Dulu penebar roti canai, kini pemilik syarikat jual kereta
Menurut Othman yang merupakan anak generasi kedua Felda, meskipun hanya memperoleh pendidikan setakat Penilaian Menengah Rendah (PMR), namun ia tidak dijadikan penghalang buat dirinya untuk memperkembangkan potensi diri.
Namun, katanya, kelulusan akademik merupakan aspek yang penting untuk bersaing merebut pekerjaan pada masa kini berbanding dirinya yang terpaksa berusaha lebih demi mencapai matlamat yang diingini.
''Memang saya mengakui kesilapan saya ketika zaman remaja yang agak degil dan memilih untuk menamatkan pelajaran setelah mendapat keputusan PMR.
''Selepas itu saya mula bekerja di sebuah kedai makanan segera selama tiga tahun dan berhenti kerana ingin belajar cara menebar roti canai di sebuah kedai makan dekat Kajang.
"Pelbagai pekerjaan saya pernah lakukan sehinggakan saya mula jatuh cinta kepada perniagaan yang berasaskan kenderaan. Ramai yang kata saya suka menukar pekerjaan namun saya lakukan kerana ingin menambah ilmu dan pengalaman," katanya di sini hari ini.
Premis menjual kereta terpakai yang dibuka berhampiran pusat perniagaan dekat Mahsan ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad, baru-baru ini.
Jelasnya, kedai kereta terpakai yang mula dibuka pada April tahun lalu bukanlah sesuatu yang mudah kerana bidang perniagaan itu mempunyai saingan yang hebat dengan pengusaha lain.
"Saya yakin kalau kita bagi khidmat yang baik tanpa hanya memikirkan keuntungan sahaja pelanggan tetap akan mencari kita. Hendak berniaga perkara yang penting adalah kejujuran kerana jika kita menipu pasti pelanggan tidak akan mendapatkan khidmat kita di masa akan datang.
"Malah salah satu punca perniagaan ini dijalankan adalah kerana saya ingin membantu pelanggan terutama orang Melayu membuat pilihan yang bijak sebelum membeli kenderaan. Biasanya orang akan tertipu malah dikenakan harga yang tidak munasabah ketika membeli kenderaan," ujarnya.
Dalam pada itu, Othman turut menasihati anak Felda agar membuang sikap takut untuk mencuba perkara baru demi mencapai kejayaan.
''Selagi kita tidak mencabar diri kita untuk melakukan sesuatu yang besar, kita pasti tidak akan sedar keupayaan dan kemampuan yang boleh dilakukan," tambahnya.
No comments:
Post a Comment