Ibu gadai nyawa tiap hari
3 Ogos 2012
Rokiah Isamil, 59, berkata, pekerjaannya mencari dan membekalkan daun palas bukanlah perkara mudah memandangkan daun palas ini terdapat di kawasan semak.
"Sepanjang tempoh 35 tahun ini, banyak risiko yang terpaksa dihadapi. Saya pernah dibelit ular sudu selar kerana terpijaknya ketika sedang mencari daun palas.
"Alhamdulillah saya terselamat dan saya tetap teruskan kerja hingga kini," katanya.
Menurutnya, walau kini anaknya sudah mencecah umur antara 25 hingga 43 tahun, dia tetap meneruskannya.
"Tidak pernah timbul rasa jemu dalam diri kerana itulah kerja yang dilakukan selama ini untuk membesarkan mereka," katanya.
Rokiah berkata, permintaan terhadap daun palas meningkat menjelang musim perayaan memandangkan orang ramai menggunakannya membuat ketupat.
"Hari biasa saya cuma hantar 1,000 pelepah seminggu ke Wakaf Che Yeh. Namun, menjelang raya, jumlah ditingkatkan.
"Tahun lalu sahaja, saya jual sekitar 5,000 pelepah dan akan cuba meningkatkannya kepada 10,000," kata nenek kepada enam cucu ini.
Dia berkata, antara lokasinya mencari daun palas ialah sekitar Lubok Jerak dan Gual Dalam.
"Bagaimanapun, kawasan mencari daun palas semakin berkurangan membuatkan saya melebarkan pencarian ke beberapa kawasan lain bagi mendapatkan bekalan mencukupi," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas mengenai harga yang ditetapkan, Rokiah berkata, ia berbeza dari harga sekitar 35 tahun lalu.
“Daun ini dijual mengikut gred antara RM18 hingga RM25 berbanding sekitar RM3 untuk 100 pelepah, 35 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.
Menurutnya, setelah diproses, daun palas itu akan dihantar ke Wakaf Che Yeh, Machang dan Tanah Merah, iaitu lokasi baru sempena bulan Ramadan.
“Namun, pada hari biasa, saya hanya menjual di Pasir Mas dan Wakaf Che Yeh sahaja,” katanya.
No comments:
Post a Comment