Guna kemahiran untuk tambah pendapatan
- Khairul Najmi sedang mengambil gambar salah satu pasangan pengantin yang menjadi pelanggannya.
Menggunakan nama Kita Kulaan, kedua-dua sahabat ini mampu memperoleh pendapatan sebulan sekitar RM1,000 hingga RM2,000 seorang bergantung kepada jumlah pekerjaan dalam sebulan.
Menurut Azam yang bekerja tetap di sektor swasta, dia mula menceburi pekerjaan sambilan sebagai jurugambar ketika masih menuntut di universiti selepas didorong oleh abangnya.
“Bagi saya kerja sambilan ini banyak bantu saya untuk dapatkan duit poket terutamanya semasa sedang belajar. Apabila sudah bekerja, duit tersebut saya jadikan sebagai wang simpanan.
“Dengan kenaikan kos sara hidup sekarang, kerja sambilan banyak bantu saya membiayai perbelanjaan sampingan memandangkan duit gaji saya digunakan untuk komitmen lain," katanya.
Azam turut berkata, kerja sambilan sebagai jurugambar mampu memberikan pendapatan lumayan jika seseorang itu mampu menguruskan masa sebaiknya.
“Tetapi memandangkan saya ada pekerjaan tetap serta sedikit kekangan masa jika terpaksa bertugas di luar kawasan, kadang-kala dalam sebulan saya mampu ambil satu atau dua sahaja tawaran untuk menjadi jurugambar di majlis perkahwinan.
“Jika saya tidak sibuk dan dapat memenuhi dua atau tiga tawaran, saya mampu memperoleh pendapatan dalam lingkungan RM2,000 ke atas dan mungkin lebih tinggi lagi,” katanya.
Ditanya mengenai perbezaan gaji pekerjaan tetap dan sambilan, Azam berkata ia memang berbeza tetapi bergantung kepada waktu tertentu.
“Setiap kali saya terima tawaran untuk jadi jurugambar bagi majlis perkahwinan yang lengkap dengan persandingan dan majlis nikah, saya boleh memperoleh pendapatan sekitar RM1,500.
“Itu untuk satu tawaran. Jika lebih banyak, maka akan lebih lagilah rezeki saya dan pekerjaan ini mengikut musim seperti musim cuti persekolahan, akan ada banyak tawaran,” katanya.
Menurut Azam, untuk mencari kerja sambilan, seseorang itu perlu berpegang kepada satu konsep mudah iaitu ALLAH memberikan setiap individu kebolehan, jadi ia perlu digunakan sebaiknya.
Sementara itu, Khairul Najmi pula mula menjadi jurugambar sambilan secara berseorangan pada 2012 sebelum bekerjasama dengan Azam.
Dia yang merupakan kakitangan awam berkata, minat serta ilmu dipelajari semasa di universiti mendorongnya menjadi jurugambar sambilan.
"Jurugambar sambilan ini mempunyai waktu yang fleksibel kerana kebiasaannya majlis perkahwinan akan berlangsung pada hujung minggu sahaja.
"Semasa saya di universiti, hujung minggu memang lapang tetapi apabila sudah bekerja, waktu menjadi terhad.
"Saya hanya akan terima pelawaan mengambil gambar jika tiada komitmen kerja pada waktu itu," katanya.
Menurutnya lagi, kenaikan kos sara hidup mampu ditangani jika seseorang itu tahu mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan.
"Kerja sambilan ialah jalan terbaik membantu mengurangkan beban seperti bayaran kereta, rumah, dan perbelanjaan.
"Duit diperolehi daripada kerja sambilan kebiasaannya saya simpan sebagai duit simpanan untuk digunakan semasa kecemasan," katanya.
Pembantu arkitek jual selendang
Bekerja sebagai pembantu arkitek di sebuah firma seni bina di Ara Damansara tidak menghalang Farah Hanan Anuar Liew, 26, memulakan perniagaan secara sambilan.
Minat terhadap jahitan dan bakatnya yang mampu membuat selendang sendiri mendorong Farah Hanan untuk memulakan perniagaan.
"Saya baru sahaja berjinak dalam dunia perniagaan ini dan mula secara kecil-kecilan. Dengan modal RM1,000, saya meraih pendapatan sebanyak RM400 bagi tempoh sebulan pertama menjual selendang," katanya.
Bagi pemilihan kain selendang, Farah Hanan sendiri akan memilih jenis kain seperti chiffon yang dijual dengan harga antara RM20 hingga RM35 sehelai.
"Saya tidak jual jenis kain yang saya sendiri tidak pakai, sekali gus mudah untuk saya yakinkan pelanggan, kerana saya sendiri memakainya," katanya.
Selain menjual selendang, dia juga mengambil upah solek untuk majlis akad nikah dan bertunang sekitar RM150 hingga RM200, mengikut permintaan.
Kesungguhannya terbukti apabila Farah Hanan turut mengikuti kursus persolekan bagi memastikan hasil solekan lebih memuaskan dan pada masa sama menarik keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatannya.
"Memang ada perancangan untuk lebih serius dan saya sedang berusaha ke arah itu," katanya.
No comments:
Post a Comment