Monday, July 29, 2013

pusat servis iphone

Pengalaman dorong buka pusat servis


Konsep servis di hadapan pelanggan secara terus, telus, pantas dan khusus ternyata berjaya menambat keyakinan dan kepercayaan pelanggan iPhone 2fix.
USAHAWAN Melayu kini semakin berani dan kreatif dalam memilih perniagaan yang diceburi. Kisah golongan ini hanya berminat menceburi perniagaan jualan kad prabayar dan aksesori dalam perniagaan telefon bimbit sebenarnya tidak benar.
Mohd. Zahid Saaizan, 42, pemilik pusat servis sehenti Apple yang dikenali sebagai iPhone 2fix membuktikan golongan ini boleh meluaskan perniagaan dalam bidang ini.
Walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman apatah lagi pengetahuan di dalam bidang tersebut, ternyata ia bukan satu masalah besar kerana masih boleh dipelajari sama ada melalui kursus, pengamatan, pengalaman atau Internet.
Bercirikan pusat sehenti baik pulih, Iphone To Fix Enterprise atau nama komersialnya, iPhone 2fix, yang mula beroperasi pada awal tahun lalu sedikit sebanyak berjaya melenyapkan keraguan pengguna produk berkenaan.
Peminat tegar produk Apple ini mengakui bukan mudah untuk memulakan peniagaan berasaskan kemahiran yang tidak pernah dipelajarinya sebelum ini.
"Sebelum membuka iPhone 2fix, saya terlebih dahulu mempersiapkan diri dengan belajar selok-belok teknikal produk ini dengan beberapa individu yang mahir," katanya.
Semuanya bermula apabila Mohd. Zahid berhadapan dengan situasi iaitu telefon bimbit jenis iPhone miliknya yang mengalami kerosakan terpaksa dibaik pulih dalam tempoh yang lama.
Maka lahirlah idea iPhone 2fix yang memudahkan pengguna produk Apple termasuk iPhone, iPad, iPod dan Macbook.
“Konsep servis di hadapan pelanggan secara terus, telus, pantas dan khusus ternyata berjaya menambat keyakinan dan kepercayaan pelanggan, di samping memastikan kualiti servis yang diberi berada pada tahap terbaik.
“Pelanggan tidak akan merasa was-was yang alat ganti peranti mereka hilang atau ditukarkan dengan alat ganti tiruan," ujarnya.
Lebih menarik, tidak seperti pusat servis lain, iPhone 2fix tidak akan membiarkan peranti pelanggan disimpan atau ditinggalkan di kaunter tanpa memberitahu masalah peranti mereka terlebih dahulu.
Lazimnya, pusat servis ini membaiki produk yang mengalami kerosakan seperti skrin pecah, sistem operasi bermasalah, masalah rangkaian, penggantian bateri dan sebagainya.
"Kami akan memeriksa peranti yang rosak di hadapan pelanggan dan membaikinya dengan kadar segera. Jika peranti tersebut perlu menunggu alat ganti yang sesuai, kami akan menyarankan supaya peranti itu ditinggalkan untuk dibaik pulih," ujarnya.
Mempunyai seramai 12 kakitangan yang terdiri daripada anak-anak muda mahir, Mohd. Zahid memberitahu, semua pekerja perlu menjalani latihan selama dua bulan.
Tidak keterlaluan untuk dikelaskan sebagai usahawan muda yang berjaya, Mohd. Zahid berjaya membuka tiga cawangan dalam masa setahun dengan dua lagi bakal dibuka di Melaka dan Johor Bahru.
Ditanya bagaimana dia membahagikan masa menguruskan ketiga-tiga cawangannya, Mohd. Zahid menunjukkan iPhone miliknya yang terdapat gambar kamera litar tertutup (CCTV) ketiga-tiga cawangannya secara langsung.
“Beginilah cara saya memerhatikan ketiga-tiga cawangan yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur, Klang, Selangor dan Pulau Pinang," katanya.
Mohd. Zahid yang memulakan perniagaan pada 2007 mengakui lebih selesa bekerja sendiri daripada makan gaji.
“Saya bekerja makan gaji selama 12 tahun. Macam-macam pengalaman yang saya dapat. Kemudian, saya beralih ke perniagaan secara kecil-kecilan. Untuk berjaya sebenarnya tidak mudah. Saya sendiri pernah ditipu tetapi pengalaman itu mematangkan saya," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Universiti Putra Malaysia (UPM) ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Megabait/20130728/me_01/Pengalaman-dorong-buka-pusat-servis#ixzz2aNq2S6YQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment