Wednesday, August 17, 2011

kursus boleh menjana pendapatan

Kursus jana pendapatan masyarakat

Oleh FARHATUL KHALIDAH ZAINAL ABIDIN
utusanpahang@utusan.com.my


MAHMOOD Mohamad (tiga, kanan) bersama penuntut yang mengikuti Kursus Pendawaian Elektrik di Kolej Komuniti Rompin, baru-baru ini.

ROMPIN 16 Ogos – Kolej Komuniti Rompin menawarkan pelbagai bidang kemahiran kepada masyarakat setempat dengan kadar bayaran serendah RM10 dalam tempoh 20 hingga 32 jam di bawah Program Kursus 1Malaysia.

Pengarahnya, Mahmood Mohamad berkata, kadar tersebut seharusnya dimanfaatkan penduduk bagi meningkatkan kemahiran masing-masing.

Malah kata beliau, pihaknya turut menyediakan kemudahan pengangkutan kepada peserta kursus sekiranya bidang yang ditawarkan mendapat permintaan menggalakkan.

“Penduduk perlu menjadikan Kolej Komuniti di kawasan mereka sebagai pusat meneroka sesuatu bidang selain mampu menambah kemahiran sedia ada sekali gus menjana pendapatan menerusi kemahiran yang dimiliki,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Selain kemudahan itu, Mahmood memberitahu, pihaknya menyediakan peralatan seperti bahan membuat kek atau alatan mekanikal bagi kursus kemahiran.

“Contohnya, bagi kursus membuat kek, peserta dibekalkan dengan bahan-bahan membuat kek dan selepas tamat kursus tersebut, kek yang siap itu pula boleh dibawa pulang ke rumah,” katanya.

Menurutnya, kerajaan membiayai 90 peratus daripada kursus yang ditawarkan dan selebihnya ditanggung peserta.

“Penubuhan Kolej Komuniti dapat membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan penduduk menerusi kursus-kursus yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai ilmu dan kemahiran jangka pendek yang ditawarkan oleh kolej berkenaan dapat membantu penduduk terutama golongan berpendapatan rendah menambah pendapatan isi rumah.

“Kita menawarkan pelbagai bentuk kursus kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan semasa bagi menambah kemahiran seseorang individu itu supaya mereka memperoleh pengetahuan dalam bidang yang diceburi.

“Contohnya kita mengadakan kursus jahitan untuk ibu tunggal bagi melatih mereka menjadi tukang jahit yang boleh mengambil upah jahit baju kurung untuk tambah sumber pendapatan keluarga,” katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment