Tuesday, January 3, 2012

saleh majid

Aura Salleh lantang bangkitkan isu ekonomi bumiputera

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

“SDR Azman, maaf tak ada rencana minggu ini. – Dato Salleh.” Ringkas sahaja e-mel pada lewat petang Jumaat 16 Disember lalu. Saya memahami keadaan Dato’ Salleh Majid yang ketika itu berada di hospital.

Seminggu sebelum itu beliau sempat mengirimkan e-mel artikelnya untuk kolum Saranan Salleh pada 9 Disember. Itu pun, terpaksa dihantarnya beberapa kali setelah e-mel pertamanya dihantar tanpa teks.

Saya cuba bayangkan keadaan Salleh di hospital namun tetap gigih mengetuk komputernya.

Dalam kepayahan selama beberapa minggu sebelum itu, beliau mahu memenuhi komitmennya untuk menulis kepada Utusan Malaysia.

Kolum Saranan Salleh yang disiarkan setiap Sabtu sejak beliau kembali menulis untuk Utusan Malaysia pada 11 April 2009, sarat dengan komentar pedas, pandangan bernas dan cadangan yang boleh dimanfaatkan.

Judul artikel pertama kolumnya itu ialah “Tegas, tepat dan seimbang” mengenai Kabinet baru Datuk Seri Najib Tun Razak. Artikel terakhirnya yang disiarkan 10 Disember lalu pula berjudul “Dilema mengimbangi kewangan awam.”

Memang hobi Salleh ialah menulis dan menunggang motosikal kuasa tinggi. Ketika zaman e-mel belum wujud, beliau pernah bermotosikal datang ke Utusan Melayu untuk menghantar bahan tulisannya.

Saya mula mengenali Salleh ketika beliau menjadi Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang kini dikenali Bursa Malaysia. Beliau menjadi kolumnis untuk majalah Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka sekitar akhir tahun 1980-an dan kemudian menyambung menulis untuk Utusan Malaysia pula hingga akhir tahun 1990-an.

Beliau memang komited dengan jadual penulisannya. Sebab itu jika kolumnya tidak disiarkan pada hari Sabtu, awal pagi Ahad saya akan menerima SMS daripadanya bertanyakan “kenapa tidak keluar.”

Terpaksa saya jelaskan sebabnya dan menyiarkannya pada hari Isnin berikutnya.

Dan pagi semalam, ramai yang terkejut apabila mendapat berita mengenai pemergian Salleh menemui Illahi. Tokoh ekonomi negara ini meninggal dunia pada 10.20 pagi di Hospital Kuala Lumpur akibat penyakit kanser usus dan buah pinggang.

Mengimbas kembali sumbangan Allahyarham kepada negara, bangsa Melayu dan bumiputera tidak akan terhitung. Banyak transformasi dilakukannya ketika menjadi Presiden BSKL.

Tetapi generasi sekarang mungkin kurang mengenali tokoh pasaran saham tempatan ini. Pada era akhir tahun 1980-an hingga pada 1 Mei 2003, BSKL cukup sinonim dengan nama Salleh Majid.

Jangan kita lupa tentang peranan Salleh ketika mengemudikan bursa saham tempatan dalam menghadapi krisis kewangan Asia pada tahun 1997 hingga 1998.

Selain menulis dalam media cetak, Salleh juga turun padang memberi ceramah pendidikan bagi meningkatkan pengetahuan orang Melayu dan bumiputera mengenai pasaran saham.

Dahulu masyarakat bumiputera tidak tahu mengenai pasaran saham, jualan singkat dan pelbagai lagi, hasil penjelajahan beliau ke seluruh negara, kini mereka sudah mengenali apa itu pelaburan saham.

Selain berceramah, Allahyarham juga aktif dalam forum, seminar, konvensyen mengenai ekonomi Melayu dan bumiputera. Jika beliau sihat, kita akan dapat perhatikan kelibatnya dalam majlis wacana ilmu.

Aura Salleh dalam membangkitkan hal ehwal ekonomi bumiputera cukup menarik kerana beliau berani dan lantang membangkitkan persoalan dan sedia pula mengemukakan cadangan.

Kadangkala sikap beraninya itu tidak disenangi oleh sesetengah pihak, tetapi kebenaran dan agenda bumiputera begitu kuat dalam diri Allahyarham.

"Sanggupkah kerajaan melihat orang Melayu yang merupakan majoriti lemah ekonominya dan jauh ketinggalan berbanding orang Cina dan India. Perkara ini kalau dibiar berterusan akan mendedahkan negara kepada ketidakstabilan sosial," kata Salleh (Utusan Online, 6 April 2010).

Adalah satu kepuasan apabila membaca tulisan Salleh dengan gaya bahasa ringkas, bersahaja, padat serta pedas.

Ketiadaan mesej melalui e-mel pada Jumaat lalu, kini terjawab. Salleh Majid tidak akan menyambung tulisannya lagi.

Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham.

No comments:

Post a Comment