Wednesday, January 15, 2014

bermula dengan jual bergerr

Gerai burger pencetus kejayaan


Selain perkhidmatan servis kenderaan One Stop Centre Jelebu turut menyediakan servis membasuh kereta, lori dan motosikal di Kampung Binjai, Jelebu, Negeri Sembilan. - Utusan/Nurul Husna Hamdan
JELEBU 13 Jan. - Siapa sangka bermula dengan hanya kedai burger yang kecil, dia kini mampu mempunyai syarikat sendiri dengan pelbagai jenis perniagaan.
Pada mulanya anak kelahiran Jelebu, Mohd. Fahimi Mohd. Isa, 39, melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) namun terpaksa berhenti pada semester kedua berikutan kesempitan hidup yang membelenggu keluarganya.
Keadaan itu tidak mematahkan semangatnya yang kemudian melanjutkan pelajaran di Giatmara Jelebu dalam bidang elektrikal.
''Apabila kita bermula dari bawah, kita tahu erti kesusahan dan fikiran kita akan lebih kreatif untuk mencari idea dan saluran yang betul bagi mendapatkan wang," katanya ketika ditemui di One Stop Centre Jelebu di Kampung Binjai di sini baru-baru ini.
Menurutnya, bertitik tolak daripada itu, beliau memulakan perniagaan dengan membuka gerai burger secara kecil-kecilan sebelum membuka syarikat bas kilang pada tahun 2000 dan seterusnya beralih kepada bidang kontraktor.
Beliau berkata, perniagaannya berkembang daripada hanya memiliki sebuah van dan memandu sendiri untuk membawa pekerja pergi dan balik ke kilang kepada 10 buah bas dan 15 pekerja sendiri.
Mohd. Fahimi Mohd. Isa
"Setelah menceburi bidang kontraktor, saya belajar cara-cara menguruskan syarikat bengkel kereta, tempat mencuci kereta dan kedai tayar sehingga terbinanya apa yang kini dikenali sebagai 'One Stop Centre Jelebu' khusus untuk pemilik kenderaan di daerah ini," katanya.
Syarikat yang diberi nama Tekun Ikhlas Enterprise itu dijadikan sebagai pusat sehenti bagi pemilik pemilik kenderaan dengan menawarkan perkhidmatan seperti bengkel membaiki kereta, sewa mesin, tempat mencuci kereta, kedai tayar, kimpal besi dan juga kafe bagi pelanggan yang datang.
"Saya rasa sudah tiba masanya saya berbakti kepada masyarakat di daerah sendiri dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar selain memberi ilmu tentang kemahiran khususnya yang berkaitan dengan servis kereta.
"Saya mahu membawa pulang orang muda yang lari ke bandar untuk mendapatkan pekerjaan akibat kurangnya peluang pekerjaan di sini kembali berbakti di negeri sendiri," ujarnya.
Mohd. Fahimi berkata, beliau kini merancang membangunkan sebuah pusat beli-belah bagi produk Mydin di Jelebu dan sedang mendapatkan kelulusan daripada pihak yang berkaitan dengan harapan kemudahan ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selain menjaga kepentingan masyarakat.
Beliau yang turut menjalankan perniagaan kelapa sawit dan kontraktor pembinaan sentiasa memegang asas bahawa 9/10 daripada punca rezeki adalah dalam bidang perniagaan.
"Mesti ada kelainan dalam perniagaan dan kita tidak mahu Melayu hanya sinonim dengan perniagaan makanan sahaja sedangkan banyak lagi bidang yang boleh diterokai," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20140114/ws_05/Gerai-burger-pencetus-kejayaan#ixzz2qP3eP6Nl
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment