Tuesday, September 6, 2011

suka buat tempeyek



Buat rempeyek secara suka-suka

Oleh HARIS FADIAH AHMAD
utusanktn@gmail.com


SUZI Sabtu menunjukkan rempeyek yang siap sedia untuk dipasarkan di sekitar Jerantut dan kawasan lain semasa musim perayaan Aidilfitri, baru-baru ini.

JERANTUT 5 Sept. – Rempeyek dan tumpi merupakan kuih tradisional yang digemari oleh masyarakat Melayu di negara ini kerana mempunyai keenakan tersendiri.

Kuih itu turut digemari kaum lain termasuk Cina dan India serta boleh dianggap sebagai kuih 1Malaysia.

Berdasarkan sejarah, kuih tersebut popular dalam kalangan masyarakat Jawa yang berhijrah ke negara ini hampir seabad lalu.

Justeru, setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, ramai pengusaha mewarisi pembuatan kuih tersebut kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Namun, tidak ramai pengusaha yang masih mengekalkan bentuk, mutu dan rasa asli kerana ia diubah suai bentuk serta ramuannya.

Justeru, sekumpulan suri rumah dari Kampung Koi, Hulu Cheka dekat sini memajukan kuih tersebut sebagai satu industri makanan tempatan.

Pengusaha Rempeyek, Suzi Sabtu, 37, berkata, perusahaan rempeyek di bengkel miliknya kini memasuki tahun ke-13 yang memberi manfaat menjana pendapatan sampingan khususnya membantu golongan suri rumahtangga di kampung itu mengisi masa lapang.

Menurutnya, sejak dimulakan pada 1999 dengan bermodalkan RM500, usahanya kini berbaloi kerana menjadi model usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah ini.

“Peringkat awalnya, saya membuat rempeyek secara suka-suka untuk makanan keluarga dan jiran sahaja.

“Namun tidak disangka pula, rempeyek mula mendapat permintaan dan menerima tempahan pelanggan di sekitar Hulu Cheka, Damak dan Bandar Jerantut,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, apabila sambutan yang diterima menggalakkan, Jabatan Pertanian dan RISDA memberi bantuan kewangan serta bimbingan sehingga membolehkan sebuah bengkel diwujudkan.

Antara suri rumah yang bekerja sambilan menyediakan rempeyek di bengkel Kampung Koi, Hulu Cheka, Jerantut.

Suzi berkata, perusahaan makanan itu bukan sahaja dilakukan memenuhi permintaan musim perayaan, tetapi menjadi rutin tetap produk tersebut memenuhi pasaran di daerah ini dan kawasan lain.

“Saya menceburkan diri dalam bidang IKS ini bagi menyahut seruan kerajaan iaitu untuk meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar terutama di kalangan suri rumah tangga’' katanya yang kini mempunyai lima pembantu terdiri daripada orang kampung di situ.

Kini katanya, dia dibantu oleh lima suri rumah di kampung tersebut untuk menyiapkan tempahan.

‘‘Ini antara amal jariah saya dalam membantu mereka memperoleh pendapatan sampingan dan mengurangkan beban keluarga berkenaan,” katanya.

Katanya, setiap kali musim perayaan pendapatan bersih diterima mencecah RM10,000 sebulan berbanding pada hari biasa iaitu antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Bagi seorang suri rumahtangga, Fatimah Mustafa, 28, berkata, sejak bekerja di bengkel itu beban perbelanjaan dapurnya sedikit ringan hasil upah bekerja di situ.

“Pendapatan juga bertambah apabila menjelang perayaan dan ketika banyak tempahan rempeyek dari luar,” ujarnya.

Rakannya, Salana Jamikon, 37, berkata, bekerja di situ dapat membantu meningkatkan kemahiran cara membuat rempeyek kerana ia tidak semudah seperti yang disangkakan.

Katanya, pendapatan yang diterima dapat menanggung beban kewangan keluarganya dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan suri rumah kampung tersebut.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment