Tingkat industri Rebung Madu
25 September 2012
Selain sesuai digunakan dalam tanaman landskap, ia juga boleh menghasilkan bahan makanan iaitu rebung yang tidak miang, pahit dan berbau berbanding rebung biasa.
Kelebihan tersebut membuatkan Adnan Osman, 50, mula tertarik dengan tanaman buluh rebung madu dan mengusahakannya di atas tanah seluas 17 hektar yang terletak di Taman Pertanian Moden, Lanchang sejak 2009.
Menurutnya, beliau mula melakukan kajian tentang buluh sejak 1989 apabila mendapati rebung mempunyai permintaan namun bekalan di pasaran agak berkurangan sehingga membuatkan negara terpaksa mengimport makanan itu dari Thailand.
“Saya melakukan kajian dan penyelidikan tentang spesies buluh terbaik dengan menanam pelbagai spesies buluh di ladang seluas 1.61 hektar di Kedah.
“Setelah melakukan kajian, saya mendapati ada sejenis variati buluh dari China yang sesuai untuk ditanam iaitu gigantochloa albociliata (rebung madu) di mana ia menghasilkan rebung berkualiti tinggi dan mempunyai nilai tambah,” katanya pada Info Agro.
Pengurus Tunas Budi Sdn Bhd (Tunas Budi) ini berkata, rebung merupakan sayur tradisional yang popular dan sering mendapat permintaan daripada orang ramai. Ia juga mempunyai khasiat tersendiri dan kaya dengan kandungan fiber serta asid amino.
"Pokok rebung madu memang istimewa kerana ia mudah diselenggarakan, cepat membesar dan hanya perlu ditanam sekali namun hasil boleh dituai sepanjang hayat. Apa paling penting, sudah pasti ia berpotensi untuk menjana pendapatan lumayan,” katanya.
Ketika ditanya tentang ladangnya, Adnan berkata, beliau memulakan operasi Lanchang Edible Garden dengan menanam kira-kira 600 rumpun di mana purata satu rumpun boleh menghasilkan rebung seberat dua kilogram.
Jumlah tersebut meningkat beberapa kali ganda dengan Adnan kini menanam kira-kira 20,000 rumpun buluh dan mampu menghasilkan enam tan rebung segar sebulan untuk permintaan di sekitar Pahang dan lain-lain.
Produk hiliran
Setakat ini, rebung madu Adnan berada di beberapa pasar raya sekitar negeri Pahang seperti Tunas Manja, Terus Maju, Thoong Fatt dan Jaya Gading di samping turut membekalkan rebung tersebut kepada beberapa pembekal dan pengilang lain atas jenama masing-masing.
Selain produk segar, Adnan turut menghasilkan produk hiliran atau industri asas tani bagi rebung dalam bentuk jeruk dan acar di bawah jenama Sweetland.
Pengurus Pemasaran Sweetland, Muhamad Majid berkata, produk itu masih dalam proses untuk meningkatkan kualiti label produk dan dijangka berada di pasaran pada tahun hadapan.
Menurutnya, penghasilan produk tersebut sebagai langkah untuk memberi nilai tambah kepada hasil rebung madu Tunas Budi di samping meluaskan pasaran dan menjana pendapatan lumayan.
“Produk ini lebih berkualiti dan mampu bertahan lebih lama kerana kami menggunakan bahagian rebung terbaik berserta bahan terbaik dalam setiap jenis produk bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna.
“Ia juga dilihat mampu memenuhi keperluan makanan seperti jeruk dan arca rebung sekali gus mengubah persepsi golongan muda yang sering menganggap ia busuk dan tidak enak,” katanya.
Antara produk berasaskan rebung di bawah jenama Sweetland adalah jeruk rebung madu bercili, arca rebung madu, rebung madu segar dan lain-lain.
Ia sudah pun mendapat pengiktirafan halal dan Skim Pensijilan Mesti (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) di bawah Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, Sweetland merupakan produk di bawah program Miti Groom Big kendalian Kementerian Perdagangan Dan Industri Luar (Miti). Ia merupakan platform yang membolehkan produk ini dieksport untuk pasaran luar sekali gus menandingi produk dari Thailand.
“Adnan merupakan pengeluar produk berasaskan rebung pertama di negara ini yang menghasilkannya secara halal. Ia diharap akan menjadi perintis dan contoh kepada usahawan lain untuk menjalankan projek seumpama ini,” katanya.
Tawar kursus
Selain tanaman, Adnan turut mengadakan kursus penanaman buluh rebung madu buat mereka yang berminat untuk menceburi bidang pertanian itu. Melalui kursus tersebut, mereka akan diajar cara untuk menyemai benih buluh, menanam, menuai, pemprosesan dan pemasaran produk.
Sehingga kini, beliau berjaya mengumpulkan 43 mentee daripada seluruh negara dengan kebanyakan peserta merupakan mereka yang pernah menanam rebung madu tetapi berhadapan masalah untuk mengembang dan memasarkan produk mereka.
“Ketika ini, memang ramai individu menanam buluh rebung madu namun tidak ramai yang mengetahui tentang pasaran, pemprosesan dan pengurusan berkaitan tanaman ini,” katanya.
Tunas Budi turut menawarkan pakej agro pelancongan kepada mereka yang berminat untuk melancong sambil mendalami bidang pertanian seperti penanaman buluh madu, nangka madu, gajus, mempelam dan mangga.
Adnan berkata, segala usaha yang dilakukan dalam penanaman rebung madu ini diharap dapat membantu kerajaan dalam menjamin sumber makanan negara daripada mengalami kekurangan bekalan.
Menurutnya, langkah itu juga dilihat membantu usaha menyekat bekalan import dari luar negara terutama Thailand yang memang terkenal dengan produk rebung namun diragui status halalnya.
“Apa yang perlu diketahui adalah keluasan ladang buluh di Malaysia masih rendah iaitu tidak sampai 200 hektar berbanding negara jiran.
“Oleh itu, kita perlu menjalankan aktiviti perladangan meluas bagi mengatasi masalah kebergantungan kepada bekalan import sekali gus menjadikan ia sebagai satu komoditi pertanian penting pada masa akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment