Wednesday, February 22, 2012

pembangunan kg baru dilancar

PPKB dilancarkan Mei ini


Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (berdiri, kiri) sambil diiringi Johari Abdul Ghani melawat makmal komputer selepas merasmikan Terminal Sejahtera Kampung Baru di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, semalam.


KUALA LUMPUR 21 Feb. - Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) akan dilancarkan secara rasmi pada Mei ini setelah selesai proses pelantikan anggota perbadanan tersebut dan majlis penasihatnya.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan penubuhan pasukan interim dan pelantikan pegawai-pegawai akan berkuat kuasa pada 1 Mac ini.
Katanya, terdapat beberapa sesi jelajah khususnya kepada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru berkaitan perancangan pembangunan di situ yang akan dilaksanakan selepas keputusan mengenai pelan panduan pembangunan diputuskan oleh pihak kementerian dan PPKB.
"Buat masa ini, projek-projek kecil yang melibatkan penambahbaikan infrastruktur sudah pun mula dijalankan di Kampung Baru.
"Apabila selesai urusan untuk perbadanan ini, ia akan dilancarkan. Mengenai pelantikan Pengerusi (PPKB), ia akan dipilih oleh Perdana Menteri sendiri manakala anggota perbadanan pula adalah daripada kementerian dengan persetujuan menteri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran pusat kemudahan pembelajaran kendiri, Terminal Sejahtera Kampung Baru di Kampung Baru di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Adnan Md. Ikhsan; Pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Kehormat Lembaga Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS), Shamsuri Suradi.
Sementara itu, mengenai permintaan penduduk untuk mendapatkan sebuah dewan orang ramai di tapak Terminal Sejahtera, Raja Nong Chik memberitahu, tapak terbabit belum dikenal pasti pemiliknya.
"Kita tidak pasti pemilik tapak ini sama ada milik kerajaan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atau pihak lain.
"Untuk mendapatkan peruntukan, status tanah haruslah diketahui terlebih dahulu.
"Bagaimanapun kementerian akan mengkaji dan akan usahakan untuk mendapatkan peruntukan bagi tujuan ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment