menggunakan Stadium Shah Alam, di sini menggantikan penggunaan dewan sebagai lokasi perkahwinan dalam usaha untuk mempromosikan kawasan itu.

    “Ini pertama kali kita adakan program di stadium ini, kami tunjukkan situasi sebenar majlis berlangsung di mana pelbagai pakej perkahwinan yang kami tawarkan dengan tema Perancis, taman, Arab, ‘Funky’ dan elegan kontemporari, pelanggan boleh pilih tema dan konsep mengikut bajet mereka,” katanya.

    Setelah 13 tahun beroperasi, lebih 250 pelanggan hadir dalam majlis itu untuk menyaksikan sendiri pakej yang ditawarkan Kamalinda.

    Seorang pelanggan, Zulianee A Rahim, 25, berkata, dia yang merancang berkahwin hujung tahun ini memilih pakej RM9.90 kerana harganya yang disifatkan sangat berpatutan.

    “Promosi yang mereka jalankan bagus kerana saya bersama keluarga dapat lihat sendiri keadaan sebenar ketika majlis perkahwinan nanti, bukan setakat tengok gambar saja,” katanya.

    Sebarang pertanyaan lanjut berhubung pakej perkahwinan boleh menghubungi Alynn di talian 019-311 3291.

    Thursday, March 22, 2012

    tiga abdul cemerlang

    ‘Tiga Abdul’ cemerlang

    Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
    am@hmetro.com.my
    E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
    MANTAP...(dari kanan) Abdullah Romli, Abdul Rahim dan Abdul Razak.
    MANTAP...(dari kanan) Abdullah Romli, Abdul Rahim dan Abdul Razak.
    JITRA: Tiga beradik kembar yang lebih dikenali dengan nama ‘Tiga Abdul’ mencatat sejarah bagi Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH), di sini, apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan, semalam.
    Abdullah Romli, Abdul Rahim dan Abdul Razak masing-masing berusia 18 tahun menganggap kejayaan mereka sebagai hadiah kepada ibu bapa yang banyak berkorban serta memberi semangat kepada mereka.

    Abdullah memperoleh keputusan 7A 2B; Abdul Rahim meraih 9A manakala Abdul Razak mendapat 8A 1B. Abdullah berkata, dia dan adik-adiknya tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu kerana ketika peperiksaan percubaan, mereka mendapat keputusan kurang baik.
    Menurutnya, rahsia kejayaan mereka mendapat keputusan cemerlang dengan sentiasa memberi tumpuan ketika guru mengajar dan mengulang kaji pelajaran cara mereka.

    “Kami bertiga selalu mengadakan perbincangan setiap malam dan akan merujuk kepada rakan lain seterusnya kepada guru jika tidak dapat menyelesaikan masalah.

    “Selain itu, kami sering membaca al-Quran dan melakukan solat hajat terutama ketika menghadapi peperiksaan bagi mencari ketenangan.

    “Kami juga mengamalkan makan kismis tujuh biji sebelum masuk ke bilik peperiksaan,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor bersama dua lagi adik kembarnya.

    Abdul Rahim juga berterima kasih kepada guru SMSAH yang banyak membantu mereka bersaudara, malah tidak jemu memberi tunjuk ajar serta sanggup datang pada waktu malam untuk mengajar terutama ketika menjelang hari peperiksaan.
    “Memandangkan tinggal di asrama, kami menganggap guru seperti ibu bapa juga yang sentiasa mengambil berat sama ada pelajaran mahupun kehidupan seharian di asrama,” katanya yang menjadikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai idola.

    Sementara itu, Abdul Razak pula berkata, walaupun gembira dengan pencapaian mereka, namun terkilan kerana seorang lagi kembar mereka, Abdul Rahman tidak dapat meraikan kejayaan itu bersama apabila meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang ketika berusia lima tahun.

    Saturday, March 17, 2012

    jom tanam kenaf

    Untung besar tanam kenaf


    E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
    HAMZAH...hulur bantuan RM2,500 satu hektar
    HAMZAH...hulur bantuan RM2,500 satu hektar
    PEKEBUN kecil digalakkan menanam pokok kenaf bagi menggantikan tanaman yang diusahakan mereka sebelum ini kerana permintaan daripada syarikat luar negara terhadap serat kini semakin meningkat.
    Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, pekebun kecil yang mengusahakan tanaman itu akan memperoleh keuntungan besar kerana serat dari pokok itu digunakan syarikat besar dari Korea dan Jepun dalam pelbagai industri.

    “Kita mahukan pekebun kecil yang mempunyai tanah terbiar mengusahakan tanaman ini (pokok kenaf) kerana hasilnya baik, pokok ini boleh tumbuh antara tiga hingga empat bulan dan pulangannya lebih baik.
    “Permintaan serat oleh mereka (syarikat besar) juga meningkat kerana boleh digunakan untuk bahan komponen badan kereta, perabot, tekstil dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hello Komoditi di Dewan Sekolah Menengah Vokasional Bagan Serai di Pulau Pinang, semalam.

    Program Hello Komoditi yang ketiga diadakan di daerah Kerian adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai, khususnya golongan belia dan pekebun kecil mengenai kepentingan tanaman komoditi, seterusnya menarik minat mereka untuk menceburi bidang dan kerjaya di sektor perusahaan perladangan dan komoditi.

    Sehubungan itu, dalam usaha membantu pekebun kecil mengusahakan tanaman tersebut, katanya, kerajaan memberi bantuan kewangan dari semasa ke semasa.

    “Kita juga beri bantuan benih, bantuan RM2,500 untuk satu hektar tanah termasuk sewa tanah. Bantuan ini sama juga diberi kepada tanaman yang lain. Selain itu Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dipertanggungjawabkan untuk memberi latihan kepada pekebun kecil mengenai kaedah penanaman pokok itu,” katanya.

    Mengenai sambutan terhadap penanamannya, beliau berkata setakat ini 2,000 hektar tanah di seluruh negara ditanam dengan pokok kenaf. - Bernama

    najmi letak jawatan

    Nadzmi Salleh berundur dari Proton

    16 Mac 2012
    Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh
    KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh meletakkan jawayan sebagai Pengerusi dan Pengarah Proton Holdings Bhd, berkuatkuasa serta merta.

    Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pembuat kereta nasional itu berkata, peletakan jawatannya adalah sebahagian daripada syarat yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli (SSPA) antara Khazanah Nasional Bhd dengan DRB-Hicom Bhd.

    "Kami ingin menegaskan bahawa peletakan jawatan Nadzmi sebagai pengerusi lembaga pengarah Proton dan jawatan-jawatan lain oleh sebab jawatannya sebagai pengarah, adalah sebahagian daripada terma-terma SSPA itu," kata Proton.

    Nadzmi, 57, yang dicalonkan oleh Khazanah, telah dilantik sebagai Pengerusi Proton pada 1 Jan, 2009 dan juga sebagai pengerusi lembaga pengarah anak-anak syarikat dalam kumpulan syarikat Proton.

    Sebelum ini beliau berkhidmat dengan syarikat kereta nasional itu sebagai Pengarah Urusannya dari 1993 hingga 1996.

    Pada 16 Jan, DRB-Hicom menandatangani SSPA dengan Khazanah untuk membeli 42.74 peratus modal saham terbitan dan berbayar Proton dengan harga RM1.291  bilion.

    Sebelum perjanjian itu, Nadzmi telah membayangkan hasratnya untuk membeli kepentingan milik cabang pelaburan kerajaan itu dalam Proton. - Bernama

    fatimah cookies

    Rahsia kejayaan Fatimah Husna dicemburui


    Orang ramai membeli kek cawan dan biskut Cookies Wagon di Seremban, kelmarin.


    SEREMBAN 15 Mac - Sekali pandang tiada siapa menduga kenderaan yang dicat dengan warna merah jambu ini mempunyai 'rahsia' yang menyimpan pelbagai resipi.
    Apa tidaknya, di dalam kenderaan tersebut penuh dengan kek cawan dan biskut untuk dinikmati orang ramai, selain menjadikan pengasas Cookies Wagon Enterprise, Fatimah Husna Razalee, 25, semakin dicemburui pembuat kek dan kedai bakeri di kawasan bandar ini.
    ''Kami sedar ramai perlu datang ke kedai untuk membeli kek. Jadi kami menggunakan pendekatan dengan datang kepada pembeli dengan menggunakan kenderaan diubah suai ini untuk menjual kek cawan pelbagai jenis ini.
    ''Nampaknya sambutan baik apatah lagi harga kami tawarkan juga sangat murah iaitu RM2.80 untuk satu kek cawan, manakala enam biji kek pada harga RM15," katanya kepada Utusan Malaysia di Seremban 2, dekat sini semalam.
    Kata Fatimah Husna, selain kek cawan, dia turut menjual biskut yang semakin digemari penduduk di bandar ini.
    Dia yang menjalankan perniagaan itu bersama suaminya, Mohamad Azim Azli, 25, melalui kaedah baru penjualan produk bakeri itu.
    "Sebenarnya kenderaan kami ada tertera slogan Cookies Wagon dan kami mempunyai tiga kenderaan seumpama itu untuk mendekati pembeli di Seremban, Petaling Jaya dan Putrajaya," katanya.
    Ditanya mengenai resipi pembuatan kek cawan dan biskut, Fatimah Husna berkata, ia adalah 'rahsia' yang diperturunkan ibunya.
    ''Kek yang saya buat ini 'comel' dan rasanya enak. Kalau rasa sebiji, tentu hendak makan lagi," katanya.
    Untuk mengetahui destinasi pergerakan Cookies Wagon dari masa ke semasa boleh melayari laman web www.cookieswagon.com.

    Tuesday, March 13, 2012

    malik noor kahwin

    Malek Noor akhiri zaman bujang, pilih pakar pediatrik
    SAPINAH AB GHANI
    12 Mac 2012
    malek kahwin
    KOTA BHARU - Hanya dengan sekali lafaz, bekas jaguh bina badan Asia, Datuk Malek Noor kini sah bergelar suami kepada seorang doktor pakar kanak-kanak, Dr Wan Asma Wan Ismail, pagi ini.
    Majlis akad nikah yang berwalikan bapa Dr Wan Asma, Wan Ismail Wan Ahmad, 86, itu diadakan di Penthouse Kelantan Trade Centre (KTC) milik doktor pakar berusia 52 tahun itu.
    Malek, 56, melahirkan rasa syukur di atas ikatan yang terbina dan berharap ia adalah perkahwinan pertama dan terakhir baginya.
    “Ketika menunaikan umrah 12 Mac tahu lalu saya memohon kepada Allah agar mempertemukan jodoh dengan wanita yang solehah, dan alhamdulillah dimakbulkan.
    “Hari ini dipilih bersempena dengan tarikh tersebut,” katanya selepas majlis akad nikah berkenaan yang diadakan kira-kira jam 11 pagi.
    Menurut Dr Wan Asma yang juga ibu kepada tujuh anak berusia antara 11 hingga 30 tahun, dia tidak menyangka perkenalan selama tiga bulan akhirnya menyatukan mereka.
    Mengimbau kembali detik pertemuannya, Dr Wan Asma berkata dia mula berhubung dengan Malek selepas tidak dapat menghadiri majlis penerangan produk kesihatan di Kota Bharu pada November lalu.
    “Saya kemudian menghubunginya untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk tersebut kerana Abang (panggilan mesra untuk Malek) bertindak sebagai duta produk berkenaan,” katanya.
    Dr Wan Asma berkata, walaupun jarang berjumpa, telefon menjadi penghubung utama sehingga Malek datang berjumpa ayahnya untuk merisik pada Februari lalu.
    Menurut Wan Asma, dia dan Malek masing-masing mempunyai komitmen di Kota Bharu dan Kuala Lumpur.
    “Abang akan meneruskan perniagaannya di Kuala Lumpur dan saya akan terus dengan kerjaya di Hospital Pakar Perdana di sini,” katanya.
    Dr Wan Asma yang kini mempunyai empat cucu bercerai pada Jun 2009 berharap perkahwinan kali ini kekal dan gembira kerana mendapat restu semua anaknya.

    Malek Noor pertama dan terakhir
    Oleh Siti Fatimah Hassan
    sfhassan@hmetro.com.my
    E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

    KOTA BHARU: “This is my first and last marriage (ini perkahwinan pertama dan terakhir buat saya),” kata bekas jaguh bina badan negara, Datuk Abdul Malek Noor, 56, yang selamat diijabkabulkan dengan Pakar Runding Kanak-kanak, Dr Wan Asma Wan Ismail, 52, dalam majlis akad nikah di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, semalam.

    Dengan sekali lafaz, Malek sah bergelar suami selepas dinikahkan bapa Dr Wan Asma, Wan Ismail Wan Ahmad, 86, jam 11 pagi.

    Kedua-dua mempelai tampil dengan persalinan serba putih diraikan 100 ahli keluarga terdekat serta rakan.

    Dr Wan Asma yang juga ibu kepada tujuh anak berusia antara 11 hingga 30 tahun dan nenek kepada empat cucu, menerima mas kahwin dan hantaran senaskhah al-Quran selain lima dulang daripada pihak lelaki termasuk beg tangan, minyak wangi, persalinan solat, kasut, kek dan dibalas tujuh dulang daripada pihak perempuan.


    Majlis persandingan kedua-dua mempelai diadakan di Hotel Renaissance, di sini, malam tadi.

    Monday, March 12, 2012

    ella bakal kahwin

    Ella hormat permintaan bakal suami


    ELLA lebih selesa mengunci mulut untuk menjawap soal perkahwinannya.


    KECOH baru-baru ini apabila ratu rock negara, Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, 46, dilaporkan bakal bernikah menjelang hujung tahun ini.
    Jejaka yang dikenali sebagai A itu juga dikatakan pernah menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah itu suatu ketika dahulu namun putus di tengah jalan.
    Gosip mula bertiup setelah pasangan itu dikesan menghadiri kursus kahwin di lokasi yang sama dengan pasangan Yusri dan Lisa pernah ikuti iaitu di Pusat Bandar Damansara, Petaling Jaya pada awal bulan ini.
    Kesempatan bertemu dengan penyanyi itu sewaktu Hot FM Big Jam 2012 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, Terengganu hujung minggu lalu, Kosmo! cuba mendapatkan kepastian lanjut.
    Bagaimanapun kali ini, Ella memilih untuk mengunci mulut dan banyak memberi jawapan tidak mahu komen. Dia menjadi begitu berhati-hati untuk menjawab soalan yang dilontarkan kepada pihak media.
    Kosmo!: Benarkah gosip yang mengatakan Ella bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi?
    ELLA: Saya enggan komen. Saya harus menghormati permintaan pihak lelaki.
    Semakin dibiarkan perkara ini tidak berjawab bermakna bakal memberikan seribu satu spekulasi orang ramai. Komen Ella?
    Oleh sebab itulah saya enggan komen. Sebab nanti orang akan menyalahtafsir dan membuat pelbagai andaian. Sebelum ini pun khabar yang keluar menyimpang daripada perkara sebenar.
    Hal ini bermakna berita yang dilaporkan sebelum ini tidak benar?
    Jangan percaya gosip-gosip di internet.
    Sebagai seorang penyanyi terkenal dan selebriti, bagaimana Ella melihat sebuah institusi perkahwinan itu sendiri?
    Saya tidak boleh komen lanjut sebab saya belum berkahwin. Berkahwin itu wajib bagi setiap orang
    Ella percaya pada kuasa cinta? Perlukah cinta dalam diri seorang Ella?
    Saya tak tahu. Mungkin perasaan yang sama dirasa oleh semua insan yang bercinta.
    Sepanjang tahun ini, selain sibuk dengan program Mentor, apa agenda kerjaya Ella?
    Tahun ini sibuk bagi saya. Pada 25 Mac ini saya akan ke Singapura untuk konsert Ella dan Awie. Pada bulan April pula saya akan ke Surabaya seterusnya ke Jakarta, Indonesia dan Brunei untuk membuat persembahan di sana. Menjelang hujung tahun selepas Hari Raya Aidilfitri pula, barangkali bakal berangkat ke Dublin, Ireland dan Amsterdam.
    Nampak gaya sepanjang tahun Ella sibuk dengan karier dan hal ini bermakna Ella tidak akan ada waktu untuk diri sendiri?
    Nampaknya begitulah (ketawa).

    Sunday, March 11, 2012

    hobi boleh tambah wang

    Hobi tambah pendapatan


    Siti Zabidah Setia (tengah) bersama empat suri rumah yang mengikuti kelas membuat kek fondant anjurannya.


    SETIAP orang yang mempunyai hobi tersendiri mampu mengatur masa lapangnya dengan terancang, berdisiplin dan berkesan.
    Individu yang tahu memanfaatkan masanya boleh memaksimumkan hobi tersebut untuk menambah pendapatan terutama bagi suri rumah mahupun wanita bekerjaya.
    Hobi boleh dikembangkan melalui penambahan ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui kursus tertentu.
    Antara hobi yang boleh mendatangkan hasil yang lumayan ialah membuat kek atau coklat di rumah.
    Melalui kaedah moden, perniagaan ini mampu berkembang dari rumah.
    Di samping menguruskan rumahtangga, suri rumah dapat memanfaatkan masa terluang untuk tujuan meningkatkan pendapatan keluarga.
    Usaha ini tidak memerlukan modal besar untuk memulakan perniagaan asalkan dia rajin berusaha, inovatif dan kreatif.
    Seseorang juga boleh bertukar kepada kerjaya baru sekiranya mahu memenuhi hobi yang diminati apabila tiba masanya.
    Bagaimanapun cara mengendalikan hobi bagi seorang guru, Siti Zabidah Setia, 53, berbeza dengan orang lain.
    Walaupun sibuk dengan tugas sebagai seorang pendidik yang disegani, beliau turut mencurahkan bakti kepada warga luar lingkungan sekolah.
    Ketika lapang beliau belajar selok-belok membuat kek hari jadi, pertunangan dan perkahwinan sejak 15 tahun lalu.
    Daripada kek biasa beliau mempelajari pula teknik membuat kek fondant.
    Pada mulanya beliau sekadar ingin mencuba apabila anak-anak sedang membesar gemar makan kek terutama ketika menyambut hari ulang tahun kelahiran mereka.
    "Kelima-lima anak saya suka meraikan hari jadi masing-masing bersama rakan sebaya dan meminta saya membuat sendiri kek mereka," katanya ketika ditemui.
    Selain anak-anak beliau turut menghadiahkan kek sempena hari guru di sekolahnya.
    Dari situ Siti Zabidah mendapat maklum balas membina untuk memperbaiki kelemahan.
    Rakan-rakan dan saudara-mara turut meminta beliau membuat kek sempena majlis pertunangan dan perkahwinan.
    Secara kebetulan beliau mempunyai teman yang juga seorang guru bersara, Yun Abdul Rahman, 65, yang mempunyai hobi sama.
    Mereka berkongsi pengetahuan dan pengalaman di samping bersama-sama belajar di tempat lain.
    Yun yang semakin uzur kerap menurunkan ilmu kemahiran keknya kepada Siti Zabidah.
    Kini beliau mampu berkongsi pengetahuan kepada generasi muda terutama suri rumah yang mahu mengusahakan industri kek.
    "Sesetengah mereka sudah mampu membuat sendiri kek dan membuka perniagaan secara kecil-kecilan, "katanya.
    Beliau tidak pernah lokek ilmu untuk membimbing generasi baru dalam bidang berkenaan.
    Sudah banyak corak dan reka bentuk kek dicipta yang turut dimuatkannya dalam blog Selagi Ada Gula.
    Seorang suri rumah, Rohaidawati Md. Rodhi, 34, berkata, beliau pernah menyertai pelbagai jenis kursus membuat kek.
    Beliau mempelajari pelbagai teknik membuat kek dan icing fondant atau sugarpaste daripada Siti Zabidah.
    "Saya dapat mempelajari tentang teknik bagaimana mendapatkan kek serta icing fondant yang baik dan sempurna selain cara membuat pelbagai jenis bunga hiasan kek.
    "Saya berbangga dapat menambahkan dan memantapkan lagi ilmu melalui perkongsian pelbagai pengalaman daripada rakan lain, "katanya.
    Rohaidawati berjanji akan mempraktikkan kemahiran dipelajari selama ini.
    Beliau bercita-cita untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini apabila tiba masanya nanti.
    Menurutnya, kejayaan boleh dicapai apabila seseorang itu mempunyai semangat dan keyakinan diri.
    Seorang lagi rakannya, Zuraida Mohd Zambri, 48, berkata dia pernah mempelajari teknik asas membuat kek.
    Menurutnya, banyak teknik dan kemahiran baru dipelajari dan ia merupakan pengalaman yang amat berguna bagi dirinya.
    "Ia merupakan kursus yang menguji minda serta memerlukan banyak kesabaran.
    "Saya akan mendalami lagi teknik asas serta kemahiran menghias kek fondant yang baru saya ceburi, "katanya.
    Beliau berazam mencipta hasil kerja tangan yang lebih halus dan kemas.

    blog beliau ...selagiadagula.blogspot.com

    Thursday, March 8, 2012

    siti hawa tanam nanas

    Tanaman nanas ubah kehidupan Siti Hawa

    KUALA LIPIS 5 Mac - Projek Agropolitan Tanjung Gahai di Hulu Jelai dekat sini mengubah kehidupan seorang pengusaha menjadi usahawan tani berjaya.

    Agak sukar dibuktikan kejayaan sebenar dalam sesuatu bidang yang tidak pernah ceburi tetapi bagi seorang pengusaha, Siti Hawa Akob, 55, dia menarik nafas lega dan menghitung nikmat rezeki hasil bidang yang dilakukannya.

    Projek tanaman komersial nanas (Ananas comocus) seluas 14.2 hektar yang diusahakan oleh Siti Hawa mengeluarkan hasil secara berperingkat dan memperoleh pulangan berbaloi setelah produk berkenaan dipasarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

    Siti Hawa berkata, dia dan rakannya tidak menyangka tanaman itu mulai berhasil berbanding pada peringkat awal kerana kurang yakin memandangkan projek itu merupakan perintis di bawah penyelenggaraan Risda.

    ''Alhamdulillah, sebanyak 2,500 nanas matang mulai dipetik dan dijualkan kepada FAMA berasaskan perjanjian peladangan kontrak dengan harga 60 sen sekilogram," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

    Menurutnya, kini sebanyak 420,000 pokok nanas menanti masa untuk dipetik buahnya manakala 80,000 anak benih dalam proses untuk dipindahkan ke ladang bagi tanaman seterusnya termasuk dipasarkan kepada petani luar.

    "Saya dan rakan iaitu peserta projek mengikuti kursus teknikal nanas, pengurusan ladang, penggredan buah dan pasaran menerusi bimbingan Risda Pahang, Lembaga Nanas Malaysia dan Agro Chemical Sendirian Berhad.

    "Saya gembira dan bersyukur kerana setelah bertungkus lumus bekerja mengurus tanaman nanas sejak ditempatkan di projek itu, akhirnya membuahkan kejayaan," ujarnya.