Tuesday, June 21, 2011

Maryani


Maryani gigih untuk terus maju

Oleh ROSMAH DAIN
Gambar SITI ASMAD MAMAT (Pelatih UNIMAP)


Maryani menunjukkan sebahagian hasil nukilan seninya sambil diperhatikan Abdul Razak Majid.

KEGIGIHAN wanita ini sewajarnya perlu dijadikan contoh bukan sahaja oleh golongan istimewa, bahkan di kalangan insan-insan yang normal.

Dilahirkan 41 tahun yang lalu di Yan, Kedah, Maryani Abdullah bukan sahaja membuktikan dengan ketekunan dia mampu berjaya bahkan mengenepikan semua rintangan yang menjadi penghalang selama ini.

Dilahirkan sempurna sifatnya, tetapi ketika di usia bayi, dia telah dijangkiti demam kuning dan kerap mengalami sawan. Akhirnya, wanita ini membesar sebagai cerebal palsy (CP).

Sebagai CP, Maryani mengalami masalah pertuturan, pergerakan tangan yang lambat dan keseimbangan diri yang tidak stabil.

Biarpun begitu, ibu bapanya tidak pernah menganggap kekurangan dirinya sebagai satu kecacatan.

Arwah bapanya, Abdullah Salleh melayannya sebagaimana anak-anak normal lain. Maryani yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik telah dihantar mendapatkan pendidikan di sekolah biasa.

''Saya amat berterima kasih dengan arwah ayah. Saya dihantar bersekolah ke Sekolah Rendah Kebangsaan Kasim Jasin, seterusnya Sekolah Menengah Pendang dan kemudian ke Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Cempedak bagi meneruskan pendidikan di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

''Biarpun ramai di kalangan jiran dan saudara-mara yang menyuruh ayah menghantar saya ke sekolah pendidikan khas, namun ayah pernah berkata anaknya tidak cacat dan tidak perlu dihantar ke sekolah pendidikan khas," tuturnya agak payah.

Ternyata wanita ini pintar orangnya apabila berjaya mendapat 14 agregat pada Sijil Rendah Pelajaran (SRP), pangkat satu pada Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan 1 kepujian pada peringkat STPM.

Maryani memberitahu, begitu banyak pelajarannya tertinggal dan tidak sempat menulis nota kerana lambat menulis dan sakit.

''Jadi OKU (orang kelainan upaya) ini memang mencabar. Kami kena usaha berganda-ganda daripada orang biasa terhadap sesuatu perkara itu.

''Saya berasal dari keluarga miskin. Ayah saya seorang buruh dan emak tidak bekerja. Saya rasa dengan pelajaran sahaja dapat membantu nasib saya.

''Ketika saya di sekolah ramai rakan-rakan membantu biarpun ada guru tidak memahami kesulitan yang saya hadapi," katanya.

Maryani memberitahu, selepas STPM dia menganggur selama dua tahun. Ketika itu dia melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjaga bayi, menjual nasi lemak, bekerja di kilang dan membasuh pinggan di gerai-gerai.

Malangnya semua pekerjaan itu tidak dilakukan dalam tempoh lama kerana majikannya tidak dapat menerima pergerakannya yang lambat.

Namun, itu tidak menjejaskan harapannya. Dia memohon untuk dimasukkan sebagai pelatih ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) khas untuk OKU di Bangi, Selangor.

Di situ dia diserapkan sebagai pelatih berkomputer secara kemahiran vokasional sebelum menjawat jawatan kerani komputer di Pusat Kanak-Kanak Spastik di Petaling Jaya, Selangor, setahun selepas itu.

Di PLPP, dia bertemu jodoh dengan Abdul Razak Majid, 39, pada tahun 2005, seorang atlet paralimpik yang telah merantau ke-40 buah negara untuk bertanding dalam olahraga dan memenangi banyak pingat.

Pelari jarak jauh itu yang merupakan individu masalah pembelajaran adalah pembantu am rendah di PLPP.

''Pada tahun yang sama, saya berjumpa dengan pengarah teater terkenal dari Jepun, Kim Manri yang ketika itu mengadakan persembahan teater di KL Performing Arts.

''Dari situ saya berasakan hati saya lebih terarah ke bidang teater apatah lagi saya juga berpeluang berlakon di bawah arahannya," katanya.

Menurutnya, Kim Manri menjadi pendorong kepada dirinya untuk meneruskan kehidupan apatah lagi pengarah itu juga seorang CP akibat polio dengan lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

Seterusnya Maryani ke Jepun dalam tempoh beberapa bulan untuk mendalami bidang teater terutamanya mengenai art of body exposure.

Kini sejak setahun lalu, dia telah dilantik sebagai Penyelia Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Changgang, Banting, Selangor.

Apa yang lebih membanggakan, wanita ini sekarang sedang melanjutkan pengajian jarak jauh (PJJ) di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dalam bidang Pembelajaran Awal Kanak-Kanak selama empat tahun.

''Bagi mengisi masa lapang, saya menulis sajak dan cerpen dan pernah disiarkan di akhbar dan majalah-majalah tempatan.

''Bukan itu sahaja saya mempunyai blog saya sendiri iaitu waterlilysicksadcity.blogspot.com,'' jelasnya.

Apa pun Maryani boleh dihubungi di talian 019-3589284 untuk berkongsi pengalaman dengan sesiapa sahaja mengenai teater - seni yang digemarinya.

No comments:

Post a Comment