Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Wednesday, August 17, 2011
kursus buat biskut untuk pelajar ipta
Pelajar IPTA sertai bengkel biskut raya
Dari kiri: Sarah Sufian, Helma Muhamad Arib, Siti Fatiah Basri, Najwa Jamal Abdul Nasir dan Rafidah Rosli menyertai bengkel membuat biskut raya di Studio Mat Kilau, Jerantut, baru-baru ini.
JERANTUT 16 Ogos – Cuti semester yang panjang ketika ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh sekumpulan penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk menyertai bengkel membuat biskut raya.
Bagi lima penuntut tiga IPTA berasingan, mereka menghabiskan baki cuti semester kali ini yang kebetulan jatuh serentak pada Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dengan mengikuti bengkel membuat biskut raya di Studio Mat Kilau, D’Kilau Court di sini, baru-baru ini.
Bengkel tersebut dianjurkan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dengan kerjasama Kolej Komuniti Jerantut dan Temerloh.
Penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarah Sufian, 21, berkata, dia sangat seronok menyertai bengkel tersebut kerana dapat mempelajari cara-cara membuat kuih raya.
“Bengkel ini diadakan tepat pada waktunya kerana saya dapat mencubanya di rumah sebagai persiapan menyambut ketibaan 1 Syawal tidak lama lagi,” kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Biologi itu.
Menurutnya, pelbagai perkara dapat dipelajarinya terutama proses untuk membuat biskut dan kek yang enak dan menarik.
Penuntut bidang Pengajian Dakwah dan Kepimpinan UKM, Helma Muhamad Arib, 24, berkata, dia menyertai bengkel tersebut bagi menambah pengalaman dan pengetahuan untuk membuat biskut raya.
“Saya memang akan buat biskut raya setiap kali tibanya Ramadan dan apa yang saya pelajari hari ini dapat saya gunakan untuk menambah koleksi biskut pada tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, Najwa Jamal Abdul Nasir, 23, juga dari UKM memberitahu, program tersebut memberi peluang kepada golongan remaja untuk mempelajari teknik membuat biskut raya.
“Saya dapat belajar cara-cara membuat biskut raya dan rasa sangat bertuah kerana turut dapat membuat kek,” jelas penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris Bahasa Kedua (TESL) itu.
Dua lagi penuntut IPTA yang menyertai bengkel tersebut ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Fatiah Basri, 22, dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Fizik dari Universiti Malaya (UM), Rafidah Rosli, 20.
Menurut mereka, antara biskut raya yang dibuat termasuk Almond London, biskut nestum, biskut cornflakes, biskut kelapa dan kek nanas walnut terbalik.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment