Monday, March 17, 2014

usahawan nanas

Rezeki Nanas


Zulkefly Tumpang (kiri) menyatakan sesuatu kepada Salehuddin Pangilon (tengah) sambil diperhatikan Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Perancangan, Jabatan Pertanian Putrajaya, Roseli Mustapha di TKPM Kundang Kuala Langat, Selangor.
Kejayaan pengusaha tanaman nanas Salehudin Pangilon yang mencuba nasib menjadi peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan akhirnya memperoleh pendapatan lumayan wajar dicontohi. Dia berusaha gigih membuktikan kesungguhan meskipun permohonannya menjadi peserta pada mulanya tidak diterima.
“Saya diberi kawasan contoh atau tapak demontrasi yang tidak diusahakan dan apabila melihat kesungguhan mengusahakan pertanian, saya diterima masuk,’’ katanya yang menjadi peserta di TKPM Kundang, Kuala Langat, Selangor.
Sejak mencuba nasib di TKPM tersebut, Salehudin, 50, cuba menanam nanas varieti Yankee atau juga dikenali Selangor Sweet dengan projek permulaan melibatkan 3,000 pokok di kawasan berkeluasan satu setengah ekar.
Sebagai permulaan, dia hanya mampu mengusahakan seluas 0.6 hektar (ha) atau satu setengah ekar berbanding dua ha (lima ekar) diperuntukkan kerana masalah kekurangan modal.
Bagi melunaskan impiannya menjadi usahawan pertanian yang berjaya, mahu tidak mahu dia bertekad memulakan projek dengan modal sendiri sebanyak RM5, 000 yang yang mana setiap anak benih dibeli pada harga 33 sen ketika itu tanpa pinjaman bank.
Dalam tempoh lima tahun sahaja, kawasan penanaman nanas baka Selangor Sweet berkembang dan kini dan mengusahakan seluas 14 ha (35 ekar) yang mana seekar kawasan penanaman melibatkan 8,000 pokok.
Salehuddin juga mengusahakan nanas josapine seluas satu ekar dengan jumlah 15,000 pokok dan turut memantau projek tanaman nanas varieti MD2 milik orang lain seluas dua ha bagi tujuan pembelajaran.
Mengenai masalah utama tanaman nanas, Salehuddin berkata, risikonya agak rendah kerana tidak terlalu diancam penyakit sebaliknya dia kekurangan pekerja yang membantunya di ladang.
Nanas Yankee matang dalam tempoh 18 bulan manakala varieti josapine boleh dituai dalam tempoh 10 bulan.
Dengan keluasan tanaman yang dimiliki, Salehudin mampu mengeluarkan secara purata 5,000 biji nanas sebulan.
“Saya hanya mempunyai dua pekerja yang membantu kerja-kerja ladang seperti mencabut rumput, membuat semburan hormon kepada tanaman nanas selepas berumur lima bulan serta menuai hasil,’’ katanya.
Dia tidak menghadapi masalah mengenai pasaran kerana peraih datang ke ladangnya di TKPM Kundang.
Harga nanas varieti Yankee boleh mencecah RM2.85 sebiji manakala josapine lebih rendah daripada itu.
Dengan kejayaan tersebut, Salehudin pernah menerima Anugerah Peladang Jaya Kuala Langat pada tahun lalu dan juga Anugerah Nanas Jaya Peringkat Selangor pada tahun yang sama.
Hari ini, dia bukan sahaja mengeluarkan nanas menerusi projek di TKPM itu tetapi turut membekalkan benih nanas varieti Yankee kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Dia juga masih mempelajari kaedah penanaman terbaik bagi varieti MD2 yang dianggap lumayan kerana harganya agak mahal. Malah anak pokok MD2 sahaja berharga RM2 di pasaran.
Pencapaian Salehudin bagaimanapun tidak datang sekelip mata memandangkan sejarah penglibatannya dalam pertanian menyaksikan dia tersungkur, jatuh bankrap dan kemudian bangkit kembali.
Malah sebelum menceburi bidang pertanian, dia melakukan pelbagai kerja untuk menampung kehidupan.
Anak jati Kampung Kundang ini menuntut di Yayasan Anda pada 1981 dan kemudian menjadi pembantu pustakawan di Klang Selangor.
Selepas tidak lagi berkhidmat, dia melakukan kerja-kerja kontrak pembinaan dan juga berkaitan dengan besi selama tiga tahun.
Salehudin terpaksa meninggalkan perniagaan tersebut selepas menanggung kerugiandan kemudian kembali semula ke kampung halamannya.
Pada 1990, dia mula terfikir menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan ternakan udang harimau seluas 0.8 ha.
Oleh kerana projek tidak begitu memberangsangkan akibat masalah penyakit, dia beralih kepada ternakan udang putih di kampungnya.
Menurut Salehuddin, satu ketika udang yang diternaknya mati perlahan-lahan dan ini menjadikannya hampir berputus asa.
“Saya memikirkan masalah penyakit begitu mengancam projek udang, sebab itu mencuba tanaman nanas di TKPM kerana risikonya rendah,’’ ujarnya.
Bagaimanapun, dia menjadikan pengalaman tersebut sebagai satu cabaran yang biasa dalam bidang pertanian.
Dia juga mengakui konsep melahirkan usahawan pertanian berpendapat RM3,000 minimum sebulan menerusi TKPM yang diperkenalkan Jabatan Pertanian satu pendekatan yang baik dan wajar diteruskan.
“Saya juga ingin menasihati golongan muda supaya menyertai bidang pertanian kerana berpeluang meraih pendapatan yang menguntungkan cerah.
“Soal rugi dan jatuh perkara biasa dalam perniagaan (pertanian)’’ ujarnya lagi.Dia juga boleh berbangga projek pertanian tersebut telah menerima Sijil Amalan Ladang Malaysia (SALM) atau MyGAP.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140303/ag_01/Rezeki-Nanas#ixzz2wB2lQ6Cx
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment