Thursday, March 20, 2014

projek rimbunan kasih


Rimbunan Kaseh ubah nasib 97 keluarga



Mohd. Khalil Yaakob melawat tapak penternakan ikan keli dan jadeperch dalam sangkar ketika melawat projek Rimbunan Kaseh Serkam di Jasin, Melaka, baru-baru ini.
JASIN 19 Mac - Apabila Projek Rimbunan Kaseh Serkam mula diperkenalkan, ramai yang tidak terfikir itu adalah satu model baharu yang diperkenalkan kerana dapat mengubah kehidupan golongan berpendapatan rendah menikmati kehidupan lebih selesa.
Jika sebelum ini, golongan tersebut terlalu bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tetapi kini nasib mereka sudah jauh berubah.
Kini, mereka tidak lagi memerlukan bantuan sebaliknya sudah boleh berbangga melalui Projek Rimbunan Kaseh yang merupakan penempatan baharu yang dibangunkan dengan industri pertanian dan penternakan bagi membela nasib serta mengeluarkan rakyat daripada garis kemiskinan.
Projek Rimbunan Kaseh Serkam adalah yang kedua selepas projek perintis pertama diperkenalkan di Tanjung Besar, Kuala Lipis, Pahang.
Projek Rimbunan Kaseh Serkam merupakan model transformasi masyarakat di kawasan luar bandar yang moden, memenuhi keperluan penempatan kehidupan komuniti, selain menjana ekonomi menerusi industri pertanian yang mengamalkan kaedah pertanian berteknologi tinggi.
Berkeluasan 14.164 hektar, projek di Serkam Darat itu merupakan sebahagian program transformasi ke arah memberi keselesaan kehidupan rakyat dalam suasana yang perkampungan abad ke-21, dilengkapi kemudahan infrastruktur dan sumber perekonomian baharu serba moden.
Terdapat dua bahagian pembangunan bagi projek Rimbunan Kaseh ini iaitu kawasan perumahan seluas 8.094 hektar dan 6.07 hektar untuk pertanian serta ternakan.
Projek tersebut dibiayai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM24 juta bagi membangunkan infrastruktur dan prasarana yang merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru kerajaan untuk membasmi kemiskinan di negeri ini.
Sebanyak RM3 juta pula dibiaya oleh kerajaan negeri menerusi MAIM yang bertanggungjawab menyediakan tapak tanah.
Rimbunan Kaseh yang dibangunkan ini merupakan projek pembangunan khas bagi menaik taraf hidup keluarga miskin terpilih bagi membolehkan mereka menikmati kualiti hidup lebih baik.
Kini, Projek Rimbunan Kaseh di Serkam yang hampir setahun dibangunkan mula memperlihatkan hasil apabila berjaya mengubah kehidupan 97 peserta terdiri daripada penerima asnaf zakat MAIM menambah pendapatan pertanian moden.
Peserta melalui penglibatan dalam mengikat kontrak dengan syarikat IRIS Corporation Berhad menjadi petani moden selama lima tahun, melaksanakan kerja-kerja penternakan dan pertanian secara hidroponik yang disediakan di kawasan tersebut.
Bagi memudahkan lagi usaha yang dijalankan peserta, IRIS membeli hasil tanaman itu untuk dijual dan ini tidak menimbulkan masalah bagi peserta untuk memasarkan hasil tanaman serta ternakan.
Setiap peserta bukan sahaja disediakan perumahan selesa, bahkan turut diberi peluang bekerja di ladang moden yang dibangunkan, sekali gus mampu menjana pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.
Dalam lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke tapak projek berkenaan awal Februari lalu, beliau melihat projek itu sebagai pemangkin kepada transformasi pertanian berdasarkan tiga paksi.
Tiga paksi penting itu ialah mentransformasikan pertanian menjadi sumber pendapatan tinggi kepada masyarakat luar bandar iaitu dengan menggunakan teknologi moden, meluaskan pasaran dan amalan pertanian yang baik seterusnya memberi pendapatan tinggi, khususnya kepada masyarakat miskin negara ini.
Ladang bersepadu projek Rimbunan Kaseh menggunakan sistem berteknologi tinggi seperti sistem autopots dan aquaponics bagi proses pembiakan ikan serta tanaman pertanian menjana hasil segar dan memberi pulangan lumayan.
Perladangan bersepadu yang dilaksanakan di bawah projek ini oleh IRIS menggunakan kaedah Iris Autopot System, Iris Aquaponic System, penternakan ikan serta penanaman padi menggunakan kaedah sustainable rhizosphere improvement innovations (SRI2).
Projek yang diusahakan ialah golden melon, halia, limau kasturi, ikan talapia merah, keli dan jadeperch (ikan yang tinggi kandungan Omega-3 dari Australia) serta tanaman padi Siraj (campuran benih beras Basmathi dan Jepun).
Projek ini juga memperlihatkan penggunaan teknologi yang bersesuaian dan terkini dalam industri pertanian yang mampu memberi hasil lebih banyak, bermutu dan kualiti lebih tinggi dan stabil.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, konsep projek Rimbunan Kaseh Serkam ini dilihat boleh diguna pakai untuk dibangunkan di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu golongan miskin di negeri ini.
Menurutnya, projek tersebut yang mula beroperasi sejak Mei tahun lalu telah diakui sebagai contoh terbaik di Malaysia kerana berjaya mencapai kejayaan dalam masa ditetapkan.
"Projek ini mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu golongan yang berpendapatan rendah serta kurang bernasib baik keluar dari kepompong kemiskinan dan membina kehidupan lebih selesa.
"Ini memperlihatkan impak yang positif dalam pelbagai sudut, malah menjadi tumpuan baharu dalam agro-pelancongan di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas mengiringi lawatan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob ke tapak projek Rimbunan Kaseh Serkam kelmarin.
Dalam pada itu, Hasan berkata, seiring dengan matlamat kerajaan negeri, Melaka Maju Negeri Berteknologi Hijau, usaha penambahbaikan perlu dipertingkat bagi memastikan projek pertanian dan ternakan ikan itu terus berdaya saing.
Katanya, aktiviti ekonomi di kawasan itu seharusnya dipelbagaikan dengan mewujudkan industri hiliran seperti pengeluaran produk sebagai contoh pemprosesan bebola ikan, pengetinan buah-buahan dan sebagainya untuk dikomersial dan dipasarkan dalam dan luar negara.
"Saya percaya peserta projek ini mempunyai masa depan cerah dan seperti digambar oleh pihak Iris Corporation Berhad yang bertanggungjawab melaksanakan projek pertanian di kawasan itu. Syarikat itu pasti mempunyai rancangan untuk terus membangunkan kawasan berkenaan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20140320/ws_01/Rimbunan-Kaseh-ubah-nasib-97-keluarga#ixzz2wRxLxAGt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hidup peserta lebih baik, pendapatan meningkat



Tanaman golden melon yang menggunakan kaedah teknologi pertanian moden dalam projek Rimbunan Kaseh Serkam.
JASIN 19 Mac - Usaha kerajaan bagi mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan rakyat menerusi Projek Rimbunan Kaseh di Serkam dilihat membuahkan hasil.
Projek berkenaan memberi peluang kepada pesertanya yang merupakan penerima asnaf zakat dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berubah kepada kehidupan lebih baik.
Salah seorang peserta, Aswamati Kadir, 38, berkata, pendapatan yang diperolehnya sebagai petani di situ dapat membantu meringankan beban suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.
Katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan sebelum ini, kehidupan mereka sekarang berada tahap lebih baik, selain masa bekerja yang sangat teratur dan mempunyai masa lapang bersama keluarga.
"Syukur alhamdulillah kerana terpilih menjadi peserta Projek Rimbunan Kaseh ini memandangkan ramai yang memohon untuk bekerja di sini. Kehidupan rasa lebih selesa berbanding dahulu," katanya.
Bagi Husin Mohd. Jeffry, 36, pula, sejak menyertai Rimbunan Kaseh, kehidupannya sekeluarga lebih bermakna kerana mempunyai pendapatan tetap sebanyak RM1,500 sebulan.
"Jika sebelum ini, kami selalu bingung memikirkan wang sewa bulanan rumah, namun kini kami mampu hidup dengan lebih baik kerana mendapat sewa rumah yang murah iaitu serendah RM100, selain mendapat potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Pekerjaan dahulu gajinya RM1,200, selain bayaran sewa RM150, tetapi kini, gaji bulanan diperoleh ialah RM1,500 dan ini cukup untuk menampung hidupan isteri yang tidak bekerja dengan seorang anak," katanya.
Bagi Hadilah Hasan, 45, selain bekerja sebagai petani di ladang itu, dia juga mengambil inisiatif membuka kelas mengaji di rumahnya.
Ibu tunggal dengan enam anak itu berkata, usaha tersebut dilakukannya untuk berbakti kepada anak-anak asnaf yang berada di Taman Rimbunan Kaseh Serkam itu dengan menekankan pembangunan kerohanian.
"Kelas ini dibuka untuk kanak-kanak seawal usia tiga tahun hingga pelajar sekolah menengah yang berminat untuk belajar mengaji.
"Selain bekerja di ladang, ini adalah usaha yang mampu saya lakukan untuk membantu anak-anak bangsa dalam menerapkan pembelajaran agama," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20140320/ws_02/Hidup-peserta-lebih-baik-pendapatan-meningkat#ixzz2wRyWCsQW
© Utusan Melayu (M) Bhd


Peserta mampu raih RM4,000


Mohd. Khalil Yaakob bersama sebahagian peserta Rimbunan Kaseh ketika mengadakan lawatan ke projek berkenaan di Serkam Darat di Jasin, Melaka, kelmarin. - Utusan/NURSURAYA ZULKIFLI
JASIN 18 Mac. - Peserta projek Rimbunan Kaseh Serkam dijangka mampu meraih pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan berbanding RM1,500 dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, sasaran itu boleh direalisasikan dengan perluasan kawasan tapak projek selain mewujudkan industri hiliran di kawasan berkenaan.
Menurutnya, aktiviti ekonomi kawasan tersebut tidak hanya bergantung kepada pertanian dan ternakan ikan sahaja tetapi dipelbagaikan dengan industri seperti pemprosesan bebola ikan, pengetinan buah-buahan dan sebagainya untuk dikomersial serta dipasarkan di dalam dan luar negara.
"Projek Rimbunan Kaseh adalah paling berjaya di negara ini dan diakui sebagai contoh yang berhasil selain menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan miskin dalam pertanian yang berteknologi moden, peserta mendiami rumah yang lebih selesa dan kadar sewa yang rendah.
"Saya yakin dan percaya masa depan peserta projek ini mempunyai masa depan yang cerah dan seperti yang digambar oleh pihak Iris Corporation Berhad yang bertanggungjawab melaksanakan projek pertanian di kawasan itu pasti mempunyai rancangan untuk terus membangunkan kawasan berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi lawatan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob ke tapak projek Rimbunan Kaseh Serkam di sini semalam.
Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, Datuk Naim Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Zaidi Attan
Hasan berkata, namun ada beberapa yang dibangkitkan selain cadangan dan pendapat yang bernas untuk penambahbaikan projek Rimbunan Kaseh Serkam ini akan dibawa kepada kerajaan negeri untuk dipertimbang dan diberi perhatian.
Tambahnya, konsep projek Rimbunan Kaseh Serkam ini boleh digunapakai di 28 DUN di negeri ini dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu golongan yang berpendapatan rendah serta kurang bernasib baik keluar dari kepompong kemiskinan dan membina kehidupan yang lebih selesa.

Tuesday, March 18, 2014

usahawan madu kelulut

Produk madu kelulut

Oleh Sabaruddin Abd Ghani
Walaupun semakin ramai pe­ngusaha madu kelulut muncul, syarikat Eddlyn Traditional Herb (ETH) masih mampu bersaing di pasaran tempatan.
Memiliki 120 sarang kelulut yang diternak dalam kotak, operasi ternakan syarikat itu di Dataran Bunga Sena, Pokok Sena, Kedah, menghasilkan empat jenis produk.
Malah, mereka turut membekalkan koloni (anak dan telur kelulut) kepada mereka yang berminat mengusahakan perusahaan itu.

Empat jenis produk terbabit ialah sabun mandi propolis, krim kulit siang dan malam, madu kelulut asli dan minuman botani madu kelulut campuran buah kurma.
FotoRAMLI (baju kuning) menunjukkan sarang kelulut asal dipindahkan ke dalam sarang kelulut berkotak.

Pengurus yang juga pengasas ETH, Ramli Abdul Rahman berkata, untuk pengeluaran madu, mereka menternak kelulut jenis Trigona Itama dan Trigona Thoratica kerana ia mudah dipelihara.

Bapa kepada lima anak itu mempunyai pengalaman luas dalam ternakan kelulut, selain membuat kajian menghasilkan produk berasaskan manisan serangga hutan itu.

“Produk yang kami keluarkan memang istimewa, contohnya madu kelulut dan minuman kesihatan botani madu kelulut campuran buah kurma baik untuk mencegah penyakit seperti batu karang, darah tinggi, buang angin, menguatkan tenaga batin, melancarkan perjalanan darah, menegangkan kulit, memecahkan lemak dalam badan dan menyerikan wajah,” katanya.

Produk yang dihasilkan itu boleh digunakan orang dewasa dan kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas.

Produk lain ialah sabun mandi propolis, krim kulit siang dan malam yang mengandungi antioksidan, antibakteria dan vitamin E.

Ia amat sesuai menyembuhkan resdung, gatal kulit, kurap, ruam kanak-kanak dan mencerah serta melembabkan kulit muka, selain menyembuhkan luka kecil.

Produk yang dikeluarkan syarikat itu dipasarkan ke seluruh negara, selain Brunei dan Singapura.

Beliau yang dilantik sebagai Ahli Maj­lis Perunding Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Pokok Sena bersyukur perniagaan yang diasaskan sejak tujuh tahun itu berjaya.

“Kami mampu mengeluarkan 400 botol madu kelulut sebulan dengan pendapatan RM25,000 sebulan.

“Kami juga melaksanakan perniagaan berkonsepkan rangkaian ternakan kelulut membabitkan secara individu dan agensi kerajaan.

“Menerusi konsep perniagaan terbabit, setiap peserta yang membeli sarang kelulut akan mendapat bimbingan serta khidmat nasihat percuma,” katanya.

Antara pengusaha yang mengusahakan ternakan berkonsepkan itu ialah di Kampung Tuk Kun dan Pokok Pauh di Pokok Sena, Pendang, Lubuk Kawah, Jitra di Kedah dan Bukit Merah di Perak,” kata­nya.
 Foto

 Foto


Foto

Monday, March 17, 2014

usahawan nanas

Rezeki Nanas


Zulkefly Tumpang (kiri) menyatakan sesuatu kepada Salehuddin Pangilon (tengah) sambil diperhatikan Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Perancangan, Jabatan Pertanian Putrajaya, Roseli Mustapha di TKPM Kundang Kuala Langat, Selangor.
Kejayaan pengusaha tanaman nanas Salehudin Pangilon yang mencuba nasib menjadi peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan akhirnya memperoleh pendapatan lumayan wajar dicontohi. Dia berusaha gigih membuktikan kesungguhan meskipun permohonannya menjadi peserta pada mulanya tidak diterima.
“Saya diberi kawasan contoh atau tapak demontrasi yang tidak diusahakan dan apabila melihat kesungguhan mengusahakan pertanian, saya diterima masuk,’’ katanya yang menjadi peserta di TKPM Kundang, Kuala Langat, Selangor.
Sejak mencuba nasib di TKPM tersebut, Salehudin, 50, cuba menanam nanas varieti Yankee atau juga dikenali Selangor Sweet dengan projek permulaan melibatkan 3,000 pokok di kawasan berkeluasan satu setengah ekar.
Sebagai permulaan, dia hanya mampu mengusahakan seluas 0.6 hektar (ha) atau satu setengah ekar berbanding dua ha (lima ekar) diperuntukkan kerana masalah kekurangan modal.
Bagi melunaskan impiannya menjadi usahawan pertanian yang berjaya, mahu tidak mahu dia bertekad memulakan projek dengan modal sendiri sebanyak RM5, 000 yang yang mana setiap anak benih dibeli pada harga 33 sen ketika itu tanpa pinjaman bank.
Dalam tempoh lima tahun sahaja, kawasan penanaman nanas baka Selangor Sweet berkembang dan kini dan mengusahakan seluas 14 ha (35 ekar) yang mana seekar kawasan penanaman melibatkan 8,000 pokok.
Salehuddin juga mengusahakan nanas josapine seluas satu ekar dengan jumlah 15,000 pokok dan turut memantau projek tanaman nanas varieti MD2 milik orang lain seluas dua ha bagi tujuan pembelajaran.
Mengenai masalah utama tanaman nanas, Salehuddin berkata, risikonya agak rendah kerana tidak terlalu diancam penyakit sebaliknya dia kekurangan pekerja yang membantunya di ladang.
Nanas Yankee matang dalam tempoh 18 bulan manakala varieti josapine boleh dituai dalam tempoh 10 bulan.
Dengan keluasan tanaman yang dimiliki, Salehudin mampu mengeluarkan secara purata 5,000 biji nanas sebulan.
“Saya hanya mempunyai dua pekerja yang membantu kerja-kerja ladang seperti mencabut rumput, membuat semburan hormon kepada tanaman nanas selepas berumur lima bulan serta menuai hasil,’’ katanya.
Dia tidak menghadapi masalah mengenai pasaran kerana peraih datang ke ladangnya di TKPM Kundang.
Harga nanas varieti Yankee boleh mencecah RM2.85 sebiji manakala josapine lebih rendah daripada itu.
Dengan kejayaan tersebut, Salehudin pernah menerima Anugerah Peladang Jaya Kuala Langat pada tahun lalu dan juga Anugerah Nanas Jaya Peringkat Selangor pada tahun yang sama.
Hari ini, dia bukan sahaja mengeluarkan nanas menerusi projek di TKPM itu tetapi turut membekalkan benih nanas varieti Yankee kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Dia juga masih mempelajari kaedah penanaman terbaik bagi varieti MD2 yang dianggap lumayan kerana harganya agak mahal. Malah anak pokok MD2 sahaja berharga RM2 di pasaran.
Pencapaian Salehudin bagaimanapun tidak datang sekelip mata memandangkan sejarah penglibatannya dalam pertanian menyaksikan dia tersungkur, jatuh bankrap dan kemudian bangkit kembali.
Malah sebelum menceburi bidang pertanian, dia melakukan pelbagai kerja untuk menampung kehidupan.
Anak jati Kampung Kundang ini menuntut di Yayasan Anda pada 1981 dan kemudian menjadi pembantu pustakawan di Klang Selangor.
Selepas tidak lagi berkhidmat, dia melakukan kerja-kerja kontrak pembinaan dan juga berkaitan dengan besi selama tiga tahun.
Salehudin terpaksa meninggalkan perniagaan tersebut selepas menanggung kerugiandan kemudian kembali semula ke kampung halamannya.
Pada 1990, dia mula terfikir menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan ternakan udang harimau seluas 0.8 ha.
Oleh kerana projek tidak begitu memberangsangkan akibat masalah penyakit, dia beralih kepada ternakan udang putih di kampungnya.
Menurut Salehuddin, satu ketika udang yang diternaknya mati perlahan-lahan dan ini menjadikannya hampir berputus asa.
“Saya memikirkan masalah penyakit begitu mengancam projek udang, sebab itu mencuba tanaman nanas di TKPM kerana risikonya rendah,’’ ujarnya.
Bagaimanapun, dia menjadikan pengalaman tersebut sebagai satu cabaran yang biasa dalam bidang pertanian.
Dia juga mengakui konsep melahirkan usahawan pertanian berpendapat RM3,000 minimum sebulan menerusi TKPM yang diperkenalkan Jabatan Pertanian satu pendekatan yang baik dan wajar diteruskan.
“Saya juga ingin menasihati golongan muda supaya menyertai bidang pertanian kerana berpeluang meraih pendapatan yang menguntungkan cerah.
“Soal rugi dan jatuh perkara biasa dalam perniagaan (pertanian)’’ ujarnya lagi.Dia juga boleh berbangga projek pertanian tersebut telah menerima Sijil Amalan Ladang Malaysia (SALM) atau MyGAP.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140303/ag_01/Rezeki-Nanas#ixzz2wB2lQ6Cx
© Utusan Melayu (M) Bhd