Saturday, January 28, 2012

kerjaya chef

Kerjaya chef bawa tuah


KECEMERLANGAN Chef wan diiktiraf dunia.


WANG, populariti dan glamor. Siapa pun tidak dapat menafikan bahawa seorang chef juga boleh menandingi kehebatan seorang artis, ahli politik atau ahli sukan yang terkenal.
Sejak lebih 20 tahun dahulu, chef dianggap antara profesion yang amat menarik dan menguntungkan untuk diceburi.
Seorang chef boleh mengundang rasa kekaguman ramai atas kebolehan dan kreativiti mereka dalam menyediakan pelbagai jenis masakan dengan gabungan seni kulinari. Kita sering mendengar seorang chef mengatakan bahawa, masakan yang enak datangnya dari hati yang ikhlas. Kata-kata itu mempengaruhi sebahagian besar daripada kita apabila memasak di dapur.
Apapun, daya penariknya, ramai yang mahu menjadi chef kerana kerjaya yang dikuasai oleh kaum lelaki itu mampu meraih pendapat yang lumayan.
Ada di antara mereka menimba pengalaman dengan bekerja di hotel-hotel, kemudiannya membuka restoran sendiri dengan menjalankan perniagaan katering, ada yang menghasilkan buku dan beberapa chef terkenal tampil di televisyen mengendalikan rancangan-rancangan masakan mereka sendiri.
Dalam pada itu, minat orang ramai terhadap rancangan-rancangan masakan dan penyediaan makanan di televisyen membuatkan golongan ini terus mendapat perhatian. Di kebanyakan negara, rancangan yang dikendalikan atau dihoskan oleh chef-chef terkemuka mereka ini mendapat rating yang tinggi. Rancangan tersebut turut popular di negara-negara lain.
Di Malaysia, Datuk Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail merupakan chef paling terkenal dan dikatakan menerima pendapatan tertinggi berbanding dengan chef lain di negara ini.
Betapa tidak, beliau yang hampir 30 tahun menceburi bidang itu bermula dari bawah dan kini bakatnya dalam bidang tersebut diiktiraf di peringkat dunia dan menjadi kebanggaan negara.
Rachael Ray
Di peringkat dunia, Rachael Domenica Ray dikatakan seorang chef yang mempunyai pendapatan paling tinggi. Beliau dilahirkan pada 25 Ogos 1968 di Glens Falls, New York, Amerika Syarikat (AS)
Rachael ialah seorang personaliti televisyen terkenal AS yang juga seorang ahli perniagaan dan juga penulis buku.
Beliau mengendalikan program gaya hidup Rachel Ray, tiga siri dalam Food Network, 30 Minutes Meals, Rachael Ray‘s Tasty Travels dan $40 a day.
Selain itu, Ray juga menulis buku berasaskan rancangan 30 Minute Meals dan melancarkan majalah, Every Day with Rachael Ray pada 2006. Rancangan televisyen yang dihoskan beliau telah memenangi dua anugerah dalam Daytime Emmy Awards.
Pada tahun lalu, Ray telah disenaraikan Forbes sebagai selebriti chef yang paling kaya dengan pendapatan sebanyak $18 juta (RM55.4 juta) setahun.
Redzuawan Ismail
Selain seorang chef, Chef Wan yang dilahirkan di Singapura pada 1958 juga seorang pengacara, penulis, dan pelakon. Beliau sebenarnya mempunyai kelayakan menjadi seorang akauntan, bagaimanapun memilih untuk menjadi chef kerana minat memasak yang mendalam, membuatkan beliau menumpukan fokus dan kerjayanya dalam bidang masakan.
Beliau mempunyai ijazah bersekutu dalam Latihan Chef Profesional dan Pengurusan Hotel dari California Culinary Academy di San Francisco, Amerika Syarikat dan Ritz Diploma Escoffeir dari Hotel Ritz di Paris, Perancis. Pada 2009, beliau memenangi Selebriti televisyen Best Chef daripada Gourmand Cookbook Anugerah Dunia.
Anak sulung daripada tujuh adik beradik ini merupakan Duta Makanan yang dilantik oleh Kementerian Pelancongan pada 2010 kerana menghargai sumbangannya memperkenalkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Pada tahun lalu, sumbangannya sekali lagi diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menerima dua anugerah berpestij daripada National Critics Choice. Anugerah berkenaan ialah Life Time Achievement South East Asia Cuisine menerusi kategori The Hospitality and Dining Awards 2011/2012 dan juga Best Editor‘s Choice Award yang diberikan berdasarkan kejayaan buku masakannya, Best of Wan Taste of Malaysia.
Pada tahun yang sama, beliau telah diberi penghormatan bagi menjayakan program bual bicara pagi, NBC Today yang disiarkan secara langsung untuk saluran NBC di AS.
Program televisyen itu berlintas langsung dari taman rekreasi Suria KLCC dan berlatar-belakangkan bangunan berkembar KLCC yang disaksikan oleh jutaan rakyat AS.
Wolfgang Puck
Wolfgang Johannes Puck dilahirkan pada 8 Julai 1949. Beliau ialah selebriti chef Austria dan pemilik restoran yang turut menjalankan perniagaan katering. Puck pernah diberi gelaran sebagai The Greatest Chef In The World.
Pada tahun lalu, Puck disenaraikan sebagai chef kedua terkaya selepas Ray dengan pendapatan AS$16 juta (RM48.6 juta). Beliau memiliki 15 buah restoran.
Gordon Ramsay
Gordon James Ramsay lahir pada 8 November 1966 di Johnstone, Renfrewshire, Scotland. Beliau juga seorang personaliti televisyen dan pemilik restoran.
Ramsay mengendalikan rancangan televisyen berbentuk pertandingan masakan dan makanan dalam siri British dan versi Amerika iaitu Hell‘s Kitchen, The F Word, Ramsay‘s Best Restaurant dan Ramsay’s Kitchen Nighmares dan MasterChef. Beliau juga mempunyai beberapa buah restoran.
Restoran Gordon Ramsay adalah satu-satunya restoran solo yang berlokasi di Royal Hospital Road, London. Pada 2001, restoran berkenaan diletakkan sebagai restoran paling popular di United Kingdom.
Pada tahun lalu, Ramsay berada di belakang Puck iaitu chef ketiga berpendapatan paling tinggi iaitu AS$7.5 juta (RM22.7 juta).

Thursday, January 26, 2012

burger

Berhasrat kuasai pasaran burger
CONNIE S MONICAL
January 25, 2012
Long Burger
Syarikat Makanan Segera Bumiputera, Belisinnie Fast Food Holdings Sdn Bhd menerusi jenama Long Burger optimis membuka 50 gerai di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, menjelang suku pertama 2012.
Pengarah Urusannya, Razali Raja Jamaluddin berkata, Long Burger yakin dapat mengembangkan perniagaan dengan lebih cepat menerusi sistem francais.

“Kami amat menggalakkan anak muda tempatan dan sesiapa yang berminat menceburi bidang ini untuk menghubungi kami menerusi perniagaan francais di bawah jenama Long Burger.
 
“Menerusi francais Long Burger, kami akan membantu mereka dengan menyediakan sebuah gerai burger di kawasan strategik,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan itu sejak lima tahun lalu.
 
Menurutnya, Long Burger kini sudah mempunyai 50 gerai di Johor Bahru dan Melaka selepas tiga tahun mendapat lesen francais.
 
Katanya, menerusi pernia­gaan francais, peniaga akan dibekalkan sebuah kelengkapan dan peralatan, gerai, 12 jenis menu burger termasuk kentang goreng, wedges dan nuget serta latihan dengan modal RM15,000.
 
“Kelainan gerai kami adalah kerana menawarkan pelbagai menu burger eksotik antaranya burger arnab, rusa, kambing dan burung unta selain lembu dan ayam. Manakala, terdapat juga empat burger istimewa iaitu burger ole, euro, samba dan vivo.
 
“Empat burger itu menggunakan mayonis yang dicipta khas untuk jenama Long Burger dan tidak didapati di kedai makanan segera sedia ada,” katanya yang mempu­nyai pengalaman dalam bidang itu selama 27 tahun.

aksesori remaja

Medan aksesori remaja
Wartawan Sinar Harian
January 17, 2012
Medan aksesori remaja
Melihat trend remaja moden yang suka berfesyen dan inginkan harga berpatutan dengan pelbagai pilihan, berkualiti dan berbeza daripada yang lain, memberikan ilham kepada Farizal Ismail, 25, untuk membuka perniagaan atas talian menjual barang-barang aksesori wanita seperti jam tangan, beg, dompet dan selendang.

Pada Julai 2010, FarizalFaisal Boutique (FFB) ditubuhkan bersama tunang yang juga rakan kongsi, Mohd Adib Faisal Ismail, fokus menawarkan pelbagai aksesori menarik dengan harga mampu milik kepada golongan remaja yang masih belajar.

Farizal berkata, dia memulakan perniagaan dengan menjual barangan aksesori menerusi laman sosial peribadi miliknya sebelum membangunkan laman sosial Fanpage FFB.

“Kini FFB mempunyai laman sesawang iaitu www.farizafaisalboutique.blogspot.com bagi memudahkan pelanggan mengikuti perkembangan semasa FFB,” katanya sebagai perkongsian pengalaman berniaga bagi mengisi ruangan niaga atas talian kelolaan wartawan Connie S Monical minggu ini.

Menurutnya, FFB kini mempunyai hampir 5,000 peminat di laman sosial Facebook (FB) dan 100 daripadanya adalah pelanggan tetap FFB.

Bermula dengan modal RM200

Farizal berkata, ketika mula-mula berniaga, dia memperuntukkan RM200 hasil daripada wang simpanan sendiri sebagai modal permulaan dan ketika itu, FFB hanya menawarkan aksesori jam jangan wanita.

“Selepas mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan dengan jumlah stok yang agak terhad, FFB akhirnya menambah jumlah stok dengan memperkenalkan aksesori ke dalam perniagaan.

“Ketika itu, jumlah stok hanya sekitar 10 sehingga 12 barangan sebulan dan selepas mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan setiap bulan, kini FFB sudah mampu meningkatkan jumlah stok sekitar 100 sehingga 100 bara­ngan sebulan,” katanya.

Tawar pakej pembungkusan hadiah

“Selepas beroperasi hampir dua tahun secara sepenuh masa, FFB mendapati produk yang paling digemari pelanggan adalah jam tangan.

“Produk lain seperti dompet, seledang berjenama terkemuka dan beg ke kuliah atau bersantai juga mendapat permintaan tinggi selepas penambahan produk yang kami berikan,” katanya yang kini mengusahakan perniagaan online sepenuh masa.

Menurutnya, bekalan produk FFB kebanyakan diperoleh dari negara luar khususnya China dan Korea menerusi pembekal dalam negara bagi memudahkan pengurusan stok dan penelitian kualiti terbaik untuk dijual.

“Sehingga kini, FFB menerima tempahan sekitar 10 sehingga 20 barangan sebulan dengan keuntungan melebihi RM3,000 sebulan. Namun, jualan FFB meningkat lebih tinggi ketika musim perayaan seperti hari raya.

“Berikutan sambutan menggalakkan daripada pelanggan, FFB menyasarkan peningkatan jualan sehingga 25 peratus pada tahun ini berbanding RM36,000 tahun lalu,” katanya.

Bagi mempelbagaikan segmen perniagaan, FFB juga menawarkan pakej belian, pembungkusan dan penghantaran hadiah sempena sambutan majlis dan keraian berserta pilihan pembungkusan yang boleh disesuaikan mengikut tema, riben dan kad ucapan.

Kos penghantaran murah

Bagi menarik lebih ramai pelanggan menjadi pelanggan tetap, FFB menawarkan pelbagai promosi khas sempena perayaan, jualan murah, pertandingan dengan tawaran hadiah lumayan dan caj penghantaran lebih murah berbanding harga asal yang ditetapkan agensi penghantaran.

Farizal berkata, kos penghantaran untuk satu hingga dua barangan hanya RM5 tanpa mengira berat dan percuma untuk penghantaran melebihi lima barangan.

“Harga itu adalah selaras bagi kawasan di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak, yang akan di pos setiap Ahad, Selasa dan Khamis,” katanya.
Menurutnya, walaupun FFB hanya memberi tum­puan kepada pasaran dalam negara, namun masih menerima tempahan dan permintaan daripada peminat aksesori negara jiran terdekat seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.

Jaminan dua minggu

Menurut Farizal, kebanyakan pelanggan FFB lebih suka membeli barang melebihi daripada satu kerana FFB menawarkan diskaun RM6 sehingga RM12 sepanjang masa bagi pembelian dua barangan ke atas.

“Harga barangan di FFB pula dijual dengan harga berpatutan bergantung kepada kualiti barangan daripada serendah RM20 sehingga RM75 bagi satu barangan.

“Bagi memastikan pelanggan berpuas hati, kami memberi jaminan terhadap barangan selama dua minggu daripada tempoh barangan diterima. Sekiranya barang yang sampai didapati rosak, FFB akan menggantikan barang atau wang dikembalikan,” katanya yang menggunakan slogan All under one roof bagi perniagaannya.

Bakal tambah koleksi

Menurutnya, FFB dalam perancangan menambah koleksi kepada gaya fesyen remaja terkini iaitu pakaian Muslimah.

“Rancangan itu masih dalam peringkat perbincangan, FFB bakal menawarkan produk seperti skirt Muslimah, blaus dan seluar sejajar dengan permintaan pasaran dan pelanggan pertengahan 2012.

Farizal berkata, FFB akan terus melakukan pelbagai promosi bagi memperkenalkan nama FFB kepada orang ramai, antaranya dengan mengadakan lebih banyak pertandingan yang boleh disertai ramai, membuat pengiklanan dari blog ke blog serta membuka sistem dropship.

“Sebagai perancangan jangka panjang, FFB merancang memiliki butik dalam tempoh lima tahun akan datang, sekali gus berharap dapat mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan di negara jiran dalam tempoh 10 tahun menggunakan jenama sendiri,” katanya.

Sunday, January 15, 2012

hafaz al quran

Hafal al-Quran dalam ladang

PANORAMA indah vila yang terdapat di Syamille Agro Farm & Resort.


SEKUMPULAN sepuluh pelajar berjalan penuh ceria menuju ke surau Maahad Tahfiz AnNuri untuk meneruskan pengajian. Pada masa tertentu, mereka bebas menunggang basikal di sekitar resort atau mandi-manda di sungai yang mengalir jernih di tepi madrasah.
Mereka merupakan kumpulan pertama pelajar sekolah tahfiz itu yang memulakan pengajian sejak enam bulan lalu. Mereka berusia di antara 10 hingga 20 tahun.
Belajar di sini kedengaran mengujakan. Tiada yuran pengajian dikenakan bahkan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal dibiayai sepenuhnya oleh pihak sekolah.
Semua kemudahan ini disediakan sehingga mereka memasuki universiti atau berhenti daripada sekolah berkenaan.
Maahad Tahfiz AnNuri berbeza berbanding sekolah tahfiz lain di negara ini kerana lokasinya di dalam kawasan resort ladang Syamille Agro Farm & Resort, terletak di Kampung Chuar Hulu dekat pekan Kati, Kuala Kangsar, Perak.
Jurutera

PANORAMA indah vila yang terdapat di Syamille Agro Farm & Resort.


Di sini, pelajar bukan sahaja didedahkan dengan ilmu al-Quran bahkan boleh mempelajari cara menternak kambing, lembu dan rusa pada hujung minggu.
Haiwan itu juga merupakan sumber makanan utama mereka selain menjadi punca pendapatan sekolah berkenaan.
Malah, seorang pelajar dari Pengkalan Chepa, Kelantan, Muhammad Aiman Akraf Shamsuriah, 14, menyifatkan aktiviti memasak makanan bersama rakan lain merupakan pengalaman paling menarik di situ.
"Biasanya kami masak daging ayam kampung, rusa, kambing dan lembu yang baru disembelih.
"Kami juga berpeluang menikmati madu lebah di resort ini," katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera.
Selain menghafal 30 juzuk al-Quran dan belajar agama, pelajar turut didedahkan dengan kurikulum pendidikan yang sama seperti di sekolah biasa.
Aktiviti sekolah tahfiz ini bermula pukul 5 pagi setiap hari. Selepas solat sunat tahajud dan diikuti sembahyang Subuh, barulah rutin pembelajaran dilakukan sehingga pukul 9 malam.
Rezeki

RUSA yang pada mulanya diternak sebanyak lima ekor kini membiak kepada 27 ekor.


"Sistem tahfiz yang diterapkan di sini berbeza kerana ia mengikut sistem Turki berbanding maahad tahfiz lain di Malaysia yang menggunakan sistem hafalan al-Quran seperti di Pakistan dan Bangladesh.
"Mengikut sistem Pakistan dan Bangladesh, pelajar perlu hafal daripada surah pertama sehingga akhir secara berturutan.
"Sebaliknya bagi sistem tahfiz ala Turki pula ia boleh melompat surah lain tanpa ikut turutan tetapi konsepnya sama iaitu menghafal keseluruhan surah yang ada dalam al-Quran," beritahu seorang tenaga pengajar, Akmal Jamaluddin, 25.
Akmal yang berasal dari Johor Bahru memberitahu, sekolah tahfiz itu mengutamakan pengambilan pelajar yatim piatu atau daripada keluarga berpendapatan rendah.
"Mereka datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
"Sebenarnya, anak yatim piatu dan orang miskin lebih komited untuk belajar kerana mereka sedar akan kesusahan keluarga mereka.
"Tahun ini kami akan mengambil seramai sepuluh lagi pelajar," ujar Akmal.

PEMBIAKAN lebah madu turut diusahakan di resort ini.


Pencetus idea sehingga wujudnya Maahad Tahfiz AnNuri bukan calang-calang orang.
Walaupun bukan lulusan bidang agama, penasihat dan Ketua Pegawai Eksekutif Syamille Agro Farm Sdn. Bhd., Mohd. Zainuri Mohd. Idrus mempunyai kisah tersendiri untuk dikongsi.
Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu bersyukur kerana beliau dikurniakan rezeki yang lebih baik akhir-akhir ini.
"Rezeki yang kita terima sebenarnya ada bahagian untuk orang lain. Itulah antara punca saya membina sekolah tahfiz di sini," ungkap Zainuri yang berasal dari Perlis tetapi menetap di Subang Jaya, Selangor.
Beliau juga mahu sekolah tahfiz itu menjadi contoh dari segi kos operasi.

KOS pengajian pelajar tahfiz ini ditanggung sepenuhnya sehingga mereka menamatkan pengajian di universiti.


"Kerana itu pelajar mengusahakan sendiri ternakan kambing dan lembu yang mana hasil jualannya digunakan mereka sendiri.
"Malah, konsep ini juga akan dikembangkan di sekolah tahfiz lain dengan memberi mereka haiwan ternakan untuk dijadikan sumber pendapatan mereka," jelasnya.
Berbicara mengenai resort, beliau berkata, Syamille Resort lebih menampilkan ciri-ciri kawasan pelancongan tani, kemudahan latihan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D)
Pada mulanya, kawasan seluas empat hektar termasuk tahfiz itu hanya terhad untuk pembinaan sekolah tahfiz serta lima buah resort untuk kegunaan keluarga. Bagaimanapun, idea itu semakin bertambah.
Kini, resort itu mengandungi sebuah vila, sepuluh bilik resort dan empat bilik asrama.
Resort

AKTIVITI penduduk pekan Kati tertumpu kepada pertanian dan juga menoreh getah.


Bagaimanapun, ia belum membenarkan kehadiran pelancong asing kerana dikhuatiri cara pemakaian mereka boleh mengganggu tumpuan pelajar menghafal al-Quran.
Di sini juga terdapat 27 ekor ternakan rusa, kambing (836) dan lembu betina (23 ekor). Ia turut mengusahakan ternakan ikan tilapia, keli, ayam kampung dan itik selain dusun buah-buahan.
Najis haiwan itu pula tidak dibuang begitu sahaja. Sebagai contoh, najis lembu dan kambing digunakan untuk menjana gas metana bagi tujuan memasak.
Bagi pekerja resort, tempat ini banyak kelebihannya. Seorang pekerja, Muslim Mardenir, 40, yang berasal dari Jakarta, Indonesia menganggap resort berkenaan sebagai tempat kerja dan universitinya sekali gus.
"Saya dapat menambah ilmu agama dan mendalami al-Quran. Sambil bekerja saya boleh menuntut ilmu agama," katanya.
Pengurus Syamille Resort, Norzihan Abdul Halim, 32, pula berasa lucu apabila teringat gelagat segelintir pengunjung yang terkejut kerana dapat makan buah-buahan seperti langsat, rambutan serta nangka tanpa dikenakan bayaran.
"Ada pelanggan yang makan buah-buahan tersebut sehingga kembung perut. Kebanyakan pelanggan terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan yang melaksanakan kursus di sini," cerita beliau.
Seorang lagi pekerja, Rafidah Rafee, 26, ingin mempelajari cara menternak kambing dan lembu sebelum dapat menjalankan perniagaan sendiri.
"Memang bau kambing dan lembu busuk tetapi jika kita bersabar dan bersahabat baik dengan haiwan ternakan itu, hasilnya lumayan kelak," terangnya berfalsafah.

jutawan bonus link

Peluang jadi Jutawan Bonuslink
Wartawan Sinar Harian
January 15, 2012
Azman-(kiri)-dan-Victor-(kanan)-bergambar-bersama-'Jutawan-BonusLink',-Kai-Loon-(tengah)-serta-dua-p
BATU PAHAT – Pemegang kad BonusLink berpeluang merebut hadiah utama iaitu satu juta Mata Ganjaran BonusLink seterusnya bergelar Jutawan BonusLink menerusi peraduan 31 Juta Mata BonusLink Untuk Dimenangi Setiap Minggu.

Peraduan anjuran Shell Malaysia dan BonusKad Loyalty Sdn Bhd itu sebagai usaha menghargai pemegang kad BonusLink selain turut menawarkan pelbagai hadiah.

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Azman Ismail, berkata Shell adalah satu syarikat yang mempunyai sejarah gemilang dalam pembekalan petrol yang inovatif.

Menurutnya, selain itu ia juga menjana gaya hidup pemandu dengan memberikan pelbagai pulangan menarik seperti kerjasama dengan BonusLink memberikan mata ganjaran kepada setiap penggunanya.

“Sempena Tahun Baru Cina ini, kami terus berpegang dengan komitmen kami apabila memberikan ganjaran khas memenangi mata BonusLink dalam peraduan '31 Juta Mata BonusLink Untuk Dimenangi Setiap Minggu'.

“Peraduan ini menawarkan berjuta-juta Mata Ganjaran BonusLink sebagai ganjaran kepada pemandu kerana mengisi petrol di Shell. Pemenang boleh menebus pelbagai pilihan hadiah yang melengkapkan gaya hidup mereka,” katanya semasa program berkenaan di Batu Pahat Mall, di sini.

Sementara itu, Pengurus Besar BonusKad Loyalty Sdn Bhd, Victor Goon, berkata pihaknya berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Shell Malaysia untuk meraikan pemegang kad BonusLink sempena Tahun Baru Cina tahun ini.

Katanya, dengan pengumpulan mata ganjaran berkenaan pemegang kad boleh menukarnya dengan pelbagai jenis hadiah yang hebat dan sesuai dengan sambutan hari kebesaran terbabit.

“Untuk menjadikan kempen ini lebih istimewa, BonusLink juga melancarkan katalog tebusan hadiah gaya hidup eksklusif, dengan hadiah yang dipilih khas daripada tiga tema, iaitu keperluan rumah, kembara dan riadah, yang hanya ditawarkan khusus kepada pemenang peraduan.

“Dalam siri jelajah dan mencari ‘Jutawan BonusLink’ di Batu Pahat Mall ini, setiap mereka yang menyertainya bertanding dalam siri permainan yang menyeronokkan seperti ‘Shoot Em’ dan Cabaran Shell V-Power sebelum ke pusingan akhir,” katanya.

Dalam pada itu, pemenang ‘Jutawan BonusLink’, Tay Kai Loon, 31, di daerah ini melahirkan rasa gembira dan menganggapnya sebagai hadiah istimewa pada Tahun Baru Cina kali ini.

“Saya dan keluarga begitu seronok menerima satu juta mata ganjaran terbabit, dan akan menebusnya dengan pelbagai jenis hadiah sebagai persediaan menyambut Ta­hun Baru Cina. Tahun ini ia begitu istimewa kerana giliran Tahun Naga,” katanya.

jutawan taufeeq

Risalah niaga ubah hidup Taufeeq

Laporan dan foto AINAL MARHATON ABD GHANI
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BAHAGIA...keluarga sentiasa diutamakan dalam kehidupan Muhammad Taufeeq.
BAHAGIA...keluarga sentiasa diutamakan dalam kehidupan Muhammad Taufeeq.
BERSENDIRIAN di rantau orang pada usia muda mematang­kan Muhammad Taufeeq Rosyidi Yusoff, 27, sebelum menjadi jutawan siber paling bergaya di tanah air.
Bersandarkan ung­kapan cendekiawan Islam ratusan tahun lalu, ‘bekerja keraslah kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya tetapi beribadat dan beramallah kamu seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya’, ia menjadi azimat berharga buat Muhammad Taufeeq bagi mengharungi perit getir dan asam garam kehidupan, dengan bertemankan rakan seperjuangan di rantau orang hampir tujuh tahun.
Iran, Afrika Selatan dan Mesir adalah negara bertuah bagi anak muda ini kerana dapat memenuhi impian bapa tersayang yang ingin melihatnya menjadi anak yang memiliki ilmu agama sepenuhnya pada usia masih muda sebagai bekalan hidup.

Kini, semua kenangan itu tersimpul rapi dalam kamus hidup jutawan muda bercermin mata ini dan kejayaan demi kejayaan jelas mewarnai kehidupannya yang bahagia di sisi isteri tercinta, Bahagia Abdul Manan, 29, dan empat cahaya mata berusia antara 19 bulan hingga 10 tahun.
Click Here


Menyingkap sejarah lalu, ‘ustaz siber’ ini mula berkelana ke Iran untuk mendalami bahasa Parsi, Arab dan Inggeris pada usia baru mencecah 10 tahun.

Baginya, tiada yang lebih pen­ting selain mematuhi suruhan bapa tercinta yang mahu dia memiliki ilmu dunia dan akhirat. Dengan penuh rasa hormat, dia menurut perintah demi mempersiapkan diri menjadi individu paling berjaya dalam hidup.

Biarpun terpaksa berpisah de­ngan keluarga, anak sulung kepada guru agama, Yusoff Uthman, 58, dan Pauziyah Omar, 53, ini tidak pernah berasa kesal dihantar ke luar negara demi ilmu agama, sedangkan ketika itu teman sepermainan asyik berkejaran di kampung dan bersekolah seperti biasa.

“Tiada apa perlu disesalkan kerana ibu dan ayah tahu apa yang terbaik untuk saya dan buktinya hari ini saya meniti kejayaan hidup yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

“Menyusun hari di rantau orang pada usia muda adalah sesuatu yang sukar tetapi berkat doa ibu bapa dan iltizam untuk menjadi individu yang berilmu agama, saya ketepikan semua masalah yang mendatang,” kata anak jati kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang ini.

Selepas empat tahun di Iran, Muhammad Taufeeq menyambung pengajiannya dalam bidang hafazan al-Quran di Afrika Selatan selama dua tahun sebelum memasuki Universiti Al-Azhar, Mesir pada usia 16 tahun dan menjadi antara pelajar termuda di universiti itu.

Selepas setahun mendalami ilmu agama dan bergelar penghafaz al-Quran, Muhammad Taufeeq kembali ke tanah air untuk mencurahkan bakti walaupun tanpa kelulusan akademik di tanah air sendiri.

“Saya tidak kesal atau terasa dipinggirkan kerana masih mampu bekerja dan berkongsi ilmu yang saya peroleh kepada anak kecil dan remaja yang mendambakan ilmu agama.

“Saya tidak pernah menyalahkan ayah yang tidak memberi ruang kepada saya belajar di sekolah dan menduduki peperiksaan utama yang melayakkan saya be­kerja dengan kerajaan,” katanya.

Terus berfikiran positif, Muhammad Taufeeq mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dan bekerja sebagai jurujual pasar raya di Pulau Pinang sambil mencari ruang mengikuti kursus motivasi untuk mencari pengalaman dalam bidang perniagaan.

“Di sini, saya mula terfikir untuk menceburi bidang perniagaan berkonsepkan ‘networking’ kerana pada saya ia lebih mudah dan cepat.

“Prinsip saya mudah saja, 9/10 daripada punca rezeki datangnya daripada perniagaan dan ‘jika kita mengutamakan duit, kita terpaksa usahakan yang terbaik... tetapi jika kita mengutamakan usaha terbaik, duit pula yang akan mencari kita’,” katanya yang bergelar jutawan pada usia 24 tahun.

Ungkapan itu bagaikan tersirat dalam diari hidup Muhammad Taufeeq apabila satu hari dia terjumpa sehelai risalah berkaitan e-networking.

“Sebagai orang Islam yang diberi akal sempurna, adalah wajib untuk saya menyiasat kebenaran pada risalah itu dan bertemu seseorang yang memberi penerangan mengenai perniagaan itu.

“Dari situlah bermulanya episod baru dalam hidup saya sebagai usahawan perniagaan rangkaian sehingga bergelar jutawan setahun setengah selepas itu,” katanya yang bertemu jodoh dengan ­isterinya yang juga pemilik bersama Akademi Jutawan Bahagia World.

Tidak kekok dengan panggilan ustaz di kalangan pelajar Institut Tahfiz Al-Quran dan Pengajian Islam, Ma’hadul-Azhar, Kepala Batas, Pulau Pinang, Muhammad Taufeeq berterusan mencurahkan ilmu agama yang diperoleh ketika menuntut di luar negara dengan fokus kepada hafazan al-Quran.

“Saya mahu mencontohi bapa yang tidak pernah jemu mencurahkan bakti kepada umat Islam, terutama generasi muda hari ini yang menuntut komitmen tinggi untuk menjadi Muslim dan Muslimah sejati pada saat agama Islam diperkotak-katikkan di seluruh dunia.

“Walaupun bergelar usahawan dan jutawan, saya tidak mahu lalai atau leka dengan nikmat dunia kerana ilmu agama ini wajib dipelajari sepanjang hayat dan itu yang saya titipkan kepada anak sejak mereka masih kecil,” katanya.

Bergelar Usahawan dan Jutawan Paling Cemerlang pada 2009 dengan pendapatan mencecah antara RM80,000 hingga RM130,000 sebulan, Muhammad Taufeeq dan Bahagia meneruskan kelangsungan hidup dengan hasrat melahirkan lebih ramai jutawan dalam bidang networking.

Sebagai pemimpin Empire Bahagia World yang memiliki lebih 8,000 ahli, pasangan suami isteri ini lebih yakin mencontohi akhlak terpuji, jujur dan amanah dimiliki Nabi Muhammad SAW dalam menguruskan empayar perniagaan mereka.

Walaupun tiada pendidikan khas dalam bidang perniagaan, Muhammad Taufeeq percaya pengalaman dan sifat sentiasa ingin belajar dan memperbaiki diri sangat penting dan perlu ada dalam diri individu yang inginkan kejayaan dalam hidup.

“Saya juga sangat bersyukur kerana kejayaan kami sentiasa datang dengan dugaan yang menyebabkan hubungan ­kekeluargaan bertambah rapat,” katanya.

Beliau berkata, individu yang gagal dalam kerjaya sepertinya mungkin disebabkan kurang pegangan agama yang menekankan sikap sabar atau berdepan masalah yang sukar dileraikan dalam tempoh singkat.

“Seperti usahawan lain, kami juga mengalami kekangan atau ujian ketika memulakan perniagaan. Begitu juga setelah berjaya pun kami tetap berdepan pelbagai ujian yang memerlukan kebijaksanaan dan kekuatan iman,” katanya.

Beliau berkata, secara jujurnya tanpa ilmu dan kefahaman agama yang sentiasa dijadikan pedoman, tidak mungkin mereka berjaya mempertahankan kejayaan hingga menjadi jutawan empat tahun berturut-turut dan diiktiraf di tangga kedua ­pendapatan tertinggi syarikat tahun lalu.

“Kepuasan dalam perniagaan ini sebenarnya dikecapi apabila semakin ramai rakan niaga di bawah bimbingan kami berjaya, terutama selepas kami menubuhkan Akademi Jutawan Bahagia World khas untuk mengajar rakan niaga,” katanya.

Setiap kejayaan dikecapi pasti ada ‘tulang belakang’ yang menjadi ‘penyokong’ utamanya dan bagi pasangan muda itu, tiang sokongan itu adalah ibu bapa dan anggota keluarga yang sanggup berkorban.

“Tanpa mereka, saya mungkin tidak dapat mengecapi kejayaan seperti hari ini dan sebagai tanda penghargaan, saya dan isteri tidak lupa membawa membawa keluarga menunaikan umrah dan melancong ke luar negara.

“Selain itu, kami dapat membantu melaksanakan pelbagai program demi membantu usahawan e-networking Bahagia World serta membantu ayah membuka semula sekolah tahfiz yang pernah ditutup kerana masalah kewangan,” katanya.



PROFIL:

NAMA: Muhammad Taufeeq Rosyidi Yusoff
ASAL: Kepala Batas, Pulau Pinang
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada lima beradik
ISTERI: Bahagia Abdul Manan

ANAK: Laila Izati (10); Amir Ayzatt (9); Syirin Batrisya (3), dan Prince Ahmad Na’eel (19 bulan)

PEKERJAAN PERTAMA: Jurujual pasar raya di Pulau Pinang
AKADEMIK: Universiti Al-Azhar, Mesir (bidang hafazan)

KEJAYAAN: Usahawan dan Jutawan Paling Cemerlang 2009 dengan pendapatan mencecah sehingga RM130,000 sebulan

TUGAS UTAMA: Penceramah dan pemimpin rangkaian memberi motivasi kepada bakal usahawan

Tuesday, January 3, 2012

osbon

Osbon tidak mendabik dada
Oleh : AKMALIAH RAZAK
Tarikh : January 1, 2012
osbon
Sorakan dan tepukan gemuruh dari penonton di Stadium Melawati, Shah Alam, setelah Osbon dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega (MLM), membuktikan duo itu benar-benar layak bergelar juara.
Diterajui pelawak senior, Os dan Abon, kedua-duanya saling melengkapi dan tidak pernah menghampakan juri serta penonton kerana setiap minggu persembahan mereka akan diiringi gelak tawa tanpa henti.
 
Bertemakan konsep bebas dan komedi muzikal di malam penentuan Jumaat lalu, Osbon memberikan persembahan hebat sehingga memukau juri dan penonton.
 
Melakonkan watak suami isteri dalam persembahan pertama, Abon berjaya mencuri tumpuan ramai apabila wataknya sebagai wanita mengandung sangat menjadi. Aksinya yang bersahaja dengan mimik muka selamba, mampu membuatkan penonton ketawa tanpa henti. Malah lakonannya itu turut mendapat pujian juri tetap, Datuk Siti Nurhaliza.
 
Tidak kurang hebatnya dengan Os, yang turut berbisa saat tugasan kedua, menerusi persembahan muzikal komedi.
 
Melihat kehebatan kedua-dua persembahan malam itu, maka tidak hairanlah Osbon dinobatkan sebagai juara, sekali gus menewaskan saingan terdekatnya, Boboi yang diterajui Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik.
 
Kemenangan itu juga melayakkan mereka membawa pulang wang berjumlah RM350,000 beserta trofi.
 
Teruskan kehidupan biasa
 
Walaupun berjaya memegang takhta juara, Os mahupun Abon, belum mempunyai perancangan untuk meneruskan jenama Osbon.
 
Menurut Os atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Abdul Hamid, 50, dia akan meneruskan kehidupan seperti biasa sebagai pemandu teksi.
 
“Saya akan bekerja seperti biasa selepas ini. Mungkin sedikit daripada duit itu, saya akan gunakan untuk menambahbaikkan keadaan teksi saya agar penumpang lebih selesa.
 
“Namun, yang selebihnya hanyalah untuk keluarga. Saya mempunyai bilangan anak yang ramai dan kesemua daripada mereka masih belajar dan saya memerlukan perbelanjaan besar untuk mereka.
 
“Undangan persembahan dan tawaran lakonan juga akan saya terima seperti biasa, mengikut kelapangan masa yang ada,” katanya yang masih menguruskan perniagaan perkhidmatan chalet di Kuala Kangsar.
 
Sementara itu, bagi Abon atau nama sebenarnya, Sharizan Ahmad,51, dia akan terus menggunakan pentas sebagai medium untuk menghiburkan orang ramai.
“Menang atau kalah dalam MLM ini, saya tetap akan terlibat dalam persembahan pentas kerana sebelum ini saya memang pelawak pentas.
 
“Kemenangan ini adalah satu bonus bagi kami dan jika ada tawaran untuk meneruskan nama Osbon, kami amat berbesar hati.
 
“Tiada istilah jual mahal atau demand selepas ini kerana selagi diri kami diterima oleh penonton, selagi itulah kami akan menghiburkan anda semua,” katanya lagi.
 
Adat menyertai pertandingan, sejak awal lagi Osbon sedia menerima kritikan juri. Malah sepajang sembilan minggu di MLM, dia tidak pernah berkecil hati, jauh sekali menyimpan dendam dengan juri.
 
Menurut Os, walau siapa sahaja yang dilantik sebagai juri, kita harus menghormatinya dan menerima setiap teguran dan kritikan dengan cara yang positif.
 
“Jika diikutkan, memang barisan juri tidak berada di dalam bidang lawak, tapi tidak semestinya mereka tidak boleh mengeluarkan pandangan dan teguran berdasarkan mata mereka.
 
“Tidak perlu dipertikaikan kebolehan seorang juri kerana pemilihan sebagai juri bukanlah kerana kehendaknya. Mereka dipilih berdasarkan kebolehannya dalam pelbagai bidang.
 
“Seorang yang positif, harus menerima kritikan daripada orang lain untuk meningkatkan prestasi kita ke tahap yang lebih baik.” katanya.
 
Bagi Abon pula, segala kritikan membina diterima dengan tangan terbuka dan cuba menghasilkan sesuatu lebih baik selepas itu.
 
“Tidak perlu berkata suka jika persembahan itu tidak berjaya kerana penonton juga bijak memilih komedi yang mereka suka. Sikap untuk menyalahkan juri dan orang lain di atas kegagalan diri sendiri adalah satu perkara yang salah,” katanya.
 
Boboi bangga dengan Osbon
 
Walaupun hanya berjaya berada di takhta kedua MLM, Boboi tidak begitu kecewa malah mereka berbangga kerana tewas di tangan Osbon.
 
Menyifatkan Osbon sebagai otai di antara otai, Boboi yang dibarisi oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik, menganggap kemenangan patut dimiliki oleh Osbon.
 
“Mereka adalah pelawak yang hebat. Untuk menjadikan diri kami setanding dengan mereka, kami memerlukan tujuh tahun lagi.
 
“Jadi, tidak hairanlah jika mereka menang kerana mereka memang layak. Walaupun kami berada di tempat kedua, kami tetap bersyukur kerana di antara 15 peserta lain, kami berada di tahap ini.
 
“Astro menyediakan platform yang terbaik untuk pelawak bertanding secara sihat. Sebelum ini, tidak pernah ada lagi usaha sebegini daripada pihak lain.

Diharapkan agar usaha ini tidak terhenti di sini sahaja,” kata Afdlin yang tidak bersetuju dengan sikap segelintir juri yang cuba untuk memalukan peserta.
Boboi yang menduduki tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai RM250,000 beserta trofi.
 
Ifa mahu dikenali pelawak
 
Jika sebelum ini, Ifa Radziah lebih dikenali sebagai pelakon dan penyanyi, namun di pentas MLM, Ifa membuktikan bahawa dia berkebolehan untuk bergelar pelawak.
 
Tidak mahu berada ditakuk yang sama, Ifa cuba untuk mempelajari sesuatu yang baru walaupun hanya berjaya menduduki tempat keempat di MLM melalui kumpulan Syok.
 
Tidak pulang dengan tangan kosong, Syok turut membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi.
 
Menurut Ifa, pengalaman selama 10 minggu di MLM memberikan lebih pengetahuan kepadanya untuk bergelar pelawak.
 
“Namun, ianya masih tidak cukup untuk saya beraksi sebagai pelawak. Tunjuk ajar daripada pelawak lain juga amat saya harapkan untuk meningkatkan ilmu yang ada.
 
“Sebelum ini, saya adalah seorang pelakon dan penyanyi tetapi tidak pernah terlibat dalam bidang lawak jenaka. Saya mencabar diri saya sendiri untuk berada di tahap ini.
 
“Jadi, inilah langkah baru saya sebagai anak seni. Sokongan daripada peminat amat saya harapkan agar langkah saya tidak terhenti begitu sahaja,” katanya yang mahu dikenali sebagai pelawak wanita di masa yang akan datang.
 
Sementara itu, bagi Suhaimi Yusuf dan Ariff Sudin pula, nama mereka sudah tidak asing lagi di negeri kelahiran mereka, Singapura.
 
Namun, pentas MLM adalah langkah pertama mereka untuk memperkenalkan kehadiran mereka di Malaysia sebagai salah seorang pelawak.
 
Harap teruskan kerjasama- Saehu
 
Satu-satunya peserta dari seberang yang masih bertahan, Saehu tetap menyajikan persembahan menarik untuk terakhir kalinya di pentas MLM.
 
Walaupun hanya berjaya menduduki tempat ketiga, Saehu tidak hanya mengharapkan nilai wang dimenangi malah lebih dari itu dan berhasrat menumpukan kerjaya seni di negara ini.
 
Memenangi wang tunai RM150,000 beserta trofi, Saehu masih mengharapkan agar peminat Malaysia dan Indonesia di Malaysia, dapat menerima kemunculan mereka di sini.
 
Menurut Vicha, atau nama sebenarnya Refika Novianti Faturohman, 23, mereka lebih mengharapkan agar hubungan di antara dua negara, Indonesia dan Malaysia berjalan dengan baik.
 
Beliau berkata, jika sebelum ini, kedua-dua negara sering mengalami salah faham dan pertelingkahan, namun dia berharap agar kehadirannya di sini adalah salah langkah untuk memulihkan keadaan.
 
“Tidak dinafikan, penerimaan daripada rakyat Malaysia amat menak jubkan dan tidak seperti apa yang disangka. Kami seronok berada di sini dan diharapkan agar perjalanan seni kami tidak terhenti di sini sahaja.
 
“Kami perlukan Malaysia untuk terus beraksi. Oleh kerana Saehu diperkenalkan di Malaysia, jadi fokus kami adalah di sini terlebih dahulu,” katanya.

saleh majid

Aura Salleh lantang bangkitkan isu ekonomi bumiputera

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

“SDR Azman, maaf tak ada rencana minggu ini. – Dato Salleh.” Ringkas sahaja e-mel pada lewat petang Jumaat 16 Disember lalu. Saya memahami keadaan Dato’ Salleh Majid yang ketika itu berada di hospital.

Seminggu sebelum itu beliau sempat mengirimkan e-mel artikelnya untuk kolum Saranan Salleh pada 9 Disember. Itu pun, terpaksa dihantarnya beberapa kali setelah e-mel pertamanya dihantar tanpa teks.

Saya cuba bayangkan keadaan Salleh di hospital namun tetap gigih mengetuk komputernya.

Dalam kepayahan selama beberapa minggu sebelum itu, beliau mahu memenuhi komitmennya untuk menulis kepada Utusan Malaysia.

Kolum Saranan Salleh yang disiarkan setiap Sabtu sejak beliau kembali menulis untuk Utusan Malaysia pada 11 April 2009, sarat dengan komentar pedas, pandangan bernas dan cadangan yang boleh dimanfaatkan.

Judul artikel pertama kolumnya itu ialah “Tegas, tepat dan seimbang” mengenai Kabinet baru Datuk Seri Najib Tun Razak. Artikel terakhirnya yang disiarkan 10 Disember lalu pula berjudul “Dilema mengimbangi kewangan awam.”

Memang hobi Salleh ialah menulis dan menunggang motosikal kuasa tinggi. Ketika zaman e-mel belum wujud, beliau pernah bermotosikal datang ke Utusan Melayu untuk menghantar bahan tulisannya.

Saya mula mengenali Salleh ketika beliau menjadi Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang kini dikenali Bursa Malaysia. Beliau menjadi kolumnis untuk majalah Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka sekitar akhir tahun 1980-an dan kemudian menyambung menulis untuk Utusan Malaysia pula hingga akhir tahun 1990-an.

Beliau memang komited dengan jadual penulisannya. Sebab itu jika kolumnya tidak disiarkan pada hari Sabtu, awal pagi Ahad saya akan menerima SMS daripadanya bertanyakan “kenapa tidak keluar.”

Terpaksa saya jelaskan sebabnya dan menyiarkannya pada hari Isnin berikutnya.

Dan pagi semalam, ramai yang terkejut apabila mendapat berita mengenai pemergian Salleh menemui Illahi. Tokoh ekonomi negara ini meninggal dunia pada 10.20 pagi di Hospital Kuala Lumpur akibat penyakit kanser usus dan buah pinggang.

Mengimbas kembali sumbangan Allahyarham kepada negara, bangsa Melayu dan bumiputera tidak akan terhitung. Banyak transformasi dilakukannya ketika menjadi Presiden BSKL.

Tetapi generasi sekarang mungkin kurang mengenali tokoh pasaran saham tempatan ini. Pada era akhir tahun 1980-an hingga pada 1 Mei 2003, BSKL cukup sinonim dengan nama Salleh Majid.

Jangan kita lupa tentang peranan Salleh ketika mengemudikan bursa saham tempatan dalam menghadapi krisis kewangan Asia pada tahun 1997 hingga 1998.

Selain menulis dalam media cetak, Salleh juga turun padang memberi ceramah pendidikan bagi meningkatkan pengetahuan orang Melayu dan bumiputera mengenai pasaran saham.

Dahulu masyarakat bumiputera tidak tahu mengenai pasaran saham, jualan singkat dan pelbagai lagi, hasil penjelajahan beliau ke seluruh negara, kini mereka sudah mengenali apa itu pelaburan saham.

Selain berceramah, Allahyarham juga aktif dalam forum, seminar, konvensyen mengenai ekonomi Melayu dan bumiputera. Jika beliau sihat, kita akan dapat perhatikan kelibatnya dalam majlis wacana ilmu.

Aura Salleh dalam membangkitkan hal ehwal ekonomi bumiputera cukup menarik kerana beliau berani dan lantang membangkitkan persoalan dan sedia pula mengemukakan cadangan.

Kadangkala sikap beraninya itu tidak disenangi oleh sesetengah pihak, tetapi kebenaran dan agenda bumiputera begitu kuat dalam diri Allahyarham.

"Sanggupkah kerajaan melihat orang Melayu yang merupakan majoriti lemah ekonominya dan jauh ketinggalan berbanding orang Cina dan India. Perkara ini kalau dibiar berterusan akan mendedahkan negara kepada ketidakstabilan sosial," kata Salleh (Utusan Online, 6 April 2010).

Adalah satu kepuasan apabila membaca tulisan Salleh dengan gaya bahasa ringkas, bersahaja, padat serta pedas.

Ketiadaan mesej melalui e-mel pada Jumaat lalu, kini terjawab. Salleh Majid tidak akan menyambung tulisannya lagi.

Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham.