• Cari duit lebih jual cencaru panggang berlada Menu istimewa Zarina ialah cencaru panggang berlada dan tuka air asam yang lazimnya habis dijual sebelum 6.30 petang.
1 / 1
BACHOK – Ramadan lazimnya membawa rezeki yang melimpah ruah bagi individu yang rajin berusaha untuk mencari duit lebih musim ini.

Bagi Zarina Mahmud, 41, tahun ini sekali lagi dia meneruskan aktiviti rutin Ramadan dengan mengambil lot gerai di bazar Ramadan Beris Kubur Besar untuk berniaga ikan bakar.

Dia dibantu suami, Rosdi Md Nor, 46, bersama tiga pembantu yang memulakan perniagaan dari jam 3.30 hingga 6.30 petang sejak awal Ramadan lalu.

“Kami dah beberapa tahun berniaga di sini dan mempunyai pelanggan tetap yang menggemari resipi yang kami perkenalkan.

"Saya percaya setiap peniaga mempunyai resipi tersendiri dan pelanggan akan membuat pilihan mengikut citarasa mereka.

“Menu istimewa kami ialah cencaru panggang berlada yang mempunyai sosnya sendiri, tuka (pari kecil) air asam, selain ayam percik dan keli percik,” katanya.

Zarina berkata, setiap hari dia memerlukan kira-kira 130 kilogram ikan yang siap disiang di rumahnya sebelum dibawa ke bazar.

Katanya, harga yang dikenakan berpatutan mengikut saiz ikan yang dipilih pelanggan.