Friday, July 8, 2011

Marina


Tuah Marina dalam pertanian

Oleh LAUPA JUNUS
laupajunus@hotmail.com
Gambar Djohan Shahrin Shah


Marina Nasir dan Mohamed Firdaus Mokhtar kini boleh berbangga dengan pencapaian projek pertanian sayur-sayuran yang mereka usahakan di sijangkang.

Mungkin ramai pengusaha pertanian atau usahawan yang pernah melalui saat getir. Jatuh dan bangkit semula sama ada dalam bidang perniagaan yang sama atau berjaya selepas beralih ke bidang lain.

Itu pun selepas lama menceburkan diri, gagal dan selepas mencapai usia tertentu. Kadangkala datang perasaan putus asa lantas mengambil keputusan untuk berundur.

Namun, tuah mungkin menyebelahi Dewi Marina Nasir, 27, yang mencuba banyak cabang perniagaan tetapi tidak begitu berjaya pada awalnya. Tetapi berkat ketabahan dan kegigihan, beliau akhirnya boleh menarik nafas lega.

Beliau yang mesra dipanggil Marina menceburkan diri dalam perniagaan kecantikan pada awalnya meskipun memiliki kelayakan akademik dalam pengurusan pelancongan.

Mengimbau kembali saat menceburkan diri dalam perniagaan, Marina, anak kelahiran Johor itu memberitahu beliau pernah bekerja sebagai penyelaras pelancongan bermula tahun 2003.

Minatnya dalam perniagaan muncul selepas bekerja dalam industri tersebut dan mula mencongak bidang yang dapat menambat jiwanya.

Semangat yang sudah berputik itu tidak dipersiakan. Lantas dalam usia yang begitu muda dia membuka salun kecantikan pada 2005.

Beroperasi selama tiga tahun iaitu sehingga 2008, meskipun salun berkenaan menunjukkan tanda-tanda untuk berkembang, Marina bagaimanapun melihat peluang lain yang dirasakan mendatangkan pulangan lebih baik .

"Cabarannya besar tetapi saya rasakan sesuatu yang lebih baik. Selepas terbaca iklan dalam sebuah akhbar berkaitan kursus penanaman cili saya menyertainya," ungkap Marina.

Berkongsi lebih lanjut pada pertemuan itu yang turut ditemani suaminya, Mohamed Firdaus Mokhtar, 27, Marina berkata, dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan asas dan pengalaman dalam bidang pertanian.

"Saya redah sahaja, tapi saya yakin. Pertanian moden bukan lagi menggunakan cangkul," katanya ketika ditemui di ladangnya di Sijangkang Selangor.

Kerana berasakan diri daif dalam pertanian, dia mendapatkan bantuan lanjut daripada Insitut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenai penanaman cili khususnya teknologi fertigasi.

Teknologi penanaman fertigasi merujuk kepada kaedah yang menggunakan sistem pengairan dan pembajaan serentak yang disalurkan terus kepada pokok menggunakan paip khas.

Baja dicampur dengan air dalam satu tangki khas pada kadar yang telah ditetapkan dan disalurkan mengikut keperluan pokok.

Selepas memperoleh maklumat tambahan dan memahami serba sedikit teknologi penanaman cili, Marina tidak menoleh ke belakang lagi.

Selepas menjual salunnya, dia sudah mula mengumpul modal hasil jualan tersebut dan mendapatkan sumber lain hasil simpanan peribadi dan meminjam daripada keluarga serta saudara mara.

Hasilnya, sebanyak RM70,000 berjaya dikumpulkan. Bagi memulakan usaha beliau menubuhkan syarikat Green Agro World yang beribu pejabat di Klang Selangor.

Selain menjadi penggerak kepada projek penanaman cili, syarikat terbabit juga membekal dan menjual hasil pertanian dan penternakan, menjual peralatan pertanian serta menjual, memborong dan mengedar produk industri kecil dan sederhana (IKS).

Selaku Pengarah Projek, Marina berperanan penting bagi memastikan cita-citanya untuk maju dalam bidang perniagaan tercapai, apatah lagi pertanian merupakan bidang baru baginya,

Suaminya pula memberi tumpuan menyediakan kelengkapan infrastruktur dan logistik selain membantu Marina mencari pasaran.

"Saya bermula di Jalan Tanjung (Sijangkang) dengan menyewa tanah pada peringkat awal dengan dibantu tiga orang pekerja berkeluasan satu hektar atau dengan kapasiti 4,000 pokok cili.

"Tidak lama selepas itu, tiga hektar lagi dibuka dengan kapasiti 12,000 pokok di Jalan Mawar," ujarnnya.

Sehingga kini dia mempunyai 24 hektar kawasan penanaman cili fertigasi baka kulai di sekitar Sijangkang dengan 10 hektar mengandungi 4,000 pokok cili manakala 14 hektar lagi ditanam 5,000 pokok cili sehektar.

Marina bertuah kerana dia mendapat bimbingan pakar penanaman cili secara fertigasi dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mahamud Shahid.

Kata Marina, meskipun dia mendapat bimbingan dalam penanaman cili menggunakan struktur pelindung hujan (SPH), dia tidak mengaplikasikan sistem SPH bagi mengurangkan kos pembangunan.

Marina juga mendapatkan bimbingan daripada Agrobank dalam aspek pengurusan selain mendapatkan pinjaman RM50,000 daripada bank terbabit menerusi skim mikrokredit pada 2009.

Kini dia mampu mengeluarkan antara 700 kilogram cili sehari dan bercadang meningkatkan pengeluaran kepada 26 tan sebulan pada hujung tahun ini.

Setiap pokok cili yang ditanam pula mampu mengeluarkan 120 buah cili atau empat kilogram semusim.

Beliau banyak memasarkan cili ke pasar borong dan bagi mengekalkan pengeluran agar lebih stabil penanaman dilakukan secara berjadual supaya pengeluaran sentiasa ada.

Dalam pada itu, bagi meminimumkan kos operasi, Marina mengggunakan pendekatan kitar semula cocoa peat sebagai medium penanaman.

Sabut kelapa yang telah digunakan, dikitar semula sebagai medium penanaman untuk musim seterusnya selepas proses rawatan yang teliti.

Untuk tujuan itu, syarikatnya telah membeli tiga mesin yang boleh mengitar semula sehingga 100 polibeg sehari.

No comments:

Post a Comment