Namun sup merupakan juadah wajib di setiap bazar Ramadan tidak kira walau di ceruk mana di negara ini sekali pun.
Bagi bazar Ramadan terbesar di daerah ini iaitu Bazar Ramadan Pesta di sini, Ayu Sup Gear Box antara yang menjadi tumpuan penduduk kerana rasa dan pelbagai jenis isi sup itu sendiri.
Mendengar cerita penduduk yang ke bazar itu, penulis turut tidak mahu ketinggalan berkongsi keenakan sup yang menjadi buah mulut penduduk di kawasan ini.
Sangkaan penulis sup tersebut diusahakan individu berpengalaman meleset selepas mengetahui perniagaan sup itu diusahakan sepasang suami isteri, Rusdi Mohamad, 49, dan Sulaima Sulaimi, 45.
Lebih sedap mata memandang, perniagaan pasangan itu dibantu empat anaknya yang berusia antara 11 hingga 21 tahun terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.
Sulaima memberitahu, perniagaan itu diusahakan bersama suaminya sejak 15 tahun lalu di bazar Ramadan sama.
"Walaupun namanya sup gear box, tetapi isi sup yang disediakan terdiri daripada tulang kambing, ayam, paru, ekor, tulang, perut dan lidah, malah terdapat sup merah tulang kambing.
"Sejak mula berniaga di sini, kami bukan sekadar datang berniaga sebaliknya saya sentiasa berfikir menyediakan resipi terbaik yang mampu membuatkan pelanggan berpuas hati," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Berikutan itu, Sulaima mengadunkan resipi asal sup gear box dengan adunan yang diciptanya sendiri bagi memastikan bukan sahaja sup sedap tetapi baunya juga mampu menarik perhatian pelanggan.
Katanya, konsep yang diguna pakai di gerainya adalah pelanggan diberi peluang memilih sendiri jenis isi sup serta kuantiti supaya lebih berpuas hati.
"Pelanggan akan diberi mangkuk untuk memilih isi sup dengan kuantiti sendiri, setelah selesai saya akan memberitahu harga sebelum membungkuskan sup tersebut. Dengan cara ini pelanggan dilihat lebih selesa," katanya.
Bagi harga pula, ujarnya, setiap bungkusan dikenakan harga antara RM3 hingga RM9 mengikut kuantiti dan jenis isi sup yang dipilih pelanggan.
Namun, tambahnya, sup yang paling mendapat sambutan dalam bulan Ramadan adalah sup tulang dan sup kambing.
Menurutnya, dia mempunyai pelanggan tetap bagi kedua-dua menu itu sejak beberapa tahun lalu manakala pelanggan lain pula kebiasaannya mahukan sup campur.
No comments:
Post a Comment