Produk kraf serendah RM2
6 November 2012
Mula berkecimpung sejak Jun lalu, Amnani Aminudin, 26, berbangga kerana hasil kerjanya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan di seluruh pelosok negeri.
Antara produk ditawarkan termasuk beg, dompet, kasut bayi, kerongsang dan lain lagi. Hampir enam bulan beroperasi, sebanyak 200 tempahan diterima.
Online adalah mekanisme terbaik untuk memulakan perniagaan khususnya bagi individu yang melaksanakannya secara kecil-kecilan berikutan tidak memerlukan kos yang tinggi.
Sasar terima 800 tempahan
Amnani berkata, creativefabric.blogspot.com menjadi platform pemasaran semua produk dan dia optimis tempahan akan meningkat antara 400 hingga 800 pada tahun depan.
Katanya, produk keluaran Creative Fabric dijual dengan harga berpatutan dan ditawarkan serendah RM2 hingga RM100 bergantung kepada pemilihan reka bentuk, warna, saiz dan kuantiti.
"Kami mempunyai keunikan tersendiri dan sentiasa mengeluarkan produk terkini bagi memastikan ianya memenuhi kehendak serta cita rasa pelanggan selain mendapatkan ilham daripada barangan luar negara.
"Laman sosial seperti blog dan Facebook menjadi pilihan bagi tujuan pemasaran dan pengiklanan setiap produk kerana ia tidak terikat dengan sebarang syarat serta boleh diakses di mana-mana sahaja," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, urusan perniagaan juga menjadi lebih mudah, cepat dan bersesuaian dengan peredaran masa melalui perkhidmatan jalur lebar ditawarkan.
Barang rosak, ganti baru
Amnani berkata, bagi mengelakkan rasa kurang senang pelanggan, produk rekaan yang ditempah itu akan dicuba terlebih dahulu sekali gus memastikan ianya berkualiti tinggi.
Katanya, penggantian semula produk baru bergantung kepada kerosakan dialami sejurus pelanggan mendapat produk diposkan itu dan ia perlu dimaklumkan kepadanya.
"Inisiatif tersebut dilaksanakan bagi tujuan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan menarik perhatian mereka untuk membeli produk ditawarkan Creative Fabric.
"Bagi perancangan akan datang, Creative Fabric bercadang membuka kedai kraf tangan sendiri supaya dapat meluaskan perniagaan sedia ada dan memberi peluang pelanggan memilih produk secara terus," katanya.
No comments:
Post a Comment