Saturday, September 3, 2011

duit lama


Yaacob miliki syiling lama berusia 128 tahun

Yaacob Ahmad menunjukkan koleksi 200 keping wang kertas dan syiling keluaran sebelum Merdeka di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Kubang Pasu, baru-baru ini.

KUBANG PASU 2 Sept. - Seorang pengumpul barangan lama di Kampung Lubuk Batu, Jalan Wang Tepus, di sini mendakwa memiliki lebih 200 keping wang kertas dan syiling lama dari beberapa negara dan koleksi yang paling disayangi adalah syiling setengah sen Straits Settlements 1883.

Yaacob Ahmad, 67, berkata, dia tidak akan menjual koleksi syiling dan wang kertas lama yang disimpannya biarpun ditawarkan untuk menjualnya dengan harga ribuan ringgit.

"Syiling setengah sen itu yang paling lama iaitu berusia 128 tahun dan saya tidak pernah fikir untuk menjualnya.

"Semua koleksi wang kertas dan duit syiling lama yang disimpan ini saya cari sendiri sejak berusia 17 tahun," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, selain menyimpan syiling lama dia juga menyimpan syiling yang jarang ditemui seperti syiling Edward VII King & Emperor 1907, syiling dari China gambar naga dan pitih jawa dengan gambar wayang kulit etong dan ekau.

"Saya tidak akan menjual koleksi saya biarpun ada pihak yang berminat untuk membelinya dengan harga yang mahal kerana saya mahu anak cucu saya melihat koleksi ini.

"Anak-anak saya juga menunjukkan minat untuk menyimpan wang-wang lama ini, jadi saya akan terus menyimpan koleksi ini untuk mereka," ujarnya.

Dia juga menyimpan koleksi wang kertas bernilai sepuluh ringgit lama yang mempunyai ejaan sa-puluh ringgit.

"Memang ramai yang cari duit ini untuk tujuan menarik duit dari alam ghaib namun saya tidak akan beri duit ini kepada mereka yang berniat sebegitu.

"Duit ini untuk peminat yang ingin melihat koleksi wang ini sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment