Shuzaifaa impi miliki kedai aksesori telefon bimbit
Shuzaifaa Shuhaimi, 19, yang dipilih untuk mengisi ruangan Gadis Pahang minggu ini percaya pasaran aksesori telefon bimbit terlalu luas dan tiada batasan atau had.
Katanya, sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, peringkat umur, baik lelaki mahu pun perempuan cukup menggemarinya dan memasang impian untuk memiliki kedai aksesori telefon bimbit sendiri satu hari ini.
"Pada masa kini saya mencari pengalaman dan belajar selok belok perniagaan aksesori telefon dengan bekerja sebagai jurujual.
"Saya yakin dalam tempoh lima tahun ini saya mampu memiliki kedai atau kiosk sendiri," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sebuah pusat membeli-belah di sini hari ini.
Menurut anak keenam dari 10 beradik itu, bagi memantapkan kemahiran dalam dunia perniagaan, dia berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan jika berpeluang.
"Jika diberi peluang, saya juga mahu belajar dalam bidang perniagaan di mana-mana kolej swasta.
"Bagaimanapun, semuanya masih dalam perancangan dan berharap mampu mencapainya dengan cemerlang," jelas bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin di sini.
No comments:
Post a Comment