KopieSatu standard lima bintang
|
|
SEJAK sekian lama kopi telah diterima sebagai sajian minuman harian yang cukup lazat dan menyegarkan di seluruh dunia.
Kegilaan yang kadang-kadang boleh dianggap sebagai ketagihan terhadap keenakan rasanya menjadikan penggemar kopi tidak senang duduk jika tidak dapat menikmati minuman tersebut.
Biasanya, ia disediakan secara panas atau sejuk. Sesuai di minum pada bila-bila masa tidak kira pagi, petang atau malam.
Kopi yang diminum setiap hari itu terhasil menerusi pemprosesan biji kopi yang dipanggang, digoreng, dikisar dan kemudiannya diadun bersama bahan penambah perisa bagi kesempurnaan rasanya.
Biji kopi yang hadir dalam pelbagai variasi seperti Arabica, Mocha dan Robusta menjadikan minuman tersebut mempunyai rasa serta aroma yang unik dan tersendiri.
Sesetengah pihak mungkin mengelaskan kopi sebagai minuman golongan kelas atasan. Namun hakikatnya ia diminum oleh semua peringkat lapisan masyarakat. Cuma mungkin kualitinya berbeza-beza.
Justeru, memandangkan permintaan terhadap kopin ini cukup tinggi, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengambil inisiatif memperkenalkan kopi berimej Malaysia.
Menggunakan jenama KopieSatu, ia mula dilaksanakan pada tahun 2003. Idea menghasil dan memperkenalkan produk berimej tempatan tersebut telah dilontarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Menurut Pengurus Hab Pusat Operasi KopieSatu, Shikh Maidin Abdul Kadir, projek tersebut bertujuan mewujudkan satu standard kopi berkualiti tinggi menggunakan jenama Malaysia.
"Menerusi jenama ini, kita mahu rakyat tahu bahawa negara ini sudah mempunyai produk kopi bertaraf lima bintang setanding dengan kopi antarabangsa.
"Selain itu, kita juga berharap agar golongan bumiputera menggunakan peluang ini untuk mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan,'' katanya ketika di temui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menarik mengenai KopieSatu, ia mengetengahkan konsep jualan seperti kafe bergerak yang menggunakan lori untuk bertemu terus dengan pelanggan.
Ketika mula diperkenalkan dahulu, KopieSatu hanya beroperasi menggunakan lima buah lori dengan tawaran enam pilihan menu sahaja.
Atas penerimaan positif, operasi penjualan produk berkenaan kini telah diperluas menggunakan 10 buah lori dengan tawaran 20 jenis kopi.
Setiap hari, kesemua lori ini akan bergerak ke lokasi-lokasi jualan di sekitar Lembah Klang dengan bantuan tenaga kerja seramai 17 orang.
Antara pilihan kopi yang ditawarkan pula adalah seperti Ice Kopie O, Ice Kopie Latte, Honey Ice Latte, Ice Mocha, Ice Chocolate, Ice Blended Cappuccino, Ice Blended Caramel, Hot Cappuccino Honey, Espresso, Kopie O Kaw dan Hot Kopie Latte.
Selain itu, terdapat juga pilihan kopi istimewa yang direka sendiri menggunakan ramuan khas dikenali sebagai Ice Calypso Honey.
"Peringkat awal dahulu, perniagaan KopieSatu hanya mencatatkan jualan sekitar RM200,000 setahun. Namun kini ia telah melonjak kepada RM1.4 juta.
"Maknanya permintaan terhadap produk ini sangatlah menggalakkan dan diterima baik oleh masyarakat,'' jelasnya.
Selain jualan di lokasi biasa, KopieSatu turut menerima pelawaan mempromosi produk itu di beberapa program kerajaan negeri, pelancongan dan acara antarabangsa seperti Formula Satu, GT Jepun, Moto GP dan Kejohanan Bot Laju Antarabangsa.
Menerusi moto 'Keenakan Rasa Untuk Anda', produk KopieSatu ini menawarkan harga yang berpatutan dengan pengekalan kualiti terbaik.
Harga jualannya adalah dalam lingkungan RM2.60 hingga RM7.90 secawan. Setiap lori dilengkapkan dengan peralatan moden seperti mesin penyedia kopi, pengisar dan pembancuh. Semuanya diimport dari Sepanyol dengan kos RM30,000.
Untuk sumber bahan mentah pula, ia menggunakan 100 peratus biji kopi jenis Arabica di import dari Indonesia.
"Biji kopi ini akan dipanggang dan di adun dengan resipi tersendiri agar menghasilkan kopi berkualiti tinggi mengikut cita rasa tempatan.
"Penyediaan kopi ini akan dilengkapkan pula dengan bahan-bahan tambahan seperti gula, susu segar, coklat dan karamel,'' katanya.
Mengenai perancangan pada masa depan, KopieSatu bercadang untuk menambah pilihan menu kopi iaitu Cashew Nut Latte dan Vanilla Latte selain pelbagai jenis teh.
Bagi menarik lebih pelanggan, mereka juga akan memperkenalkan beberapa makanan segera dalam bentuk kuih, kek, roti dan sebagainya.
Sebagai strategi memperluaskan pasaran produk tersebut, pada tahun ini KopieSatu akan membuka peluang perniagaan secara francais berlesen.
Berbeza dengan konsep lori bergerak, francais ini menawarkan aktiviti perniagaan secara kafe atau kiosk statik.
Projek tersebut menyasarkan penyertaan golongan bumiputera, para peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) serta pemilik kedai minuman yang ingin menaik taraf perniagaan mereka.
"Francais ini memerlukan pelaburan sebanyak RM140,000 di mana RM50,000 akan digunakan sebagai wang pusingan dan selebihnya untuk membeli peralatan, bahan mentah dan latihan selama tiga bulan.
"Mereka yang berminat perlu mencari tapak sendiri dengan saiz sekurang-kurangnya tiga meter kali tiga meter,'' jelasnya.
Untuk tujuan itu, FAMA bersama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) juga akan memberi sokongan dari segi permohonan dan bantuan kewangan kepada yang memerlukan.
Setakat ini, pihak FAMA telah menerima permohonan yang agak memberangsangkan terutama daripada pengusaha di sekitar Perlis, Kedah, Pahang dan Kuala Lumpur.
"Sasaran FAMA adalah supaya kafe ini diwujudkan di setiap negeri selain berharap lebih ramai golongan remaja menyertai perniagaan ini.
"Ini kerana sebagai rakyat negara ini, kita patut berbangga dengan pencapaian produk kopi kita sendiri,'' katanya.
Individu yang berminat menyertai projek tersebut boleh terus mengajukan permohonan kepada pihak FAMA melalui talian 03-58824172 atau 012-2883757.
No comments:
Post a Comment