Kumpul wang seluruh dunia
22 Februari 2012
Ibrahim Che Hassan, 67, berkata, pada awalnya, usaha mengumpul dilakukan hanya sekadar suka-suka, namun ia makin menarik dan mencabar apabila banyak wang berjaya dikumpulkan.
“Duit syiling dan duit kertas ini adalah dari simpanan sendiri, ayah dan ada juga yang dibeli daripada rakan-rakan dan pengumpul wang yang lain.
“Selain pelbagai jenis mata wang, syiling atau wang kertas, saya juga mengumpulkan peralatan lama dan ubat-ubatan herba yang digunakan orang dulu-dulu.
“Khazanah ini harus dipelihara untuk generasi akan datang supaya mereka lebih mengenali serta menghargai barangan lama yang wujud sebelum adanya barangan ciptaan moden hari ini,” katanya yang lebih mesra disapa Pak Him.
Antara koleksi simpanan peribadi Pak Him yang paling berharga adalah ‘parang jenguk’ yang diperbuat daripada besi berusia lebih 100 tahun.
Tidak ketinggalan, pisau daun padi yang digunakan golongan wanita dahulu bagi mempertahankan diri dengan membawanya ke mana-mana, termasuk di dalam sanggul rambut atau diselitkan di pinggang ketika keluar dari rumah.
Pak Him berkata, koleksi wang, peralatan lama tersebut mempunyai nilai yang tersendiri dan hanya orang tertentu sahaja mampu menghargainya sesuai dengan nilainya.
Katanya, wang lama yang dikumpulnya mempunyai pelbagai nilai termasuklah wang kertas satu sen yang pastinya akan menarik perhatian generasi muda.
“Sekarang, satu sen tidak mempunyai nilai dan orang tidak menghargainya lagi berbanding zaman dahulu, wang kertas tersebut membuktikan satu sen mempunyai nilai yang tinggi suatu ketika dahulu.
“Rumah saya sentiasa terbuka kepada peminat-peminat wang lama malah saya juga mengadakan pameran jika ada yang mengundang,” katanya ketika ditemui di Kampung Kemunchup, di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment