Norsharina jutawan besi buruk
KENANGAN ketika menyambut hari raya di Mesir telah menjadi memori paling indah buat Norsharina Mohd. Shahar, 40, dengan suaminya, Nagy Abdel Razek, 38.
Pengalaman yang pernah dilalui Norsharina di negara kelahiran suaminya pada pagi 1 Syawal itu tidak sama seperti di Malaysia.
Wanita itu yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Gagasan Group of Companies masih teringat kenangan manis di Mesir apabila hidangan ketupat dan rendang tidak menjadi menu utama ketika menyambut kedatangan Syawal.
“Menu utama di sana tentulah kambing panggang. Pada kebiasaannya, kami sekeluarga akan pulang ke Mesir sekali dalam setahun dan menetap di sana selama sebulan. Namun, pada tahun ini, kami menyambut hari raya di Shah Alam.
Wanita itu juga menceritakan pengalamannya pernah menjual karipap dalam bulan puasa. “Apabila bercakap mengenai kenangan ketika berpuasa pula, saya pernah menjual karipap pusing,” tambahnya.
Menurut wanita itu, dia mempelajari cara membuat inti dan kulit karipap daripada ibunya. Wanita itu berkata, dia menjual karipap ketika menunggu tawaran pekerjaan lain selepas berhenti kerja dari sebuah bank.
“Dengan berbekalkan meja dan payung, saya menjual karipap di tepi jalan walaupun harganya agak mahal. Tetapi, para pembeli yang terdiri daripada kaum Cina amat menggemari karipap buatan saya itu sehinggakan mereka sanggup beratur lama untuk membelinya,” ujarnya.
Di sebalik wajahnya yang ceria, wanita kacukan Afghanistan dan Jawa ini rupa-rupanya menempuh banyak pengalaman pahit sejak bergelar usahawan pada usia 18 tahun.
“Walaupun saya hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia, ia tidak menjadi penghalang kepada saya untuk berjaya dalam perniagaan. Bermacam-macam perniagaan yang pernah saya ceburi seperti membuka agensi pelancongan, pengangkutan dan kejuruteraan, semuanya tidak menjadi,” katanya.
Walaupun menemui kegagalan, sekurang-kurangnya, Norsharina pernah merasai pengalaman berniaga dalam pelbagai bidang.
“Pada pandangan saya, apabila menceburi satu-satu bidang perniagaan itu, pastinya, kita bijak untuk mengatur operasi syarikat. Namun, pandangan saya silap kerana sepatutnya, saya mencari ilmu pengetahuan berkaitan dengan perniagaan yang dijalankan itu terlebih dahulu sebelum menceburinya.
“Saya mula menjalankan perniagaan jual beli besi buruk pada tahun 1994 sebelum membuka sebuah syarikat pada tahun 1998 di Bukit Lanchong, Selangor yang dikenali sebagai Gagasan Steel Sdn. Bhd.
“Idea untuk membuka perniagaan besi buruk itu bermula secara suka-suka sahaja bagi mencari duit poket dengan mengumpul dan menjual tembaga dari tiub tayar lori yang diperoleh ketika saya bekerja di kilang membuat tayar di Selayang.
“Berbekalkan spanar dan pisau, saya bersama rakan-rakan akan menyewa sebuah lori kecil untuk membawa tayar terbuang yang kami peroleh. Tidak sangka pula, kami memperoleh hasil yang lumayan daripada jualan tembaga tersebut,” jelasnya yang menjadikan syarikat bas dan lori sebagai sasaran untuk membeli tayar-tayar terbuang.
Jatuh ditimpa tangga
Wanita gigih itu berkata, bermula dari situ, dia mula mencari dan mendapatkan lesen bagi membuka perniagaan besi buruk yang kemudian dikendalikannya sehingga pada hari ini.
“Ketika saya menceburi industri ini, tidak ada syarikat Bumiputera yang menjalankan perniagaan itu. Pada waktu itu, perniagaan besi buruk dan kabel elektrik mendatangkan hasil yang sangat lumayan.
“Saya sendiri tidak pernah terfikir mampu pergi sejauh itu dengan membuka syarikat dan kilang pemprosesan besi buruk serta kabel elektrik sehingga mampu bergelar jutawan pada usia 22 tahun.
“Pelbagai pengalaman yang diperoleh sepanjang saya bergelar usahawan dan yang paling pahit apabila perniagaan yang diusahakan itu tidak menjadi seperti yang diharapkan. Adatlah di dalam perniagaan, ada jatuh bangunnya dan saya juga tidak terkecuali,” katanya.
Ujar wanita tabah ini, peristiwa kebakaran kilang juga pernah dilaluinya.
Norsharina berkata, dia kemudian ibarat seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila tuan tanah mahukan kembali tapak tempat kilangnya beroperasi.
“Ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya kerana saya sudah banyak berhabis duit. Bayangkanlah, selama dua tahun, saya tiada pendapatan sehinggakan mahu membeli susu anak pun saya tidak mampu.
“Saya terpaksa menutup kilang besi buruk yang diusahakan itu dan membawa diri ke Mesir bersama keluarga. Saya cuba membuka perniagaan besi buruk di sana tetapi perniagaan itu tidak menjadi menyebabkan saya mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia pada tahun 2004 dan membuka semula perniagaan besi buruk yang pernah saya usahakan dahulu.
“Alhamdulillah, perniagaan kali ini menjadi. Namun, saya diduga kembali ketika hamil anak ketiga apabila pihak mahkamah bertindak menyita kilang saya disebabkan ditipu rakan kongsi melibatkan nilai jutaan ringgit,” katanya sambil memberitahu syarikat besi buruknya itu pernah membuka cawangan di Johor Bahru, Filipina, Indonesia dan Shah Alam. Namun, hanya cawangan di Shah Alam tidak dijualnya selepas kejadian itu berlaku.
Jelasnya, dia terpaksa bermula semula dengan menjadi rumah ibunya sebagai lokasi perniagaannya yang baharu dan secara perlahan-lahan, perniagaannya mulai pulih seperti sedia kala.
“Selepas perniagaan kembali pulih, saya berpindah ke Kota Kemuning tetapi kegembiraan saya tidak kekal lama apabila saya disahkan menghidap sista selepas melahirkan anak keempat pada tahun 2010 berpunca daripada stres kerana saya seorang yang menjaga pemakanan tetapi pada masa yang sama, saya sangat kecewa. Namun, hidup saya mulai berubah selepas mendapat khidmat motivasi.
“Bermula dari situ, saya memperoleh kekuatan untuk bangkit semula. Pada tahun lalu, saya berjaya membeli bangunan sendiri selepas diuji dengan pelbagai dugaan. Bagi saya, apa yang kita fikir, rasa dan cakap itu sebenarnya satu doa,” tambahnya.
Melombong bijih besi
Norsharina mahu menerokai perlombongan bijih besi sebagai perancangan pada masa depan syarikatnya kerana mendapati bidang tersebut amat mencabar dan jarang dilakukan.
“Saya tidak rasa sudah berjaya dalam bidang yang diceburi kini selagi kakitangan di bawah saya belum bergelar usahawan kerana mereka merupakan aset terbesar syarikat. Kesemuanya saya layan ibarat keluarga sendiri dan kami bergerak sebagai satu pasukan.
“Selain menjalankan perniagaan besi buruk, saya juga membuka perniagaan lain di bawah satu bumbung iaitu Gaia Plas Sdn. Bhd. yang mengkhusus dalam bidang pembuatan botol dan barangan plastik terutama untuk produk hospital, farmasi, tong minyak masak dan bahan kimia selain patung permainan BoboiBoy.
“Gagasan Event & Management pula menguruskan seminar pembangunan insan dan mengendalikan acara bagi BoboiBoy manakala Gagasan Realty Sdn. Bhd. pula terbabit dalam sektor hartanah. Kami akan membeli rumah lelong dan membaik pulih sebelum dijual kepada keluarga yang kurang berkemampuan atau namanya sudah disenarai hitam pihak bank.
“Yayasan Qyyum pula ditubuhkan untuk membantu anak-anak yatim dan fakir miskin yang memerlukan,”jelasnya sambil memberitahu produk BoboiBoy keluaran syarikatnya akan berada di pasaran luar negara seperti di Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura serta di negara Asia Barat.
Norsharina memberitahu, dia bakal melancarkan buku berjudul Jutawan Sampah yang mengambil masa selama satu tahun untuk disiapkan dan berkisar tentang pengalamannya dalam dunia perniagaan.
“Sebenarnya saya terbitkan buku itu untuk panduan anak-anak saya kelak. Anak-anak saya sudah mempunyai matlamat hidup.
“Saya hanya menyokong penuh dan memberi galakan kepada mereka sebagai contoh baru-baru ini, anak sulung saya memenangi piala Liga Selangor dan bakatnya bermain bola sepak mula dicungkil sejak dia berumur 14 tahun.
“Saya menyokong impiannya itu dengan membuka kelab bola sepak, Red Dragon Kickers untuk kami menentang kelab bola sepak lain di Selangor,” tambahnya yang membaca al-Quran dan melakukan solat sunat untuk ketenangan diri.