Ghairah kejar sarang burung
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
2010/09/30
MANA satu lebih utama, antara industri sarang burung walit atau kesejahteraan hidup masyarakat setempat? Itulah dilema yang dihadapi sekumpulan penduduk di Taman Regent Gemencheh, Negeri Sembilan yang terpaksa berdepan dengan bau busuk, kotor serta bunyi bising burung berkenaan.
Penduduk terbabit mengadu kepada Talian Hayat ntv7 mengenai masalah dihadapi meskipun sarang burung walit itu menjana ekonomi tetapi ia mengundang rasa yang kurang senang kepada mereka kerana perniagaan itu diusahakan di kawasan perumahan.
Menurut catatan pengacara program itu, Wan Kamarudin Wan Ibrahim atau Wan K, burung berkenaan menghasilkan sarang berkhasiat tinggi dengan kalsium, potasium serta bahan mineral baik untuk kesihatan selain kolagen untuk awet muda.
“Sarang burung walit bernilai tinggi - RM4,000 bagi yang belum dibersihkan, RM8,000 bagi yang sudah diproses dan boleh mencapai RM40,000 di China.
“Tidak hairanlah keghairahan masyarakat terhadap industri sarang burung itu kian memuncak ekoran permintaan tinggi dan pulangan lumayan dengan tatacara agak mudah.
“Dengan hanya menyediakan rumah burung di belakang rumah saja, burung boleh dipikat dengan memasang rakaman suara burung dan pemantauan paling minimum,” katanya.
Imbas kembali, sejarah penuaian sarang burung pertama dibuat di Gua Niah sejak 1878 lagi. Industri ini mula berkembang secara komersial di Malaysia lewat 10 tahun lalu sekalipun agak terkebelakang berbanding Indonesia.
Industri sarang burung walit amat berpotensi sehingga pihak kerajaan memberi keutamaan dalam Aktiviti Ekonomi Utama Nasional(NKEA).
Hasilnya Garis Panduan Pembangunan Industri Burung Walit Negara yang dikenali sebagai 1GP diluluskan untuk menyelaraskan pembangunan sarang burung walit kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan di kawasan-kawasan Rancangan Pertanian seluruh negara.
“Apapun pihak PBT masih berkuasa penuh menentukan pelan pembangunan setempat dan nisbah pembangunan di kawasan komersial. Bagaimanapun, ramai yang menjadikan kawasan perumahan awam tempat burung walit membuat sarang sehingga mengganggu jiran tetangga,” katanya.
Untuk mengetahui apakah kesudahan masalah penduduk di Taman Regent Gemencheh itu, saksikan episod Talian Hayat di ntv7, jam 7.30 malam ini.
Kepada pembaca akhbar ini yang ingin berkongsi masalah, teruslah hubungi hotline Talian Hayat di 017-818 8121.
No comments:
Post a Comment