Friday, May 31, 2013

igrow disokong kerajaan

ARKIB : 29/04/2013

Sokongan kerajaan tingkat kualiti IGrow

Lawatan dan khidmat nasihat Jabatan Pertanian Kg. Gajah mengenai penggunaan fertigasi serta inovasi pertanian.
KEBERHASILAN program-program yang dijalankan oleh iGROW dan syarikat-syarikat bersekutunya telah menarik minat kerajaan untuk bekerjasama serta memberi sokongan kepada iGROW dalam menjayakan misi pembangunan modal insan terutama di sektor pertanian.
Antara kejayaan-kejayaan utama ialah melahirkan graduan yang berkualiti, program Komuniti 1 Azam Sabah dan penggerak program My Kampung My Future Kg. Pulau Tiga, Kg Gajah, Perak.
Keupayaan pencapaian yang menepati kehendak program transformasi kerajaan menjadikan iGROW sentiasa mendapat sokongan penuh pihak kerajaan sama ada peringkat di negeri mahupun Persekutuan.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif iGROW, Azri Zahier Azmi, konsep perkongsian pintar antara agensi awam dan swasta membolehkan misi pembangunan negara dapat dilaksanakan secara cekap, cepat dan efisien.
Menurut beliau, beberapa kejayaan yang telah dicapai seperti program MyAgrosis serta program 1 Azam Sabah adalah hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan.
Penubuhan Jawatankuasa Petugas bagi setiap program pula memudahkan pelbagai isu diselesaikan dengan lebih berkesan oleh setiap anggota jawatankuasa berkenaan.
“Pendekatan NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) yang menggabungkan kesemua kementerian untuk menjayakan sesuatu program bersama iGROW.
‘‘Ini membolehkan kumpulan sasar yang dibimbing oleh iGROW dan syarikat bersekutu kami mencapai keberhasilan yang sangat tinggi," katanya.
Ujar beliau lagi, oleh kerana proses pembangunan peserta latihan iGROW merangkumi program bimbingan dan pemantauan lepas latihan, usaha mencapai kejayaan cemerlang tidak akan berlaku sekiranya tiada komitmen di pihak agensi kerajaan.
Sebagai contoh, Azri menjelaskan bahawa kejayaan program 1Azam di Sabah mencapai satu tahap luar biasa bukan hanya dari aspek peningkatan ekonomi golongan miskin tetapi kini telah berjaya digerakkan menerusi pendekatan Komuniti 1 Azam di Karambunai dan di Keningau Sabah.
“Agensi kerajaan menjadi pemudah cara, manakala kami (iG ROW) pula menjadi penggerak utama kepada program tersebut," katanya lagi.
Kejayaan program My Agrosis dalam kalangan graduan Sijil Kemahiran Malaysia mereka juga adalah kerana wujudnya Jawatankuasa Sabah Young Agro Businessman (SABAH YAB) yang dipengerusikan oleh Bekas Pembantu Menteri Sumber dan Pembangunan Teknologi Negeri Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Sokongan dan kerjasama kerajaan negeri Sabah membolehkan kami mencapai kejayaan program secara anjakan berganda (quantum leaps).
Oleh kerana pertanian terlalu dekat di hati masyarakat Sabah, kejayaan dan kewibawaan kami telah mendapat sokongan tinggi masyarakat Sabah hingga sanggup datang belajar di iGROW, Kampung Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak.
Azri Zahier berkata, bagi memantapkan lagi keberkesanan program iGrow, pihaknya telah mula menumpukan kepada khidmat rundingan kepakaran, dan penggunaan optimum kemudahan yang disediakan secara perkongsian bersama (customized utilization) dengan agensi-agensi kerajaan.
‘‘Tumpuan kerjasama teknikal terutama dalam inovasi pertanian generasi baru memboleh kami menggunakan kemudahan teknologi baru yang akan menyumbang kepada peningkatan mutu pengeluaran pertanian.
Malah, agensi kerajaan dapat mengadakan kajian terhadap sesuatu kaedah dan teknik pengeluaran yang dikongsi bersama iGROW, " tambah beliau lagi.
Kehadiran ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa pada 25 April lalu ke Kampung Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak telah menyuntik semangat kepada iGrow.
Pengalaman dan sokongan kerajaan meyakinkan Azri bahawa iGROW akan menjadi sebuah institusi latihan kemahiran pertanian dan pembangunan masyarakat luar bandar generasi baru yang berwibawa pada masa kini dan akan datang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130429/ag_03/Sokongan-kerajaan-tingkat-kualiti-IGrow#ixzz2UowOhOHu
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment