Wednesday, November 7, 2012

karipap


ARKIB : 16/05/2009

Karipap berteknologi tinggi


(Gambar kiri) seorang pekerja mengendalikan proses meletakkan inti karipap menggunakan mesin Rondo Doge sementara gambar kanan Khairulnizam Samshi mempamerkan karipap sejuk beku yang dipasarkan oleh Kay Kay Worldwide Marketing Sdn. Bhd. di kilangnya di Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, Seremban, baru-baru ini. - UTUSAN/ HUSSAINI AMRAN


SEREMBAN 15 Mei - Industri penghasilan makanan sejuk beku seperti karipap mempunyai potensi yang tinggi apatah lagi kuih enak kebanggaan Malaysia itu sentiasa menjadi kegemaran ramai.
Jadi bukan sesuatu yang menghairankan jika industri tersebut hari ini menjadi pilihan banyak usahawan tempatan termasuk di kalangan mereka mengenal potensinya untuk terus dikomersialkan agar ia mampu dipasarkan secara besar-besaran di dalam dan luar negara.
Untuk itu, syarikat Anak Tempatan Holding Sdn. Bhd. (ATHSB), membuat pelaburan RM500,000 bagi membangunkan perniagaan karipap sejuk beku keluaran keluarannya.
Karipap sejuk beku keluaran syarikat itu mempunyai kelainan yang tersendiri kerana ia dihasilkan melalui mesin pembuat pastri jenama Rondo Doge yang berteknologi tinggi serta dalam persekitaran premis yang bersih.
Pengarah Urusan syarikat tersebut, Khairulnizam Samshi, 37, berkata, mesin bernilai RM500,000 yang diimport dari Switzerland itu berupaya membuat sekurang-kurangnya 5,000 karipap dalam tempoh sejam pada kelajuan sederhana dengan tenaga kerja seramai lima orang.
Usahawan yang berkelulusan Sarjana Muda Perakaunan serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan) Universiti Utara Malaysia memberitahu, penggunaan mesin Rondo Doge membantu meningkatkan produktiviti operasi pembuatan karipap dengan ketara.
''Sebelum ini, ATHSB beroperasi di Tangkak, Johor mulai 2001 hingga Jun tahun lalu. Sepanjang tempoh tersebut, kami menggunakan kaedah tradisional sepenuhnya dan hanya menghasilkan sehingga 5,000 karipap sehari dengan lima pekerja," ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kilang ATHSB di Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai dekat sini baru-baru ini.
Jelas Khairulnizam, salah satu kelebihan mesin pembuat pastri Rondo Doge yang digunakan di kilang ATHSB ialah kemampuannya beroperasi tanpa henti selama 24 jam untuk tempoh tiga bulan berturut-turut.
Selain itu, dia yang berasal dari Muar, Johor, berkata, mesin berteknologi komputer berkenaan mudah digunakan dan tidak memerlukan pengetahuan teknikal mendalam untuk mengendalikannya.
''Kami menggunakan mesin Rondo Doge untuk meletakkan inti, menggulung dan seterusnya memotong karipap mengikut acuan yang ditetapkan.
''Di samping itu, terdapat dua mesin lain yang berfungsi khusus untuk mengadun serta menguli bahan-bahan bagi menghasilkan kulit karipap dan meleperkannya," ujarnya.
Tambah Khairulnizam, secara purata, kilang milik syarikatnya berupaya menghasilkan antara 30,000 hingga 40,000 karipap berintikan ikan sardin, kentang atau ayam dalam sehari.
Menurutnya lagi, ATHSB turut bersedia menghasilkan inti karipap sejuk beku keluarannya mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan.
''Pelanggan boleh memesan karipap sejuk beku dengan inti lain seperti ikan bilis, udang atau cendawan. Malah, kami juga bersedia mengubah suai tahap kepedasan inti karipap," katanya.
Ujar Khairulnizam, syarikatnya merancang untuk menambah lagi satu syif pengeluaran dalam tempoh masa terdekat bagi menampung permintaan yang dijangka meningkat.
Di samping itu, dia berkata, ATHSB sedang dalam proses memohon piawaian Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal (HACCP) serta persijilan MS ISO 9001:2000.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm#ixzz2BVSB4LQ1
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment