Friday, October 1, 2010

Karipap


Minat buahkan kejayaan

Oleh HANIZA HASSAN
editjohor@utusangroup.com.my

Haniza Abdul Jamil menunjukkan makanan beku yang dihasilkannya di Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 30 Sept. - Ada segelintir masyarakat mengenali makanan tradisional ini dengan nama epok-epok, teh-teh dan nama Inggerisnya, 'curry puff'.

Namun, biar pun berbeza namanya, sebut sahaja karipap pasti para penggemar kecur air liur sekali gus membayangkan keenakan kuih itu apabila dimakan ketika panas apatah lagi disajikan bersama air teh atau kopi.

Karipap merupakan sejenis makanan yang popular di Malaysia, Thailand dan Singapura.

Ia terdapat dalam pelbagai perasa, bergantung kepada inti di dalamnya. Bahan utama inti karipap ialah daging dan kentang. Ubi kentang sering digunakan sebagai inti karipap dan adakalanya inti ubi keledek juga digunakan.

Makan memang mudah, namun untuk membuatnya mungkin boleh menimbulkan sedikit kesulitan apabila tiba bahagian membuat lipatan untuk menutup inti berkenaan yang dipanggil kelim.

Malah penulis gagal menghasilkan kelim yang bagus biarpun sering kali diajar oleh saudara mara semasa kenduri kesyukuran di rumah.

Namun, ia bukan masalah besar kerana kuih tradisional tersebut boleh didapati dalam keadaan sejuk beku. Pengguna hanya perlu menggoreng kuih itu.

Bagi pengusaha makanan sejuk beku, Haniza Abdul Jamil, 43, kepuasan pelanggan menjadi keutamaan biarpun makanan yang disediakan adalah dalam bentuk sejuk beku.

Menurut suri rumah itu, usaha membuat karipap tercetus ekoran minat yang mendalam terhadap kuih tradisional itu.

"Mula-mula saya hanya makan yang kakak buat. Pertama kali rasa karipap terus 'jatuh cinta' dan saya berazam untuk membuatnya sendiri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Harmoni, Skudai di sini.

Menurut bekas pelukis pelan ini, seawal pembabitan dia sering mengalami dugaan yang kadang kala menggugat kesabarannya.

Namun, kerana minat dia nekad dan berusaha sehingga berjaya menghasilkan empat jenis karipap dan dua jenis donat.

Bernaung di bawah label Honey Honeyz's, Haniza mengorak langkah setapak demi setapak bagi memastikan pelanggan mendapat yang terbaik.

"Alhamdulillah, saya sudah setahun berkecimpung dalam bidang pembuatan kuih ini. Namun, saya masih mentah untuk bersaing dengan yang lain," katanya merendah diri.

Hingga kini dia menghasilkan empat jenis karipap iaitu berintikan kentang, sardin, keledek dan daging yang dijual dengan harga RM3.50 sebungkus.

Sementara itu, donat mini pula dijual dengan harga RM3.50 manakala pau sambal pula boleh didapati pada harga RM4 sebungkus.

Produk yang dihasilkan oleh ibu kepada tiga cahaya mata itu boleh didapati dengan melayari laman web http://hanizaabdjamil. blogspot.com/.

"Harapan saya cuma satu iaitu pelanggan suka dengan karipap yang dihasilkan. Semoga keseronokan saya membuat kuih ini dapat dirasai pelanggan melalui rasanya yang sedap," katanya.

No comments:

Post a Comment