Wednesday, February 29, 2012

usahawan dinamik

28 peniaga di Bera sertai UK Dinamik


Ishak Muhamad (tiga kiri) menyerahkan cek pembiayaan UK Dinamik kepada salah seorang selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa 2012 Peringkat Daerah Bera, kelmarin.


BERA 28 Feb. - Seramai 28 peniaga kecil daerah Bera dipilih menyertai program Usahawan Kecil Dinamik (UK Dinamik) yang bakal dibimbing oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi meningkatkan keupayaan mereka agar menjadi usahawan berjaya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhamad berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan peniaga kecil.
"Pada peringkat permulaan, sebanyak RM568,000 diperuntukkan kepada 80 usahawan di bawah program UK Dinamik ini di seluruh negeri Pahang.
"Usahawan diberi kemudahan pembiayaan tanpa faedah dengan matlamat meningkatkan pendapatan mereka dalam usaha membina asas bagi pembangunan usahawan bumiputera," kata Ishak semasa berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa 2012 Peringkat Daerah Bera di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) Mara, Rosdi Mohamad; Pengarah Mara negeri, Salemi Yusoff; Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan UMNO Bahagian Bera, Norol Azali Sulaiman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd Fadil Osman.
Menurut beliau, selain penyaluran dana itu, Mara yang diberi tanggungjawab melaksanakan model program pembangunan usahawan bumiputera diyakini mampu melahirkan peniaga kecil yang berwibawa.

Thursday, February 23, 2012

wang seluruh dunia

Kumpul wang seluruh dunia
Wartawan Sinar Harian
22 Februari 2012
koleksi-duit-lama
MACHANG - Bermula secara suka-suka, hobi Pak Him mengumpul pelbagai jenis mata wang dari seluruh dunia terus berkembang sehingga usia emasnya.

Ibrahim Che Hassan, 67, berkata, pada awalnya, usaha mengumpul dilakukan hanya sekadar suka-suka, namun ia makin menarik dan mencabar apabila banyak wang berjaya dikumpulkan.

“Duit syiling dan duit kertas ini adalah dari simpanan sendiri, ayah dan ada juga yang dibeli daripada rakan-rakan dan pengumpul wang yang lain.

“Selain pelbagai jenis mata wang, syiling atau wang kertas, saya juga mengumpulkan peralatan lama dan ubat-ubatan herba yang digunakan orang dulu-dulu.

“Khazanah ini harus dipelihara untuk generasi akan datang supaya mereka lebih mengenali serta menghargai barangan lama yang wujud sebelum adanya barangan ciptaan moden hari ini,” katanya yang lebih mesra disapa Pak Him.

Antara koleksi simpanan peribadi Pak Him yang paling berharga adalah ‘parang jenguk’ yang diperbuat daripada besi berusia lebih 100 tahun.

Tidak ketinggalan, pisau daun padi yang digunakan golongan wanita dahulu bagi mempertahankan diri dengan membawanya ke mana-mana, termasuk di dalam sanggul rambut atau diselitkan di pinggang ketika keluar dari rumah.

Pak Him berkata, koleksi wang, peralatan lama tersebut mempunyai nilai yang tersendiri dan hanya orang tertentu sahaja mampu menghargainya sesuai dengan nilainya.

Katanya, wang lama yang dikumpulnya mempunyai pelbagai nilai termasuklah wang kertas satu sen yang pastinya akan menarik perhatian generasi muda.

“Sekarang, satu sen tidak mempunyai nilai dan orang tidak menghargainya lagi berbanding zaman dahulu, wang kertas tersebut membuktikan satu sen mempunyai nilai yang tinggi suatu ketika dahulu.

“Rumah saya sentiasa terbuka kepada peminat-peminat wang lama malah saya juga mengadakan pameran jika ada yang mengundang,” katanya ketika ditemui di Kampung Kemunchup, di sini, semalam.

peragut dibaling epal

Balingan epal tumpas peragut

Oleh Jamilul Anbia Md Denin dan Wan Asrudi Wan Hasan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERSELAMAT...Lim menceritakan kejadian terbabit kepada wartawan Harian Metro.
TERSELAMAT...Lim menceritakan kejadian terbabit kepada wartawan Harian Metro.
SUNGAI SIPUT: Sepasang suami isteri yang baru empat bulan berkahwin, tetapi aktif melakukan jenayah ragut tumpas dek balingan buah epal oleh mangsa mereka di Pasar Sungai Siput, di sini, semalam.
Kejadian berlaku jam 11.50 pagi dan lebih mengejutkan apabila suspek perempuan yang berusia 22 tahun memberitahu dia hamil anak sulung dengan usia kandungan empat bulan.
Selepas ditahan, suspek lelaki yang berusia 32 tahun memberi alasan mereka melakukan jenayah ragut untuk mencari wang bagi membiayai kos rawatan perubatan isterinya.

Mangsa yang juga peniaga buah-buahan di pasar itu, Lim Shui Yang, 53, berkata sebelum kejadian pasangan terbabit menunggang motosikal dan berpusing beberapa kali di kawasan pasar.


“Saya ketika itu sibuk melayan pelanggan tanpa menyedari si suami menyasarkan bakul berisi wang RM30 hasil perniagaan yang diletak di atas meja jualan.

Wednesday, February 22, 2012

pembangunan kg baru dilancar

PPKB dilancarkan Mei ini


Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (berdiri, kiri) sambil diiringi Johari Abdul Ghani melawat makmal komputer selepas merasmikan Terminal Sejahtera Kampung Baru di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, semalam.


KUALA LUMPUR 21 Feb. - Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) akan dilancarkan secara rasmi pada Mei ini setelah selesai proses pelantikan anggota perbadanan tersebut dan majlis penasihatnya.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan penubuhan pasukan interim dan pelantikan pegawai-pegawai akan berkuat kuasa pada 1 Mac ini.
Katanya, terdapat beberapa sesi jelajah khususnya kepada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru berkaitan perancangan pembangunan di situ yang akan dilaksanakan selepas keputusan mengenai pelan panduan pembangunan diputuskan oleh pihak kementerian dan PPKB.
"Buat masa ini, projek-projek kecil yang melibatkan penambahbaikan infrastruktur sudah pun mula dijalankan di Kampung Baru.
"Apabila selesai urusan untuk perbadanan ini, ia akan dilancarkan. Mengenai pelantikan Pengerusi (PPKB), ia akan dipilih oleh Perdana Menteri sendiri manakala anggota perbadanan pula adalah daripada kementerian dengan persetujuan menteri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran pusat kemudahan pembelajaran kendiri, Terminal Sejahtera Kampung Baru di Kampung Baru di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Adnan Md. Ikhsan; Pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Kehormat Lembaga Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS), Shamsuri Suradi.
Sementara itu, mengenai permintaan penduduk untuk mendapatkan sebuah dewan orang ramai di tapak Terminal Sejahtera, Raja Nong Chik memberitahu, tapak terbabit belum dikenal pasti pemiliknya.
"Kita tidak pasti pemilik tapak ini sama ada milik kerajaan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atau pihak lain.
"Untuk mendapatkan peruntukan, status tanah haruslah diketahui terlebih dahulu.
"Bagaimanapun kementerian akan mengkaji dan akan usahakan untuk mendapatkan peruntukan bagi tujuan ini," ujarnya.

urusniaga dalam talian

Urus niaga secara dalam talian


Wang yang diterima dan tersimpan di dalam akaun PayPal boleh digunakan untuk apa-apa transaksi lain pula ataupun dipindahkan keluar ke akaun bank atau ke kad Visa.


SEMAKIN hari semakin ramai rakyat Malaysia yang membiasakan diri dengan aplikasi perbankan Internet seperti Maybank2u, CIMBClicks dan yang lain-lain. Membuat dan menerima bayaran, serta pemindahan wang boleh dikatakan tidak lagi menjadi kerisauan kepada pengguna apabila melakukan transaksi melalui dalam talian.
Bagaimanapun ini mungkin masih terbatas kepada urusniaga yang berlaku di dalam negara. Bagi urusniaga runcit yang melibatkan transaksi antarabangsa, ramai yang masih tidak yakin atau tidak pasti bagaimanakah cara yang senang dan selamat.
Salah satu kaedah yang paling lazim digunakan untuk membuat bayaran bagi pembelian sesuatu produk dari penjual di luar negara menerusi Internet ialah kad kredit dan kad debit.
Kebanyakan kad kredit yang dikeluarkan oleh bank-bank di negara ini memang boleh terus digunakan untuk membuat pembelian secara dalam talian, manakala selebihnya ada yang memerlukan anda mengaktifkannya terlebih dahulu.
Ada juga bank yang akan menelefon anda sesudah anda membuat apa-apa transaksi kad di Internet, bagi memastikan bahawa memang anda yang benar-benar melakukannya dan bukan orang lain.
Bank juga biasanya bersedia untuk membantu anda menyelesaikan apa-apa isu sekiranya anda dapati terdapat transaksi yang tidak sepatutnya berlaku.
Apa yang penting anda menjaga maklumat kad kredit atau debit anda dengan baik dan tidak menggunakannya di laman web yang tidak diyakini serta meragukan, ini termasuklah laman web perjudian, pornografi, skim pelaburan haram dan lain-lain yang sejenisnya.
Bagi peniaga pula yang ingin menjual barangan dan mahu memberi pilihan kepada pelanggan mereka untuk membuat bayaran menggunakan kad kredit atau debit, perlulah ada akaun pedagang (merchant account) sama ada terus dengan pihak bank atau pembekal perkhidmatan yang dilantik. Mereka juga perlukan sistem laluan pembayaran (payment gateway).
Penyelesaian yang lebih mudah ialah dengan menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak-pihak yang diiktiraf. Contohnya di Malaysia, ramai usahawan menggunakan khidmat iPay88. Anda juga boleh menggunakan khidmat antarabangsa seperti 2Checkout, WorldPay dan banyak lagi.
Kebanyakannya mengenakan caj bulanan atau tahunan tertentu, serta juga caj bagi setiap transaksi sekitar dua hingga lima peratus.
Satu lagi kaedah yang popular bagi transaksi dalam talian ialah dengan menggunakan PayPal. Ia merupakan satu aplikasi dompet elektronik yang boleh anda gunakan untuk berurusniaga di Internet.
Sesiapapun boleh mendapatkan akaun PayPal secara percuma dan mudah. Berbanding dengan kad kredit yang hanya boleh digunakan untuk membuat pembelian, akaun PayPal boleh digunakan untuk kedua-dua tujuan, sama ada pembayaran atau penerimaan wang.
Menggunakan PayPal, anda boleh melakukan transaksi dengan lebih selamat kerana anda tidak perlu lagi mendedahkan maklumat kad kredit atau akaun bank. Sebaliknya anda hanya perlu hubungkan kad kredit, kad debit atau akaun bank anda terus ke akaun PayPal untuk tujuan pembiayaan sewaktu transaksi.
Apabila anda membuat pembelian melalui Internet menggunakan PayPal, pertama sekali PayPal akan lihat baki wang di dalam dompet elektronik (akaun) anda. Sekiranya baki yang ada adalah mencukupi maka bayaran tersebut akan ditolak daripada baki yang ada, manakala jika baki itu tidak memadai, maka PayPal akan mengecaj kad kredit anda bagi jumlah selebihnya yang diperlukan.
Satu kelebihan PayPal ialah anda boleh gunakannya untuk transaksi dengan seluruh dunia dan tidak terhad kepada pasaran tempatan sahaja. PayPal sudah pun menjadi jenama yang dipercayai dan dengan memberi pilihan kepada para pelanggan untuk membuat bayaran menggunakannya, akan memberi imej positif serta peluang perniagaan yang lebih meluas.
Menggunakan akaun yang sama, anda boleh menerima bayaran daripada orang lain, contohnya jika anda menjual sesuatu melalui laman eBay, anda boleh gunakan PayPal untuk menerima bayaran tersebut.
PayPal juga sering digunakan untuk menjual sebarang produk atau perkhidmatan menerusi laman web, blog, laman iklan, forum dan lain-lain medium. Ia juga menjimatkan masa kerana anda tidak perlu mengisi maklumat transaksi dan alamat penghantaran berulang-ulang kali.
Selain transaksi perniagaan, PayPal juga boleh digunakan untuk mengirimkan wang kepada kepada orang lain, contohnya kepada ahli keluarga yang berada di luar negara. Untuk mengirim wang atau membuat bayaran wang kepada pengguna lain, anda hanya perlu tahu emel ataupun nombor telefon pengguna tersebut.
Anda juga boleh gunakan PayPal untuk menuntut bayaran dan mengirimkan invois untuk produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan.
Sekiranya anda mempunyai kedai dalam talian, PayPal menyediakan kemudahan untuk menghubungkan terus shopping cart anda untuk mewujudkan integrasi yang lebih lancar dan memberi pengalaman membeli-belah yang selesa dan meyakinkan kepada pengguna.
Banyak juga sistem kedai online dan aplikasi shopping cart yang sedia menyokong sistem penerimaan bayaran PayPal tanpa memerlukan konfigurasi yang rumit, hanya perlu masukkan emel anda sahaja.
Wang yang anda terima dan tersimpan di dalam akaun PayPal boleh digunakan untuk apa-apa transaksi lain pula ataupun dipindahkan keluar ke akaun bank atau ke kad Visa (sama ada kad kredit, debit atau pra bayar). Pindahan wang ke kad Visa akan mengambil masa sekitar lima hingga tujuh hari dan dikenakan yuran sebanyak RM20.
Manakala pindahan wang ke mana-mana bank dalam rangkaian MEPS di Malaysia akan mengambil masa tiga hingga empat hari, tiada yuran dikenakan jika jumlah pindahan adalah melebihi RM400, dan jika kurang dari jumlah itu, hanya caj RM3 dikenakan.
PayPal tidak mengenakan sebarang caj untuk anda membuka akaun, memindahkan wang dari akaun bank dan juga membuat sebarang belian, sebaliknya PayPal hanya mengenakan caj apabila anda menerima bayaran dari jualan produk atau perkhidmatan, menerima bayaran atau pindahan wang dari kawan atau ahli keluarga yang menggunakan kad kredit atau debit, atau menerima bayaran daripada pengguna lain di luar negara.
Layari blog hasanihassan.com untuk menyatakan pendapat atau berbincang sebarang kemusykilan berkenaan transaksi secara dalam talian. Ikuti juga video tentang amalan selamat untuk berurusniaga di dalam talian menerusi laman video Utusan Online (http://xtive.utusan.com.my/video.php) mulai hari Khamis, 22 Februari 2012.

bisnes telekomunikasi

Peluang ceburi bisnes telekomunikasi luar bandar


BISNES TMC sesuai dijalankan di pekan-pekan kecil untuk kemudahan penduduk luar bandar.


CAPAIAN Internet yang terhad di luar bandar dan pedalaman mengakibatkan penduduk kawasan tersebut sering berhadapan dengan masalah membuat pembayaran bil setiap bulan.
Lebih menyulitkan, kaunter pembayaran yang terletak di jauh di pekan-pekan juga menyebabkan mereka terbeban dengan kos yang perlu ditanggung serta pembaziran masa.
Memahami permasalahan itu, sebuah syarikat bumiputera tempatan, Berjaya Telekomunikasi telah memperkenalkan Program Keusahawan Komunikasi untuk memberi kemudahan kepada penduduk luar bandar.
Ia dilaksanakan di bawah projek Pusat Perkhidmatan Telekomunikasi Bersepadu atau lebih dikenali sebagai Pusat Telco Mini (TMC).
Tujuannya adalah untuk memberi kemudahan pembayaran pelbagai jenis bil di kalangan penduduk pedalaman selain menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan telekomunikasi.
Menurut Ketua Eksekutif Pemasaran TMC, Jeffrey Khua, menerusi projek berkenaan, individu yang berminat boleh menyertai pakej perniagaan yang telah disediakan TMC.
"Mereka akan bertindak sebagai agen kutipan di sesebuah kawasan untuk memudahkan penduduk menjelaskan pelbagai jenis bil seperti bil telefon, utiliti dan penyiaran termasuk pembayaran bagi dua syarikat telekomunikasi di Brunei.
"Apa yang menarik, sistem ini tidak memerlukan sebarang akses komputer atau Internet sebaliknya hanya menggunakan aplikasi yang terdapat pada telefon bimbit.
"Aktiviti bisnes berteraskan teknologi maklumat dan telekomunikasi ini sebenarnya bakal memberi pulangan lumayan dan tidak mempunyai risiko tinggi berbanding perniagaan lain,'' jelasnya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Selain perkhidmatan sedia ada, pada tahun 2012 ini, TMC bakal memperkembangkan dua lagi servis terbaru iaitu pemindahan duit serta pembayaran kepada agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sebagainya.
Sesuatu yang menarik mengenai aplikasi pembayaran melalui telefon bimbit itu, ia mempunyai antara muka yang ringkas dan mudah untuk dikendalikan.
Bagi melaksanakan transaksi, agen perlu mengkreditkan nilai tertentu ke dalam akaun telefon bimbit mereka terlebih dahulu sebelum ditolak secara automatik sekiranya pelanggan membuat bayaran.
Keuntungan akan diperoleh menerusi caj perkhidmatan yang dikenakan bergantung kepada jarak dan keadaan sesebuah kawasan pedalaman.
Selain individu, para pemilik kedai telefon bimbit dan kedai runcit juga dialu-alukan untuk menyertai projek tersebut.
Ketika ini, TMC mempunyai seramai 52 orang agen di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak dan dijangka ia akan meningkat kepada 1,000 orang menjelang pertengahan tahun ini.
Untuk menyertai TMC, usahawan perlu membayar pakej RM1,995 bagi menerima telefon bimbit beserta aplikasi, kredit bernilai RM300, buku resit dan yang paling penting tidak mempunyai sebarang kos penyelenggaraan.
Oleh itu, agen akan mendapat keuntungan seratus peratus daripada kos perkhidmatan yang dikenakan.
Daripada segi sekuriti pula, pembayaran tersebut adalah selamat dan dijamin boleh dikemas kini dalam masa 24 jam.
Bercerita mengenai aplikasi TMC, Jeffrey memberitahu, pembangunan programnya telah mengambil masa selama tiga bulan dengan sokongan pengaturcara dari China.
Aplikasi berkenaan mempunyai keupayaan boleh diselaraskan bersama semua model telefon bimbit sama ada yang baru atau pun lama.
Untuk strategi perniagaan tersebut pula, pihak TMC akan memberi pendedahan dan informasi kepada pembekal serta pemilik kedai telefon bimbit di seluruh Malaysia tentang betapa mudahnya menjelaskan bil menerusi telefon bimbit.
"Ini merupakan peluang perniagaan yang sangat baik untuk penduduk luar bandar meningkatkan taraf sosio ekonomi melalui bisnes telekomunikasi.
"TMC akan membantu mereka yang berminat bagi memulakan perniagaan ini daripada segi daripada segi latihan dan bimbingan nasihat,'' jelasnya.
Pada masa hadapan, TMC bercadang untuk mewujudkan sistem pembayaran dalam bentuk caravan bergerak untuk kemudahan mobiliti lebih baik kepada pengguna.
Mereka yang berminat menjadi usahawan TMC boleh menghubungi talian 03-8888 8655, 09-662 6862 atau layari portal TMC di www.tmc.my

Tuesday, February 21, 2012

tuah kerja dengan penjara

Tuah suami isteri kerja di Jabatan Penjara
Wartawan Sinar Harian
21 Februari 2012
tuah
JITRA- “Kami tidak menyangka pertemuan di penjara yang membawa ke jinjang pelamin tujuh tahun lalu akhirnya membolehkan kami berkongsi kegembiraan selepas masing-masing menerima anugerah tahun ini,” kata pasangan suami isteri bertugas di Penjara Alor Setar ketika ditemui di sini, semalam.

Irwan Rafes Sazali, 28, dan isterinya, Ayunatida Yahaya, 30, antara 182 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 Jabatan Penjara Malaysia Peringkat Zon Utara Dua terdiri kakitangan penjara dari Perlis, Pulau Pinang selain Kedah.

Irwan Rafes yang bertugas di bahagian pemulihan dan rawatan itu berkata, biarpun mereka bertugas di penjara sama, namun perlu menghormati satu sama lain sama seperti rakan sekerja lain.

Menurutnya, waktu bekerja adalah masa menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas diamanahkan tanpa mencampuradukkan urusan kerja dengan hal peribadi.

“Baik saya mahupun isteri, kami perlu fokus ketika bekerja dan apabila pulang ke rumah kami berusaha untuk tidak bercerita mengenai hal kerja kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga.

“Itu prinsip saya pegang bersama isteri selama berkhidmat di Penjara Alor Setar lapan tahun lalu,” katanya di majlis anugerah itu di Auditorium Institut Aminuddin Baki di sini, semalam.

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian anugerah itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pendaftaran dan Imigresen) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar.

Ayunatida yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, sebagai pasangan suami isteri bertugas di penjara sama, mereka turut melakukan persaingan sihat menjadi kakitangan yang cemerlang dalam perkhidmatan.

“Tidak sangka tahun ini kami berdua menerima anugerah buat pertama kali ini bersama-sama. Ini sungguh menggembirakan dan akan menjadi kenangan bersama sehingga ke akhir hayat,” katanya yang bertugas di bahagian Pengurusan Rekod Banduan.

Seorang lagi penerima, Mohd Suhairi Awang, 35, yang turut berkongsi kegembiraan itu melahirkan kesyukuran kerana diberi peluang menerima anugerah berkenaan biarpun baru empat tahun berkhidmat dengan Jabatan Penjara.

Menurutnya, disiplin dalam mengikut peraturan yang ditetapkan dalam perkhidma-tan mendorong dirinya menjadi komited dalam menjalan tugas seharian.

“Anugerah ini akan menjadi dorongan kepada saya untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh dan memberikan perkhidmatan terbaik khususnya kepada Jabatan Penjara dan negara amnya pada masa depan,” katanya.