Setahun selepas itu, dia menguasai selok-belok mesin daripada A hingga Z serta mendapat pujian pengurus. Menjelang hujung minggu atau bukan waktu persekolahan, dia keluar rumah pada awal pagi untuk menghantar nasi lemak dan kuih-muih ke gerai berhampiran.
Sebagai anak sulung dalam keluarga dan mempunyai tiga lagi adik, dia berasa bertanggungjawab mencari wang lebih dan gaji diterima digunakan untuk yuran dan perbelanjaan sekolah.
Melihat kemiskinan keluarga bapa hanya tentera berpangkat rendah manakala ibu suri rumah dia menyimpan wang itu untuk perbelanjaan, yuran dan membeli peralatan sekolah.
Walaupun keputusan SPM memberangsangkan dan mendapat tawaran melanjutkan pengajian dalam rekaan fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM), kemiskinan keluarga membuatkan dia membatalkan hasratnya demi memberi laluan kepada adik meneruskan pelajaran.
Kini Yong Fairos Sarip, 45, tersenyum lega melihat hasil kerja kerasnya di pelbagai syarikat, termasuk sebuah gedung tekstil, berbaloi kerana berjaya memiliki perniagaan butik pakaian dan produk kesihatan.
“Mungkin dulu saya kecewa kerana tidak dapat memenuhi impian bergelar pereka fesyen. Namun saya bangga kerana pengalaman itu mematangkan saya dalam mengurus perniagaan bersama suami dan turut dibantu anak.
“Lebih membanggakan, saya adalah perintis dalam perniagaan pakaian siap dipakai ketika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewujudkan pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
“Saya menggunakan jenama D’Fairos Collection dan ia mendapat sambutan di luar jangkaan. Selepas itu, ramai pesaing dalam jualan pakaian sedemikian.
“Saya bangga kerana bersaing secara sihat dan lebih menarik lagi, jenama butik yang terletak di Bandar Baru Selayang, Selangor dan beberapa butik di kompleks beli-belah lain bertahan hingga kini selepas 15 tahun,” katanya.
Usahanya tidak terhenti di situ kerana dia semakin ligat mengembangkan perniagaan berkaitan bengkung atau peralatan bagi merampingkan badan buat golongan Hawa.
Berhasrat mempopularkan pelangsing badan sendiri yang dikenali sebagai IV Six kerana yakin ‘6 formula’ dan kelebihan tersendiri menjadikan dia yakin untuk terus memacu langkah lebih gagah dalam perniagaan.
Sebelum menceburi perniagaan berkaitan alat pelangsingan badan seperti bengkung dan produk kesihatan lain dengan rumusan bioteknologi yang memberi kesan penyerapan lebih pantas, Yong Fairos pernah menjual produk sama satu ketika dulu iaitu didatangkan dari Korea Selatan.
Dia mengakui produk itu mahal kerana harganya beribu ringgit.
“Ketika itu, perniagaan pesat berkembang dan membolehkan saya meningkatkan pasaran di beberapa bandar raya terkemuka di London, Maghribi dan Vietnam.
“Oleh kerana terbuai dengan kesenangan, akhirnya perniagaan itu merudum dan saya melalui pengalaman yang sungguh teruk.
“Oleh itu, saya mahu membangkitkan semula kegemilangan perniagaan itu kerana yakin dengan peluang kedua yang diberikan Allah,” katanya.
Dibantu anaknya, Nur Liyana, 21, dan Nur Nabila, 18, Yong Fairos membimbing mereka menjadi orang harapannya untuk meneruskan legasi perniagaan.
Lebih membanggakan, dia turut diberi kepercayaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melatih usahawan di kalangan suri rumah atau ibu tunggal menjana pendapatan yang bakal diadakan di Menara Mara, tidak lama lagi.
“Sebenarnya, saya ingin berkongsi rahsia kecantikan diri dengan orang ramai kerana yakin ramai suri rumah atau wanita yang ada kerjaya tetapi berhasrat meraih pendapatan lebih untuk bersama-sama melonjakkan perniagaan ini.
“Lagi pula, produk pelangsingan badan ini bukan berbentuk perniagaan jualan langsung (MLM) tetapi kami sendiri sudah melakukan dengan jayanya.
“Pengalaman dan pelan perniagaan itulah yang sebenarnya hendak dikongsi dengan orang ramai, sekali gus mampu mencapai antara RM500 hingga RM30,000 sebulan.
“Tidak dinafikan, produk pelangsing dulu mahal dan mencecah harga beribu ringgit, tetapi IV Six dijangka mendapat sambutan menggalakkan untuk muncul sebagai satu-satunya alatan dijual dengan harga paling murah tetapi berbaloi serta memberi kesan dalam jangka masa singkat.
“Sebenarnya, jangan berharap kepada produk semata-mata, sebaliknya pengguna harus mengikuti panduan diberi seperti menggunakan krim atau gel yang disarankan tetapi disiplin diri, menjaga makanan berlemak dan harus melakukan aktiviti riadah supaya sentiasa sihat,” katanya.
PROFIL:
NAMA: Yong Fairos Sarip
JAWATAN: Pengarah Urusan IV Six Body Care & Trading Sdn Bhd
TARIKH LAHIR: 9 Januari 1967
ASAL: Setapak, Kuala Lumpur
SUAMI: Kamarudin Hussin
ANAK: Nur Liyana (21), Nur Nabila (18), Mohd Danial (14), Mohd Danish Hakim (8) dan Nur Qistina Aida (7)
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
No comments:
Post a Comment