Tuesday, June 28, 2011

Ratu Tualang



Dua tahun untuk bukti kebolehan
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KEPELBAGAIAN PRODUK...Monaliza mempamerkan sebahagian produk madu tualang jenama King Honey keluaran syarikatnya.
KEPELBAGAIAN PRODUK...Monaliza mempamerkan sebahagian produk madu tualang jenama King Honey keluaran syarikatnya.
PROSES...Monaliza bersama ibunya, Khalijah mengeringkan herba dalam ketuhar sebelum diproses untuk menghasilkan madu tualang campuran herba.
PROSES...Monaliza bersama ibunya, Khalijah mengeringkan herba dalam ketuhar sebelum diproses untuk menghasilkan madu tualang campuran herba.

RATU madu tualang - gelaran paling tepat yang wajar dikalungkan kepada gadis manis berusia 26 tahun ini.

Ini kerana setiap inci rahsia madu lebah tualang seakan terpateri di benaknya dan dia sedia untuk menerangkannya kepada sesiapa yang mahu mengetahui khasiat dan kebaikan madu berkenaan.


Tanyalah apa saja mengenai madu lebah asli yang bersarang di pokok tualang itu, pasti dapat diperincikan dengan jelas sehingga tiada pelanggan yang dapat mempertikaikan kebolehannya.

"Itu sekarang dan keadaannya berbeza ketika saya mula-mula mengikut ayah menjual madu beberapa tahun lalu. Malunya tidak terkata ketika melayan pelanggan terutama lelaki yang suka bertanya soalan bukan-bukan.


"Kebanyakan mereka ingin tahu kelebihan mengamalkan madu dan mengaitkan madu dengan 'kejantanan' mereka. Sudah tentu saya malu," ujar Monaliza Mohd Napi.


Monaliza kini bergelar Pengurus Pemasaran Syarikat Napi Maju Jaya Enterprise yang menjalankan perniagaan di Kampung Bukit Chermin, Mentakab, Pahang.

Menceritakan pengalaman berhadapan dengan pelanggan ketika menjual madu di tempat terbuka, Monaliza yang lebih senang disapa Mona tidak menafikan 'ilmu bercakap' adalah elemen utama menarik minat orang ramai membeli produk.


"Buat permulaan saya sukar menjawab pertanyaan mereka terutama kaum lelaki yang suka mengaitkan madu lebah dengan seks. Mereka akan tanya, minum madu ni boleh tambah 'power' atau tidak.

"Bagi mereka madu ialah ubat kuat tradisional kaum lelaki yang dapat menambah tenaga jantan mereka.


"Apabila ada yang mengajukan soalan itu, saya terpaksa rujuk kepada ayah dan akhirnya saya akan 'menggunakan ayat yang ayah gunakan' untuk menjawab soalan mereka.


"Memang kelakar rasanya kerana saya memang tidak ada pengalaman dalam bab itu dan terpaksa merujuk kepada ayah untuk dapatkan jawapan, tetapi sekarang tanyalah apa saja, semua akan saya jawab," ujar anak perempuan tunggal pasangan Mohd Napi Ismail, 56, dan Khalijah Hasan, 55, itu.


Monaliza tidak menafikan dia pernah berdepan kesukaran seawal memegang jawatan pengurus pemasaran syarikat milik ayahnya itu mulai satu setengah tahun lalu.


"Walaupun bekerja dengan keluarga sendiri, ayah bersikap tegas dan menganggap saya sebagai pekerja dan semua urusan perlu dilakukan dengan cekap, cepat, tepat dan sempurna," katanya.


Monaliza berkata, dia diberi tempoh dua tahun untuk membuktikan kebolehannya mengemudi syarikat memasarkan madu lebah asli.


"Komisyen sedikit, kerja banyak dan tiada pengalaman menyebabkan saya hampir berputus asa untuk terus memegang jawatan sebagai pengurus jualan ketika itu. Tetapi ayah dan ibu terus membantu, menjadi penasihat dan memberi sokongan moral yang tidak putus-putus, saya berjaya membuktikan keupayaan menerajui syarikat.


"Sedikit demi sedikit saya belajar kaedah pemasaran dengan mengikut ayah berniaga dan belajar daripada adik (Mohd Ridwan, 24) yang terlebih dulu terbabit dengan perusahaan ini dan memasarkan produk di sekitar Lembah Klang," katanya.


Abang Monaliza, Khairulnizam, 31, dan Mohd Nazlin, 28, serta dua adiknya, Mohd Khairul Azlan, 25, dan Mohd Hafizudin, 22, memiliki perniagaan sendiri, tetapi turut membantu memasarkan produk mereka yang dikenali sebagai King Honey.


Selain pasar tani dan pasar malam, pameran dan ekspo jualan, madu jenama King Honey boleh didapati di stesen minyak Petronas di Gambang, Kuantan dan gerai di kawasan rehat dan rawat Lebuhraya Pantai Timur.


"Saya juga mula memasarkan produk di Internet (menerusi laman web www.madunapis@yahoo.com) dan mendapat sambutan menggalakkan dari seluruh negara," katanya.


Walaupun perniagaan itu diusahakan keluarga sendiri, Monaliza tetap membuat pinjaman menerusi skim Pinjaman Siswazah Menganggur, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad sebanyak RM50,000 untuk dijadikan modal pusingan dan pada masa sama, membuktikan kesungguhannya untuk mengembangkan perniagaan keluarganya.


"Penjenamaan semula madu tualang D'Napis kepada King Honey dikira bersesuaian dan tepat pada masanya ketika syarikat menerima permintaan tinggi daripada pelanggan termasuk pusat pelancongan terkenal di Genting Higlands, Genting Strawberry Farm.


"Madu yang kami keluarkan juga diedarkan di farmasi terutama di Kuala Lumpur menggunakan nama Sun Season dan mula menerima tempahan dari luar negara termasuk China, Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia.


"Bagaimanapun, pengeluaran yang terhad menyebabkan kami terpaksa menolak permintaan itu buat sementara waktu sebaliknya menumpukan kepada pasaran di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mentakab ini.


Monaliza berkata, syarikatnya memerlukan sekurang-kurangnya 300 kilogram sarang lebah sebulan untuk memproses madu asli dalam pelbagai jenama termasuk produk utama King Honey, Black Honey, Wild Jungle, Power Men dan Kick Women.


"Ia dipasarkan dalam pelbagai bentuk ukuran botol, berat dan bentuk peket dengan harga di antara RM30 dan RM150 sebotol dan RM32 dan RM37 dalam bentuk bungkusan," katanya.


Monaliza tidak teragak-agak mengusulkan kepada orang ramai supaya mengamalkan minum madu kerana berpegang kepada firman Allah menerusi ayat 68 hingga 69 surah An-Nahl yang bermaksud: "Tuhanmu yang menjadikanmu dan yang mengetahui keistimewaan dan susunan tubuhmu, zahir dan batinmu, mewahyukan kepada lebah: buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon dan di tempat-tempat yang dibuat oleh manusia, kemudian makanlah dari tiap-tiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang memudahkan (bagimu).


"Dari perut lebah itu, keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya. Di dalamnya terdapat ubat yang boleh menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang yang memikirkan." Monaliza yang juga pemegang Diploma Teknologi Pembuatan, Institut Teknikal Jepun Malaysia, berkata madu tualang King Honey adalah madu asli 100 peratus yang diambil sendiri, diperah, ditapis dan dibotolkan saja tanpa proses kimia.


"Ayah akan ke hutan di seluruh negara terutama Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan Johor bersama rakan untuk mendapatkan madu lebah tualang," katanya.


Syarikatnya kini menghasilkan dua jenis madu lebah tualang iaitu madu tulen dan madu tulen campuran herba seperti ubi jaga, kacip fatimah, tongkat ali dan serapat.


Monaliza yang mengamalkan minum madu sejak berusia 14 tahun mengakui khasiat madu tulen sangat berkesan. Baginya, golongan wanita muda perlu mengetahui khasiat madu lebah asli dan mengamalkannya kerana ia boleh membantu mengatasi masalah jerawat, melicin, menegang dan memutihkan kulit.


"Gunakan campuran madu bersama setengah sudu limau nipis dan putih telur, insya-Allah berjaya," katanya.


Monaliza berkata, walaupun ramai peniaga madu lebah di pasaran tempatan, keadaan itu tidak menjejaskan perniagaannya kerana madu yang dikeluarkan memiliki keistimewaan tersendiri.


Sebagai 'orang kuat' syarikat, Monaliza sentiasa menasihati pelanggannya berhati-hati setiap kali ingin membeli madu lebah bagi mengelak mereka tertipu kerana terlalu banyak madu lebah tiruan yang dicampur dengan gula. Warnanya pula agak kekuningan dibandingkan dengan madu lebah asli yang lebih gelap keperangan.


"Sukar untuk membezakan antara madu tulen dengan madu tiruan dan pengguna perlu bijak untuk membezakannya. Produk kami terlebih dulu menjalani ujian makmal di Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi)," katanya.

No comments:

Post a Comment