Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Thursday, June 16, 2011
Hobi Jadi Bisnes
Dulu hobi, kini usahawan
Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my
Noriza Mustafa memasarkan pelbagai perhiasan kulit kerang yang dijual antara RM20 hingga RM200 di gerai Keropok Lekor 'Oh Fatimah' di Balok, Kuantan, Pahang.
KUANTAN 15 Jun - Hobi merupakan aktiviti rekreasi yang dilakukan pada masa lapang bagi menenangkan fikiran seseorang.
Tujuan hobi adalah untuk memenuhi minat dan mendapat keseronokan, bukan mendapat pulangan.
Terdapat pelbagai jenis hobi seperti mengumpul koleksi, bertukang, membaiki, bersukan dan rekreasi. Ada yang percuma dan ada yang memerlukan belanja.
Misalnya, mengumpul setem adalah percuma jika sekadar mengumpulkan setem terpakai, tetapi ia bertukar menjadi hobi yang memerlukan belanja apabila ia terpaksa membeli setem yang sukar diperoleh secara percuma.
Pelbagai jenis setem yang menarik perlu dibeli, malah setem yang baru terbit harganya mahal.
Memancing pula adalah hobi yang memerlukan belanja, tetapi menghasilkan pulangan.
Kos diperlukan untuk membeli alat pancing utama seperti joran dan umpan, alat pancing sampingan seperti bot, khemah, lampu dan sebagainya.
Pulangannya adalah ikan dan pelbagai hadiah yang disediakan dalam pertandingan memancing.
Antara hobi lain ialah memelihara burung untuk mendengar bunyi, memiliki pokok bonsai, memelihara ikan lohan dan mengumpul barangan hasil laut.
Siapa sangka hidupan laut seperti cengkerang dan terumbu karang yang tersangkut pada pukat nelayan dapat dijadikan hobi sehingga mampu meraih pendapatan lumayan kepada pengumpulnya.
Itulah yang berlaku kepada seorang suri rumah yang bermula dengan minat terhadap hasil laut.
Sehingga kini, Noriza Mustafa, 44, mengumpul lebih 1,000 jenis cengkerang untuk dijadikan perhiasan.
Menurut anak kelahiran Terengganu itu, pada mulanya dia hanya menyimpan terumbu karang dan beberapa jenis cengkerang yang dihadiahkan oleh suaminya sebagai perhiasan.
"Ketika itu, suami, Mohd. Rafi Nyai Mohamed, 48, bekerja sebagai nelayan dan setiap hari dia pasti akan membawa pulang cengkerang yang tersangkut di pukat.
"Saya pula memang suka sebab bentuknya yang unik dengan pelbagai saiz dan mula mengumpul di setiap sudut rumah," katanya kepada Utusan Malaysia di kedainya di Balok di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, selepas beberapa tahun mengumpul pelbagai bentuk cengkerang, rumah mereka boleh diibaratkan seperti berada di dasar laut.
"Apabila terlalu lama mengumpul sehingga tiada ruang untuk menyimpannya lagi, saya mula terfikir untuk menjualnya sebagai cenderahati.
"Tambahan pula ketika itu saya membuka gerai menjual keropok dan suami saya juga mempunyai kedainya sendiri di Kuantan," kata ibu kepada lima orang anak itu.
Selepas lima tahun Norizan membuka gerai dengan menjadikan jualan perhiasan dari dasar laut, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
Malah, pelanggannya bukan calang-calang orang kerana semakin ramai pelancong asing datang membeli misalnya dari Australia, Jerman dan Singapura.
Menariknya, menurut Norizan, rata-rata pelancong yang datang mahu membeli cengkerang yang asli atau yang tidak diwarnakan seperti dilukis dengan pelbagai corak.
"Pelancong lebih suka rupa bentuk asalnya dan cengkerang yang paling mendapat sambutan ialah cengkerang jenis telinga gajah dan siput angau.
"Pernah sekali saya didatangi pelancong yang sama dari Holland dan dia membawa rakan-rakannya pula untuk membeli," jelasnya yang menjual hasil laut itu dari harga RM5 hingga RM200.
Antara jenis cengkerang yang boleh didapati di gerainya yang diberi nama 'Oh Fatimah' di Sungai Karang di sini ialah siput tudung saji, siput angau, kerang, siput labah-labah, tapak sulaiman, kuda laut dan ikan dhab.
"Kini, saya pula membeli cengkerang daripada nelayan di sekitar Balok kerana suami tidak lagi turun ke laut kerana menguruskan perniagaan ini.
"Daripada mereka membuangnya sahaja selepas terlekat pada pukat, lebih baik saya membelinya sebelum dibersihkan untuk dijual," ujarnya.
Oleh kerana kawasan Balok merupakan penempatan nelayan, tambahnya, dia tidak pernah kehabisan stok.
Kini, Noriza boleh berbangga kerana bermula daripada hobi, dia kini menjadi seorang usahawanita berjaya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment