Tuesday, August 23, 2011

lepar saujana kek


Empat sahabat pengusaha kek

Oleh NOREHAN SALEH
utusanpahang@utusan.com.my


Siti Aida Ahmad (kiri) dan Akma Laili Hamdan menunjukkan kek lobak yang dihasilkan di Felda Lepar Utara Satu, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 22 Ogos - Bidang masakan kini menjadi perhatian berikutan potensinya yang berkembang pesat sebagai satu industri di negara ini.

Terdapat beberapa institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan menawarkan bidang tersebut bagi memenuhi permintaan pasaran kerja yang semakin berkembang sejak akhir-akhir ini.

Bidang berkenaan turut diminati oleh golongan suri rumah apabila terdapat kelas masakan yang menawarkan kursus jangka pendek kepada mereka.

Namun, ada juga yang mencuba sendiri masakan dengan mempelajarinya menerusi majalah.

Hasilnya, golongan tersebut mampu menghasilkan pelbagai jenis masakan dan kek sama ada untuk hidangan sendiri atau dijual kepada pelanggan.

Ini dibuktikan apabila empat sahabat di Felda Lepar Utara Satu di sini yang sekadar mencuba resipi kek akhirnya berjaya membuka kedai kek di tanah rancangan itu tahun lalu.

Empat sahabat itu, Siti Aida Ahmad, 32; Tasrifah Sarijan, 38; Akma Laili Hamdan, 29, dan Zarina Zakaria, 38, yang kebetulan berkahwin dengan jejaka pilihan masing-masing di Felda tersebut mula bersahabat sejak 2008.

Menurut Siti Aida, minat yang sama terhadap pembuatan kek menyebabkan mereka mempelajarinya daripada majalah dan buku resipi masakan.

"Selama setahun, kami akan memasak dan membuat pelbagai jenis kek mengikut giliran dan jika ada sesuatu yang kurang enak, kami akan membuat penilaian berdasarkan komen rakan-rakan yang lain.

"Bukan senang untuk membuat kek yang enak, gebu dan cantik dan kami memerlukan tempoh yang lama untuk menguasai teknik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mereka akhirnya membuat keputusan membuka kedai kek yang diberi nama Lepar Saujana Enterprise dengan modal permulaan sebanyak RM150 seorang.

Siti Aida berkata, modal yang dikumpul itu kemudian membeli ketuhar kecil dan mesin pengadun tepung untuk membuat kek.

Tambahnya, pelbagai jenis kek dijual di kedai itu seperti kek lobak, tiramisu, buah-buahan, pisang, span dan kek lapis masam manis.

"Kedai ini sebenarnya di bawah Felda dan kami menyewa melaluinya dan beruntung kerana agensi itu sentiasa memberi sokongan kepada warganya," katanya.

Jelasnya, mereka juga turut menyediakan perkhidmatan membuat kek hari lahir dan pengantin mengikut tempahan yang dibuat.

Katanya, kemahiran yang ada pada mereka hanya berpandukan kepada majalah dan hanya mengikuti kursus pentadbiran dan pengurusan kewangan anjuran Jabatan Pertanian di sini.

"Kami juga bantuan seperti peti sejuk untuk kek, meja kerja, mesin pengadun tepung dan ketuhar bernilai RM10,000 daripada jabatan tersebut," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:


Kad ahli percuma dilancar selepas hari raya

KUANTAN 22 Ogos - Lepar Saujana Enterprise yang ditubuhkan empat sahabat kini mendapat sambutan bukan sahaja di kalangan jiran, malah mendapat permintaan di bandar ini serta daerah-daerah lain.

Ia berikutan perniagaan itu tidak hanya tertumpu kepada pembuatan kek, malah menyediakan tempahan katering, gubahan pengantin serta kuih sejuk beku.

Salah seorang daripada empat sahabat tersebut, Akma Laili Hamdan berkata, kualiti kek yang dijual adalah penting bagi memenuhi cita rasa pelanggan supaya mereka tidak beralih arah ke kedai kek yang lain.

"Kami menggunakan air yang ditapis supaya kek tetap cantik dan dapat menarik perhatian pelanggan," katanya.

Menariknya jelasnya, kek yang dijual adalah segar kerana mereka akan membuat kek sehari sebelum tarikh ditetapkan pelanggan.

"Kami tidak mempamerkan kek seperti di kedai yang lain kerana ia belum tentu menjamin kualiti dan kek tidak bertahan dalam tempoh lama," katanya.

Bagi menarik lebih ramai pelanggan katanya, Lepar Saujana Enterprise akan melancarkan kad ahli selepas hari raya nanti secara percuma dan pelanggan berpeluang mendapat diskaun 10 peratus daripada harga kek.

Mereka yang ingin membuat tempahan juga boleh melayari laman sosial Facebook iaitu Leparsaujana@facebook.com atau hubungi talian 014-8052248 atau 013-9241390.

No comments:

Post a Comment