Friday, September 14, 2012

penggoreng ayam sudah jadi taukeh

Dulu goreng ayam, kini tauke katering

CHEF ZAINAL tidak menyangka bahawa dia sudah mempunyai perniagaan katering sendiri yang dikongsi bersama rakan kongsinya, Mohammad Akram.


CHEF ZAINAL. Walaupun namanya tidak segah atau sepopular chef-chef selebriti yang lain seperti Chef Wan, Chef Zam, Chef Ismail mahupun Chef Florence Tan, kisah kehidupan dan kejayaannya pada hari ini sarat dengan cerita menarik.
Berasal dari Sungai Siput, Perak, Chef Zainal atau nama penuhnya Zainal Mohd. Saad, 50, berhijrah ke Kuala Lumpur mengikut kakak angkatnya untuk bekerja sebaik selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Memulakan kehidupan di ibu negara dengan bekerja di salah sebuah cawangan restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) dengan menggalas tugas menggoreng ayam, Zainal juga puas berkhidmat di beberapa buah hotel. Semua itu demi menimba ilmu dan meraih pengalaman dalam bidang kulinari.
Mempunyai kepakaran dalam masakan tradisional Melayu, Arab dan Cina, Chef Zainal memberitahu dia pernah bekerja di restoran Cina selama 18 jam sehari dengan bayaran gaji RM1,000 sebulan semata-mata mahu mempelajari ilmu masakan mereka.
Meskipun tiada pendidikan formal dalam bidang masakan dan hanya bersandarkan pengalaman semata-mata, bapa kepada dua puteri itu sentiasa belajar daripada internet dan bertukar-tukar pendapat bersama rakan bagi menghasilkan masakan yang lazat.
“Ketika kecil dahulu saya sering mengikut ibu angkat saya, Hasmah Mohd. Yasin ke majlis kenduri-kendara kerana dia merupakan seorang tukang masak.
“Daripada situ, saya belajar melalui apa yang selalu dilakukannya. Ketika usia sembilan tahun, saya curi-curi buat kek pisang dan letakkan di bawah tudung saji. Apabila ibu tanya ‘siapa buat?’ Saya jawab: ‘Sayalah’,” katanya yang sudah pandai memasak rendang tok resipi arwah opahnya seawal usia sembilan tahun.
Pelanggan pertama
Tambah Chef Zainal, dia sendiri tidak menyangka bahawa dirinya kini sudah memiliki perniagaan sendiri iaitu Dapur Utama Katering Cita Rasa Chef Zainal yang diusahakan bersama rakan kongsinya, Mohammad Akram Ibrahim, 25, setelah sekian lama bekerja dengan orang lain.
Memulakan perniagaan di rumah seluas kira-kira 84 meter persegi, Chef Zainal memberitahu Kolej Poly Tech Mara (KPTM) merupakan pelanggan pertamanya dan dia masih mengingati tarikh tersebut iaitu 2 Januari 2012.
Walaupun sudah berjaya merealisasikan impiannya memiliki perniagaan sendiri, Chef Zainal tidak lokek berkongsi rezekinya dengan anak-anak yatim dari Rumah Belaian Kasih, Kampung Pasir, Hulu Kelang yang diraikan pada majlis berbuka puasa sempena Majlis Pembukaan Dapur Utama Katering Cita Rasa Chef Zainal pada 12 Ogos lalu.
Tragedi 3 pagi
Sudah menjadi resam kehidupan, kita diduga dengan pelbagai ujian oleh Allah. Dia pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya 10 tahun lalu dalam perjalanan Perak ke Kuala Lumpur.
“Ketika itu pukul 3 pagi di kawasan Bukit Beruntung. Kemalangan itu telah menyebabkan kerosakan kekal pada retina mata kiri dan ia tidak dapat diselamatkan.
“Tragedi tersebut membuatkan saya rasa rendah diri dan hilang motivasi kerana penglihatan mata kiri saya kabur dan tidak nampak. Ia menyukarkan saya menjangkakan kedudukan,” ujarnya.
Tambah Chef Zainal, keadaan itu menyebabkan dia melihat sesuatu di sebelah kanan sedangkan ia berada di sebelah kiri dan sebaliknya.
“Nak masak pun susah, salah letak garam. Ambil masa setahun juga untuk sesuaikan diri dengan keadaan tersebut.
“Bab memasak perlu teliti. Kita perlu ada feel apabila memasak. Jika ada masalah, saya akan ‘gantung’ dulu masalah tersebut di luar sebelum masuk ke dapur,” jelasnya.
Chef Zainal begitu beruntung kerana ibu Mohammad Akram sanggup laburkan modal RM100,000 setelah melihat kesungguhan mereka dalam bidang perusahaan katering.
Mohammad Akram yang merupakan graduan lulusan Ijazah Undang-Undang Syariah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dikenali melalui laman sosial Facebook.
“Memandangkan anak perempuan saya tidak meminati bidang ini, saya mengajak Akram menjadi rakan kongsi kerana dia suka membuat kek dan biskut dalam masa yang sama ada kemahiran fotografi.
“Jika sebelum ini kami buat bisnes dengan dapur rumah flat sahaja, kini sudah mampu menyewa kedai dengan dibantu oleh lima pekerja sepenuh masa dan sambilan,” katanya.
Chef Zainal yang menyimpan hasrat untuk menghasilkan buku resipi masakan tradisional cara mudah pada suatu hari nanti, kini bertekad untuk terus menempa kejayaan berlandaskan maksud pepatah ‘bukan senang nak senang’.

No comments:

Post a Comment