Tuah suami isteri kerja di Jabatan Penjara
21 Februari 2012
Irwan Rafes Sazali, 28, dan isterinya, Ayunatida Yahaya, 30, antara 182 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 Jabatan Penjara Malaysia Peringkat Zon Utara Dua terdiri kakitangan penjara dari Perlis, Pulau Pinang selain Kedah.
Irwan Rafes yang bertugas di bahagian pemulihan dan rawatan itu berkata, biarpun mereka bertugas di penjara sama, namun perlu menghormati satu sama lain sama seperti rakan sekerja lain.
Menurutnya, waktu bekerja adalah masa menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas diamanahkan tanpa mencampuradukkan urusan kerja dengan hal peribadi.
“Baik saya mahupun isteri, kami perlu fokus ketika bekerja dan apabila pulang ke rumah kami berusaha untuk tidak bercerita mengenai hal kerja kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga.
“Itu prinsip saya pegang bersama isteri selama berkhidmat di Penjara Alor Setar lapan tahun lalu,” katanya di majlis anugerah itu di Auditorium Institut Aminuddin Baki di sini, semalam.
Hadir menyempurnakan majlis penyampaian anugerah itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pendaftaran dan Imigresen) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar.
Ayunatida yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, sebagai pasangan suami isteri bertugas di penjara sama, mereka turut melakukan persaingan sihat menjadi kakitangan yang cemerlang dalam perkhidmatan.
“Tidak sangka tahun ini kami berdua menerima anugerah buat pertama kali ini bersama-sama. Ini sungguh menggembirakan dan akan menjadi kenangan bersama sehingga ke akhir hayat,” katanya yang bertugas di bahagian Pengurusan Rekod Banduan.
Seorang lagi penerima, Mohd Suhairi Awang, 35, yang turut berkongsi kegembiraan itu melahirkan kesyukuran kerana diberi peluang menerima anugerah berkenaan biarpun baru empat tahun berkhidmat dengan Jabatan Penjara.
Menurutnya, disiplin dalam mengikut peraturan yang ditetapkan dalam perkhidma-tan mendorong dirinya menjadi komited dalam menjalan tugas seharian.
“Anugerah ini akan menjadi dorongan kepada saya untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh dan memberikan perkhidmatan terbaik khususnya kepada Jabatan Penjara dan negara amnya pada masa depan,” katanya.
No comments:
Post a Comment