Dr Mahathir: Pengurusan tunai adalah kelemahan usahawan Melayu
28 November 2012
Beliau berkata, usahawan Melayu sering menganggap wang sebagai bahan untuk ditukar untuk mendapat sesuatu, sedangkan wang perlu dianggap sebagai modal yang jika dilaburkan boleh menambah pulangan mereka.
"Pengurusan tunai adalah sangat penting tapi kita bila ada saja duit nak belanja. Pinjam bank RM1 juta tapi belanja separuh untuk beli Mercedes ke apa, dan hanya guna RM500,000 lagi untuk berniaga.
"Bermakna faedahnya sekarang dua kali ganda kerana RM500,000 itu harus bayar faedah RM1 juta. Iaitu margin untung harus lebih tinggi untuk bayar balik pinjaman itu," katanya pada majlis makan tengah hari dan ceramah sempena Perhimpunan Usahawan Bumiputera Industri Perkayuan di Pusat Maritim di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainudin.
Dr Mahathir berkata terdapat juga kes di mana usahawan Melayu yang menyertai perniagaan francais yang terkenal dan sangat maju, namun mereka gagal kerana tidak pandai menguruskan tunai apabila tidak menggunakan duit yang diperoleh untuk membeli stok tetapi berbelanja untuk perkara lain.
Justeru beliau berkata mereka perlu diajar untuk menguruskan tunai dengan baik, untuk menyimpan sebahagian daripada keuntungan supaya dapat terus berniaga dan membesarkan perniagaan.
Pada sidang berita selepas itu, beliau turut tidak menolak supaya perkara itu diperkenalkan di sekolah supaya generasi akan datang dapat mempelajari nilai wang sejak dari kecil lagi, dan akan dapat menguruskan kewangan mereka dengan baik.
Dalam pada itu Dr Mahathir berkata untuk berjaya dalam perniagaan, seseorang usahawan itu perlu rajin bekerja, bekerja secara pintar, kenal pasti apa yang ingin dibuat melalui kajian pasaran serta mempelbagaikan produk yang ditawarkan.
Beliau berkata, modal permulaan yang kecil tidak menjadi masalah kerana setiap perniagaan pasti akan bermula secara kecil-kecilan, malah sekarang terdapat pelbagai kemudahan pinjaman untuk memulakan perniagaan.
Bergabung dengan syarikat lain juga boleh dilakukan bagi meneroka pasaran yang lebih besar, di mana usahawan pada masa kini perlu belajar bekerja dengan orang lain, bukannya bersifat individualistik, katanya.
Hamzah selepas itu turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Persatuan Pengusaha Perabot Malaysia (MFEA), Persatuan Usahawan Perabot Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSFEA), Persatuan Perabot Muar (MFA) dan Majlis Perindustrian Perabot Malaysia (MFIC) bagi menganjurkan Pameran Perabot Eksport Malaysia (EFE) 2013 yang akan berlangsung 6-10 Mac depan. - Bernama
No comments:
Post a Comment