Osbon tidak mendabik dada
Tarikh : January 1, 2012
Diterajui pelawak senior, Os dan Abon, kedua-duanya saling melengkapi dan tidak pernah menghampakan juri serta penonton kerana setiap minggu persembahan mereka akan diiringi gelak tawa tanpa henti.
Bertemakan konsep bebas dan komedi muzikal di malam penentuan Jumaat lalu, Osbon memberikan persembahan hebat sehingga memukau juri dan penonton.
Melakonkan watak suami isteri dalam persembahan pertama, Abon berjaya mencuri tumpuan ramai apabila wataknya sebagai wanita mengandung sangat menjadi. Aksinya yang bersahaja dengan mimik muka selamba, mampu membuatkan penonton ketawa tanpa henti. Malah lakonannya itu turut mendapat pujian juri tetap, Datuk Siti Nurhaliza.
Tidak kurang hebatnya dengan Os, yang turut berbisa saat tugasan kedua, menerusi persembahan muzikal komedi.
Melihat kehebatan kedua-dua persembahan malam itu, maka tidak hairanlah Osbon dinobatkan sebagai juara, sekali gus menewaskan saingan terdekatnya, Boboi yang diterajui Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik.
Kemenangan itu juga melayakkan mereka membawa pulang wang berjumlah RM350,000 beserta trofi.
Teruskan kehidupan biasa
Walaupun berjaya memegang takhta juara, Os mahupun Abon, belum mempunyai perancangan untuk meneruskan jenama Osbon.
Menurut Os atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Abdul Hamid, 50, dia akan meneruskan kehidupan seperti biasa sebagai pemandu teksi.
“Saya akan bekerja seperti biasa selepas ini. Mungkin sedikit daripada duit itu, saya akan gunakan untuk menambahbaikkan keadaan teksi saya agar penumpang lebih selesa.
“Namun, yang selebihnya hanyalah untuk keluarga. Saya mempunyai bilangan anak yang ramai dan kesemua daripada mereka masih belajar dan saya memerlukan perbelanjaan besar untuk mereka.
“Undangan persembahan dan tawaran lakonan juga akan saya terima seperti biasa, mengikut kelapangan masa yang ada,” katanya yang masih menguruskan perniagaan perkhidmatan chalet di Kuala Kangsar.
Sementara itu, bagi Abon atau nama sebenarnya, Sharizan Ahmad,51, dia akan terus menggunakan pentas sebagai medium untuk menghiburkan orang ramai.
“Menang atau kalah dalam MLM ini, saya tetap akan terlibat dalam persembahan pentas kerana sebelum ini saya memang pelawak pentas.
“Kemenangan ini adalah satu bonus bagi kami dan jika ada tawaran untuk meneruskan nama Osbon, kami amat berbesar hati.
“Tiada istilah jual mahal atau demand selepas ini kerana selagi diri kami diterima oleh penonton, selagi itulah kami akan menghiburkan anda semua,” katanya lagi.
Adat menyertai pertandingan, sejak awal lagi Osbon sedia menerima kritikan juri. Malah sepajang sembilan minggu di MLM, dia tidak pernah berkecil hati, jauh sekali menyimpan dendam dengan juri.
Menurut Os, walau siapa sahaja yang dilantik sebagai juri, kita harus menghormatinya dan menerima setiap teguran dan kritikan dengan cara yang positif.
“Jika diikutkan, memang barisan juri tidak berada di dalam bidang lawak, tapi tidak semestinya mereka tidak boleh mengeluarkan pandangan dan teguran berdasarkan mata mereka.
“Tidak perlu dipertikaikan kebolehan seorang juri kerana pemilihan sebagai juri bukanlah kerana kehendaknya. Mereka dipilih berdasarkan kebolehannya dalam pelbagai bidang.
“Seorang yang positif, harus menerima kritikan daripada orang lain untuk meningkatkan prestasi kita ke tahap yang lebih baik.” katanya.
Bagi Abon pula, segala kritikan membina diterima dengan tangan terbuka dan cuba menghasilkan sesuatu lebih baik selepas itu.
“Tidak perlu berkata suka jika persembahan itu tidak berjaya kerana penonton juga bijak memilih komedi yang mereka suka. Sikap untuk menyalahkan juri dan orang lain di atas kegagalan diri sendiri adalah satu perkara yang salah,” katanya.
Boboi bangga dengan Osbon
Walaupun hanya berjaya berada di takhta kedua MLM, Boboi tidak begitu kecewa malah mereka berbangga kerana tewas di tangan Osbon.
Menyifatkan Osbon sebagai otai di antara otai, Boboi yang dibarisi oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik, menganggap kemenangan patut dimiliki oleh Osbon.
“Mereka adalah pelawak yang hebat. Untuk menjadikan diri kami setanding dengan mereka, kami memerlukan tujuh tahun lagi.
“Jadi, tidak hairanlah jika mereka menang kerana mereka memang layak. Walaupun kami berada di tempat kedua, kami tetap bersyukur kerana di antara 15 peserta lain, kami berada di tahap ini.
“Astro menyediakan platform yang terbaik untuk pelawak bertanding secara sihat. Sebelum ini, tidak pernah ada lagi usaha sebegini daripada pihak lain.
Diharapkan agar usaha ini tidak terhenti di sini sahaja,” kata Afdlin yang tidak bersetuju dengan sikap segelintir juri yang cuba untuk memalukan peserta.
Diharapkan agar usaha ini tidak terhenti di sini sahaja,” kata Afdlin yang tidak bersetuju dengan sikap segelintir juri yang cuba untuk memalukan peserta.
Boboi yang menduduki tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai RM250,000 beserta trofi.
Ifa mahu dikenali pelawak
Jika sebelum ini, Ifa Radziah lebih dikenali sebagai pelakon dan penyanyi, namun di pentas MLM, Ifa membuktikan bahawa dia berkebolehan untuk bergelar pelawak.
Tidak mahu berada ditakuk yang sama, Ifa cuba untuk mempelajari sesuatu yang baru walaupun hanya berjaya menduduki tempat keempat di MLM melalui kumpulan Syok.
Tidak pulang dengan tangan kosong, Syok turut membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi.
Menurut Ifa, pengalaman selama 10 minggu di MLM memberikan lebih pengetahuan kepadanya untuk bergelar pelawak.
“Namun, ianya masih tidak cukup untuk saya beraksi sebagai pelawak. Tunjuk ajar daripada pelawak lain juga amat saya harapkan untuk meningkatkan ilmu yang ada.
“Sebelum ini, saya adalah seorang pelakon dan penyanyi tetapi tidak pernah terlibat dalam bidang lawak jenaka. Saya mencabar diri saya sendiri untuk berada di tahap ini.
“Jadi, inilah langkah baru saya sebagai anak seni. Sokongan daripada peminat amat saya harapkan agar langkah saya tidak terhenti begitu sahaja,” katanya yang mahu dikenali sebagai pelawak wanita di masa yang akan datang.
Sementara itu, bagi Suhaimi Yusuf dan Ariff Sudin pula, nama mereka sudah tidak asing lagi di negeri kelahiran mereka, Singapura.
Namun, pentas MLM adalah langkah pertama mereka untuk memperkenalkan kehadiran mereka di Malaysia sebagai salah seorang pelawak.
Harap teruskan kerjasama- Saehu
Satu-satunya peserta dari seberang yang masih bertahan, Saehu tetap menyajikan persembahan menarik untuk terakhir kalinya di pentas MLM.
Walaupun hanya berjaya menduduki tempat ketiga, Saehu tidak hanya mengharapkan nilai wang dimenangi malah lebih dari itu dan berhasrat menumpukan kerjaya seni di negara ini.
Memenangi wang tunai RM150,000 beserta trofi, Saehu masih mengharapkan agar peminat Malaysia dan Indonesia di Malaysia, dapat menerima kemunculan mereka di sini.
Menurut Vicha, atau nama sebenarnya Refika Novianti Faturohman, 23, mereka lebih mengharapkan agar hubungan di antara dua negara, Indonesia dan Malaysia berjalan dengan baik.
Beliau berkata, jika sebelum ini, kedua-dua negara sering mengalami salah faham dan pertelingkahan, namun dia berharap agar kehadirannya di sini adalah salah langkah untuk memulihkan keadaan.
“Tidak dinafikan, penerimaan daripada rakyat Malaysia amat menak jubkan dan tidak seperti apa yang disangka. Kami seronok berada di sini dan diharapkan agar perjalanan seni kami tidak terhenti di sini sahaja.
“Kami perlukan Malaysia untuk terus beraksi. Oleh kerana Saehu diperkenalkan di Malaysia, jadi fokus kami adalah di sini terlebih dahulu,” katanya.
No comments:
Post a Comment