Tuesday, February 15, 2011

Carefour

Carrefour mesti akur


PEMILIK rangkaian pasar raya besar Carrefour Malaysia yang kini 100 peratus dimiliki syarikat asing perlu mematuhi Syarat Kelulusan Pasar Raya Besar yang ditetapkan Jawatankuasa Perdagangan dan Pengedaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan menawarkan sekurang-kurangnya 30 peratus pegangan ekuiti kepada syarikat Bumiputera jika ingin meneruskan operasi perniagaannya di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika diminta mengulas perkara itu berkata, kegagalan mengekalkan pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera boleh mengakibatkan kelulusan untuk menjalankan perniagaan ditarik balik.


“Saya tidak boleh mengulas panjang kerana saya difahamkan Hartajaya sekali lagi membuat rayuan kepada mahkamah untuk menghalang pemindahan 30 peratus ekuiti berkenaan.

“Bagaimanapun, seandainya, keputusan mahkamah nanti tetap tidak berubah, Magnificent Diagraph perlu mematuhi syarat kelulusan ditetapkan dengan menawarkan 30 peratus pegangan ekuiti kepada syarikat Bumiputera untuk membolehkan mereka meneruskan operasi perniagaan Carrefour Malaysia,” katanya.


Mahkamah Persekutuan Putrajaya, semalam menolak permohonan injunksi yang difailkan Hartajaya Harmoni Sdn Bhd (Hartajaya) bagi menghalang 30 peratus pegangan saham dalam Magnificent Diagraph Sdn Bhd (Magnificent Diagraph), operator Carrefour Malaysia, dipindahkan kepada Carrefour Netherlands BV (Carrefour NBV).


Sementara itu, Peguam Gideon Tan yang mewakili Hartajaya berkata, pihaknya memfailkan permohonan itu di Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun ia ditolak.


Hartajaya sebelum ini membuat permohonan injunksi kepada Mahkamah Tinggi untuk menghalang pemindahan saham itu. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 7 Februari lalu menarik balik keputusan itu.


Difahamkan, urusan pindah milik 30 peratus saham milik Bumiputera dalam Hartajaya kepada Carrefour NBV dibuat serta-merta selepas keputusan itu ditetapkan.


Ketika ini, Carrefour NBV memegang 56.06 peratus ekuiti dalam Magnificent Diagraph menjadikannya pemegang saham terbesar dalam syarikat itu.


Pemegang saham lain dalam syarikat itu terdiri Mildew BV yang mempunyai 34.61 peratus ekuiti dan Carrefour Malaysia Sdn Bhd (9.33 peratus).

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Kongsi Artikel | Facebook MySpace Google Twitter

No comments:

Post a Comment