Wednesday, June 27, 2012

tupperware dalam talian

Tupperware koleksi luar negara
NURAINN AZHAR
26 Jun 2012
Tupperware koleksi luar negara
Yuslia menunjukkan koleksi Tupperware yang dijual.
KEKANGAN mendapatkan bekas simpanan stok susu bebas Bisphenol A (BPA) mendorong Yuslia Yusof berkecimpung dalam bidang perniagaan atas talian (online) sejak setahun lalu.

Memilih laman sosial Facebook sebagai medium pemasaran bagi produk Tupperware, penjualannya memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat mengenai koleksi terkini.

Tidak hanya dijadikan sebagai sumber pendapatan, tetapi kepentingan dan kebaikan penggunaan Tupperware dapat dikongsi bersama pelanggan berikutan ia adalah penyelesaian kegunaan perkakasan rumah.

Berkat kesabarannya, jualan tahunan diperoleh mampu mencecah RM10 ,000 walaupun pada mulanya hanya menjual dalam kalangan jiran, saudara dan rakan terdekat.

Pertaruh koleksi luar negara

MEMPERTARUHKAN Tupperware Brands Corner, Yuslia sentiasa memastikan pelanggan berpuas hati dengan setiap tawaran diberikan.

Menurutnya, berbeza dengan yang lain, dia turut menawarkan koleksi dari Mexico, Amerika Syarikat, Indonesia, China dan India.

Katanya, setiap kali kempen atau promosi, helaian katalog akan dimuat naik di Facebook dan dilengkapi dengan setiap maklumat termasuk harga, ukuran serta saiz produk.

“Pelanggan hanya perlu membuat tempahan melalui pesanan telefon atau mesej di Facebook. Bagi pelanggan berhampiran, penghantaran dilakukan secara terus ke rumah.

“Sebaliknya, bagi pelanggan jauh, produk tempahan akan dihantar menggunakan perkhidmatan pos termasuk ke Sabah serta Sarawak. Caj penghantaran dikenakan antara RM6 hingga RM20 berdasarkan berat bungkusan,” katanya kepada Sinar Harian. Yuslia berkata, tempoh penghantaran bagi perkhidmatan pos laju adalah satu hingga dua hari manakala pos biasa melibatkan tiga hingga lima hari waktu bekerja.

Jaminan penukaran bergantung kerosakan

MENURUTNYA, pelanggan berpeluang mendapatkan koleksi produk dengan penawaran harga berpatutan dari serendah RM1 hingga RM2,500.

Katanya, antara kelebihan Tupperware adalah pelanggan boleh menukar produk yang rosak walaupun telah lama menggunakannya kerana jaminan diberikan adalah sepanjang hayat.

“Bagaimanapun, penukaran tersebut bergantung kepada kerosakan produk sepertimana yang ditunjukkan dalam katalog.

“Kelebihan diketengahkan Tupperware Brands Corner adalah dengan memberikan pelanggan cenderahati bagi setiap pembelian sebagai tanda penghargaan,” katanya.

Yuslia berkata, mekanisme tersebut ialah salah satu kaedah baginya mengatasi krisis pengurusan dan bersaing dengan yang lain.

Menurut Yuslia, perancangan dalam masa terdekat adalah membuka kiosk hujung minggu di rumahnya berikutan pelanggannya kini terdiri dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak malah ada di antaranya luar negara.

“Pelanggan diminta untuk membayar harga produk sepenuhnya sebelum penghantaran dilakukan bagi mengelakkan kejadian penipuan,” katanya

Monday, June 25, 2012

jual satar

RM2,000 sehari jual satar
Wartawan Sinar Harian
25 Jun 2012
RM2,000 sehari jual satar
Mohamad Nor yang berniaga di jalan Kuala Terengganu-Kuantan perlu menyediakan 1,000 batang satar pada hari minggu bagi memenuhi permintaan pelanggan terdiri daripada pelancong d
MARANG – "Hari minggu kami berpesta rezeki, hasil jualan meningkat berkali ganda, saya pernah dapat RM2,000 sehari setelah satar berjaya dijual sebanyak 1,000 batang." Demikian cerita seorang pengusaha makanan laut,  Mohamad Nor Ali, 48, dari Kampung Baru Rhu Muda, di sini.

Katanya, bagi peniaga hasil makanan laut di jalan Kuala Terengganu ke Kuantan, kedatangan hari minggu amat dinantikan, terutama apabila tiba hari cuti persekolahan.

Hari ini (semalam), kata Mohamad Nor, dia dan keluarga serta dibantu beberapa pekerja, tidak menang tangan menambah jumlah satar yang dihasilkan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat mendadak.

“Jika hari biasa, saya hanya mampu menjual kurang 300 batang satar sehari tetapi apabila tiba hari minggu, iaitu Sabtu dan Ahad yang merupakan hari cuti bagi negeri lain, hasil jualan akan meningkat berkali ganda, "Satar yang  saya jual RM2 sebatang ini mampu habis sehingga 1,000 batang dalam masa sehari," katanya.

Katanya, pada Ahad, pelancong dari negeri lain yang bercuti di negeri ini ataupun yang datang ke Terengganu atas urusan kerja akan singgah di gerainya untuk mendapatkan oleoleh bagi dibawa pulang ke rumah.

Kata Mohamad Nor, dia bertuah kerana kedainya yang dinamakan Keropok Lekor 592 terletak di lokasi strategik dan tidak perlu mengeluarkan kos untuk mengadakan promosi.

"Lagipun, keropok dan sayat yang saya hasilkan diakui pelanggan mempunyai rasa yang berlainan membuatkan promosi dari mulut ke mulut sudah cukup untuk melariskan perniagaan," katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.

Katanya, selain satar, jualan keropok lekor dan keropok keping digerainya juga meningkat mendadak pada hari minggu. "Pada hari minggu saya mampu memperoleh lebih RM1,000 sehari hasil jualan keropok berbanding hari biasa  yang hanya dapat RM500 sehari," katanya.

  • Alanzo Shariff · Top Commenter · Seri Kembangan
    400 g isi ikan Tenggiri atau lain (dibuang kulit & tulang)
    100 ml air asam jawa (dari 1 camt asam jawa)
    8 biji buah keras
    2 cm halia, dicincang halus
    3 biji bawang merah, dihiris
    1 ulas bawang putih, dicincang
    150 g kelapa parut putih
    garam
    1/2 camca gula
    1 camt belacan
    2-3 biji lada merah, dicincang
    1-2 camt serbuk lada
    1 helai daun salam, dimayang
    1 helai daun kunyit, dimayang
    Daun pisang, dipotong empat segi 20 cm, dilayur
    Batang buluh halus sepanjang 30 cm (5-6)
  • Alanzo Shariff · Top Commenter · Seri Kembangan
    Rebus isi ikan hingga masak, angkat dan hancurkan. Campur dengan semua bahan. Bentukkan daun pisang seperti kon, isikan dengan 2-3 camca campuran ikan. Bungkus kemas dan cucuk dari bahagian bawah dengan buluh. Untuk setiap batang buluh, cucuk 4-5 bungkus satar. Bakar di atas bara api hingga keperangan (seperti pulut udang).
    Masa membakarnya, harus bijak dan api jangan terlalu kuat dikhuatiri daunnya hangus dan menjadikan satar tidak enak.
  • Alanzo Shariff · Top Commenter · Seri Kembangan
    Satar adalah makanan ringan yang diperbuat dari ikan. Ia merupakan masakan istimewa Terengganu. Ia adalah campuran ikan tumbuk, lada dan halia dibalut dalam daun pisang berbentuk 3 piramid. Setiap satu akan dicucuk seperti sate gergasi dengan batang buluh dan dipanggang atas bara api.

Sunday, June 17, 2012

asam tempoyak

Rezeki asam tempoyak
Wartawan Sinar Harian
16 Jun 2012
Rezeki asam tempoyak
Patimah bersama suaminya, Wan Jamaluddin menunjukkan tempoyak yang sedia
untuk dipasarkan, semalam.
BUKIT BETONG - Seorang warga emas di sini mampu menjana pendapatan antara RM520 hingga RM780 sebulan dengan hanya menjual asam tempoyak.

Usahawan tempoyak, Patimah Aminullah, 64, berkata, dia sebelum ini membuat asam tempoyak hanya pada musim durian.
“Sebelum ini saya membuat asam tempoyak secara kecilkecilan pada musim durian dan hanya menjual kepada jiran-jiran serta mereka yang gemar dengan masakan tersebut.
“Tetapi lama-kelamaan, asam tempoyak saya laris dalam kalangan masyarakat di sini termasuk bandar Lipis,” katanya, di sini, semalam.
Sehubungan itu Patimah berkata, sambutan menggalakkan itu menyebabkan suaminya, Wan Jamaluddin Wan Mohamad, 72, mencadangkan dia membuat asam tempoyak secara  komersial memandangkan banyak permintaan selepas musim buah-buahan.
“Sejak dua tahun lalu, kami memborong durian terus dari kebun di Kampung Betau, Kampung Kuala Medang, Kampung Tanjong Gahai dan sekitar kawasan ini.
“Saya bersengkang mata hingga lewat malam untuk memproses isi durian untuk dijadikan asam,” katanya.
Patimah berkata, isi durian diasingkan sebelum dimasukkan ke dalam bekas kaca dalam peti sejuk supaya tahan lama sehingga durian berbuah semula pada musim berikutnya.
“Saya mempunyai simpanan asam tempoyak seberat 2,000 kilogram dalam dua peti sejuk besar di rumah.
“Isi tersebut diasingkan dalam plastik yang diikat kemas dan disejukkan untuk dijual pada harga RM13 sekilogram,” katanya.

Wednesday, June 6, 2012

usahawan keropok

ARKIB : 21/05/2012

Pemborong ikan usahawan keropok

Pekerja memasukkan bancuhan sata ke dalam ketuhar.
MENYEDARI produk berasaskan ikan mampu memberi pulangan berlipat kali ganda terutama jika dikomersialkan sekitar ibu kota, seorang pemborong ikan tekad meninggalkan kampung halaman untuk mencuba peluang tersebut.
Keputusan berhijrah dari Terengganu ke ibu negara pada tahun 1977 merupakan percaturan yang terpaksa diambil walaupun pada mulanya dia sendiri tidak yakin dengan tindakannya itu .
Namun bagi Wan Mohd. Yusof Ali, 59, keputusan itu merupakan antara risiko yang harus ditanggung usahawan jika berhasrat untuk memajukan perniagaan mereka.
"Jika tidak berani dan bersedia untuk menanggung risiko, sampai bila-bila pun kita tidak akan maju.
''Golongan usahawan kecil dan sederhana terutamanya akan terus ketinggalan dalam arus pemodenan negara," katanya ketika ditemui di kilang pemprosesan keropok lekor miliknya di Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman mengusahakan Twin Softa Food Enterprise (Softa), dia yang merupakan pemborong ikan di Pasar Borong Selayang mendapat idea untuk mengusahakan keropok lekor setelah menyedari lebihan ikan terpaksa dijual pada harga yang jauh lebih murah setiap hari.
Menyedari perkara tersebut akan memberi kesan negatif terhadap perniagaannya, dia mendapat idea untuk memproses lebihan ikan tersebut menjadi keropok lekor dan bercita-cita mengkomersialkan hasil keluarannya.
Pada awal pembabitan, dia mengusahakan keropok perusahaan secara kecil-kecilan di belakang rumahnya yang terletak di Kampung Semarak, Sentul bersama isteri, Che Latifah Ahmat.
Dengan modal permulaan sebanyak RM1,000 untuk membina bangsal, dia bersama isteri menghasilkan keropok lekor secara manual dan tradisional tanpa sebarang peralatan sokongan.
"Memandangkan saya berasal daripada keluarga nelayan dan kebanyakan penduduk sekitar kampung juga merupakan pengusaha keropok lekor, saya dapat ilmu pemprosesan melalui pemerhatian serta tunjuk ajar dari mereka.
"Dari situ, saya menggunakan segala ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk memproses sendiri keropok lekor.
"Sebagai permulaan, kami hanya dapat menghasilkan lima hingga 10 kilogram keropok lekor sahaja sehari satu hari," katanya ketika menceritakan pengalamannya memulakan perusahaan keropok lekor.
Oleh kerana kekangan tugas sebagai pemborong ikan, dia hanya dapat memasarkan keropok lekor keluaran syarikatnya kepada beberapa orang penjual di pasar malam sekitar Selayang.
Menyedari sambutan yang semakin menggalakkan daripada pelanggan, Wan Mohd. Yusof mengambil keputusan untuk berpindah ke sebuah lot tanah di Kampung Padang Balang, Sentul bagi memudahkan pengeluaran keropok berkenaan.
Selain penghasilan produk utama seperti keropok lekor, kini Softa sedang giat mempromosikan produk sejuk beku lain seperti sata dan otak-otak.
Menurut Wan Mohd. Yusof, kedua-dua produk tersebut dihasilkan dalam pelbagai variasi seperti inti sata dibalut kulit popia dan otak-otak tradisional yang dibungkus dalam daun pisang.
Sehingga kini, produk sejuk beku Softa telah berada di beberapa pasar raya sejuk beku sekitar Lembah Klang serta turut menjadi pemborong kepada peniaga pasar malam sekitarnya.
Mengenai perancangan memajukan rangkaian jenama Softa, Wan Mohd Yusof menjelaskan, promosi kini sedang giat dijalankan termasuk menggunakan lori bergerak ketika Festival Halal, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan sebagainya.
"Bagi memperkenalkan rangkaian produk, Softa menyertai pameran makanan halal seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), MIHAS dan sebagainya supaya orang ramai dapat mengenali produk kami dengan lebih dekat.
"Kami percaya, dengan menyertai pameran seperti itu, orang ramai dapat rasa sendiri keenakan rangkaian produk kami sekali gus akan memilih jenama ini sebagai pilihan di masa akan datang," ujarnya penuh yakin.
Ketika ditanya mengenai sumber bekalan isi ikan, dia menjelaskan, pelbagai spesies ikan terpilih digunakan bagi menyediakan keropok lekor dan produk lain.
Jelasnya bahan mentah tersebut didatangkan khas dari Besut, Terengganu dan Kedah dua kali seminggu dengan setiap bekalan sebanyak tiga tan.
Berdasarkan bekalan bahan mentah, Softa berupaya menghasilkan sehingga dua tan keropok lekor dan 30 kilogram sata setiap hari selain produk sampingan lain seperti bebola ikan.
Dengan bantuan seramai 30 orang pekerja di kilangnya yang terletak di Bukit Beruntung, kini Softa mampu memenuhi permintaan pelanggan sekitar Seremban, Melaka, Perak , Pahang dan Terengganu.