Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Thursday, February 17, 2011
Gula Kabung
Pokok kabung perlu ‘dipujuk’
MARDI bantu tingkat kualiti pengeluaran gula kabung
Mohd. Soffi Abdul Razak (tengah) mendengar penerangan M. Halimee Mohmad (kanan) ketika melawat pameran peralatan pembuatan gula kabung pada seminar Hala Tuju Industri Kabung Daerah Lipis, baru-baru ini.
KUALA LIPIS 16 Feb. – Pengusaha gula kabung di daerah ini digesa merebut peluang yang disediakan kerajaan negeri untuk membangunkan industri tersebut supaya produk yang dihasilkan lebih berkualiti.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, kerajaan negeri sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) supaya pengeluaran gula kabung berkualiti sekali gus dapat dipasarkan ke luar daerah ini termasuk antarabangsa.
“Komitmen dan pembabitan proaktif pengusaha gula kabung dapat meningkatkan pendapatan, di samping memacu kegiatan pelancongan di negeri ini terutama di Lipis.
“Ini kerana Kampung Peruang banyak ditumbuhi pokok kabung sekali gus menyemarakkan perusahaan tradisional ini yang boleh dieksploitasi untuk tarikan pelancong ke sini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Hala Tuju Industri Kabung Daerah Lipis, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Datuk Dr. Masri Muhammad dan Pegawai Pertanian Lipis, M. Halimee Mohmad.
Menurut Mohd. Soffi, Kampung Peruang, Kampung Chat dan beberapa kampung di Lipis dibangunkan dengan tanaman pokok kabung membabitkan 25 pengusaha gula kabung yang berpengalaman.
Kerajaan negeri, katanya, menyokong usaha MARDI menjadikan pengeluaran gula kabung sebagai projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Lipis.
“MARDI juga menyumbang kepakaran, bimbingan dan dorongan untuk dimanfaatkan oleh pengusaha terbabit,” katanya.
Mohd. Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berharap usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat dibangunkan di kalangan pengusaha kabung kampung Melayu tradisional di daerah ini.
“Usaha menggandakan pengeluaran dengan bantuan kepakaran dan teknologi pemprosesan tinggi amat penting di kalangan pengusaha sejajar dengan permintaan semasa yang mementingkan kualiti, kepelbagaian penggunaan selain untuk menembusi pasaran luar,” katanya.
Sementara itu, Masri menjelaskan, objektif seminar berkenaan bertujuan menerapkan pemahaman kepada peserta industri tanaman dan pemprosesan gula kabung mengenai projek SDSI yang dirancang.
“Kami cuba mendedahkan maklumat mengenai teknologi pemprosesan gula kabung selain platform untuk peserta berinteraksi dalam usaha memantapkan industri berkenaan.
“Sehubungan itu, kita mensasarkan 100 peserta yang terdiri daripada penanam dan pengusaha gula kabung termasuk golongan belia, penghulu dan ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) daerah ini untuk terbabit dalam pelaksanaan industri berkenaan,” katanya
Beliau berkata, kumpulan pengusaha berkenaan terdiri daripada penduduk Kampung Peruang, Kampung Tulang Padang, Kampung Chat, Kampung Kuala Medang dan Hulu Dong.
Masri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur seminar itu berkata, seminar tersebut dapat merangsang semangat pengusaha terbabit untuk meningkatkan pengeluaran gula kabung di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Tambahnya, MARDI menyediakan pendekatan yang lebih mudah untuk pengeluaran produk berkenaan dan pada masa sama melahirkan pengusaha SDSI berjaya berasaskan sumber tempatan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my
Pokok Kabung perlu dipanjat untuk mengambil manisan kabung.
KUALA LIPIS 16 Feb. – Gula kabung sememangnya tidak asing bagi orang Melayu terutama yang tinggal di pedalaman untuk digunakan dalam kuih-muih.
Kegunaan gula kabung dilihat amat penting terutama ketika menyediakan juadah berbuka puasa, kenduri dan hari raya.
Antara kuih-muih yang lazim dicampur dengan gula kabung adalah dodol, kuih koci, lepat, nasi manis dan pengat.
Pokok kabung iaitu sejenis pokok palma yang berasal dari Indonesia atau dikenali juga sebagai pokok enau atau nama botaninya, Arenga Pinnata agak berbeza dengan spesies palma yang lain.
Perbezaan pokok daripada keluarga Arecaceae itu adalah semakin batangnya meninggi dan matang, tandan bunga serta buahnya pula kian merendah di bahagian bawah batangnya hingga hampir mencecah tanah.
Malah, apabila tandan yang tumbuh di batang itu semakin hampir ke tanah, ia menandakan pokok kabung berkenaan akan mati.
Ini berbeza dengan spesies palma lain iaitu pokok kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya tumbuh meninggi mengikut kematangan dan ketinggiannya.
Mengikut kepercayaan, pokok kabung dikatakan hanya akan mengeluarkan nira daripada tandannya sepadan dengan ‘pujukan’ yang diberikan oleh pengusaha.
Bagi pengusaha nira kabung, konotasi ‘pujukan’ bermaksud dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu dari arah atas dan bawah masing-masing sebanyak dua kali.
Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan yang boleh mengeluarkan cairan itu.
Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira seperti tandan bunga jantan.
Secara saintifiknya, tujuan mengetuk batang tandan itu adalah untuk melonggarkan rongga saluran aliran nira berkenaan.
Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, ia perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kekotoran di bahagian kelopaknya.
Pengusaha nira akan menghiris bahagian hujung tandan yang dicantas itu pada waktu pagi dan petang sehingga aliran niranya deras dan masuk ke dalam tabung buluh yang dipasang.
Menurut kajian, gula kabung boleh menggantikan gula biasa kerana bahan itu tidak mengandungi glukosa dan sesuai untuk kesihatan terutama di kalangan penghidap kencing manis.
Maseriah Talib, 50, dari Kampung Peruang, Benta, merupakan antara pengusaha gula kabung kecil-kecilan yang sering mendapat tempahan orang ramai, di samping menjalankan perniagaan di pekan sehari berdekatan.
Menurutnya, kerja memasak nira atau manisan itu dalam kawah di bangsal belakang rumahnya sehingga menjadi pekat sebelum diisi ke dalam acuan daun mengkuang untuk dikeraskan mengambil masa selama lima minit.
Berbekalkan kemahiran membuat gula kabung sejak usia muda lagi, dia menjelaskan, keenakan gula kabung memang tiada tandingannya kerana rasa manisan itu berbeza dengan gula biasa yang diperbuat daripada tebu.
Katanya, kerja membuat gula kabung bermula apabila nira daripada tandan dibawa pulang ke rumahnya untuk diproses.
Kebiasaannya, jelas Maseriah, tiga tabung buluh berukuran 1.5 meter boleh menghasilkan sebanyak 13 buku gula kabung setiap hari.
Sejurus sampai di rumah, katanya, manisan itu dimasak sehingga pekat dan berwarna coklat kemerahan sebelum dimasukkan ke dalam acuan daun mengkuang.
“Saya menjual antara RM4.50 hingga RM5 sebuku mengikut saiz dan kualiti kepada pelanggan yang datang ke rumah dan juga menerusi tempahan daripada peniaga di bandar Benta dan Raub.
“Biasanya, pada Ramadan, gula kabung mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai yang membuat persiapan bagi juadah berbuka puasa dan untuk jualan di bazar Ramadan,” katanya.
Malah, menurut Maseriah, gula kabung boleh melonjak sehingga RM7 sebuku jika mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan orang Melayu.
Menerusi jualan gula kabung, jelasnya, dia mampu meraih pendapatan sehingga RM1,300 sebulan untuk perbelanjaan dapur dan persekolahan anak.
Dalam pada itu, Maseriah berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana banyak membantu membiayai perusahaan gula kabungnya dengan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk membina bangsal dan peralatan memproses gula itu.
Katanya, beberapa stesen televisyen tempatan dan luar negara juga pernah membuat dokumentari, selain menerima lawatan pelancong asing untuk melihat lebih dekat perusahaan gula kabung secara tradisional.
Gula kabung, menurutnya, bukan sahaja dicampur untuk menyedapkan masakan kuih-muih malah sering dijadikan buah tangan atau cenderamata kepada pembesar pada majlis tertentu di daerah Lipis.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha di Kampung Peruang, Mustafa Yunus, 56, memberitahu, perusahaan gula kabung mampu memperoleh pendapatan lumayan untuk menyara kehidupan keluarga dan persekolahan anak-anak.
“Kerja ini memerlukan ketekunan dan kesabaran bermula daripada mengambil nira, memasak menjadi gula kabung sehinggalah ia dijual ke pekan sehari,” katanya.
Mustafa memberitahu, setiap hari sebanyak 20 hingga 40 buku gula kabung dihasilkan bergantung kepada jumlah air nira yang berjaya dikumpul.
Tambahnya, permintaan terhadap gula kabung terus meningkat terutama ketika Ramadan kerana ia bahan penting untuk membuat inti atau manisan kuih, selain buahnya boleh dijadikan halwa untuk digunakan sebagai campuran dalam minuman.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment